Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Wednesday, March 16, 2011

Jangan Bawa Pinjamanmu Ke Neraka...



"Lan, pinjam motor jap. Nak pergi beli sabun la", pohon Man.

"Bah, pinjamlah... Tapi tangki minyak bagi penuh ya. Ada separuh jak lagi tuh", balas Lan sambil matanya terus tertancap pada skrin komputer riba miliknya itu.

"Bah", balas Man sambil segera mengambil kunci motor Lan yang tersangkut di balik pintu.

Berhati-hati!! Mungkin ini perbualan biasa, tetapi ketahuilah. Riba sedang berlaku di sini!

Sebarang manfaat atau nilai tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman asal yang disyaratkan pada awal kontrak pinjaman yang dikenakan oleh pemberi pinjam dikenali sebagai Riba al-Qardh.

Dan ia adalah riba yang amat popular dikalangan masyarakat kita pada hari ini. Sama ada secara sedar atau pun tidak.

Apabila memberi pinjam, janganlah kamu mengambil sebarang hadiah.
HR al-Bukhari

Al-Syawkani berkata:
Apabila pertambahan itu disyaratkan di dalam kontrak, maka jatuhlah hukum haram secara sepakat.
Naylul Awtar, al-Syawkani, 5/262

Ibn Muzir pula berkata:

Telah ijmak bahawa apabila pemberi pinjaman meletakkan syarat ke atas peminjam sebarang tambahan atau hadiah, maka pinjaman diberikan sebarang tambahan yang diambil adalah riba
al-Mughni, 4/318

Riba al-Qardh ini dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk, antaranya :

1) Manfaat berbalas manfaat yang lebih

Contohnya adalah seperti perbualan yang berlaku di atas. Yang mana Lan memberi pinjam motornya kepada Man dengan syarat Man perlu memulangkan motornya itu dengan tangki minyak yang penuh. Sedangkan ketika itu, tangki minyak itu berbaki separuh sahaja.

Jalan keluar yang mudah adalah dengan menggunakan kontrak sewa. Lan hanya perlu menyewakan kepada Man motornya itu dengan nilai setangki penuh minyak.

2) Duit berbalas duit yang lebih banyak

Bagi bentuk ini, keadaaan lebih jelas. sebagai contoh, Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan mahukan pulangan sebanyak RM 12 dalam masa seminggu.


3) Duit berbalas duit berserta sesuatu manfaat

Manfaat yang diterima bagi bentuk ini lebih terselindung kerana ia dapat berselindung disebalik kontrak yang lain.

Sebagai contoh, Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan Man mahukan pulangan sebanyak RM 10 dan turut membantunya menyusun kerusi-kerusi di pejabat. Bayaran balik pinjaman masih sama tetapi dikenakan manfaat berupa bantuan semasa pinjaman dilakukan.

Atau contoh yang lain, Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan Man mahukan pulangan sebanyak RM 10 dan mahu supaya Lan membeli sekeping penanda buku yang dijualnya atau menyewa sebuah buku darinya.

Bantuan, jualan serta sewaan yang dikenakan semasa pemberian pinjaman, menyebabkan riba berlaku. Ia diharamkan kerana ia adalah satu tindakan menindas iaitu mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain. Walaupun secara zahirnya tiada sebarang tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan.

"Tidak halal jualan beserta pinjaman bertangguh"
HR al-Tirmizi

Imam Ahmad menerangkan maksud hadis ini dengan menyatakan sebagai seseorang yang memberi pinjam kemudian menjual sesuatu kepada peminjam dan mengambil keuntungan daripadanya.

4) Hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak

Contohnya mudah. Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan Man mahukan hadiah sebanyak RM 12 pada hari jadinya. Keadaan ini tetap termasuk dalam riba al-Qardh ini walaupun menggunakan lafaz hadiah.

5) Hadiah bersyarat hadiah

Contoh bagi bentuk ini adalah misalnya pengantin lelaki dan perempuan bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir dengan 3 dulang hantaran bernilai RM 1000 manakala pihak perempuan pula dengan balasan 5 dulang yang bernilai RM 1200.

Syubhah riba al-Qardh masih berlaku sekiranya kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga RM 1000 berbalas RM 1200.

Namun, sekiranya kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga, hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, maka ia adalah harus. Yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.

Redha dan Rela

"Ustaz, saya nak tanya. Bagaimanakah sekiranya peminjam itu redha dengan syarat tambahan yang dikenakan oleh pemberi pinjam itu? Dia merasakan manfaat tambahan tersebut tidak membebankannya. Contohnya pengantin lelaki dan perempuan telah bersetuju dengan nilai harga hantaran RM 1000 berbalas RM 1200. Pihak perempuan rela malah tidak merasa terbeban atau tertindas dengan persetujuan tersebut. Tidak bolehkah alasan redha atau rela itu diambil kira?", tanya Man dengan seribu kerut di dahinya. Tangan kanannya sesekali menggaru-garu hidungnya yang tidak terasa gatal.

Ustaz Wan tersenyum mendengar persoalan Man itu. "Man... Adakah zina akan menjadi halal sekiranya kedua-dua pasangan tersebut telah redha dan rela?", lembut Ustaz Wan menyambut pertanyaan Man itu dengan sebuah pertanyaan yang lain. Pertanyaan yang membuatkan Man berfikir sendiri.

Tanpa Man menjawab, Ustaz Wan menyambung, "Tidak bukan... Hal ini adalah kerana riba merupakan satu bentuk dosa yang tergolong dalam hak Allah semata-mata yang wajib kita hindari. Seperti juga zina mahupun menutup aurat. Lalu, apakah pantas kita sebagai hambanya meminda-minda hak Allah ini atas alasan redha dan rela?".

Kerut di dahi Man kian menghilang. Dia mula faham dengan apa yang diterangkan oleh Ustaz Wan.

Dan dengan sekuntum senyuman dan nada yang sopan, Ustaz Wan menyudahkan bicaranya dengan sebuah pesanan, "Ingatlah Man, larangan riba ini adalah hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia untuk menilai siapa antara mereka yang taat dan patuh kepadaNya".


Inisiatif

"Bang, bagaimana pula keadaannya kalau saya sendiri yang mahu menambah manfaat atas pinjaman saya itu. Contohnya, saya dah pinjam motor Lan, tapi saya nak pulangkan dengan minyak yang penuh walaupun Lan tidak suruh", soal Man kepada Abang Fan, teman serumahnya. Mata Man tajam memerhatikan 'sesuatu' dihadapan Abang Fan.

"Kalau Lan tidak menetapkan syarat tersebut semasa dia bagi kamu pinjamkan motornya, maka tiada masalah. Malah perbuatan kamu itu adalah perbuatan yang terpuji dalam Islam", jawab Abang Fan tenang.

Kedudukan Abang Fan bagaikan seorang yang sedang bertapa. Duduk bersila dengan mata yang terpejam dan dengan tangan diletakkan pada lututnya sambil erat digenggam. Di hadapannya, ada 'sesuatu' yang sedari tadi diperhatikan oleh Man yang bermata tajam.

"Pulangan wang mahupun manfaat dengan nilai tambahan tanpa sebarang syarat mahupun paksaan ketika pinjaman atau sepanjang tempoh pinjaman dibuat, maka ia adalah halal", sambung Abang Fan lagi.

"Ooo... Maknanya kalau kita bayar balik duit yang kita pinjam dengan nilai yang lebih ataupun kita sertakan hadiah sebagai tanda penghargaan kerana menolong kita di waktu susah, maka tidak mengapalah, kan? Atau pun contoh lain pulangkan motor dengan minyak penuh, siap basuh lagi, maka ia digalakkan lagilah, ya?", soal Man lagi. Matanya masih tidak teralih dari memerhatikan 'sesuatu' di hadapan Abang Fan.

"Ya. Nabi Muhammad saw sendiri menunjukkan contoh yang mulia ini. Yang mana Nabi Muhammad saw pernah meminta sahabat pergi membelikan seekor unta yang lebih baik daripada apa yang dipinjam dan digunakan oleh Baginda, lalu Baginda berkata : 'Sebaik-baik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik'. Kisah ini diriwayatkan oleh imam al-Bukhari", jawab Abang dengan panjang lebar.

Man hanya menyambutnya dengan mengangguk-angguk berulang kali. Sambil matanya tetap tertumpu pada sepinggan donut yang tidak terusik di hadapan Abang Fan itu.

Kenalilah dan Jauhilah

Sifirnya mudah, setiap tambahan manfaat material terhadap pinjaman yang dikenakan adalah haram.

Maka, kenalilah dan jauhilah riba ini dan semua jenis riba yang lain.



Untuk penulisan ini, saya merujuk kepada buku 'Riba dan Isu Kewangan Semasa' tulisan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman, terbitan Telaga Biru.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, March 10, 2011

Bertahanlah...


"Kawan-kawan kat sekolah ana semua macam tak percaya bile ana cakap yang ana tak pernah jumpa-jumpa dengan zaujah ana sebelum kahwin", cerita seorang teman.

Saya tersenyum mendengar cerita teman saya itu. Dia merupakan seorang ustaz di sebuah sekolah menengah.

Dia yang masih hangat dengan status pengantin baru itu tidak lekang dengan senyuman yang senantiasa menyimpul di bibir. Bagaikan orang yang menggenggam pelangi berwarna-warni...

Perbicaraannya pun menjadi semakin kerap tentang hal-hal berkenaan perasaan dan kekeluargaan. Dan ia sungguh... lain... dari kebiasaannya sebelum ini...

"Ade sorang cikgu tu tanye kat ana, tak teringin ke nak jumpe dengan dia?", katanya lagi.

Dan dengan nafas yang baru dia menyambung ceritanya, "Ana jawab senang je. Memang teringin, tapi tahanlah", dia menghabiskan ceritanya.

Saya dan beberapa sahabat yang turut sama mendengar, menyambut ceritanya dengan ketawa kecil.

Dan peristiwa ini masih saya lagi ingati hari ini. Kerana pada peristiwa ini, ada perkara penting yang dikatakan oleh teman saya ini.


Ya... Tidak ada cara lain untuk menundukkan nafsumu. Bersabarlah dan berTAHANlah...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, March 4, 2011

Hanya Bahasa Pena...


"Orang rumah tahu la saya keluar. Tapi... Dia tak tahu la saya pergi tempat macam ni", kata seotang lelaki pertengahan usia yang dikaburkan wajahnya.

Rancangan 360 pada Rabu malam yang lalu mendedahkan tentang tinjauan krew mereka terhadap pengunjung-pengunjung pusat hiburan. Bukan sahaja meninjau, malah wawancara turut dijalankan terhadap beberapa orang 'kaki' pusat hiburan ini.

Dan ia mendedahkan sebuah hakikat yang menakutkan.

Bagaimana yang muda dengan 'clubbing'nya dan yang tua dengan dangdutnya pula. Atas tujuan untuk bergembira dan melepaskan tekanan. Hingga ada yang mengatakan, "Bangga ar kot pergi kelab".

Pada rancangan ini ada dipaparkan pengakuan daripada beberapa remaja berusia 17 tahun yang menjadi pengunjung tetap bagi kelab-kelab malam di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ini. Dengan tanpa rasa segan dan silu... Ada yang mengaku keluar dengan cara menipu ibu dan ayah dengan mengatakan bahawa dia pergi ke tuisyen ataupun tidur di rumah kawan untuk belajar. Bahkan seorang remaja perempuan mengatakan bahawa dia akan terasa menggulupur andai telah lama tidak turun 'clubbing' bersama-sama rakan-rakan yang lain.

Bagi yang sedikit berusia pula, mereka memilih untuk ke kelab-kelab dangdut yang menyediakan perkhidmatan GRO sebagai 'peneman' gembira mereka. Dan demi kegembiraan yang ini, ada yang sanggup menghabiskan kira-kira RM2000-RM3000 sebulan.

Bahkan ada di antara mereka ini yang telah mempunyai isteri yang menunggu di rumah!

Allah..

Sedih

Ada perasaan sedih sewaktu menyaksikan rancangan ini. Sedih melihat remaja yang tersasar sewaktu mencari identiti diri. Sedih melihat remaja-remaja perempuan yang telah hilang malunya. Sedih melihat remaja-remaja lelaki yang telah hilang kewarasannya. Sedih melihat lelaki-lelaki tua yang masih manjadikan nafsu sebagai penemannya.

Malah, sedih mengetahui bahawa sebahagian mereka ini adalah beragama Islam. Mereka yang pernah mengucapkan kalimah Syahadah dengan lidah mereka. Dan dengan lidah yang sama meneguk minuman keras dan mengeluarkan kata-kata yang seakan-akan menafikan Syahadah yang diucapkan.

Saya cuba bersangka baik dengan menganggap bahawa perkara ini berlaku mungkin kerana pemahaman sebenar tentang Islam belum sampai kepada mereka. Dan dengan itu, saya cuba melihat mereka ini sebagai sasaran dakwah. Sebagai sahabat, adik-adik, abang-abang, kakak-kakak dan saudara-saudara yang perlu didekati. Saya cuba mencari-cari jalan bagaimana seruan dakwah dapat dilakukan untuk sampai kepada mereka ini.

Dalam rasa sedih ini, saya cuba bersikap optimis.

Optimis bahawa mereka ini masih mempunyai hati yang lembut untuk menerima pancaran cahaya hidayah Allah dan juga usia untuk meneguh kembali tembok keyakinan yang pernah punah.

Marah

Namun di dalam hati, saya turut merasakan satu lagi perasaan yang amat berbeza dengan perasaan yang tadi.

Saya berasa amat marah dan tidak dapat menerima perbuatan mereka ini. Akal saya mengatakan mustahil dalam dunia yang serba mudah dan canggih ini, pemahaman Islam tidak dapat sampai kepada mereka. Berterabur masjid dan surau untuk dihadiri. Berlambak kini di televisyen, internet, radio dan media cetak di Malaysia yang mendidik dan memberikan pemahaman tentang Islam.

MUSTAHIL!!!

Hakikatnya, semua ini dengan mudahnya dipinggirkan hanya dengan alasan tidak menarik, bosan, hambar, ekstrim, pesimis dan lain-lain kata lagi. Begitu mudah sekali diketepikan sedangkan saya yakin, mereka yang bekerja dalam usaha menyampaikan Islam ini sentiasa mengkaji dan mencuba kaedah terbaru yang dirasakan terbaik, berhikmah dan sesuai dengan peralihan masa.

Pada saya, kata-kata tersebut hanyalah alasan untuk membenarkan diri mereka sahaja.

Terlintas di dalam hati kerana perasaan marah ini untuk membiarkan sahaja mereka ini mati dalam kekufuran mereka sendiri! Dengan memulangkan kembali kata-kata yang mereka sendiri sering gunakan... Kubur masing-masing!!!

Cuma bezanya, saya sudah mencari lingkungan yang dapat membantu tanpa terpaksa untuk menguruskan jenazah saya sehingga ke dalam kubur nanti. Manakala mereka ini hanyalah akan menyusahkan. Bukan sahaja dengan kejelikan yang dilakukan semasa hidup, bahkan dengan kesusahan selepas mati. Dibiarkan akan busuk, dikuburkan tetap jua mengharapkan ehsan orang lain.

Ada rasa pesimis terhadap keadaan ini.

Astaghfirullah...

Optimis vs Pesimis

Menyaksikan paparan di 360 ini, dua perasaan ini tenggelam timbul silih berganti dalam diri.


Saya bukanlah pakar psikologi. Saya juga bukan pakar agama. Saya hanya seperti kebanyakan manusia yang lain.

Namun, saya berharap agar saya tergolong dalam golonagn yang sukakan kepada kebaikan dan cuba untuk berkongsikan sedikit kebaikan yang ada. Agar nantinya saya dapat hidup dalam kebaikan dan dapat hidup dalam lingkungan keluarga, saudara, kawan, jiran dan masyarakat yang baik.

Dengan sebab itu saya bukanlah yang terbaik, tetapi tetap berusaha membaiki diri dengan kebaikan. Kebaikan yang bukan menurut neraca manusia, tetapi kebaikan telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Mencipta. Kerana hanya Allah sahajalah yang mampu untuk menciptakan kebaikan.


Jadi?

Jadi, tulisan kali ini bukanlah sebuah artikel nasihat. Bukan juga perkongsian agama mahupun penulisan penyelesaian masalah.

Hanya cuba melakarkan bahasa kata terhadap bahasa rasa. Sebuah rasa terhadap keadaan hari ini. Yang terbuka kepada nasihat mahupun cadangan untuk dikongsikan di sini.

Dan di dalam hati, saya memohon agar Allah mengampuni andainya ada di antara rasa saya ini yang mengundang murkaNya.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, February 22, 2011

Catatan Minggu Terakhir...







Isnin
Bersama-sama sahabat saya, iaitu Amin bagi melaksanakan Program Kemahiran Belajar untuk pelajar-pelajar tingkatan 1 di SMK Likas.

Selasa
Menemankan sahabat saya Fezri yang memberikan ceramah bersempena sambutan maulidur rasul di SMK Dato'Peter Mojuntin.

Rabu
Menemankan Fezri sekali lagi yang memberikan ceramah bersempena sambutan maulidur rasul di SMK Sanzac.

Khamis
Bersama-sama Amin dan Fezri menjayakan Program Cermin Diri untuk para pelajar tingkatan 2 di SMK Likas.

Malamnya pula, kami sekali lagi hadir ke SMK Likas bagi mengendalikan Malam Kesedaran bersempena program orientasi pelajar asrama.

Jumaat
Bersama-sama Fezri dan Amin ke UiTM Kota Kinabalu bagi memenuhi undangan bagi mengisi slot penghayatan untuk para pimpinan Pusat Islam.


Alhamdulillah... Semoga sedikit ilmu dan rasa yang dikongsikan, dapat diterima dan bermanfaat buat semua pelajar yang terlibat.

Dan buat sahabat-sahabat seperjuangan, terutamanya yang lebih muda usianya dari saya...

Kita sering diberitahu bahawa kita bukanlah pemula dan penutup dalam perjuangan bagi meninggikan Islam kembali ke tempatnya yang asal. Tetapi kita adalah mata rantai bagi perjuangan.

Maka teruskanlah mata rantai ini...

Limpahkanlah Sabah ini dengan siraman doamu yang tidak putus-putus, memohon agar Pemilik hati-hati ini melembutkan hati-hati penghuninya...

Suburkanlah Sabah ini dengan huluran tanganmu yang mesra, menarik penghuninya untuk bersama-sama ke syurga...

Harumkanlah Sabah ini dengan wangian tuturmu yang lembut, mengajak penghuninya kembali mengenali penciptanya yang Esa...

Dan pahatkanlah Sabah ini dengan derapan langkahmu yang teguh, mencari penghuninya... Biar di ceruk mana sekalipun mereka... Agar nanti dapat kau sampaikan isi hatimu, bahawa dirimu mencintai mereka hanya kerana Allah s.w.t.

Kita mulia dengan Islam, maka jangan hinakan diri kita dengan meninggalkannya.

Teruskan perjuangan!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Wednesday, February 9, 2011

Seminggu Yang Lalu...

Mengendali Program

Pada 25-27 hb Januari 2011 yang lalu, saya dan beberapa ahli PSS yang lain menjadi fasilitator Kem Kepimpinan Pelajar Fasa I SMKA Tun Datu Mustapha. Kem yang bertempat di Tamparuli ini, menghimpunkan pengawas-pengawas sekolah dan asrama SMKA Tun Datu Mustapha sebagai peserta. Dan kami sebagai fasilitator cuba menyuntik semangat kepimpinan Islam ke dalam diri para peserta ini

Alhamdulillah, kem ini berjaya dilaksanakan dengan lancar... Harapan kami semoga kem ini berjaya mencapai objektifnya dan peserta-peserta akan pulang dengan kesedaran dan rasa tanggungjawab sebagai seorang pemimpin sekolah mahupun asrama. Namun yang lebih penting, mereka ini dapat memimpin diri sendiri menuju redha Allah yang tak pernah surut untuk hamba-hambaNya terlebih dahulu sebelum memimpin manusia lain.

Pada 29-30 hb Januari 2011 pula, saya dan beberapa ahli PSS bergerak ke Sipitang untuk program Qiamullail. Objektif dan pengisian pada program Qiamullai Sipitang ini lebih kurang sama dengan program qiamullail yang dilakukan di Masjid UMS sebelum ini.

Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari adik-adik di sekitar Sipitang. Program ini turut menerima kehadiran beberapa orang peserta dari Sarawak.


Semoga sedikit ilmu dan perkongsian pengalaman yang dicurahkan kepada semua adik-adik sama ada dari Kem Kepimpinan Pelajar mahupun Program Qiamullail, berguna dan bermanfaat hendaknya...

Kami abang-abang dan kakak-kakak dari PSS mendoakan yang terbaik untuk adik-adik semua.


Mengikuti Program

Untuk memberi, kita perlu memiliki. Untuk memiliki, kita perlu mencari...

Maka, sebagai usaha mencari untuk memberi, pada 3-5 hb Februari 2011, saya telah mengikuti Ijtimak Tarbawi yang bertempat di Kundasang...

Ijtimak Tarbawi yang mengumpulkan muslimin dan muslimat penggerak Jemaah Islam di sekitar Sabah ini dihadiri oleh lebih kurang 300 orang peserta.

Alhamdulillah, pengisian dan ceramah yang disampaikan oleh ulamak-ulamak muda Malaysia ini banyak memberikan input berguna buat saya. Disamping melembutkan hati yang terasa semakin keras ini. Saya dibawa untuk bermuhasabah dan mengkoreksi diri sepanjang program ini...

Semoga Allah menetapkan hati yang berbolak-balik ini pada agamaNya dan ketaatan hanya kepadaNya.

Hargai Kehidupan

Maka, sebagai manusia yang mempunyai umur yang singkat ini, gunakanlah ia dengan sebaiknya. Kerana kita akan berhadapan dengan mati yang pasti. Dan kerana kita ini mati untuk hidup selamanya...

Hargailah kehidupan yang sekarang ini dengan meraih sebanyak mungkin ruang dan peluang untuk melaksanakan tugas kita sebaik mungkin. Jadikanlah diri ini sebagai khalifah berjiwa hamba. Kerana kehidupan yang sekarang ini adalah penentu kepada kehidupan yang selamanya nanti.

Dan seandainya ruang dan peluang itu dirasakan tiada... Ciptalah ia!!!

Tiada lagi alasan bagi kita...

Buatlah yang terbaik dan ikhlas setiap masa dalam kehidupan ini. Kerana sebenarnya kita akan mempersembahkan ia dihadapan Allah yang Maha Sempurna.

Carilah ilmu...

Dan keluarkanlah zakat bagi ilmu tersebut iaitu dengan mengajarkannya.

Hargailah kehidupan dengan melakukan yang terbaik setiap masa semata-mata kerana Allah... Tuhan yang Maha Sempurna...

Mengisi dan diisi sebagai tanda menghargai kehidupan...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Sunday, January 30, 2011

Kisah Tentang Taubat Dan Cinta...


Tiada apa yang lebih menggetarkan hati dan jiwa dari membaca dan mendengar cerita tentang cinta Allah kepada hamba-hambaNya.

Hamba-hambaNya, iaitu KITA...

Diceritakan daripada Simak : Suatu hati Nu’man bin Basyir menyampaikan khutbah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah sangat gembira menerima taubat hambaNYA tatkala dia bertaubat, melebihi daripada kegembiraan seorang yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang ditungganginya itu lari meninggalkannya. Sedangkan diatas haiwan tunggangan tersebut terdapat makanan dan minuman bekalannya".

“Dia berputus asa untuk menemui kembali haiwan dan bekalannya itu. Lalu, dia duduk berteduh di bawah pohon sambil berbaring, kerana dia benar-benar putus asa untuk bertemu kembali haiwan itu. Kemudian dia tertidur. Sejurus dia bangun dari tidurnya, dia mencari lagi untanya dengan berjalan kaki. Namun dia tidak menemuinya lagi. Dia berjalan lagi, namun gagal menemuinya. Dia mencarinya untuk kali ketiga, tetapi masih gagal.

“Namun sahaja apabila dia sampai kembali ke tempat tertidur sebelum itu, tatkala dia duduk termenung, tanpa diduganya, tiba-tiba unta tunggangannya yang hilang itu muncul kembali, lengkap dengan bekalan yang dibawanya. Kemudian dia segera memegang tali tambatannya. Dan sesungguhnya Allah s.w.t jauh lebih gembira dengan taubat seseorang daripada musafir yang menemui kembali untanya dipadang pasir”.
(Riwayat Bukhari, no. 6308)


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Friday, January 14, 2011

Majulah Bersama Malumu...


Alhamdulillah... Pada 8 dan 9 Januari 2011 yang telah lalu, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) telah berjaya mengadakan Program Qiamullail. Memang agak terlambat saya kongsikan cerita ini. Tetapi tidak mengapalah, sebab ia hanya sekadar sebuah perkongsian.

Program yang dilakukan di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini mendapat penyertaan lebih kurang 50 orang ahli PSS dan KRU sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.

Selain melaksanakan Qiamullail, objektif utama program ini adalah pada menimbulkan keyakinan diri dan menetapkan pemikiran dikalangan ahli-ahli PSS dan KRU untuk sentiasa bersedia apabila diminta untuk melaksanakan pengucapan awam (seperti berceramah, forum, kuliah dll). Makanya, sebahagian besar slot-slot yang mengisi program ini, bertujuan bagi memenuhi objektif ini. Dan semoga objektif ini dapat sampai kepada semua peserta dan akan dapat menjadi nilai tambah kepada semua yang hadir.

Disamping itu, fokus juga diberikan pada membuang perasaan 'malu yang tidak bertempat' yang begitu menyesakkan dan dilihat sebagai penghalang utama dikalangan ahli-ahli PSS dan KRU untuk tampil ke hadapan.

Menyesakkan?

Ya, sangat menyesakkan.

Kekalkan Malu, Hapuskan Segan


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" [Al-Tin 95: 4]

Allah telah membuat sebuah kenyataan bahawa manusia, iaitu kita, telah diciptakan dalam sebaik-baik bentuk dan kejadian. Ya, dalam bentuk yang sebaik-baiknya untuk kita melaksanakan peranan kita di dunia ini. Pada pengabdian diri kepada Allah dan khalifah di muka Bumi.

Maka, ini sepatutnya ini menjadi teras keyakinan diri yang perlu ada pada kita, manusia yang mengaku membaca dan meyakini Al-Quran.

Apa yang perlu dibuang itu adalah ‘rasa segan’ dan bukannya malu. Segan itu adalah (khajal) yang dibahasakan kita sebagai ‘malu tak bertempat’. Segan nak bertanya, segan nak cakap depan orang ramai, segan nak berusaha gigih, segan, segan dan segan. Sifat ini mesti dibuang dari lelaki dan perempuan agar kita semua tidak terkandas di dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Malu itu, batas-batas iman yang menjaga diri dari larangan Allah. Segan itu pula, batas-batas diri yang tidak sekadar mengawal diri dari terjebak ke larangan Allah, tetapi hingga tidak ke depan menunaikan perintah Allah…

Perempuan yang ada malu akan menutup aurat, berbudi bahasa dan sopan tetapi berani ke depan, bertutur kata, memberikan pandangan dan berperanan. Perempuan yang penyegan, mungkin menutup aurat atau tidak, tetapi yang pastinya, dia itu tidak berani menonjolkan diri.

Begitu juga bagi lelaki.

Inilah pembeza di antara HAYAA’ (malu) dan KHAJAL (segan).


Maka, harapan untuk melihat kader-kader PSS dan KRU yang mampu ke hadapan, bergerak dan menggerakkan PSS dan KRU dalam menyampaikan Islam dan juga cemerlang dalam pelajaran amatlah besar.

Semoga ia akan menjadi kenyataan.

Dan semoga Allah akan sentiasa membantu saya, kamu, kita...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, January 5, 2011

Tahun Untuk Berubah!!


"Harga petrol RON97 dan minyak tanah masing-masing naik 10 sen seliter mulai tengah malam ini, kata Presiden Persatuan Penjual Petrol Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman.

Katanya, ekoran kenaikan itu, harga petrol RON97 naik kepada RM2.40 seliter manakala minyak tanah kepada RM2.50 seliter.

Hashim yang dihubungi berkata beliau dimaklumkan mengenai kenaikan harga kedua-dua minyak tersebut oleh pihak berkuasa malam ini, lapor Bernama."



Allah...

Tiba-tiba terasa perasaan marah membuak-buak naik ke kepala. Harga minyak naik, saya pula terasa seperti mahu naik minyak.




Tahun baru 2011 ini dimeriahkan dengan kenaikan lagi harga barang. Sungguh bertuah.... Slogan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" memang benar-benar dilaksanakan dengan penuh dedikasi oleh kerajaan yang memerintah kini.



Ternanti-nanti waktu untuk melakukan perubahan. Sama ada dengan cara turun di jalanan ataupun dengan cara pengundian. Kedua-duanya pun pasti akan saya buktikan.

Biar nantinya 'mereka' tahu. Bahawa rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dan pemerintah yang berteraskan keZALIMan tidak akan dapat berkekalan. Ia PASTI akan dijatuhkan.

Tahun 2011, Tahun Perubahan!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture