Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Friday, March 4, 2011

Hanya Bahasa Pena...


"Orang rumah tahu la saya keluar. Tapi... Dia tak tahu la saya pergi tempat macam ni", kata seotang lelaki pertengahan usia yang dikaburkan wajahnya.

Rancangan 360 pada Rabu malam yang lalu mendedahkan tentang tinjauan krew mereka terhadap pengunjung-pengunjung pusat hiburan. Bukan sahaja meninjau, malah wawancara turut dijalankan terhadap beberapa orang 'kaki' pusat hiburan ini.

Dan ia mendedahkan sebuah hakikat yang menakutkan.

Bagaimana yang muda dengan 'clubbing'nya dan yang tua dengan dangdutnya pula. Atas tujuan untuk bergembira dan melepaskan tekanan. Hingga ada yang mengatakan, "Bangga ar kot pergi kelab".

Pada rancangan ini ada dipaparkan pengakuan daripada beberapa remaja berusia 17 tahun yang menjadi pengunjung tetap bagi kelab-kelab malam di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ini. Dengan tanpa rasa segan dan silu... Ada yang mengaku keluar dengan cara menipu ibu dan ayah dengan mengatakan bahawa dia pergi ke tuisyen ataupun tidur di rumah kawan untuk belajar. Bahkan seorang remaja perempuan mengatakan bahawa dia akan terasa menggulupur andai telah lama tidak turun 'clubbing' bersama-sama rakan-rakan yang lain.

Bagi yang sedikit berusia pula, mereka memilih untuk ke kelab-kelab dangdut yang menyediakan perkhidmatan GRO sebagai 'peneman' gembira mereka. Dan demi kegembiraan yang ini, ada yang sanggup menghabiskan kira-kira RM2000-RM3000 sebulan.

Bahkan ada di antara mereka ini yang telah mempunyai isteri yang menunggu di rumah!

Allah..

Sedih

Ada perasaan sedih sewaktu menyaksikan rancangan ini. Sedih melihat remaja yang tersasar sewaktu mencari identiti diri. Sedih melihat remaja-remaja perempuan yang telah hilang malunya. Sedih melihat remaja-remaja lelaki yang telah hilang kewarasannya. Sedih melihat lelaki-lelaki tua yang masih manjadikan nafsu sebagai penemannya.

Malah, sedih mengetahui bahawa sebahagian mereka ini adalah beragama Islam. Mereka yang pernah mengucapkan kalimah Syahadah dengan lidah mereka. Dan dengan lidah yang sama meneguk minuman keras dan mengeluarkan kata-kata yang seakan-akan menafikan Syahadah yang diucapkan.

Saya cuba bersangka baik dengan menganggap bahawa perkara ini berlaku mungkin kerana pemahaman sebenar tentang Islam belum sampai kepada mereka. Dan dengan itu, saya cuba melihat mereka ini sebagai sasaran dakwah. Sebagai sahabat, adik-adik, abang-abang, kakak-kakak dan saudara-saudara yang perlu didekati. Saya cuba mencari-cari jalan bagaimana seruan dakwah dapat dilakukan untuk sampai kepada mereka ini.

Dalam rasa sedih ini, saya cuba bersikap optimis.

Optimis bahawa mereka ini masih mempunyai hati yang lembut untuk menerima pancaran cahaya hidayah Allah dan juga usia untuk meneguh kembali tembok keyakinan yang pernah punah.

Marah

Namun di dalam hati, saya turut merasakan satu lagi perasaan yang amat berbeza dengan perasaan yang tadi.

Saya berasa amat marah dan tidak dapat menerima perbuatan mereka ini. Akal saya mengatakan mustahil dalam dunia yang serba mudah dan canggih ini, pemahaman Islam tidak dapat sampai kepada mereka. Berterabur masjid dan surau untuk dihadiri. Berlambak kini di televisyen, internet, radio dan media cetak di Malaysia yang mendidik dan memberikan pemahaman tentang Islam.

MUSTAHIL!!!

Hakikatnya, semua ini dengan mudahnya dipinggirkan hanya dengan alasan tidak menarik, bosan, hambar, ekstrim, pesimis dan lain-lain kata lagi. Begitu mudah sekali diketepikan sedangkan saya yakin, mereka yang bekerja dalam usaha menyampaikan Islam ini sentiasa mengkaji dan mencuba kaedah terbaru yang dirasakan terbaik, berhikmah dan sesuai dengan peralihan masa.

Pada saya, kata-kata tersebut hanyalah alasan untuk membenarkan diri mereka sahaja.

Terlintas di dalam hati kerana perasaan marah ini untuk membiarkan sahaja mereka ini mati dalam kekufuran mereka sendiri! Dengan memulangkan kembali kata-kata yang mereka sendiri sering gunakan... Kubur masing-masing!!!

Cuma bezanya, saya sudah mencari lingkungan yang dapat membantu tanpa terpaksa untuk menguruskan jenazah saya sehingga ke dalam kubur nanti. Manakala mereka ini hanyalah akan menyusahkan. Bukan sahaja dengan kejelikan yang dilakukan semasa hidup, bahkan dengan kesusahan selepas mati. Dibiarkan akan busuk, dikuburkan tetap jua mengharapkan ehsan orang lain.

Ada rasa pesimis terhadap keadaan ini.

Astaghfirullah...

Optimis vs Pesimis

Menyaksikan paparan di 360 ini, dua perasaan ini tenggelam timbul silih berganti dalam diri.


Saya bukanlah pakar psikologi. Saya juga bukan pakar agama. Saya hanya seperti kebanyakan manusia yang lain.

Namun, saya berharap agar saya tergolong dalam golonagn yang sukakan kepada kebaikan dan cuba untuk berkongsikan sedikit kebaikan yang ada. Agar nantinya saya dapat hidup dalam kebaikan dan dapat hidup dalam lingkungan keluarga, saudara, kawan, jiran dan masyarakat yang baik.

Dengan sebab itu saya bukanlah yang terbaik, tetapi tetap berusaha membaiki diri dengan kebaikan. Kebaikan yang bukan menurut neraca manusia, tetapi kebaikan telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Mencipta. Kerana hanya Allah sahajalah yang mampu untuk menciptakan kebaikan.


Jadi?

Jadi, tulisan kali ini bukanlah sebuah artikel nasihat. Bukan juga perkongsian agama mahupun penulisan penyelesaian masalah.

Hanya cuba melakarkan bahasa kata terhadap bahasa rasa. Sebuah rasa terhadap keadaan hari ini. Yang terbuka kepada nasihat mahupun cadangan untuk dikongsikan di sini.

Dan di dalam hati, saya memohon agar Allah mengampuni andainya ada di antara rasa saya ini yang mengundang murkaNya.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture