Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Sunday, January 31, 2010

Pengklonan Manusia...


Sebelum ini, pernah beberapa kali saya diajukan soalan yang bertanyakan perihal hukum melakukan pengklonan terhadap manusia.

Saya hanya sekadar menjawab bahawa ianya tidak boleh berdasarkan ingatan saya yang hanya pernah mendengar dari sumber yang tidak saya ingati. Hujahnya adalah kerana tidak boleh merubah, menyerupai dan menyamai ciptaan Allah.

Seterusnya saya ditanyakan pula bagaimana jika hal yang sama dilakukan ke atas tumbuhan dan haiwan. Bukankah ia juga merubah, menyerupai dan menyamai ciptaan Allah?

Dengan ilmu yang sangat sedikit ini saya hanya menjawab bahawa pengklonan ke atas tumbuhan dan haiwan adalah dibolehkan untuk kemaslahatan manusia.

Dalil mahupun kaedah fiqh yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa ini terus terang saya katakan bahawa saya tidak tahu pada waktu itu. Malah ulama' yang ada mengeluarkan fatwa ini pun tidak saya ketahui.

Ia hanyalah sumber yang saya dapati dari sembang-sembang biasa bersama-sama rakan-rakan yang lain. Saya pasti beberapa ulama' besar dan terkenal dari dalam mahupun luar negara telah mengeluarkan fatwa mengenai perkara ini memandangkan ia pernah mendapat perhatian tidak lama yang lalu.

Hanya saya sahaja yang tidak berkeinginan mencari dan mengetahuinya. Malang bukan...

Hinggalah minat membaca mula bertapak pada diri saya, menyebabkan saya semakin berminat untuk mengeluarkan duit untuk membeli buku terutamanya yang berkaitan dengan Islam dan berbentuk Islamik.

Dan antara buku yang telah saya beli dan habis membaca adalah buku yang bertajuk Bioteknologi : Teknologi Perubatan & Pandangan Islam tulisan Dr. Basri Ibrahim.

Antara yang terkandung di dalam buku ini adalah fatwa yang telah dikeluarkan mengenai proses pengklonan ini. Sukalah bagi saya untuk berkongsi sedikit ilmu yang diperoleh dari buku ini.


Akademi Fiqh Islam di dalam muktamarnya kali ke-10
Tempat : Jeddah, Arab Saudi
Tarikh : 23-28 Safar 1418H

Memutuskan;-


i. Haram melakukan pengklonan manusia berdasarkan apa-apa cara sekalipun yang boleh memeperbanyak bilangan manusia.

ii. Haram di dalam semua keadaan, penglibatan pihak ketiga di dalam hubungan suami isteri, sama ada dalam bentuk sewa rahim, telur sperma atau sel badan untuk tujuan pengklonan

iii. Harus dari segi syarak menggunakan teknik pengklonan dan kejuruteraan genetik di dalam lapangan penyelidikan tentang mikrob, hidupan halus, tumbuh-tumbuhan dan juga binatang, di dalam batasan yang dibenarkanoleh syarak, asalkan ia boleh mendatangkan kemaslahatan kepada manusia dan menolak kemudaratan daripada mereka.


Rujukan
  1. Abd al-Sattar Abu Ghuddah, Qararat Wa Tawsiyat Majma' al-Fiqh al-Islami, hlm. 219
  2. Dr. Basri Ibrahim al-Hasani al-Azhari, Bioteknologi : Panduan Perubatan & Pandangan Islam, Darul Nu'man, hlm. 39-40


Walau pun tiada dalil yang disertakan perihal perkara ini, namun disertakan juga rujukan yang digunakan oleh Dr. Basri Ibrahim bagi memudahkan mereka yang ingin mencari. Mungkin boleh dijumpai dalil-dalil yang digunakan dari sumber yang sebenar itu.

Semoga perkongsian ini bermakna untuk saya dan anda...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture