Alhamdulillah... Pada 8 dan 9 Januari 2011 yang telah lalu, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) telah berjaya mengadakan Program Qiamullail. Memang agak terlambat saya kongsikan cerita ini. Tetapi tidak mengapalah, sebab ia hanya sekadar sebuah perkongsian.
Program yang dilakukan di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini mendapat penyertaan lebih kurang 50 orang ahli PSS dan KRU sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.
Selain melaksanakan Qiamullail, objektif utama program ini adalah pada menimbulkan keyakinan diri dan menetapkan pemikiran dikalangan ahli-ahli PSS dan KRU untuk sentiasa bersedia apabila diminta untuk melaksanakan pengucapan awam (seperti berceramah, forum, kuliah dll). Makanya, sebahagian besar slot-slot yang mengisi program ini, bertujuan bagi memenuhi objektif ini. Dan semoga objektif ini dapat sampai kepada semua peserta dan akan dapat menjadi nilai tambah kepada semua yang hadir.
Disamping itu, fokus juga diberikan pada membuang perasaan 'malu yang tidak bertempat' yang begitu menyesakkan dan dilihat sebagai penghalang utama dikalangan ahli-ahli PSS dan KRU untuk tampil ke hadapan.
Menyesakkan?
Ya, sangat menyesakkan.
Kekalkan Malu, Hapuskan Segan
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" [Al-Tin 95: 4]
Allah telah membuat sebuah kenyataan bahawa manusia, iaitu kita, telah diciptakan dalam sebaik-baik bentuk dan kejadian. Ya, dalam bentuk yang sebaik-baiknya untuk kita melaksanakan peranan kita di dunia ini. Pada pengabdian diri kepada Allah dan khalifah di muka Bumi.
Maka, ini sepatutnya ini menjadi teras keyakinan diri yang perlu ada pada kita, manusia yang mengaku membaca dan meyakini Al-Quran.
Apa yang perlu dibuang itu adalah ‘rasa segan’ dan bukannya malu. Segan itu adalah (khajal) yang dibahasakan kita sebagai ‘malu tak bertempat’. Segan nak bertanya, segan nak cakap depan orang ramai, segan nak berusaha gigih, segan, segan dan segan. Sifat ini mesti dibuang dari lelaki dan perempuan agar kita semua tidak terkandas di dalam melaksanakan tugas masing-masing.
Malu itu, batas-batas iman yang menjaga diri dari larangan Allah. Segan itu pula, batas-batas diri yang tidak sekadar mengawal diri dari terjebak ke larangan Allah, tetapi hingga tidak ke depan menunaikan perintah Allah…
Perempuan yang ada malu akan menutup aurat, berbudi bahasa dan sopan tetapi berani ke depan, bertutur kata, memberikan pandangan dan berperanan. Perempuan yang penyegan, mungkin menutup aurat atau tidak, tetapi yang pastinya, dia itu tidak berani menonjolkan diri.
Begitu juga bagi lelaki.
Inilah pembeza di antara HAYAA’ (malu) dan KHAJAL (segan).
Maka, harapan untuk melihat kader-kader PSS dan KRU yang mampu ke hadapan, bergerak dan menggerakkan PSS dan KRU dalam menyampaikan Islam dan juga cemerlang dalam pelajaran amatlah besar.
Semoga ia akan menjadi kenyataan.
Dan semoga Allah akan sentiasa membantu saya, kamu, kita...
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.