Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Wednesday, March 16, 2011

Jangan Bawa Pinjamanmu Ke Neraka...



"Lan, pinjam motor jap. Nak pergi beli sabun la", pohon Man.

"Bah, pinjamlah... Tapi tangki minyak bagi penuh ya. Ada separuh jak lagi tuh", balas Lan sambil matanya terus tertancap pada skrin komputer riba miliknya itu.

"Bah", balas Man sambil segera mengambil kunci motor Lan yang tersangkut di balik pintu.

Berhati-hati!! Mungkin ini perbualan biasa, tetapi ketahuilah. Riba sedang berlaku di sini!

Sebarang manfaat atau nilai tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman asal yang disyaratkan pada awal kontrak pinjaman yang dikenakan oleh pemberi pinjam dikenali sebagai Riba al-Qardh.

Dan ia adalah riba yang amat popular dikalangan masyarakat kita pada hari ini. Sama ada secara sedar atau pun tidak.

Apabila memberi pinjam, janganlah kamu mengambil sebarang hadiah.
HR al-Bukhari

Al-Syawkani berkata:
Apabila pertambahan itu disyaratkan di dalam kontrak, maka jatuhlah hukum haram secara sepakat.
Naylul Awtar, al-Syawkani, 5/262

Ibn Muzir pula berkata:

Telah ijmak bahawa apabila pemberi pinjaman meletakkan syarat ke atas peminjam sebarang tambahan atau hadiah, maka pinjaman diberikan sebarang tambahan yang diambil adalah riba
al-Mughni, 4/318

Riba al-Qardh ini dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk, antaranya :

1) Manfaat berbalas manfaat yang lebih

Contohnya adalah seperti perbualan yang berlaku di atas. Yang mana Lan memberi pinjam motornya kepada Man dengan syarat Man perlu memulangkan motornya itu dengan tangki minyak yang penuh. Sedangkan ketika itu, tangki minyak itu berbaki separuh sahaja.

Jalan keluar yang mudah adalah dengan menggunakan kontrak sewa. Lan hanya perlu menyewakan kepada Man motornya itu dengan nilai setangki penuh minyak.

2) Duit berbalas duit yang lebih banyak

Bagi bentuk ini, keadaaan lebih jelas. sebagai contoh, Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan mahukan pulangan sebanyak RM 12 dalam masa seminggu.


3) Duit berbalas duit berserta sesuatu manfaat

Manfaat yang diterima bagi bentuk ini lebih terselindung kerana ia dapat berselindung disebalik kontrak yang lain.

Sebagai contoh, Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan Man mahukan pulangan sebanyak RM 10 dan turut membantunya menyusun kerusi-kerusi di pejabat. Bayaran balik pinjaman masih sama tetapi dikenakan manfaat berupa bantuan semasa pinjaman dilakukan.

Atau contoh yang lain, Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan Man mahukan pulangan sebanyak RM 10 dan mahu supaya Lan membeli sekeping penanda buku yang dijualnya atau menyewa sebuah buku darinya.

Bantuan, jualan serta sewaan yang dikenakan semasa pemberian pinjaman, menyebabkan riba berlaku. Ia diharamkan kerana ia adalah satu tindakan menindas iaitu mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain. Walaupun secara zahirnya tiada sebarang tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan.

"Tidak halal jualan beserta pinjaman bertangguh"
HR al-Tirmizi

Imam Ahmad menerangkan maksud hadis ini dengan menyatakan sebagai seseorang yang memberi pinjam kemudian menjual sesuatu kepada peminjam dan mengambil keuntungan daripadanya.

4) Hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak

Contohnya mudah. Man meminjamkan RM 10 kepada Lan dan Man mahukan hadiah sebanyak RM 12 pada hari jadinya. Keadaan ini tetap termasuk dalam riba al-Qardh ini walaupun menggunakan lafaz hadiah.

5) Hadiah bersyarat hadiah

Contoh bagi bentuk ini adalah misalnya pengantin lelaki dan perempuan bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir dengan 3 dulang hantaran bernilai RM 1000 manakala pihak perempuan pula dengan balasan 5 dulang yang bernilai RM 1200.

Syubhah riba al-Qardh masih berlaku sekiranya kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga RM 1000 berbalas RM 1200.

Namun, sekiranya kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga, hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, maka ia adalah harus. Yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.

Redha dan Rela

"Ustaz, saya nak tanya. Bagaimanakah sekiranya peminjam itu redha dengan syarat tambahan yang dikenakan oleh pemberi pinjam itu? Dia merasakan manfaat tambahan tersebut tidak membebankannya. Contohnya pengantin lelaki dan perempuan telah bersetuju dengan nilai harga hantaran RM 1000 berbalas RM 1200. Pihak perempuan rela malah tidak merasa terbeban atau tertindas dengan persetujuan tersebut. Tidak bolehkah alasan redha atau rela itu diambil kira?", tanya Man dengan seribu kerut di dahinya. Tangan kanannya sesekali menggaru-garu hidungnya yang tidak terasa gatal.

Ustaz Wan tersenyum mendengar persoalan Man itu. "Man... Adakah zina akan menjadi halal sekiranya kedua-dua pasangan tersebut telah redha dan rela?", lembut Ustaz Wan menyambut pertanyaan Man itu dengan sebuah pertanyaan yang lain. Pertanyaan yang membuatkan Man berfikir sendiri.

Tanpa Man menjawab, Ustaz Wan menyambung, "Tidak bukan... Hal ini adalah kerana riba merupakan satu bentuk dosa yang tergolong dalam hak Allah semata-mata yang wajib kita hindari. Seperti juga zina mahupun menutup aurat. Lalu, apakah pantas kita sebagai hambanya meminda-minda hak Allah ini atas alasan redha dan rela?".

Kerut di dahi Man kian menghilang. Dia mula faham dengan apa yang diterangkan oleh Ustaz Wan.

Dan dengan sekuntum senyuman dan nada yang sopan, Ustaz Wan menyudahkan bicaranya dengan sebuah pesanan, "Ingatlah Man, larangan riba ini adalah hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia untuk menilai siapa antara mereka yang taat dan patuh kepadaNya".


Inisiatif

"Bang, bagaimana pula keadaannya kalau saya sendiri yang mahu menambah manfaat atas pinjaman saya itu. Contohnya, saya dah pinjam motor Lan, tapi saya nak pulangkan dengan minyak yang penuh walaupun Lan tidak suruh", soal Man kepada Abang Fan, teman serumahnya. Mata Man tajam memerhatikan 'sesuatu' dihadapan Abang Fan.

"Kalau Lan tidak menetapkan syarat tersebut semasa dia bagi kamu pinjamkan motornya, maka tiada masalah. Malah perbuatan kamu itu adalah perbuatan yang terpuji dalam Islam", jawab Abang Fan tenang.

Kedudukan Abang Fan bagaikan seorang yang sedang bertapa. Duduk bersila dengan mata yang terpejam dan dengan tangan diletakkan pada lututnya sambil erat digenggam. Di hadapannya, ada 'sesuatu' yang sedari tadi diperhatikan oleh Man yang bermata tajam.

"Pulangan wang mahupun manfaat dengan nilai tambahan tanpa sebarang syarat mahupun paksaan ketika pinjaman atau sepanjang tempoh pinjaman dibuat, maka ia adalah halal", sambung Abang Fan lagi.

"Ooo... Maknanya kalau kita bayar balik duit yang kita pinjam dengan nilai yang lebih ataupun kita sertakan hadiah sebagai tanda penghargaan kerana menolong kita di waktu susah, maka tidak mengapalah, kan? Atau pun contoh lain pulangkan motor dengan minyak penuh, siap basuh lagi, maka ia digalakkan lagilah, ya?", soal Man lagi. Matanya masih tidak teralih dari memerhatikan 'sesuatu' di hadapan Abang Fan.

"Ya. Nabi Muhammad saw sendiri menunjukkan contoh yang mulia ini. Yang mana Nabi Muhammad saw pernah meminta sahabat pergi membelikan seekor unta yang lebih baik daripada apa yang dipinjam dan digunakan oleh Baginda, lalu Baginda berkata : 'Sebaik-baik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik'. Kisah ini diriwayatkan oleh imam al-Bukhari", jawab Abang dengan panjang lebar.

Man hanya menyambutnya dengan mengangguk-angguk berulang kali. Sambil matanya tetap tertumpu pada sepinggan donut yang tidak terusik di hadapan Abang Fan itu.

Kenalilah dan Jauhilah

Sifirnya mudah, setiap tambahan manfaat material terhadap pinjaman yang dikenakan adalah haram.

Maka, kenalilah dan jauhilah riba ini dan semua jenis riba yang lain.



Untuk penulisan ini, saya merujuk kepada buku 'Riba dan Isu Kewangan Semasa' tulisan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman, terbitan Telaga Biru.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture