Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Monday, April 23, 2012

Kemaskini Blog Sebagai Ibadah...


Mengemaskini blog dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berguna boleh menjadi salah satu bentuk ibadah dan sumber pahala kepada sesiapa sahaja. Dan pastinya tertuju kepada sesiapa sahaja yang mempunyai blog. Namun, ada syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya diterima sebagai ibadah, antaranya niat yang betul kerana Allah s.w.t. dan isi yang ditulis mestilah benar  dan tidak menyebabkan permusuhan.

Ini adalah perkara asas yang saya rasa telah sedia diketahui umum.

Ironinya, ramai yang tidak mahu bergerak menuju ke arah menjadikan penulisan di blog dan mengemaskininya ini sebagai medan ibadah yang berpanjangan. Ini dapat dilihat dengan lambakan blog-blog yang lebih banyak menganjurkan pertelingkahan berbanding diisi dengan ayat-ayat dan kata-kata yang menyeru kepada penyatuan. Blog-blog yang tergendala berbulan-bulan malah bertahun-tahun lamanya tanpa dihiraukan lagi oleh pemiliknya. Malah, blog-blog yang menjadi medan "mempromosi" diri secara keterlaluan. Dengan gambar-gambar dan cerita-cerita diri  yang berbentuk aib yang sepatutnya disimpan dan dijaga dengan rapi.

Ya, memang benar kebenaran itu kadang-kalanya pahit. Tetapi kebenaran tidak pernah membenarkan ia dicemari dengan kata-kata cemuhan dan direndahkan dengan kata-kata yang memalukan. Merendah diri, lambang ketinggian budi. Merendahkan manusia, lambang kerendahan nilai jiwa.

Ya, memang benar mengemaskini blog bukanlah perkara yang mudah. Tetapi luangkanlah sedikit masa untuk meneliti ruangan komen dan membersihkannya dari komen-komen yang tidak sepatutnya mahupun yang bertaraf spam. Biarpun mungkin tiada lagi entri terbaru, untuk menutup blog yang ada mungkin bermaksud memadamkan segala kebaikan yang telah ditulis sebelum ini, menziarahinya masih lagi merupakan suatu kewajipan yang perlu dipikul selagi masih berkemampuan.

Ya, memang benar ada cerita-cerita tentang diri kita yang boleh dijadikan pengajaran buat orang lain. Tetapi membuka aib diri sendiri sedangkan ia telah ditutup oleh Allah s.w.t. bukan perkara yang elok untuk dilakukan. Begitu juga halnya dalam menjadikan blog sebagai tempat untuk meluahkan perasaan. Biarlah jangan sampai ia diluar kawalan. Kekal sedar dan kawalan diri yang baik adalah intipati penting dalam menghuraikan makna Taqwa. Maka, berpada-padalah dalam menceritakan hal diri sendiri dan meluahkan perasaan hati.


Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah bila seorang berbuat dosa di malam hari kemudian Allah telah menutupi dosanya, lalu dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. Allah telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga ia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup Allah dari dirinya.
(Shahih Muslim No.5306)


Penulisan kali ini bukanlah bersifat teguran, tetapi lebih mengarah kepada peringatan. Peringatan khusus buat diri saya sendiri yang telah lama tidak mengemaskini blog ini.

Dan ini hanyalah sekadar pandangan saya yang terbuka kepada tunjuk ajar dan teguran.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, September 26, 2011

Jangan Dah Kena Baru Nak Akui Hak-Nya


"BODAH!! BONGANG!! BABO!! "

"Kau ni apesal mencarut-carut ni Ijal? Daripada mencarut tak tentu hala tu, lebih baik kau beristighfar.."

"Huh! Hmmmph... Fuuuuhh... Astaghfirullah. Astaghfirullah."

"Ha.. Dah tenang sikit? Cuba cerita sikit dekat aku apa masalah kau Ijal."

"Kereta aku kene curi! Kereta aku kene curi, Arul!"

"Erk.. Innalillah. Bila?"

"Pagi tadi masa aku nak hantar anak-anak aku pergi sekolah, baru aku perasan kereta aku tu dah lesap. Sejak aku dah renovate rumah, tambah bahagian depan, dah takde tempat untuk aku letak kereta dalam rumah. Jadi aku letak kat luar pagar, betul-betul depan rumah. Aku dah kunci habis semua, tapi masih juga kene curi. Aku datang pejabat ni pun naik teksi. Geram betul aku!!"

"Ishk.. Kau dah buat laporan polis?"

"Belom lagi. Tu yang aku datang pejabat dulu ni. Nak minta kau tolong temankan aku. Tak pun tolong pinjamkan kereta kau sekejap. Lepas buat laporan aku ingat nak jalan-jalan dulu tengok-tengok, manalah tau dapat jumpa kereta aku."

"Takpela Ijal, biar aku temankan kau. Jap, kita bagitau bos dulu."

"Ishk... Aku dapat pencuri tu, memang aku kerat 10 dia!!"

"Marah betul kau ni Ijal."

"Memang marah!! Tu jela kereta yang aku ada, Arul. Sport rim baru je aku tukar Sabtu lepas, minyak baru je aku isi penuh. Tu la kereta yang aku guna untuk hantar anak-anak aku pergi sekolah, hantar orang rumah aku pergi kerja, aku pergi kerja, balik kampung. Dah macam nyawa kepada keluarga aku."

"Sampai nak kerat 10?"

"Comfirm! Kalau aku dapat, memang aku takkan lepas!"


*****

Dua Tahun Sebelumnya

"Aku rasa hukum hudud tak patut dilaksanakan. Tak sesuai dengan keadaan kita kat Malaysia ni. Sesiapa yang membangkitkan nak laksanakan hukum hudud ni hanya orang bodoh dan berfikiran sempit"

"Ishk. Kenapa pulak kau cakap macam tu Ijal?"

"Hudud ni kejam sangat. Kau tengok, mencuri je potong tangan. Kalau dah potong tangan, macam mana dia nak teruskan kehidupan? Sekarang realiti zaman dah berubah. Kita boleh cuba bagi dia kerja kalau dia mencuri sebab tidak bekerja. Penjara pun dah cukup untuk menyedarkan mereka ini."

"Tapi hudud ni ditentukan oleh Allah, sesuai untuk setiap zaman dan keadaan. Ia adalah hak Allah Ijal!"

"Tapi aku masih melihatnya sebagai kejam Arul! Kejam!"

"Ilmu Allah itu Maha Luas dan tidak terbatas Ijal, tak terjangkau oleh ilmu manusia."

"Tuhan juga yang bagi kita akal untuk kita gunakan. Kita boleh gunakan untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi bagi menyesuaikan hukumNya mengikut peredaran masa dan keadaan."

"Hudud ini adalah hak Allah! Dia yang tentukan, dan kita melaksanakan. Kitalah sepatutnya yang harus tunduk menyesuaikan masa dan keadaan mengikut hukum Allah. Bukan sebaliknya Ijal!"

"Kau jangan nak mempersoalkan kepercayaan aku Arul! Kau cuba tengok, negara kita negara berbilang bangsa dan agama. Bukan hanya Islam sahaja yang tinggal kat negara kita. Melaksanakan hukum ini hanya akan menghuru-harakan negara kita! Agama lain takkan dapat terima Arul!"

"Kenapa pula nak huru-hara? Hudud ini adalah untuk menjaga keamanan seluruh manusia daripada kezaliman manusia yang lain. Kita boleh fahamkan agama lain. Namun, kita umat Islam perlu terlebih dahulu yakin dan percaya dengan hukum Allah ini sebelum dapat mempercayakan orang lain!"

"Kau ekstrimis agama Arul! Ekstrimis yang tak pernah terbuka kepada pendapat orang lain. Negara kita akan berpecah-belah kerana ekstrimis agama yang macam ini!"


*****

Selepas Membuat Laporan Polis

"Kau dah berubah Ijal?"

"Berubah? Berubah apa Arul?"

"Kau dah menyokong hudud sekarang ni."

"...."

"Tak kesian ke kat pencuri kereta kau?"

".... Bukan aku tak kesian tapi..."

"Tapi geram? Marah? Kau terasa dizalimi, bukan?

"...."

"Hudud tidaklah sampai kerat 10. Hanya kerat sebelah pergelangan tangan. Itu pun dengan syarat yang ketat, teliti dan rapi. Bukan untuk menyeksa tetapi untuk menegakkan keadilan buat masyarakat disamping mendidik pencuri dan seluruh manusia lain agar jangan terjebak dengan kecurian".

"...."

"Hudud juga membantu orang yang dizalimi agar tidak pula menzalimi. Mungkin yang dizalimi itu tidaklah akan pergi melakukan kezaliman mencuri, tetapi hukum Allah, hudud melindungi yang dizalimi itu daripada melakukan kezaliman mengerat 10!"

*****

Setelah terkena batang hidung sendiri, barulah ramai manusia yang sedar betapa relevannya hukum Allah.

Janganlah apabila hak Allah dicabar kita hanya diam. Tetapi apabila hak kita sendiri tercabar, barulah kita marah. Jangan hanya apabila kita atau keluarga kita menjadi mangsa curi, rompak ragut, zina dan rogol... barulah kita menyokong hukum Allah!

Janganlah sesudah tersungkur baru kita mahu akur.

Inspirasi daripada buku "Beduk Diketuk" Bab Sudah Tersungkur Baru Akur tulisan Pahrol Muhamad Juoi.

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih
.

Thursday, July 9, 2009

PPSMI Wajah Yang Tidak Akan Dilupa

PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.




Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar semula dalam bahasa Malaysia. Akhirnya, setelah 6 tahun...

Ini adalah satu kemenangan untuk rakyat dengan PPSMI dimansuhkan. Gerakan Mansuhkan PPSMI sama ada secara individu ataupun secara berkumpulan akhirnya mencapai objektif utamanya. Mungkin isu yang berbangkit yang tinggal kini adalah tempoh perlaksanaannya, namun secara kasarnya ia adalah satu keuntungan yang besar buat rakyat Malaysia.

Alhamdulillah...


Kemerosotan pencapaian yang baru diberitakan kini adalah akibat dari kedegilan pihak kerajaan untuk akur kepada suara pelbagai pihak termasuk dari kalangan para pendidik, ahli akademik , ibu bapa dan ahli agama. Dengan pelbagai pendirian dan kajian yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak yang jelas menunjukkan pelajar luar bandar akan terjejas dan pencapaian keseluruhannya akan merosot, baru kini kerajaan akhirnya mengaku.

Yang lucunya, media-media massa kerajaan yang sebelum ini begitu kental menyokong padu perlaksanaan PPSMI, kini sibuk pula menyokong padu permansuhannya. Sebelum ini semua yang baik-baik sahaja didengari tentang PPSMI, kini segala fakta yang tidak pernah pun didengari sebelum ini dikongsikan. Kelemahannya, kegagalannya dan lain-lain hal lagi dibuka kini (namun, itu belum kesemuanya lagi). Dan mengangkat keputusan kerajaan sebagai mendahulukan rakyat dan bukan kerana tekanan dari mana-mana pihak. Sesuai dengan tarafnya sebagai alat kerajaan. Tiada pendirian.

Perjuangan daripada pelbagai pihak yang menentang keras perlaksanaan PPSMI ini dibakul sampahkan. Semuanya dikatakan bahawa kerajaan membuat keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan. Masih dengan egonya...

Sungguh meloyakan...

Amat tidak adil sekiranya saya memukul sama rata kepada semua tenaga kerja di media massa-media massa ini... Masih ada juga antara mereka yang mempunyai pendirian teguh, namun keadaannya seperti diikat tangan dan kaki.

Sungguh malang... Malaysia perlukan kebebasan media. Dan, ini merangkumi perbincangan yang lain...

Baiklah, saya sebagai rakyat Malaysia bersyukur pada Tuhan atas keputusan ini. Mahu saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, namun jika difikirkan balik ia adalah untuk apa. Keputusan ini sebenarnya bukan dari mereka. Malah mereka telah tidak berlaku adil kepada ramai pihak sebelum ini. Tidak layak rasanya ucapan ini untuk mereka. Mereka hanya mengembalikan hak rayat yang pada tempatnya. Dan itu sememangnya tanggungjawab mereka.

Maka, ucapan terima kasih saya ini seharusnya ditujukan kepada mereka yang telah menzahirkan perjuangan mereka menentang PPSMI ini...


Sekarang, tumpuan perlu dialihkan untuk memartabatkan dan memurnikan pendidikan Malaysia. Membantu dalam meningkatkatkan kualiti pendidikan Malaysia. Janganlah hanya menjadi pembantah sahaja tanpa menyumbangkan sesuatu yang bermakna untuk anak bangsa. Sebagaimana kita lantang mengkritik, kita juga perlulah sedia untuk mendidik.

Sekarang menunggu pula keputusan kementerian terhadap cadangan supaya bahasa Inggeris menjadi syarat wajib lulus untuk SPM. Walaupun saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan kebanyakan terhadap perkara ini dan lebih memihak kerajaan, namun ada syaratnya.

Namun, ia masih dalam lingkungan pandangan dari seorang yang bukan ahlinya...

Harapan agar kerajaan menimbangkan dengan sewajarnya perkara ini pula.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 25, 2009

Makanan Semenanjung Menjadi Pilihan

"Sekarang ni ade lima program. Enta nak pergi yang mana satu?" tanya Hafiz kepada saya. Masuk kali ini dah sepuluh kali dia bertanyakan soalan yang sama kepada saya.


Saya terdiam seketika...

  1. Kem Ramaja Islam di Pitas
  2. Kem Ramaja Islam Politeknik di Tuaran
  3. Kem Kepimpinan di Sekolah Menengah Agama Tun Said.
  4. Kem Pemantapan Aqidah di Sekolah Menengah Bongawan.
  5. Festival Makanan Semenanjung di Surau Astral.

'Mana ruang yang tenaga aku dapat digunakan sepenuhnya?' hati saya berbisik.

............


Setelah puas membuat pertimbangan, akhirnya saya memilih untuk membantu Festival Makanan Semenanjung. Walaupun keputusan ini mungkin mengundang berbagai perspektif, namun hati saya senang dengan pilihan ini.

Hasan bin Ali melaporkan, katanya, "Saya hafal suatu ucapan Nabi Muhammad: 'Jauhi apa-apa yang meragukan saudara. Beralihlah kepada apa yang tidak meragukan saudara.'"
HR Tarmizi


"Ana ikut Festival Makanan Semenanjung lah" saya memberikan jawapan.

Yakin.

Pertimbangan ini termasuklah pandangan yang mungkin akan saya terima dari sahabat-sahabat yang telah saya berikan persetujuan untuk bersama-sama mereka ke Kem Remaja Islam di Pitas. Adakah mereka akan marah? Adakah mereka akan bersangka buruk?

Akhirnya, saya sedar bahawa saya terlalu bersangka buruk dengan mereka. Astaghfirullah.

'Masakan mereka tidak akan memahami' detik hati saya. Lalu saya membuang jauh prasangka diri dan berkeyakinan bahawa mereka pasti akan memahami. Hanya ucapan maaf sahaja yang mampu diucapkan sewaktu memberitahu salah seorang sahabat tersebut bahawa saya telah membuat keputusan untuk ke Festival Makanan Semenanjung. Dan memang benar, tiada masam muka darinya malah mendoakan saya dan minta didoakan agar dipermudah segala urusan.

Lega...

Dan saya fokus untuk membantu Festival Makanan Semenanjung. Bersedia untuk dikerahkan segala tenaga. Tidak mahu kejadian lalu berulang semula.

Banyak juga kerja luar duga dan luar biasa yang saya diminta untuk melakukannya.

Alhamdulillah... Kerana telah bersedia, tiada masalah besar yang saya rasakan.

- Sumber : Abu Nuha Corner

Pernah pada suatu masa yang telah lalu, saya diminta untuk menjadi fasilitator dalam satu program perkhemahan. Pada masa yang sama, saya berhadapan dengan masalah yang benar-benar mematikan semangat saya.

Jika ditimbang semula, saya harusnya menolak permintaan tersebut untuk mengelakkan masalah saya itu mempengaruhi pembawaan saya semasa program. Namun, atas sebab ingin menolong sahabat, saya menerima juga permintaan tersebut.

Hasilnya, saya kerap 'lari' sepanjang program berlangsung. Dan sebagai senior, tiada yang sudi menegur. Saya kurang meluangkan masa untuk bersama-sama dengan para peserta, mengenali dan membantu AJK program serta dan tidak menyampaikan dengan baik kehendak penganjur kepada peserta.

Dan..

Sehingga kini saya akan merasa bersalah apabila terkenangkan kembali peristiwa tersebut.

Bersalah terhadap penganjur.

Bersalah terhadap peserta.

Yang lebih utama, bersalah terhadap Allah.

Semoga Allah dan yang lain sedia memaafkan saya.

Atas sebab ini, setiap kali menerima pelawaan program, saya akan bertanyakan kepada diri sendiri terlebih dahulu.

'Adakah tenaga aku dapat digunakan sepenuhnya?'. 'Adakah aku dapat memberikan komitmen?'. 'Apa yang perlu aku lakukan kalau aku pergi nanti?'. 'Adakah aku mampu melakukannya?'. 'Apa yang mengganggu aku sekarang, dan adakah akan mempengaruhi aku nanti?'. 'Bagaimana untuk aku mengatasinya?'.

Dan pertanyaan akhir yang biasa saya tanyakan pada diri adalah 'Adakah aku perlu menerima atau menolaknya?'.

Agar nanti, saya bersedia untuk memberi. Memberi yang terbaik mengikut kemampuan diri. Memberi dengan hati yang mangingati Ilahi. Bukan dengan hati yang mati.

Hati yang tiada perasaan, tiada harapan.

Saya bukanlah motivator atau fasilitator terlatih. Dan saya menyedari kekurangan ini. Setiap program yang saya pergi bukan tempat untuk bereksperimentasi tetapi adalah tempat untuk mengimplementasi.


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya..."
Surah An-Nisa' (4) : 58

'Jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua'.

Namun bagi saya, tidak dalam mendidik. Sama ada semua atau tiada...

Untuk perkara ini, saya bersedia mendengar pendapat yang berlainan mahupun nasihat.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 18, 2009

Saya Tidak Bersetuju...

Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan bahawa mulai tahun depan, semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, dengan mengekalkan enam subjek teras sedia ada.

Bagaimanapun, katanya lagi, hanya calon aliran sains agama diberi pengecualian untuk mengambil 11 subjek tahun depan sebelum turut diwajibkan mengambil maksimum 10 subjek bagi sesi SPM 2011.

Saya yang berlatar belakangkan sekolah agama tentu sahaja menyatakan penentangan saya terhadap keputusan ini. Sebagai pelajar sekolah agama pada aliran sains agama, subjek minima yang diambil oleh setiap mereka adalah 11 subjek. Ia merangkumi :

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahsa Inggeris
  3. Sejarah
  4. Matematik Moden
  5. Matematik Tambahan
  6. Kimia
  7. Biologi
  8. Fizik
  9. Bahasa Arab Tinggi
  10. Syariah Islamiah
  11. Al-Quran dan As-Sunnah

Andainya saya berada dalam keadaan untuk memilih subjek mana yang akan digugurkan atau diganti, nescaya saya berada dalam dilema di mana sukar bagi saya untuk memilihnya. Hal ini kerana semua subjek ini sangat memberi implikasi kepada diri saya kini.

Sebab-sebab yang diberikan oleh kerajaan kurang memuaskan fikiran saya.

Saya telah meneroka beberapa penulisan yang menyokong keputusan ini. Antaranya, ada yang sehingga mengatakan : "Daripada 9 subjek yang dipelajari, hanya 4 sahaja yang digunakan pada masa kini... Rasa menyesal pula ambil banyak. Buat buruk slip keputusan".

Ini bukanlah masalah pada bilangan subjek itu, tetapi adalah berpunca daripada kecilnya skop pandangan orang yang mengatakan sebegini tentang kepentingan ilmu dan pengaplikasiannya. Tidak tahulah siapa yang telah beliau temui sepanjang perjalanan hidupnya sehingga mencorak pemikiran yang dangkal sebegini.

Bagi mereka yang menganggap pelajaran yang pernah mereka belajar dahulu tidak menyumbang apa-apa pada kehidupan hari ini, bermakna mereka telah mensia-sialan kehidupan mereka yang dahulu itu. Tidak ada balasan yang baik bagi perkara yang sia-sia. Dan saya tumpang simpati pada kehidupan yang sedemikian.

Tiada ilmu yang sia-sia. Sebagai contoh, sehingga kini, saya merasakan mata pelajaran pendidikan seni yang saya pelajari dahulu banyak membantu kehidupan saya ini. Tidak perlu rasanya saya terangkan dengan lebih lanjut kerana umu dapat memikirkannya.

Saya yang kini mengambil jurusan Bioteknologi, sangat menginginkan peluang untuk menimba ilmu pada yang berkaitan dengan As-Sunnah, motivasi, perundangan dan pendidikan yang boleh dilihat tiada perkaitan dengan aliran jurusan saya.

Malah timbul pula penyesalan kerana tidak mengambil subjek perakaunan dan sastera melayu sewaktu di sekolah menengah dahulu.



"Alangkah malangnya pelajar di Malaysia, dalam keadaan masyarakat dunia yang sedang berkembang di era globalisasi ini, sebaliknya pelajar Malaysia telah di sekat dari menguasai kepelbagaian cabang ilmu, ini sangat merugikan negara dan umat. Maka akan berlakulah pemisahan ilmu, yang mana pada 50 tahun dari sekarang, kita akan menyaksikan lahirnya golongan-golongan intelektual yang buta tentang kensep 'Kesepaduan Ilmu'."


Saya sangat-sangat menyokong kenyataan ini...

Masyarakat yang ingin dilahirkan kini adalah masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan. Yang mana penguasaan hanya dalam satu-satu bidang tertentu, tentu sahaja tidak dapat mengeyangkan mereka ini. Masyarakat yang gian dan ketagih terhadap berbagai lapangan ilmu pengetahuan. Dan keinginan ini sepatutnya bermula dari pendidikan di peringkat menengah lagi.

Selain itu, sebab yang dijadikan hujah bagi menegakkan lagi keputusan ini adalah supaya tidak hanya melahirkan pelajar-pelajar yang 'exam-oriented' sahaja. Pada saya, yang melahirkan pelajar-pelajar sebegini berpunca dari pandangan masyarakat, keluarga selain sstem pengajaran guru-guru yang hanya melihat dan menekankan aspek persoalan gred sahaja.

Bilangan subjek yang diambil, tidak menjadi faktor signifikan pada masalah ini. Berapalah bilangan pelajar yang mengambil lebih sepuluh subjek berbanding yang mengambil kurang daripada 10 subjek sebelum ini. Dan masalah ini telahpun wujud sebelum ini, merangkumi juga pelajar yang mengambil kurang daripada 10 subjek. Sekali lagi menjadi bukti bahawa bilangan subjek bukanlah penyumbang besar pada masalah pelajar 'exam-oriented' ini.

Banyak lagi penyanggahan sebab-sebab bagi perkara ini yang ingin saya nukilkan. Namun, ia telah banyak diterangkan oleh mereka yang lebih baik menghurai dan mereka yang lebih tahu dan ahli dalam bidang pendidikan ini. Maka, pendirian dan hujah saya lebih kurang sama dengan mereka ini.

Saya rasakan bahawa keputusan ini adalah suatu tindakan yang tergesa-gesa dan tidak diperhalusi dengan sebaiknya. Dan dengan isu PPSMI yang masih belum reda, saya rasakan ini adalah suatu tindakan perendahan nilai pendidikan di Malaysia.

Saya berasa kesal, dalam keadaan kegawatan syakhsiah dan sosial yang melanda remaja masa kini, bilangan subjek yang menjadi perhatian dan fokus perbincangan.


"Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Surah Al-Mujaadilah (58) : 11


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 11, 2009

Sportingnya Bapa Membawa ke Neraka!

Terkedu saya tatkala mendengar perbualan antara ayah dan anak lelakinya di kaca televisyen. Betulkah ada bapa yang akan berkata sedemikian kepada anaknya? Apabila berfikir kembali, di zaman ini, mungkin ada...

Namun persoalan yang lebih membingungkan adalah, sepatutnyakah seorang bapa berkata sedemikian kepada anak lelakinya?


Kedua-duanya Islam... Buktinya, terdapat scene di mana mereka membaca do'a sebelum makan. Bismillah kata mereka.

Perbualan mereka itu benar-benar memeranjatkan. Perbualan yang terakam dalam sebuah rancangan drama bersiri.

Ayah Naruto pun tidak pernah berkata demikian...


Rancangan yang semakin diminati ramai (kot) ini, mengisahkan seorang belia lelaki yang terlibat dalam kemalangan yang sepatutnya meragut nyawanya. Namun, ayahnya yang juga merupakan seorang saintis terkenal, berjaya menyelamatkannya dengan teknologi dan mesin yang ditanam ditubuhnya. Hasil kajian dan penyelidikan ayah itu. Dan bermula dari tempoh itu, belia tersebut mempunyai tenaga luar biasa. Ala-ala Superman...

~ foto by alifstyle


Belia itu bakal melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej tempatan.

Dan disinilah berlakunya scene yang betul-betul memualkan itu. Di mana ayah itu mengambil hati anak lelakinya, yang baru reda dari rajuk, dengan mengajak anaknya untuk pergi shopping membeli baju. Belia tersebut dilihat rasional menolak ajakan ayahnya itu. Tolakan itu kerana bajunya telah banyak...

Ayahnya tetap mengajak. Katanya sebagai hadiah masuk ke kolej. Mungkin juga untuk menunjukkan bahawa dirinya sporting dan tidak berkira dengan anaknya.

Dan disinilah perkataan yang jahil terpacul dari mulut seorang ayah itu.

Baju itu sebagai hadiah masuk ke kolej. Boleh digunakan untuk bergaya. Untuk bergaya kerana..

"College's chicks are hot", kata ayah itu dengan senyuman sang buaya.

Dan belia itu tersenyum...

Dan saya menggelengkan kepala...

Kelucahan apakah ini?



"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Surah At-Tahrim (66) : 6



Saya hanya mampu berdo'a kepada Tuhan.


"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
Surah Al-Furqaan (25) : 74



Saya cuba melihat dengan pandangan da'ie, dengan melihat mereka sebagai pandangan mad'u. Kerana saya sedar bahawa saya pendakwah, bukan penghukum. Mungkin ini adalah cerminan bagi masyarakat kini yang memerlukan bimbingan dan nasihat.

Marah di kerusi sahaja tidak berguna jika tidak turun ke padang.

Betapa saya tersedar bahawa saya perlu lebih giat dalam lapangan ini...

"Ya Arif, BERTINDAK!"


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture