Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan : Berpuasa Biar Betul Tujuan...


"Bulan Ramadhan ni la bulan yang paling sesuai untuk kita berdiet", kata seorang gadis kepada teman sebiliknya.

"Yeay, nasib baik la Ramadhan tahun ni datang dekat dah nak akhir sem. Puasa tak terasa letih sangat sebab dah takde kelas, exam je. Buka ngan sahur pulak kat masjid je. Uih, save bajet. Duit aku pun dah tinggal ciput je dalam bank tu", borak seorang pemuda kepada temannya sambil menanti pengumuman tarikh puasa Ramadhan di radio.

"Alhamdulillah, Ramadhan ni bulan Rahmat. Rezeki turun mencurah-curah dari Tuhan. Terutamanya bagi peniaga bazar Ramadhan macam mak cik ni. Datanglah gerai mak cik nanti ya", cerita seorang mak cik kepada jirannya.

"Ramadhan ni la waktu yang sesuai bagi pak cik untuk turunkan kandungan gula dalam darah pak cik tu", terang doktor kepada seorang pak cik tua berkopiah.

"Puasa ni dapat mengajar kita untuk merasai keperitan golongan orang-orang yang miskin", terang seorang ayah kepada anaknya.

Yang Mana Kita

Puasa di bulan Ramadhan mempunyai pelbagai cara untuk kita memandangnya. Dengan cara melihat itu nantilah yang akan menentukan siapa diri yang akan kita bawa ke dalam bulan Ramadhan, yang mana berpuasa ini menjadi suatu kewajipan bagi kita. Dan ini adalah kunci utama kepada menentukan kesan akhir (output) kepada nilai sebuah puasa di bulan Ramadhan. Sama ada natijahnya adalah bernilai sebuah takwa, atau hanyalah sekadar lapar dan dahaga.

Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata, "Siapa kamu, menentukan bagaimana kamu melihat" (Who you are determine how you see) dan "Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat" (What you see is what you get).

Atas dasar kesihatan, untuk merasai kesusahan orang lain, agar boleh berdiet, untuk berhenti merokok, bagi meningkatkan ekonomi keluarga, apakah salah berpuasa kerana hal-hal ini? Bukankah ini adalah hikmah dan kebaikan yang diperoleh dengan berpuasa?

Ya. Memang benar ini adalah antara hikmah dan kebaikan yang datang bersama-sama dengan ibadah puasa. Namun, perkara-perkara ini adalah bersifat 'mendatang', yang mana ia bukanlah menjadi tujuan sebenar bagi sebuah kewajipan ibadah puasa.

Hidup Perlu Dengan Tujuan

Sesungguhnya agama Islam mengajar kita untuk hidup dengan ada tujuan. Ia adalah agama yang mengajar kita untuk peka dengan sense of purpose. Mengabaikan tujuan bermakna kita menghilangkan makna dalam perbuatan. Maka berteraburlah hikmah dan kebaikan di sana sini atas perbuatan yang tanpa tujuan itu

Melihat puasa sebagai mekanisme kesihatan tanpa hubung kait dengan menifestasi kehambaan kepada Allah, maka wujudlah manusia yang berpuasa tetapi tidak bersolat.

Memandang puasa sebagai peluang peningkatan ekonomi keluarga tanpa hubung kait dengan peluang mendekatkan diri kepada Allah, maka wujudlah manusia yang berpuasa tetapi tidak mengeluarkan zakat.

Megambil puasa sebagai masa untuk mengasihani orang-orang fakir tanpa hubung kait dengan peluang menghampiri kasihnya Allah, maka wujudlah manusia yang berpuasa tetapi membazir ketika berbuka.

Melihat puasa sebagai detik bagi beribadah yang tanpa bertuhan, maka wujudlah manusia yang berkejaran membaca al-Quran tetapi mengabaikan komitmen dan tanggung jawabnya ketika bekerja. 

Berpuasa tanpa bertujuan yang betul, maka puasanya itu kosong daripada diselimuti dengan roh tarbiah, hanya sekadar memberikan manfaat material semata-mata.

Dan puasa seperti inilah yang dikatakan sekadar mendapat lapar dan dahaga.


Beragama Dengan Rasa BerTuhan


Memetik tulisan Ustaz Hasrizal daripada bukunya yang bertajuk 'Transformasi Ramadhan' :

"Agama ialah pelatihan HIDUP DENGAN TUJUAN. Dengan mengabaikan soal BERTUJUAN DALAM PERBUATAN, agama bertukar menjadi permainan dan perlakuan yang bersifat sendaan ke atas kemanusiaan"

Salahkah sekiranya menginginkan segala hikmah dan kebaikan berpuasa Ramadhan?

Tidak salah. Namun semua itu kekal sebagai faedah-faedah tambahan dan sampingan sahaja, kerana itu bukanlah tujuan atau objektif sebenar bagi ibadah puasa.

Allah yang telah mensyariatkan ibadah puasa ini, dan Allah jualah yang telah menerangkan dengan sejelas-jelasnya TUJUAN SEBENARnya. 


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, MUDAH-MUDAHAN (dengan puasa itu) KAMU BERTAKWA"
(Al-Baqarah (2) : 183)

Maka, adakah ketakwaan itu yang menjadi tujuan puasa kita pada Ramadhan kali ini?

Mari sama-sama kita semak kembali di separuh masa kedua Ramadhan ini.

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, July 30, 2011

Kuasa Super!!


Allah...

Takut rasanya apabila membaca berita-berita terkini. Tidak kisahlah berita yang nasional mahupun yang antarabangsa. Semakin bertambah-tambah khabar yang tidak gembira dan mengejutkan. Rasanya sudah seperti menonton cerita seram yang banyak dengan babak terkejut-terkejut. Oppspocot, terkejut aku!! Ishk, terkejut lagi...

Bunuh, bom, depresi, mati, langgar, seksi, dadah, tikam, culik, tak mandi, merampas, dera, mencarut, merokok, caci, cucuk, susuk, busuk, rasuah, rogol, tipu, panas dan lain-lain lagi.

Dalam kecanggihan teknologi yang semakin canggih dan pembangunan material yang semakin membangun ini, jika tidak diseiringkan dengan kecanggihan dan pembangunan rohani, maka manusia hanya akan semakin hilang kawalan. Kerana hakikatnya manusia mudah hilang batasan di dunia yang tiada sempadan.  

Dan kerana itulah Islam sentiasa meletakkan garis batasan dan pagar sempadan bagi setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Tiada yang terlepas. Semuanya ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Islam mengajar manusia supaya bersederhana. Bersederhana dalam setiap perbuatan dan percakapan. Tidak melebih-lebih (contohnya lebih makan, lebih cakap, lebih-lebih dan lain-lain perkara yang lebih besar), tidak juga meringan-ringankan (contohnya lampu kuning untuk memperlahan kenderaan, basuh pinggan, dan lain-lain). Kerana hakikatnya keterlaluan obses mahupun keterlaluan liberal, kedua-duanya adalah ekstrim.

Dan Rasulullah s.a.w. adalah sebaik-baik contoh insan yang bersedehana.

Fuh, menghela nafas panjang...

Tapi... Bila cakap begini dan mengenang kembali, banyak juga perbuatan dan percakapan yang kadang kala saya melebih-lebih dan yang saya remeh-remehkan. Maksudnya, saya pun ada menyumbang kepada keseraman dunia yang melanda ini. Allah, banyak lagi yang perlu saya perbaiki

Benar kata bijak pandai, perubahan bermula dari diri sendiri. Sekiranya saya ingin hidup di dalam dunia yang aman, maka terlebih dahulu saya perlu meng'aman'kan diri saya terelebih dahulu agar orang di sekeliling akan damai dengan kewujudan saya. 

 Hmm... Apa pula yang anda rasa?

Kuasa Super Hero

Sewaktu sedang belek-belek internet, ternampak pula tajuk satu artikel yang menarik perhatian. 'Which superhero power would you like most of all?'. 

Sebelum menekan capaian (link) yang disediakan, saya meneka-neka sendiri akan kuasa yang menduduki tangga teratas. Menurut penaakulan saya, saya rasakan kuasa super kuat Superman yang menduduki carta tertinggi. Sebaik sahaja menekan capaian (link) dan membaca artikel tersebut, tekaan saya meleset. Dan saya sama sekali tidak menyangka bahawa pilihan ramai adalah kuasa yang itu.

Nak tahu tak kuasa apa? Mari tengok senarai di bawah.
  1. Accelerated healing - Wolverine, X-Men (22 percent)
  2. Telepathic/psionic powers - Professor X, X-Men (21 percent)
  3. Power of flight - Superman, Superman (15 percent)
  4. Super-strength - The Hulk, The Hulk (11 percent)
  5. Invisibility - Sue Storm, Fantastic Four (8 percent)
  6. Weather control - Storm, X-Men (7 percent) and Flame-on! - The Human Torch, Fantastic Four (7 percent) 
  7. -
  8. Supersenses - Daredevil, Daredevil (4 percent)
  9. Web-slinging - Spiderman, Spiderman (3 percent)
  10. Super-speed - Dash, The Incredibles (2 percent)
The survey, carried out by the European film rental service Lovefilm, questioned 3,000 members about special powers that would make the ultimate superhero.

Kuasa penyembuhan segera atau kuasa cepat baik menduduki carta tertinggi kuasa superhero yang dipilih oleh peminat filem superhero sebagai kuasa yang dapat menjadikan seseorang itu sebagai superhero terhebat. Haik, tidak disangka...

Tapi, apabila teringatkan kembali berita-berita yang saya baca, maka pilihan ini sememangnya tidak mustahil. Mungkin kebanyakan manusia kini berharap agar ada kuasa cepat sembuh dalam dunia yang semakin kejam dan bahaya ini. Yang mana bahaya itu boleh muncul bila-bila dan di mana-mana sahaja, dari mereka yang telah hanyut dalam dunia tanpa sempadannya. 

 

Kuasa penyembuhan. Kuasa yang dicemburui dan diingini kini. 

Terutamanya yang dapat menyembuhkan luka di hati...

Yang pastinya, kuasa ini hanya satu ilusi. Dan Ramadhan itu ada untuk kita 'menyembuhkan' diri. Walau pun prosesnya perlahan dan payah, namun di situlah bukti kekuatan hati. Dan kehambaan pada Ilahi. Kerana ganjaran Takwa itu, adalah ganjaran yang tertinggi.

Inilah realiti.

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, May 26, 2011

Memenuhi Keperluan Menulis

Malam semakin dalam. Naskhah novel di tangan menghampiri lembaran-lembaran akhir untuk diselak. Huruf-huruf yang tercetak hitam mula berbalam-balam.

Namun, ketika mula meneruskan bacaan bab terakhir ini, ada sesuatu yang menggamit rasa.

Dan kerana rasa ini, saya tergerak untuk berkongsikannya bersama.

Atas nama hormat dan kasih, saya masih menyandang teguh pesan seorang penulis. "Menulislah untuk sesuatu yang kamu perlu." Betullah, lain penulis lain perlunya. Perlu mengejar nama, perlu kerana berasa bertanggungjawab mahu memartabatkan sastera, menulis kerana perlu wang dan apa sahaja keperluan yang manusia perlu, penulis akan menulis kerananya.

Diri saya tidak mampu menolak akan pernyataan ini. Kepala ikut mengangguk-angguk dengan rasa yang dirasa. Kuyu mata hilang seketika. Lalu saya teruskan membaca...

Lalu bertanyalah juga penulis itu kepada saya, dan saya masih ingat pertanyaannya yang membuatkan saya malu-malu.

"Apakah kamu tidak perlu kepada Allah?"

Tidak saya tahu, penulis apa yang tidak perlu kepada Allah, kerana hanya dengan izin-Nya jari jari penulis boleh menari menebarkan kata-kata. Hanya dengan izin-Nya penulis mampu mempunyai ilham. Hanya dengan izin-Nya juga penulis mampu bertemu kejayaan yang sangat perlu penulis cari.

Ah, benar sekali...

Pertanyaan itu berulang-ulang di dalam kepala. Dan pada masa yang sama terasa ada sesuatu yang mengalir ke segenap anggota. Sesuatu yang...

Ahh, tiada bahasa mampu saya susunkan bagi menjadikannya kata. Yang pasti, sesuatu itu menyedarkan semua anggota.

Lalu saya teruskan membaca. Hinggalah akhirnya sampai ke perenggan penamat bagi sebuah cerita.


Tidaklah banyak yang saya minta, kepada para pembaca, cuma doa. Doa semoga saya terus yakin bagi berada dalam proses penulisan ini. Semoga saya dan kita semua mampu menjadi penulis yang disayang Tuhan. Doakan.


Sesungguhnya saya turut mendoakan. Amin.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, May 21, 2011

Kita Hanya Pemberi Ingat...


'Kem Sayangi Daku' telah seminggu berlalu. Dan pengalaman sepanjang kem ini menjadi sebahagian lagi kenangan kehidupan.

"Hidup hanya sekali. Jadi, buat baik biar sepuasnya", kata seorang sahabat kepada saya. Dan saya perpanjangkan pesannya ini di sini.

Kenangan ini akan sedikit demi sedikit sirna. Sebelum saya benar-benar lupa, maka penulisan ini bagaikan pahat yang akan saya ukirkan di batu maya untuk terus mengingatkan saya akan kehidupan kecil saya ini.

Alhamdulillah, kem ini dapat berjalan mengikut apa yang dirancang. Dan dapat diakhiri dalam keadaan yang baik seperti yang dimaklumkan oleh seorang sahabat. Bak kata orang, husnul khatimah.

Maaf kerana saya tidak dapat bersama sehingga ke akhir kem.

Terima kasih buat seorang sahabat yang menghantar mesej yang saya terimanya sewaktu sedang bersiap-siap untuk ke kem ini. Mesejnya bertulis :

"Salam.dgr2 tgh program di SMP.untungnya antum.moga Allah xkn sesekali menguji dgn kufur pd nikmat diberi ruang utk memberi.salam pd semua di sana ;("
Ia banyak membantu saya...

Kem yang mengambil masa 3 hari 2 malam ini disertai oleh adik-adik SMK Perempuan Likas dan dijalankan di sekolah mereka. Semoga perkongsian sepanjang program ini berbekas kepada bukan sahaja semua peserta, malah kepada penganjur juga.

Para peserta program ini merupakan adik-adik pelajar yang dikatakan memerlukan sedikit perubahan dalam kehidupan mereka agar mereka lebih menghargai diri mereka sendiri dan kehidupannya serta dapat merasai kehidupan yang memerlukan kepada Tuhan. Agar mereka ini dapat menjadi mutiara berharga

Merancangkan pengisian yang sesuai untuk adik-adik di program ini juga sudah mencabar, apatah lagi melaksanakannya. Namun, tahniah kepada para AJK dan fasilitator yang terdiri daripada adik-adik dari BALKIS, fasilitator jemputan serta ahli PSS yang terlibat.

Tahniah juga buat adik-adik peserta yang mengikuti program ini kerana berjaya bertahan sehingga ke akhirnya.



Teruskanlah Memberi Ingat

Tidak dinafikan, kesabaran banyak kali teruji sepanjang program ini dengan kenakalan dan gelagat para peserta.

Tidak mengikut arahan, tidak memberikan kerjasama, bising, muka yang muram, kata-kata yang mengguris hati dan lain-lain.

Itulah antara rungutan para fasilitator, tidak terlepas juga dengan diri saya.

"Keras betul hati diorang nih. Kita perlu bertegas", antara kata yang saya dengar.

"Susah betul nak buka hati diorang, rasanya kita dah tak boleh nak terus berlembut", kata seorang yang lain.

Dan saya sendiri membenarkannya dalam diam.

Pendekatan yang dipilih sepanjang program ini adalah pendekatan yang lembut, banyak memuji dan melayan dengan kemesraan yang ikhlas. Namun, semua ini bagaikan tidak berkesan pada mulanya. Bagaikan tidak berjaya mengubah hati mereka.

Bertegas dan berkeras mula bermain-main untuk digunakan. Untuk menundukkan kekerasan hati yang dikatakan itu.

Namun saya dihantukkan di dahi dengan sebuah peringatan dari Allah dari KalamNya yang membuatkan saya bermenung sebentar. Setelah terhantuk, peringatan ini menundukkan saya ke bangku muhasabah dan memperingatkan kembali peranan saya dan keterbatasannya.

Maka berilah peringatan, karena sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.
Surah Al Ghaasyiyah (88) : 21-22

Ya. Tugas saya adalah pada memberi peringatan. Allah jugalah yang berkuasa mengubah hati manusia dengan mencampakkan hidayahNya yang amat berharga. Bukan fasilitator, bukan PSS yang akan mengubah hati adik-adik ini, tetapi Allah.

Cukuplah kisah Nabi Muhammad s.a.w. dengan pak ciknya menjadi pengajaran akan hakikat ini.

Dan dengan kesedaran inilah yang akan menggerakkan kita untuk terus berusaha memberi peringatan. Walaupun setelah habis berprogram, agar hidayah Allah akan turun juga ke dalam hati adik-adik peserta suatu hari nanti. Mungkin bukan sekarang, mungkin suatu hari yang tidak kita ketahui, kerana itu kita perlu terus berusaha memperingatkan mereka. Dan seterusnya berserah segalanya kepada Allah yang Maha Kuasa...

Dan inilah peringatan besar buat diri saya pada program kali ini.

Dan Alhamdulillah, program ini diteruskan lagi selepas selesai muhasabah fasilitator dan perlaksana. Bagaimana ia diteruskan dan bagaimana pengakhirannya, tidak saya ketahui kerana saya hanya sempat bersama hanya separuh perjalanan program. Namun, melalui gambar dan cerita, saya yakin ada kesan yang baik dari program ini.


Hargai Kehidupanmu

Buat adik-adik SMK Perempuan Likas (yang mungkin terbaca ini), abang mohon maaf andai ada kesalahan sepanjang abang berada di program tersebut. Semoga pertemuan singkat kita mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Jangan tinggal solat, dekatilah ustazah-ustazah dan juga orang-orang yang dalam ilmu agamanya, carilah kawan-kawan yang baik serta ikutilah persatuan-persatuan yang baik. Inilah sedikit pesanan buat kamu.

Selepas kem ini kamu akan kembali kepada suasana kamu yang asal. Andai suasana itu menghalang kamu dari perubahan yang lebih baik, ingatkanlah kembali perasaan sepanjang program ini.

Jangan bimbang seandainya kamu tidak dihargai, tetapi bimbanglah sekiranya kamu telah tidak berharga. Kamu menjadi tidak berharga apabila kamu berhenti menghargai diri dan kehidupan kamu sendiri... Abang mendoakan segala kebaikan buat kamu.





Saya bersyukur kepada Allah kerana berkesempatan mengikuti kem ini sebagai pelaksana dan dipertemukan dengan adik-adik yang berharga ini. Walaupun kem ini dilaksanakan untuk adik-adik di SMK Perempuan Likas, namun saya merasakan bahawa sayalah yang banyak beroleh pengajaran dan kebaikan dari pertemuan ini.

Terima kasih adik-adik peserta.

Terima kasih adik-adik AJK dan fasilitator.

Terima kasih sahabat-sahabat PSS.

Terima kasih Allah...

p/s : lebih gambar di sini

p/s : lebih cerita di sini

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, March 4, 2011

Hanya Bahasa Pena...


"Orang rumah tahu la saya keluar. Tapi... Dia tak tahu la saya pergi tempat macam ni", kata seotang lelaki pertengahan usia yang dikaburkan wajahnya.

Rancangan 360 pada Rabu malam yang lalu mendedahkan tentang tinjauan krew mereka terhadap pengunjung-pengunjung pusat hiburan. Bukan sahaja meninjau, malah wawancara turut dijalankan terhadap beberapa orang 'kaki' pusat hiburan ini.

Dan ia mendedahkan sebuah hakikat yang menakutkan.

Bagaimana yang muda dengan 'clubbing'nya dan yang tua dengan dangdutnya pula. Atas tujuan untuk bergembira dan melepaskan tekanan. Hingga ada yang mengatakan, "Bangga ar kot pergi kelab".

Pada rancangan ini ada dipaparkan pengakuan daripada beberapa remaja berusia 17 tahun yang menjadi pengunjung tetap bagi kelab-kelab malam di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ini. Dengan tanpa rasa segan dan silu... Ada yang mengaku keluar dengan cara menipu ibu dan ayah dengan mengatakan bahawa dia pergi ke tuisyen ataupun tidur di rumah kawan untuk belajar. Bahkan seorang remaja perempuan mengatakan bahawa dia akan terasa menggulupur andai telah lama tidak turun 'clubbing' bersama-sama rakan-rakan yang lain.

Bagi yang sedikit berusia pula, mereka memilih untuk ke kelab-kelab dangdut yang menyediakan perkhidmatan GRO sebagai 'peneman' gembira mereka. Dan demi kegembiraan yang ini, ada yang sanggup menghabiskan kira-kira RM2000-RM3000 sebulan.

Bahkan ada di antara mereka ini yang telah mempunyai isteri yang menunggu di rumah!

Allah..

Sedih

Ada perasaan sedih sewaktu menyaksikan rancangan ini. Sedih melihat remaja yang tersasar sewaktu mencari identiti diri. Sedih melihat remaja-remaja perempuan yang telah hilang malunya. Sedih melihat remaja-remaja lelaki yang telah hilang kewarasannya. Sedih melihat lelaki-lelaki tua yang masih manjadikan nafsu sebagai penemannya.

Malah, sedih mengetahui bahawa sebahagian mereka ini adalah beragama Islam. Mereka yang pernah mengucapkan kalimah Syahadah dengan lidah mereka. Dan dengan lidah yang sama meneguk minuman keras dan mengeluarkan kata-kata yang seakan-akan menafikan Syahadah yang diucapkan.

Saya cuba bersangka baik dengan menganggap bahawa perkara ini berlaku mungkin kerana pemahaman sebenar tentang Islam belum sampai kepada mereka. Dan dengan itu, saya cuba melihat mereka ini sebagai sasaran dakwah. Sebagai sahabat, adik-adik, abang-abang, kakak-kakak dan saudara-saudara yang perlu didekati. Saya cuba mencari-cari jalan bagaimana seruan dakwah dapat dilakukan untuk sampai kepada mereka ini.

Dalam rasa sedih ini, saya cuba bersikap optimis.

Optimis bahawa mereka ini masih mempunyai hati yang lembut untuk menerima pancaran cahaya hidayah Allah dan juga usia untuk meneguh kembali tembok keyakinan yang pernah punah.

Marah

Namun di dalam hati, saya turut merasakan satu lagi perasaan yang amat berbeza dengan perasaan yang tadi.

Saya berasa amat marah dan tidak dapat menerima perbuatan mereka ini. Akal saya mengatakan mustahil dalam dunia yang serba mudah dan canggih ini, pemahaman Islam tidak dapat sampai kepada mereka. Berterabur masjid dan surau untuk dihadiri. Berlambak kini di televisyen, internet, radio dan media cetak di Malaysia yang mendidik dan memberikan pemahaman tentang Islam.

MUSTAHIL!!!

Hakikatnya, semua ini dengan mudahnya dipinggirkan hanya dengan alasan tidak menarik, bosan, hambar, ekstrim, pesimis dan lain-lain kata lagi. Begitu mudah sekali diketepikan sedangkan saya yakin, mereka yang bekerja dalam usaha menyampaikan Islam ini sentiasa mengkaji dan mencuba kaedah terbaru yang dirasakan terbaik, berhikmah dan sesuai dengan peralihan masa.

Pada saya, kata-kata tersebut hanyalah alasan untuk membenarkan diri mereka sahaja.

Terlintas di dalam hati kerana perasaan marah ini untuk membiarkan sahaja mereka ini mati dalam kekufuran mereka sendiri! Dengan memulangkan kembali kata-kata yang mereka sendiri sering gunakan... Kubur masing-masing!!!

Cuma bezanya, saya sudah mencari lingkungan yang dapat membantu tanpa terpaksa untuk menguruskan jenazah saya sehingga ke dalam kubur nanti. Manakala mereka ini hanyalah akan menyusahkan. Bukan sahaja dengan kejelikan yang dilakukan semasa hidup, bahkan dengan kesusahan selepas mati. Dibiarkan akan busuk, dikuburkan tetap jua mengharapkan ehsan orang lain.

Ada rasa pesimis terhadap keadaan ini.

Astaghfirullah...

Optimis vs Pesimis

Menyaksikan paparan di 360 ini, dua perasaan ini tenggelam timbul silih berganti dalam diri.


Saya bukanlah pakar psikologi. Saya juga bukan pakar agama. Saya hanya seperti kebanyakan manusia yang lain.

Namun, saya berharap agar saya tergolong dalam golonagn yang sukakan kepada kebaikan dan cuba untuk berkongsikan sedikit kebaikan yang ada. Agar nantinya saya dapat hidup dalam kebaikan dan dapat hidup dalam lingkungan keluarga, saudara, kawan, jiran dan masyarakat yang baik.

Dengan sebab itu saya bukanlah yang terbaik, tetapi tetap berusaha membaiki diri dengan kebaikan. Kebaikan yang bukan menurut neraca manusia, tetapi kebaikan telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Mencipta. Kerana hanya Allah sahajalah yang mampu untuk menciptakan kebaikan.


Jadi?

Jadi, tulisan kali ini bukanlah sebuah artikel nasihat. Bukan juga perkongsian agama mahupun penulisan penyelesaian masalah.

Hanya cuba melakarkan bahasa kata terhadap bahasa rasa. Sebuah rasa terhadap keadaan hari ini. Yang terbuka kepada nasihat mahupun cadangan untuk dikongsikan di sini.

Dan di dalam hati, saya memohon agar Allah mengampuni andainya ada di antara rasa saya ini yang mengundang murkaNya.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Sunday, January 30, 2011

Kisah Tentang Taubat Dan Cinta...


Tiada apa yang lebih menggetarkan hati dan jiwa dari membaca dan mendengar cerita tentang cinta Allah kepada hamba-hambaNya.

Hamba-hambaNya, iaitu KITA...

Diceritakan daripada Simak : Suatu hati Nu’man bin Basyir menyampaikan khutbah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah sangat gembira menerima taubat hambaNYA tatkala dia bertaubat, melebihi daripada kegembiraan seorang yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang ditungganginya itu lari meninggalkannya. Sedangkan diatas haiwan tunggangan tersebut terdapat makanan dan minuman bekalannya".

“Dia berputus asa untuk menemui kembali haiwan dan bekalannya itu. Lalu, dia duduk berteduh di bawah pohon sambil berbaring, kerana dia benar-benar putus asa untuk bertemu kembali haiwan itu. Kemudian dia tertidur. Sejurus dia bangun dari tidurnya, dia mencari lagi untanya dengan berjalan kaki. Namun dia tidak menemuinya lagi. Dia berjalan lagi, namun gagal menemuinya. Dia mencarinya untuk kali ketiga, tetapi masih gagal.

“Namun sahaja apabila dia sampai kembali ke tempat tertidur sebelum itu, tatkala dia duduk termenung, tanpa diduganya, tiba-tiba unta tunggangannya yang hilang itu muncul kembali, lengkap dengan bekalan yang dibawanya. Kemudian dia segera memegang tali tambatannya. Dan sesungguhnya Allah s.w.t jauh lebih gembira dengan taubat seseorang daripada musafir yang menemui kembali untanya dipadang pasir”.
(Riwayat Bukhari, no. 6308)


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Wednesday, September 1, 2010

Lailatul Qadar...


Alhamdulillah...

Masih lagi diberikan detik oleh pemiliknya untuk berjalan di lorong Ramadhan kali ini. Dan kini, masuklah sudah ke dalam waktu emas bagi bulan Ramadhan yang mulia ini. Waktu yang terkandung di dalamnya ganjaran yang tidak terjangka oleh akal biasa...


"Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"
Al-Qadr : 2


"Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan"
HR Al-Bukhari & Muslim

Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir"
HR Al-Bukhari; no. 1911 & Muslim


Waktu inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Mereka yang yakin dan percaya dengan sebenar-benar kepercayan akan janji Allah. Dan mereka ini sedang berlari-lari menghampiriNya, dengan segala rasa cinta, kasih-sayang dan air mata.

Sehinggakan Nabi s.a.w. yang semulia-mulia manusia tanpa dosa itu, begitu bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.


"Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain"
HR Muslim; no. 1175




"Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)"
HR Al-Bukhari & Muslim

"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)"
HR Al-Bukhari & Muslim



Maka, bagaimanakah pula keadaannya kita?



*untuk info berguna tentang Lailatul Qadar, boleh merujuk di sini Beberapa Info Berguna Berkenaan Malam Al-Qadar.




Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, January 6, 2010

Minyak Hitam Itu...


"Alhamdulillah la bang. Dalam umur saya boleh kata muda lagi, tiga puluh lebih nih, saya dah mula fikir banyak perkara...", kata lelaki berkumis. Matanya merenung kosong lantai bengkel itu.

Minyak hitam terus mengalir keluar dari lubang pada enjin motosikal GT 128 kelabu. Jatuh ke dalam sebuah bekas minyak kosong yang telah dibuang salah satu sisinya.

Pemilik bengkel yang duduk pada salah sebuah motorsikal di bengkelnya itu hanya mengangguk-angguk kecil. Wajahnya memerhatikan sahaja minyak hitam itu terus mengalir keluar. Pekat dan likat...

Petang itu, cuacanya cukup menyelesakan. Cahaya mataharinya tidak begitu terik dan angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan lagi suasana.. Sekiranya saya di Indah Permai pada ketika ini, pasti saya sedang enak menggelecek riang beberapa orang pemain lawan sebelum bola dirampas mudah dan saya senak di'ole' oleh mereka.

Petang yang indah untuk beriadhah. Mengekalkan stamina untuk beribadah. Semuanya hanya semata-mata kerana Allah...



Wajah lelaki berkumis itu diangkat memandang ke arah pak cik yang duduk di kerusi plastik sebelah kanan saya lalu berkata "Kalo sebelum ni, saya tak pernah pun fikir macam sekarang ni. Saya ni pun bukanlah baik sangat tapi Alhamdulillah la saya dah mula nak berubah". Kemudian dipalingkan ke arah saya yang sedang letih mencangkung sebelum dibawa mengadap pemilik bengkel yang masih merenung minyak hitam itu.

Pak cik yang duduk di sebelah kanan saya tekun mendengar cerita lelaki berkumis itu. Sekali sekala dimain-mainkan kunci ditangannya.

"Baguslah tuh", pemilik bengkel itu lalu bersuara tanpa mengalihkan renungan dalamnya.

"Budak-budak muda sekarang nih, ramai yang tak fikir panjang bile nak buat sesuatu. Buat ikut suke je...", lelaki berkumis kembali berbicara sebelum melepaskan satu keluhan kecil dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sebelum ini, lelaki berkumis itu meluahkan rasa marahnya terhadap berita yang dibacanya dari sebuah akhbar tempatan. Berita yang melaporkan kesanggupan seorang remaja memukul ibunya sendiri sehingga cedera. Marahnya itu turut disambut oleh pemilik bengkel itu serta pak cik di sebelah kanan saya. Seandainya remaja itu ada dihadapan mereka ketika itu, pasti teruk dia dikerjakan oleh mereka.

Pak cik yang duduk di sebelah saya turut melepaskan satu keluhan sebelum diarahkan wajahnya memandang minyak hitam yang masih mengalir keluar itu.

Lelaki berkumis itu menggilirkan pandangannya ke arah pemilik bengkel, saya dan pak cik di sebelah saya sebelum memandang minyak hitam itu.

Saya yang sedari tadi berdiam diri dan hanya mendengar bicara mereka, mengikut memandang suram minyak hitam itu.

Kini, minyak hitam itu menjadi titik pertemuan pandangan kami.

Minyak hitam itu masih mengalir keluar. Dan terus mengalir keluar.

Meninggalkan bahagian terpenting sebuah motorsikal bergelar enjin. Kerana hadirnya tiada manfaat melainkan mudarat. Yang akhirnya merosakkan fungsi enjin itu. Dan apalah nilai sebuah motorsikal dengan enjin yang rosak...

Dan begitulah jua...

Dengan hati manusia. Apalah nilai diri dengan hati yang telah rosak. Hati yang dipenuhi titik hitam yang kelam. Yang akhirnya membutakan mata hati. Dari membezakan yang murni dan yang keji. Yang realiti dan yang ilusi. Dari dosa dan pahala. Dari kaca dan permata.


Manusia, dua matanya itu memberi petunjuk. Kedua-dua telinganya itu corong. Lidahnya itu juru bahasa. Kedua tangannya itu sayap. Kedua kakinya pos. Dan hatinya itu raja. Apabila raja itu baik, baiklah tentera-tenteranya.

HR Ahmad

Hati itu empat macam. Hati yang bersih, padanya pelita yang bersinar gemilang. Maka itulah hati orang mukmin. Hati hitam terbalik, maka itulah hati orang kafir. Hati terbungkus yang terikat bungkusannya. Itulah hati orang munafik. Dan hati yang melintang, padanya keimanan dan kemunafikan

HR Ahmad dan Al-Tabrani

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! itulah dia hati.
HR Bukhari dan Muslim



Banyak yang boleh dipelajari. Banyak yang boleh dijadikan 'guru'. Walaupun hanya dengan merenung minyak hitam yang kelam...

Dan petang itu menjadi saksi muhasabah kami. Yang mengharapkan agar memiliki sekeping hati yang suci...


Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati ini. Teguhkanlah hati-hati ini pada agamaMu dan ketaatan kepadaMu....

Catatan biasa pada petang yang biasa-biasa...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, December 23, 2009

Bertapa Jangan Lama-lama...

"Lame bertapa...", tegur seorang sahabat.

Saya hanya tersengih.

'Tu lah, mase takde nak ade. Bile ade tak nak jage', rungut saya sendiri di dalam hati.

"Insya Allah nanti update la... Tapi... Ade ke yang bace?", saya bertanya padanya. Seakan-akan ingin membenarkan perlakuan diri.

"Abis, kalo takde tak payah update la? Ko menulis di blog ini untuk ape?", tanyanya semula. Membawa saya memikirkan kembali tujuan asal menulis di blog ini.

Dan saya tersengih lagi. Sendiri...

Kepada diri...

Mengingat kembali bahawa salah satu sebab yang membuat saya membuka dan menulis di blog ini adalah untuk melatih komitmen dan disiplin diri. Pada ruang yang ada dalam perlakuan memberi dan berkongsi.

"Huuuh...", saya mengeluh panjang. Menggeleng-geleng saya pada kealpaan sendiri.

Terima kasih buat sahabat yang sudi menjadi pengingat sepanjang perjalanan membaiki diri ini. Dalam sebuah ekspidisi menuju Ilahi.


Masih Menulis

Walaupun dalam tempoh 'pertapaan' yang panjang ini, saya masih lagi terus menulis. Akan tetapi semuanya sekadar tersimpan diam dalam simpanan. Sehingga ada yang melangkaui 'expired date' dan memerlukan penyuntingan sebelum ditempelkan di sini.

InsyaAllah, saya akan mula kembali berkongsi di sini.

Sesungguhnya istiqamah (atau pun istilah yang biasa digunakan di dalam buku teks sains iaitu konsisten) amatlah berat sekali.


“Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?”, tanya sahabat kepada baginda SAW. “Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…”, kata Baginda SAW dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.


Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati dihuni iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.

Sehingga Baginda SAW naik beruban kerana memikirkannya. Apatah lagi saya ini yang sekadar didiami oleh hati yang sering berbolak-balik...

Maka, RUKUN ISTIQAMAH lah yang perlu dijadikan pegangan. Tiada andaian-andaian yang dapat membantu seseorang itu untuk beristiqamah, melainkan harus patuh kepada rukun-rukunnya seperti yang disuluhkan Allah di dalam surah Hud.

Rukun Pertama : Jangan melampau dalam beragama
Rukun Kedua : Jangan cenderung kepada golongan yang zalim
Rukun Ketiga : Dirikan solat
Rukun Keempat : Bersabarlah

Ya, inilah yang perlu saya jaga dengan sebaik-baiknya...

Ya Allah...
Alangkah berat sungguh pengucapan istiqamah ini...
Semoga Kau memberikan aku kekuatan Ya Allah...


(112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

(113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

(114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

(115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Monday, December 21, 2009

Setelah Sekian Waktu...



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim...



"Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh."


Saya hidangkankan pada penulisan kali ini, dengan kata-kata hikmah yang sering disebut oleh Imam Hasan al-Banna tatkala memulakan ceramahnya. Sekadar peringatan agar 'adat' yang biasa dilakukan, dibuat dengan kesedaran hidup berTUHAN. Agar adat itu menjadi suatu ibadat. Manfaatnya berpanjangan hingga ke akhirat.

Kalimah biasa yang luar biasa.


Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa Barakatuh.

Kesejahteraan, rahmat dan keberkatan...

Doa kita pada insan...


Tanda kecintaan dan pengharapan...


Kecintaan pada yang SATU dan menyatukan...


Pengharapan pada sebuah keredhaan...

Manakan mungkin hanya sekadar adat...


Terhenti sekadar di kalimat...



Masa dan Peristiwa


Seiring dengan masa yang berlalu, banyak juga peristiwa yang berlaku, yang mana banyak juga kebaikannya yang dapat dikongsikan bersama. Agar dapat menjadi sebagai satu nilai tambah kepada diri kita, atau paling tidak sebagai pengingat yang berguna buat diri yang terlupa.




Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
Surah Az-Zariyaat (51) : 55


Namun, atas beberapa kekangan selain kekurangan komitmen diri, perkongsian di blog ini terhenti buat satu jarak masa yang terlalu panjang. Maafkan saya atas kelemahan ini.



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture