Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

Saturday, May 21, 2011

Kita Hanya Pemberi Ingat...


'Kem Sayangi Daku' telah seminggu berlalu. Dan pengalaman sepanjang kem ini menjadi sebahagian lagi kenangan kehidupan.

"Hidup hanya sekali. Jadi, buat baik biar sepuasnya", kata seorang sahabat kepada saya. Dan saya perpanjangkan pesannya ini di sini.

Kenangan ini akan sedikit demi sedikit sirna. Sebelum saya benar-benar lupa, maka penulisan ini bagaikan pahat yang akan saya ukirkan di batu maya untuk terus mengingatkan saya akan kehidupan kecil saya ini.

Alhamdulillah, kem ini dapat berjalan mengikut apa yang dirancang. Dan dapat diakhiri dalam keadaan yang baik seperti yang dimaklumkan oleh seorang sahabat. Bak kata orang, husnul khatimah.

Maaf kerana saya tidak dapat bersama sehingga ke akhir kem.

Terima kasih buat seorang sahabat yang menghantar mesej yang saya terimanya sewaktu sedang bersiap-siap untuk ke kem ini. Mesejnya bertulis :

"Salam.dgr2 tgh program di SMP.untungnya antum.moga Allah xkn sesekali menguji dgn kufur pd nikmat diberi ruang utk memberi.salam pd semua di sana ;("
Ia banyak membantu saya...

Kem yang mengambil masa 3 hari 2 malam ini disertai oleh adik-adik SMK Perempuan Likas dan dijalankan di sekolah mereka. Semoga perkongsian sepanjang program ini berbekas kepada bukan sahaja semua peserta, malah kepada penganjur juga.

Para peserta program ini merupakan adik-adik pelajar yang dikatakan memerlukan sedikit perubahan dalam kehidupan mereka agar mereka lebih menghargai diri mereka sendiri dan kehidupannya serta dapat merasai kehidupan yang memerlukan kepada Tuhan. Agar mereka ini dapat menjadi mutiara berharga

Merancangkan pengisian yang sesuai untuk adik-adik di program ini juga sudah mencabar, apatah lagi melaksanakannya. Namun, tahniah kepada para AJK dan fasilitator yang terdiri daripada adik-adik dari BALKIS, fasilitator jemputan serta ahli PSS yang terlibat.

Tahniah juga buat adik-adik peserta yang mengikuti program ini kerana berjaya bertahan sehingga ke akhirnya.



Teruskanlah Memberi Ingat

Tidak dinafikan, kesabaran banyak kali teruji sepanjang program ini dengan kenakalan dan gelagat para peserta.

Tidak mengikut arahan, tidak memberikan kerjasama, bising, muka yang muram, kata-kata yang mengguris hati dan lain-lain.

Itulah antara rungutan para fasilitator, tidak terlepas juga dengan diri saya.

"Keras betul hati diorang nih. Kita perlu bertegas", antara kata yang saya dengar.

"Susah betul nak buka hati diorang, rasanya kita dah tak boleh nak terus berlembut", kata seorang yang lain.

Dan saya sendiri membenarkannya dalam diam.

Pendekatan yang dipilih sepanjang program ini adalah pendekatan yang lembut, banyak memuji dan melayan dengan kemesraan yang ikhlas. Namun, semua ini bagaikan tidak berkesan pada mulanya. Bagaikan tidak berjaya mengubah hati mereka.

Bertegas dan berkeras mula bermain-main untuk digunakan. Untuk menundukkan kekerasan hati yang dikatakan itu.

Namun saya dihantukkan di dahi dengan sebuah peringatan dari Allah dari KalamNya yang membuatkan saya bermenung sebentar. Setelah terhantuk, peringatan ini menundukkan saya ke bangku muhasabah dan memperingatkan kembali peranan saya dan keterbatasannya.

Maka berilah peringatan, karena sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.
Surah Al Ghaasyiyah (88) : 21-22

Ya. Tugas saya adalah pada memberi peringatan. Allah jugalah yang berkuasa mengubah hati manusia dengan mencampakkan hidayahNya yang amat berharga. Bukan fasilitator, bukan PSS yang akan mengubah hati adik-adik ini, tetapi Allah.

Cukuplah kisah Nabi Muhammad s.a.w. dengan pak ciknya menjadi pengajaran akan hakikat ini.

Dan dengan kesedaran inilah yang akan menggerakkan kita untuk terus berusaha memberi peringatan. Walaupun setelah habis berprogram, agar hidayah Allah akan turun juga ke dalam hati adik-adik peserta suatu hari nanti. Mungkin bukan sekarang, mungkin suatu hari yang tidak kita ketahui, kerana itu kita perlu terus berusaha memperingatkan mereka. Dan seterusnya berserah segalanya kepada Allah yang Maha Kuasa...

Dan inilah peringatan besar buat diri saya pada program kali ini.

Dan Alhamdulillah, program ini diteruskan lagi selepas selesai muhasabah fasilitator dan perlaksana. Bagaimana ia diteruskan dan bagaimana pengakhirannya, tidak saya ketahui kerana saya hanya sempat bersama hanya separuh perjalanan program. Namun, melalui gambar dan cerita, saya yakin ada kesan yang baik dari program ini.


Hargai Kehidupanmu

Buat adik-adik SMK Perempuan Likas (yang mungkin terbaca ini), abang mohon maaf andai ada kesalahan sepanjang abang berada di program tersebut. Semoga pertemuan singkat kita mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Jangan tinggal solat, dekatilah ustazah-ustazah dan juga orang-orang yang dalam ilmu agamanya, carilah kawan-kawan yang baik serta ikutilah persatuan-persatuan yang baik. Inilah sedikit pesanan buat kamu.

Selepas kem ini kamu akan kembali kepada suasana kamu yang asal. Andai suasana itu menghalang kamu dari perubahan yang lebih baik, ingatkanlah kembali perasaan sepanjang program ini.

Jangan bimbang seandainya kamu tidak dihargai, tetapi bimbanglah sekiranya kamu telah tidak berharga. Kamu menjadi tidak berharga apabila kamu berhenti menghargai diri dan kehidupan kamu sendiri... Abang mendoakan segala kebaikan buat kamu.





Saya bersyukur kepada Allah kerana berkesempatan mengikuti kem ini sebagai pelaksana dan dipertemukan dengan adik-adik yang berharga ini. Walaupun kem ini dilaksanakan untuk adik-adik di SMK Perempuan Likas, namun saya merasakan bahawa sayalah yang banyak beroleh pengajaran dan kebaikan dari pertemuan ini.

Terima kasih adik-adik peserta.

Terima kasih adik-adik AJK dan fasilitator.

Terima kasih sahabat-sahabat PSS.

Terima kasih Allah...

p/s : lebih gambar di sini

p/s : lebih cerita di sini

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, April 19, 2011

Sukan Si Cilik

Kasut terbang...

Beberapanya bergolek-golek...

Beberapa pula berlari-lari...

Beberapanya lagi menyepak sesama sendiri...

Namun yang menontonnya bersorak gembira...

"Sepak kuat-kuat", kata mereka...


Begitulah sebahagian suasana di Sukan Si Cilik : Pertandingan Bola Sepak& Bola Jaring. Sukan yang disertai oleh para pelajar PASTI kawasan Rembau.

Pusing Kepala & Pelapis Negara

"Pusing!! Pusing!!", jerit para penyokong yang rata-ratanya terdiri daripada ibu bapa anak-anak PASTI tersebut.

Seorang pelajar dengan wajah bersungguh-sungguh seperti sungguh-sungguhnya wajah seorang ibu tua yang sedang memasukkan benang ke dalam lubang jarum, menggelcek bola menghampiri gol. Tanpa disedarinya bahawa gol tersebut adalah gol kumpulannya sendiri...

Lucu. Lucu melihat telatah mereka, namun bangga dengan bahang semangat mereka yang membara.

Pada hari tersebut, saya diminta untuk menjadi pembantu pengadil pertandingan. Pengalaman yang sangat seronok. Namun,saya rasakan sepertinya saya lebih banyak membantu mengendali berbanding membantu mengadili.

Bagi kumpulan yang dari PASTI-PASTI yang baru dibuka, disitulah cabarannya. Kekurangan pengalaman dan kekurangan pemain yang benar-benar berminat untuk bermain, menyumbangkan kepada satu pengalaman menyaksikan pertandingan bola sepak yang di luar bayangan.

Ada yang hanya berjalan berdua-duan dengan sahabatnya sambil berpegangan tangan.

Ada juga kumpulan yang duduk dalam satu kumpulan. Dan apabila dikatakan duduk, saya benar-benar memaksudkan perbuatan duduk.

Ada juga yang asyik bermain-main dengan jaring gol. Mungkin sedang berimaginasi menjadi ikan yang tertangkap oleh nelayan.

Bola? Mereka hanya melihatnya seperti melihat petai di atas meja makan. Tidak diendahkan...

Namun itu hanya sebahagian. Sebahagian besar yang lain pula begitu bersemangat menyertai sukan pada hari tersebut.

Ada yang berlari menendang bola tanpa henti, walaupun bolanya telah merentas keluar kawasan perlawanan. Ada yang marah pihak lawan kerana menghalang dan merampas bola di kakinya. Ada juga penjaga gol yang menangis kerana tidak dapat menyentuh bola sepanjang perlawanan kerana pasukannya langsung tidak tercabar oleh pihak lawan.

Macam-macam.

Namun, tidak dinafikan, ada juga anak-anak PASTI benar-benar berbakat bermain bola sepak.

Saya rasa, tidak jauh bezanya juga keadaan di bahagian bola jaring.



Alhamdulillah, sukan pada hari tersebut dapat berjalan dengan lancar sehingga ke akhirnya. Dibantu lagi dengan keadaan cuaca yang baik menambahkan kelancaran hari sukan tersebut.

Sukan yang baik dan tetap menjaga syariat Islam, itulah yang dianjurkan oleh PASTI. Ia diaplikasi semenjak dari peringkat pra-persekolahan lagi. Dan inilah buktinya.

Tidak dapat dinafikan, PASTI mampu menawarkan kurikulum dan ko-kurikulum yang terbaik untuk anak-anak pra-sekolah.


Selepas peringkat kawasan ini, beberapa anak-anak PASTI yang terpilih akan beraksi pula di peringkat negeri nanti.

Semoga berjaya.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, February 22, 2011

Catatan Minggu Terakhir...







Isnin
Bersama-sama sahabat saya, iaitu Amin bagi melaksanakan Program Kemahiran Belajar untuk pelajar-pelajar tingkatan 1 di SMK Likas.

Selasa
Menemankan sahabat saya Fezri yang memberikan ceramah bersempena sambutan maulidur rasul di SMK Dato'Peter Mojuntin.

Rabu
Menemankan Fezri sekali lagi yang memberikan ceramah bersempena sambutan maulidur rasul di SMK Sanzac.

Khamis
Bersama-sama Amin dan Fezri menjayakan Program Cermin Diri untuk para pelajar tingkatan 2 di SMK Likas.

Malamnya pula, kami sekali lagi hadir ke SMK Likas bagi mengendalikan Malam Kesedaran bersempena program orientasi pelajar asrama.

Jumaat
Bersama-sama Fezri dan Amin ke UiTM Kota Kinabalu bagi memenuhi undangan bagi mengisi slot penghayatan untuk para pimpinan Pusat Islam.


Alhamdulillah... Semoga sedikit ilmu dan rasa yang dikongsikan, dapat diterima dan bermanfaat buat semua pelajar yang terlibat.

Dan buat sahabat-sahabat seperjuangan, terutamanya yang lebih muda usianya dari saya...

Kita sering diberitahu bahawa kita bukanlah pemula dan penutup dalam perjuangan bagi meninggikan Islam kembali ke tempatnya yang asal. Tetapi kita adalah mata rantai bagi perjuangan.

Maka teruskanlah mata rantai ini...

Limpahkanlah Sabah ini dengan siraman doamu yang tidak putus-putus, memohon agar Pemilik hati-hati ini melembutkan hati-hati penghuninya...

Suburkanlah Sabah ini dengan huluran tanganmu yang mesra, menarik penghuninya untuk bersama-sama ke syurga...

Harumkanlah Sabah ini dengan wangian tuturmu yang lembut, mengajak penghuninya kembali mengenali penciptanya yang Esa...

Dan pahatkanlah Sabah ini dengan derapan langkahmu yang teguh, mencari penghuninya... Biar di ceruk mana sekalipun mereka... Agar nanti dapat kau sampaikan isi hatimu, bahawa dirimu mencintai mereka hanya kerana Allah s.w.t.

Kita mulia dengan Islam, maka jangan hinakan diri kita dengan meninggalkannya.

Teruskan perjuangan!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Thursday, July 16, 2009

Mari Mengaji...

Dan bacalah Al-Quran itu dengan tartil.
Surah Al-Muzzammil (72) : 4


Bab tartil dalam bacaan iaitu kejelasan huruf-hurufnya dan kecermatan dalam melakukannya agar ia lebih membawa kepada kefahaman maknanya.
(Fath Al-Bari, Kitab Fada'il Al-Quran)
Imam Ibn Hajar Al-'Asqalani


Rumah

Di sinilah menjadi tempat pertama saya mengenal huruf alif ba ta hinggalah ya.. Dihadapan ibu saya sendiri. Dialah yang mengajar saya membaca Al-Quran. Tidak mahu dikontrakkan pengajian saya yang ini kepada mana-mana ustaz mahupun ustazah. Ibu saya mahu melakukannya sendiri. Walau sesibuk mana sekali pun dia.

Kerana itu adalah ikrarnya kepada diri...

Saya pun tidak berapa mengingati pada umur berapa saya mula memegang Muqaddam dan Iqra' di hadapan ibu saya, namun dengan bekas tangannya, saya mampu untuk membaca Al-Quran ketika di darjah 1 dan khatamkannya ketika di darjah 3. Saya benar-benar bersyukur dikurniakan ibu yang begitu komited menjadikan anaknya ini mampu untuk membaca Al-Quran.

Alhamdulillah...

Namun, jalan yang dilalui bukanlah mudah. Waktu mengaji semasa belajar dengan ibu saya adalah antara waktu maghrib dengan isya' SETIAP HARI. Saya pernah dirotan, disebat dan dijerit malah saya juga pernah dicili dengan cili api gara-gara mahu 'lari' dari rutin ini. Sudahlah mahu lari, melawan pula lagi. Memang padanlah cili api itu hinggap ke muka...

Alhamdulillah...

Bertuah rasanya mempunyai ibu yang bersungguh mengalirkan nyaman ilmu yang dimilikinya ke dalam diri anaknya ini...


Sebaik-baik kamu sesiapa yang belajar Al-Quran dan mengajarnya.
HR Bukhari


Sekolah

Di sinilah pula medan saya memperbetulkan cara bacaan saya dan belajar mengenai ilmu tajwid dalam keadaan yang lebih terperinci dan tersusun disamping mempelajari ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengan pengajian Al-Quran Al-Karim. Dihadapan ustaz-ustazah yang lebih berpengetahuan ini saya ditegur, diajar dan dibimbing untuk membaca dengan lebih baik.

Terima kasih buat semua ustaz dan ustazah. Jazakallah...

Majlis Khatam Quran ketika di Sekolah Rendah Agama Rahmaniah, Kajang.



Ketika di tingkatan 5, saya pernah mengikuti Kelas Kemahiran Al-Quran (KKQ) yang dibimbing oleh ustaz di sekolah saya yang juga merupakan guru pembimbing bagi kumpulan nasyid sekolah. Dengan kuasanya, dia telah mewajibkan setiap ahli nasyid untuk mengikuti kelas ini.

Di kelas yang dilakukan di luar waktu persekolahan untuk pelajar-pelajar asrama ini, saya belajar mengenai pengajian Al-Quran dengan lebih mendalam. Sejarah Al-Quran, jenis-jenis huruf, tempat keluar huruf, cara bacaan imam-imam yang tujuh, tafsir dan tarannum antara yang saya pelajari di kelas ini. Malah saya pernah mengambil ujiannya. Memang susah....

Kerana belum nampak lagi pentingnya ilmu-ilmu ini, saya mengikuti kelas ini hanya sekadarnya sahaja. Terasa pula ruginya sekarang..

Teringat saya akan satu kisah di bulan Ramadhan sewaktu di tingkatan 5 dahulu. Peristiwa yang berlaku antara saya dan seorang lagi rakan saya itu sungguh indah dirasakan...


"Arep, ko dah habis blom?".

"Blom lg, tp aku dah masuk juzu' 30".


"Aku pun samalah. Jom kita khatamkan sama-sama malam ni".


"JOM!".

"Ok, bace smpai surah Al-Lail. Malam nanti kite bace surah Adh-Dhuhaa sampai habis same-same".


"Ok".


Indahnya bersahabat kerana Allah...


Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang

Di sinilah saya mula berjinak-jinak dengan majlis tadarrus Al-Quran yang diadakan setiap kali hadirnya Ramadhan. Saya bersama-sama rakan-rakan yang lain serta pakcik-pakcik yang dilantik untuk mengendalikan tadarrus bahagian kanak-kanak, membaca Al-Quran bergilir-gilir sambil membetulkan mana yang salah.

Terasa begitu hidup dan terisi Ramadhan yang dilalui. Dan saya merindui suasananya yang dulu itu. Semuanya saya ikuti sehinggalah saya berpindah ke Seremban dan mula memasuki asrama di sekolah, matrikulasi dan iniversiti. Dan ketika di asrama-asrama ini, saya mencari-cari majlis seperti ini. Jika ada pasti tidak akan saya lepaskan.

Perasaan rindu itu sentiasa ada....

Matrikulasi

Tiada kelas yang spesifik sewaktu saya di matrikulasi. Pembelajaran mengenai pengajian Al-Quran hanya disentuh sedikit ketika kelas pengajian Agama Islam. Namun, pernah juga saya bertemu dengan ustaz untuk bertanyakan berkenaan masalah tajwid dan cara bacaan Al-Quran yang betul di beberapa tempat yang meragukan saya.

Alhamdulillah... Kerana ketika di sini, saya tergolong dalam kelompok yang istiqomah mengikuti majlis tadarrus Al-Quran yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan. Terasa kelainannya apabila membaca sambil disemak oleh rakan-rakan lain berbanding ketika membaca sendirian.

Teringat juga satu peristiwa sewaktu kelas Bahasa Inggeris yang mana kami dipisahkan kepada beberapa kumpulan. Kemudian, kami diminta memberikan 5 ciri-ciri pasangan hidup yang menjadi idaman dan membentangkannya.

Dan secara tiba-tiba guru Bahasa Inggeris saya itu bertanyakan soalan kepada saya...


"Arif! Tell us one of the most important characteristic that your future wife should had".

".... She can teach our children how to read Quron.."

Rakan-rakan sekelas bertepuk tangan sambil tersenyum-senyum mendengar jawapan saya. Dan guru saya mengangguk-angguk... Dan saya pula, memang bermaksudkannya. Tidak saya sangkakan jawapan spontan saya itu mendapat perhatian dari seluruh kelas.


Universiti


Sepanjang tahun satu di universiti, tiada pengajian Al-Quran yang diadakan dan dapat saya ikuti. Pengajian agama yang di adakan di surau kolej kediaman Indah Permai oleh Ustaz Sarip Adul dan Ustaz Issraq tidak di dalam bahagian pengajian Al-Quran. Saya benar-benar risau dengan tahap bacaan saya. Di tahun dua, ada diadakan pengajian tajwid di surau itu, tetapi ia bertembung dengan kelas Bahasa Arab saya. Maka, ia terpaksa saya lepaskan.

Pernah juga beberapa kali Ustaz Issraq menegur keadaan kebanyakan orang yang tidak betul dalam bacaan surah Al-Fatihah, dan mereka ini tidak mahu berjumpa dengan ustaz-ustaz untuk membetulkannya. Terkesan dengan kata-katanya, saya pernah berjumpa dengannya semata-mata untuk menyemak bacaan surah Al-Fatihah saya.

Ketika Ramadhan di tahun pertama, tiada majlis tadarrus diadakan. Mungkin ada, tetapi saya yang tidak menemuinya. Ketika Ramadhan di tahun dua pula, saya ada mengikuti majlis tadarrus Al-Quran yang dianjurkan oleh jawatankuasa surau KKIP, namun saya seringkali terlepasnya kerana kelas malam.

Apabila berpindah ke Kolej Kediaman AB pada tahun tiga, keadaan mula berubah. Kelas Tajwid Ustaz Hj Parmin merupakan antara kelas yang dianjurkan oleh masjid yang menjadi kegemaran saya.

'Ya Allah... Banyak lagi yang perlu aku perbaiki rupanya'. Itulah yang saya rasakan setiap kali tamatnya kelas. Tarmizie adalah teman yang setia mengikuti kelas tersebut bersama saya.

Di tahun empat pula, Ustaz Razali menggantikan Ustaz Parmin. Walau pun saya kadang-kala sahaja mengikuti kelas yang kadang-kala diadakan itu, namun ia banyak membantu.


Kini

Saya masih mencari kelas pengajian Al-Quran. Inilah antara ilmu yang saya rasakan perlu dipelajari secara berterusan. Jika bukan sebagai penambah, ia berperanan sebagai pengingat.

Dan kini saya sedang mengikuti Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 yang diadakan di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas. Antara yang menarik perhatian saya ketika majlis perasmiannya tiga hari yang lalu adalah ketika dijemput tiga orang yang tidak dikurniakan nikmat penglihatan untuk naik ke atas pentas dan membaca Al-Quran...

MasyaAllah...



Jadi, bagaimana pula dengan anda...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 22, 2009

Tazkiyatun Nafs

"Kau pergi tak petang nih..."

"Pegilah.. Bukan wajib ke? Ha, ko jangan nak lari!"

Peristiwa yang berlaku sewaktu saya di tingkatan dua ini terimbau kembali. Terimbau secara tiba-tiba. Anda juga pasti pernah teringatkan sesuatu secara tiba-tiba bukan? Jika pernah, maka maknanya kita adalah normal.

Oklah, kita sambung balik cerita.

Saya masih ingat lagi bahawa pada ketika itu, semua 'pelajar luar' perlu untuk mengikuti satu pengisian luar kelas selepas waktu persekolahan yang dilakukan oleh pihak sekolah. Pengisian rohani ini dikendalikan sendiri oleh ustaz-ustaz sekolah saya.

Saya berterima kasih kepada mereka untuk ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah makna 'pelajar luar' yang saya maksudkan. Adakah mereka ini pelajar yang menumpang di sekolah lain kerana bangunan sekolah mereka dimasuki anjing? Atau adakah mereka ini pelajar yang dianak tirikan? Atau adakah mereka ini pelajar luar bandar?

Baiklah... Sebelum imaginasi anda pergi terlalu jauh, saya ceritakan perihal mereka yang digelar 'pelajar luar' ini terlebih dahulu.

Ceritanya berbunyi begini...

Termaktublah sudah sekolah saya adalah sebuah sekolah berasrama harian. Dengan dari itu, tidak semua pelajarnya tinggal di asrama. Ada yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. Yang tinggal di asrama sinonim dengan panggilan 'pelajar dalam' dan sebaliknya pula bagi pelajar yang tidak tinggal di asrama, lebih diertikan sebagai 'pelajar luar'.

Dan begitulah ceritanya...

Dan sekadar perkongsian kepada anda, saya merupakan pelajar luar sedari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dan memasuki asrama semenjak tingkatan 4 hinggalah tingkatan 5.

Pengisian ini diberi nama sebagai "Tazkiyatun Nafs". Tazkiyatun Nafs ini maksudnya penyucian diri... Jadi, berdasarkan namanya sahaja saya rasa anda dapat menjangkakan tujuan dan objektif umum pengisian ini.

Program ini berbentuk usrah yang dikendalikan oleh ustaz sekolah saya. Cuma saya sahaja yang pada waktu itu belum lagi mengerti bahwa apa yang ustaz saya itu lakukan adalah sebuah usrah. Saya hanya menganggapnya sebagai suatu bentuk pengisian rohani yang biasa...

Masih naif lagi masa itu.

Walau bagaimanapun, itu bukanlah objektif utama penulisan saya pada kali ini. Apa yang saya ingin kongsikan sebenarnya adalah pada waktu inilah saya dikenalkan dengan sebuah penulisan Al-Marhum Ustaz Syeikh Fathi Yakan yang popular. Ia adalah makalah yang bertajuk "Apa Erti Saya Menganut Islam" atau ما ذا يعنى إنتمائي للإسلام . Dan ia dijadikan rujukan utama dalam usrah kami ini.

Kini, 9 tahun telah berlalu...

Saya benar-benar bersyukur kerana telah didedahkan dengan satu penulisan yang sehingga kini masih menjadi rujukan bagi sebahagian besar usrah terutamanya yang masih berada di marhalah ta'aruf. Bertambah-tambah lagi kesyukuran saya kerana telah didedahkan seawal waktu itu.

Alhamdulillah...



13 jun 2009, 09:51:55pm

Saya menerima satu pesanan ringkas daripada seorang sahabat yang juga seorang rakan seperjuangn di universiti yang berbunyi :


"Salam..brte y bru dtrima drpd syria.. ALFATIHAH kpd tokoh gerakan Islam y sgt kta segani sheikh fathi yakan telah mnnggal dunia sbntar td.."


Saya terkesima dan seakan-akan tidak mempercayai berita tersebut. Anda juga pasti telah mengetahui akan berita ini, bukan?

Saya pada ketika itu sedang berada di Batu Pahat, Johor bersama-sama keluarga serta sanak saudara sempena majlis perkahwinan seorang sepupu perempuan saya. Keletihan membasuh pinggan, mangkuk serta perkakasan kenduri petangnya tadi masih lagi terasa. Ditambah lagi dengan keadaan badan yang dirasakan seakan-akan mahu demam, membuatkan sukar bagi saya untuk berfikir.

Atas faktor ini maka, saya tidak melakukan apa-apa untuk memastikan kesahihan berita tersebut. Namun, saya tetap membacakan Al-Fatihah di dalam hati.

Selepas beberapa hari atau lebih tepatnya pada hari Selasa, barulah saya mendapatkan kesahihan berita ini menerusi internet... Sedih rasanya pada ketika itu, malah begitu juga kini.

Dunia telah kehilangan seorang mujahid... Kembalinya ke rahmatillah, satu kehilangan besar buat perjuangan ini. Walaupun seminggu sudah pemergiannya, ia masih lagi terasa. Membaca latar belakangnya sahaja sudah mampu membuatkan saya terasa amat jauh dari perjuangan sebenar.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga roh Al-Marhum Dr. Fathi Yakan ditempatkan di kalangan para solihin dan siddiqin.
Al-Fatihah buat beliau.





"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki."


Surah Ali 'Imran (3) : 169

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, April 22, 2009

Delusi Farvis

Sewaktu sedang makan bersama-sama Hafiz, Faez, Tengku dan Fadlan di restoran 'makan puas hati' Farviss di King Fisher, terlintas seketika kenangan sewaktu belajar di sekolah menengah dahulu.

Tatkala berbuka puasa bersama sahabat-sahabat sekolah di Yankies Hutt, Bangi.


"Arep... Cepat...", laung seorang sahabat dari atas motornya.

Semuanya bermula pada tanggal 23 November 2003, selepas tamatnya kertas Kimia yang juga merupakan kertas terakhir bagi SPM tahun 2003. Beberapa orang sahabat merancang untuk berbuka puasa di luar. Tidak mahu lagi dewan makan.

Juga bersempena dengan dua penamatan. Pertama, tamatnya peperiksaan SPM dan seluruh peperiksaan sekolah menengah. Kedua, tamatnya pembelajaran dan zaman sekolah menengah. No more school uniform.

"Jom kite pegi Yankies Hutt...", cadang seorang sahabat.

Dan hasilnya, kami berkonvoi ke Yankies Hutt beramai-ramai sebelum maghrib. Mana yang tidak berkenderaan, menumpang sahabat yang mempunyai kenderaan. Mana yang tidak berduit, mengharapkan simpati sahabat yang terlebih duit.


Namun yang jelas, tiada yang ingin ditinggalkan.


Tidak tahu rasa sebenar di hati mereka yang lain, yang jelas gelaka ketawa menghiasi malam kami tersebut.

Semua peristiwa yang pernah dilalui bersama diselak kembali. Yang marah dan yang sabar, yang sedih dan yang gembira, yang perit dan yang mudah, yang takut dan yang berani, semuanya diceritakan kembali dalam satu nada.

Nada ceria...

Pada saat itu, manis senyuman sentiasa terukir membaluti segala perasaan. Agar nanti, wajah ini yang akan berbekas di hati setiap kami. Agar nanti, wajah ini yang akan dibawa bersama oleh setiap dari kami.

Agar nanti, apabila teringat kembali, akan mampu membuatkan diri tersenyum sendiri...



"Jom balik", Hafiz bersuara menamatkan delusi. Ajakannya menyedarkan saya semula. Diri benar-benar tersenyum sendiri.

"Napa senyum-senyum nih. Ndak bawak dompet la tu..", gurau Fadlan.

"Perspektif, perspektif..." jawab saya sambil bergerak menghampiri kaunter. Itu sahaja yang mampu saya balas.

Kami bergerak ke arah motor setelah membayar.

Disamping sahabat-sahabat yang ini, diri tersenyum sendiri lagi.

Sambil berharap, sama jua di sini nanti...

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."
Surah AL-Hujuraat(49) : 10




Perkongsian darimu, bermakna buatku.

Terima kasih.

Friday, April 17, 2009

Dua Lagu Dalam Satu

"Lagu 'Ya Maahada'. Wahid... Ithnain... Ibda'..."

Semua putera dan puteri mula melaungkan lagu sekolah. Dengan badan, tegap berdiri. Dan mata, tajam memerhati. Bendera sekolah yang semakin dijulang tinggi. Seiring dengan muzik yang dinyanyi.

Setelah tamat, ketua pelajar yang bertugas meneruskan lagi perhimpunan pagi. "Seterusnya, lagu 'Maahad Cemerlang'. Wahid... Ithnain... Ibda'..."

Semua putera dan puteri mula melaungkan lagu sekolah kedua. Dengan badan, ditegapkan kembali. Dan mata, memerhati kembali. Bendera yang telah terjulang tinggi. Muzik pula mengiringi, sambil menyanyi.


Begitulah rutin mingguan setiap kali perhimpuan rasmi sewaktu di sekolah menengah dahulu. Perhimpunan rasmi yang diadakan setiap hari Selasa pagi.

Saya tidak tahu bagaimana dengan keadaan semasa perhimpunan rasmi di sekolah lain. Tetapi percaya atau tidak, di sekolah saya terdapat dua lagu sekolah yang dinyanyikan semasa perhimpunan rasmi.

Bukti bahawa betapa kami cintakan sekolah kami.

Kini ia tinggal kenangan.
Terasa ingin pula menyanyikan kembali lagu ini bersama-sama sahabat-sahabat lama seperti satu ketika dahulu.


Ok...


Badan sedia ditegapkan. Dada sedia didepangkan. Mata pula berkelip-kelip memerhatikan, lirik lagu yang lama ditinggalkan.

'Ya Maahada'.

'Maahad Cemerlang'.


Sedia? Wahid... Ithnain... Ibda'...


_________________________
يا معهدي
________________________

يا معهدي علمتني

وبالهدى جملتني

حليتني من صغري


بكل خلق حاساني


كم فيك من معلم

بر كثير الميناني


بعلمه زودني

بنصحح أرشدني


تحية يا معهدي

يا أصل عيشي الحان
ي

أن شاءتني مبركا

لأمتي ووطن


________________________________________
Maahad Cemerlang Budaya Kita

_____________________________________________________
Maahad cemerlang budaya kita
Mari bersama kita buktikannya

Tiap detik adalah ibadah

Menabur bakti dan berjasa


Maahad cemerlang budaya kita

Kau mutiara kaulah pelita

Menyuluh derita anak bangsa

Melahirkan makrifat di mana berada


Maahad cemerlang budaya kita

Mula diri, keluarga, negara tercinta

Maahad mahkota cermin agama

Iman dan taqwa matlamat utama


Maahad cemerlang budaya kita

Guru tercinta ikutan mulia

Putra putri layar perjuangan

Maahad cemerlang budaya kita




Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture