Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Showing posts with label Motivasi Kendiri. Show all posts
Showing posts with label Motivasi Kendiri. Show all posts

Monday, May 23, 2011

Doakanlah Juga Untuk Saudaramu...




"Ibu, boleh tak kita singgah kedai jap sebelum balik rumah?", pinta seorang anak kecil sambil menaiki kereta.

"Ok lah... Sebab ustazah cakap abang baik hari ini kat tadika, jadi nanti kita singgah kedai runcit", jawab si ibu yang bertudung biru itu kepada anaknya.

"Yeay", sahut si anak kecil.

Sepanjang perjalanan ke kedai runcit, si anak kecil itu tadi tersenyum menampakkan baris gigi susunya sambil sesekali mengalunkan nasyid yang diajarkan oleh ustazahnya di tadika. Sesekali tangannya membetul-betulkan kopiah di atas kepalanya.

Tiba sahaja di kedai, anak kecil itu menunjukkan jarinya ke arah gula-gula kegemarannya, "Boleh tak kita beli gula-gula yang itu?", tanya si anak kecil.

"Okey, ambil satu dan kita bayar di kaunter", jawab si ibu yang telah sedia menanti di kaunter.

Anak kecil itu mengambil satu keping gula-gula itu dan melangkah kecil menuju ke arah ibunya di kaunter.

"Ummm, ibu...", tiba-tiba anak kecil itu menghentikan langkahnya.

"Ya?", balas si ibu dengan lembut.

"Boleh tak abang ambil satu lagi gula-gula untuk adik?", tanya si anak kecil.

Si ibu tersenyum. "Baiklah...".


Hmm. Hebat bukan. Ia mungkin kisah yang biasa, malah mungkin biasa berlaku dalam kehidupan kita. Namun, pada kisah yang biasa ini terselit pengajaran yang luar biasa darinya.

Si anak kecil ini masih mentah usianya, namun dia tidak sampai hati untuk mengenepikan adiknya. Walaupun untuk benda sebesar gula-gula. Malah dia menginginkan agar adiknya mendapat benda yang sama seperti dirinya. Setibanya di rumah nanti, si anak kecil ini pasti akan ditanyakan soalan oleh adiknya "Abang ada gula-gula untuk adik tak?".

Dan merenungkan soalan ini membuatkan saya tertanya sendiri, pernahkah seseorang bertanyakan kepada saya "Awak ada gula-gula untuk saya tak?", tetapi saya terpaksa menjawab 'TIDAK' kepadanya. Tidak seperti anak kecil ini yang pasti akan menjawab 'YA!' dengan penuh rasa gembira.

Kenapa?

Ya! Kerana saya tidak terfikirkan pun untuk membelikan gula-gula untuk mereka sekali!

Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri
HR Bukhari

Ya Allah...

Hadis ini membuatkan saya rasa bahawa iman saya sangat jauh untuk menghampiri kesempurnaan. Bahkan saya rasakan tahap keimanan sayalah yang paling rendah kerana saya kurang memikirkan dan berdoa agar saudara-saudara saya mendapat segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda sentiasa mengharapkan agar orang lain juga mendapat kebaikan yang anda nikmati?

Adakah kita turut mendoakan untuk orang lain tatkala kita sendiri ingin menjadi pelajar terbaik di sekolah mahupun universiti? Ataupun mengharapkan kerjaya yang baik? Mungkin juga mengharapkan sesuatu anugerah? Atau mempunyai rumah yang mewah siap dengan kolam renang sendiri? Atau ingin sentiasa sihat walafiat? Mungkin juga mengharapkan pasangan hidup yang soleh atau solehah?

Atau kita inginkan agar Allah memurahkan rezeki kita serta dikurniakan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat? Adakah ketika kita meminta agar keamanan dan ketenangan yang sedang Allah berikan ini berkekalan, kita turut mendoakan untuk perkara yang sama untuk orang lain? Bahkan untuk orang yang tidak pernah kita temui dan kenali?

Ketika kita menadah tangan berdoa untuk diri kita, adakah kita turut sama mendoakan untuk, keluarga, sahabat handai, rakan sekerja mahupun saudara seagama kita?

Atau ketika itu, kita hanya mendoakan untuk diri kita sahaja agar memeroleh segala kebaikan yang didoakan?

Jawapannya tentu agak menyakitkan bukan?


Kenapa Perlu Berkait?

Namun demikian, mengapakah tahap keimanan ini sangat berkait rapat dengan keinginan saya. Mengapa perlu saya berharap agar orang lain turut mendapat segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya, barulah saya dikira beriman?

Adakah anda tahu?


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..
Surah Al Hujuraat (49) : 10

Kalamullah yang ringkas ini amat jelas maksudnya.

Sekiranya kita ini adalah orang yang beriman, ini bermakna kita adalah bersaudara. Dan sekiranya kita bersaudara, bukankah kita perlu saling kasih-mengasihi? Dan sekiranya kita saling kasih-mengasihi, sudah tentu segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya, saya juga ingin agar kebaikan itu turut anda rasai.

Sudah tentu kita semua mengharapkan untuk menikmati rumah yang selesa, keluarga yang bahagia, badan yang sehat, makanan yang lazat, kerjaya yang bagus serta rezeki yang murah, bukan?

Sanggupkah saya melihat saudara yang saya kasihi tinggal di rumah yang bocor atapnya sedangkan saya tinggal di rumah yang selesa? Sanggupkah saya menutup sebelah mata tatkala saudara yang saya kasihi terlantar sakit? Atau saya makan lima kali sehari sedangkan ada saudara yang saya kasihi hanya makan sekali sahaja sehari? Patutkah saya meraikan kejayaan akademik saya tatkala sahabat sepengajian dengan saya gagal? Mampukah saya bergembira tatkala saudara yang saya kasihi dizalimi?

Sekiranya saya benar-benar merasakan kasih dan sayang terhadap persaudaraan yang disebutkan ini, pasti jawapannya adalah 'Tidak, Tidak, Tidak!!!'

Jadi, apakah yang boleh saya lakukan? Satu perkara yang pasti adalah berharap, berdoa dan meminta kepada Allah agar saudara-saudara saya ini memperoleh apa yang saya perolehi.

Saya juga perlu menghulurkan bantuan kepada mereka... Menolong mereka, memberikan mereka tunjuk ajar, berbuat baik kepada mereka, membantu mereka dalam pelajaran sedaya mampu, memberikan semangat kepada mereka dan mendoakan mereka segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya...

Bolehkah kita berbuat demikian? Mendoakan untuk saudara kita? Sudah tentu, seandainya kita benar-benar mahu!

Dan sekiranya kita berbuat demikian, Rasulullah s.a.w telah berjanji kepada kita bahawa :
Doa secara rahsia yang dipohon oleh seorang Muslim untuk saudaranya akan dimakbulkan. Ada malaikat di sisinya setiap kali dia berdoa untuk saudaranya, dan berkata "Amin, dan yang sama untukmu".
HR Muslim

Subhanallah...

Sekiranya saya mendoakan anda secara rahsia, dan anda turut mendoakan saya secara rahsia, maka Rasulullah s.a.w. telah berjanji bahawa doa kita itu akan dimakbulkan oleh Allah. Malah, malaikat turut akan mengAminkan doa kita itu..

Dan tahu tak apa lagi?

Sekiranya saya mendoakan satu kebaikan secara rahsia untuk saya dan anda, dan begitu juga anda, maka dua doa akan dimakbulkan oleh Allah dan dua kebaikan akan diperoleh untuk kita dengan izinNya.

Allahu Akbar!

Sekarang cuba bayangkan seandainya saya meminta tiga perkara dan anda juga meminta tiga perkara? Maka enam doa dengan pelbagai kebaikan untuk saya dan anda akan dimakbulkan dengan izin Allah.

Dan sekarang cuba bayangkan pula sekiranya kita tiga sekawan memohon tiga kebaikan yang pelbagai untuk satu sama lain. Bolehkah anda kira berapa banyak kebaikan yang telah kita pohon untuk sesama kita?

Kini, bolehkah anda bayangkan jika terdapat tujuh orang yang saling berdoa untuk satu sama lain? Sepuluh? Seratus? Seribu?

Subhanallah...

Sebuah pepatah Kurdish ada mengatakan


Seseorang yang bijak sentiasa mengingati sahabatnya, manakala seseorang yang bodoh hanya mengingati sahabatnya sewaktu berada dalam kesusahan

Saya rasa sudah tiba masanya kita menjalani kehidupan yang lebih bijak bukan?

Jadi, marilah kita berpakat mulai saat ini. Marilah kita semua panjatkan doa kita untuk satu sama lain. Memohon kebaikan, kejayaan dan kebahagiaan bukan sahaja untuk diri kita, malah untuk semua saudara kita juga.

Walaupun mereka itu sejauh di Palestin.

Jom mulakan doa kita ini...

"Ya Allah....


Perkongsian darimu, bermakna untukku.
Terima kasih.

Wednesday, May 18, 2011

Komunikasi Diri...



Perhubungan dapat dikategorikan kepada dua bahagian secara amnya iaitu perhubungan luaran dan perhubungan dalaman. Perhubungan luaran adalah bentuk perhubungan yang dilakukan dengan orang lain yang dihubungi. Manakala perhubungan dalaman pula merupakan bentuk perhubungan yang dilakukan dengan diri sendiri.

Perhubungan sangat berkait rapat dengan cara kita berkomunikasi kerana perhubungan hanya dapat berlaku apabila telah berlakunya komunikasi. Oleh itu, komunikasi juga berlaku dalam dua bentuk - komunikasi luaran dan komunikasi dalaman.

Dan keberjayaan sesuatu perhubungan pula sangat-sangat berkait rapat dengan nilai kepercayaan. Kepercayaan kepada orang yang dihubungi menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi luaran yang berlaku manakala kepercayaan kepada diri sendiri menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi dalaman pula.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.

Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

Dan perlu ditekankan bahawa komunikasi luaran, banyak dipengaruhi oleh bentuk komunikasi dalaman terlebih dahulu. Hal ini kerana kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika baik kemahiran komunikasi dalaman ini, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam kehidupannya.


Baiki Komunikasi Diri

Dalam hari-hari yang dilalui, kita sering membincangkan bagaimana seseorang dapat membaiki perhubungan dengan orang lain melalui komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu perhubungan dengan dirinya sendiri dengan cara berkomunikasi.

Sedangkan komunikasi terhadap diri sendiri inilah yang banyak membentuk dan mengarah komunikasi kita degan orang lain. Misalnya orang yang sentiasa memandang dunia ini hanya dipenuhi dengan kesedihan, dan sering berkata kepada diri sendiri "Aku tidak bahagia", mana mungkin mampu untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Kerana itu, faktor utama agar komunikasi dengan diri sendiri ini dapat berjaya adalah faktor kepercayaan. Kepercayaan untuk memyakini kebolehan, kemampuan dan kelebihan diri sendiri.
Kerana itu, Islam meletakkan sifat syukur dan qanaah ditempat yang tinggi agar diri sendiri dapat menerima dan mempercayai kebolehan dan kemampuan diri. Selain itu, Islam membentuk sitem kepercayaan (belief system) penganutnya untuk percaya dengan yakin bahawa segala yang berlaku terhadap diri adalah yang terbaik untuk dirinya yang ditentukan oleh Allah. Sekali pun perkara yang berlaku itu adalah kegagalan. Kerana ia adalah sebagai ujian yang bersesuaian dengan keupayaannya, tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan darjat diri. Kepercayaan inilah yang menjadikan umat Islam sentiasa positif dan mengekalkan nilai-nilai positif dalam diri.

Keyakinan ini pula banyak dibentuk oleh keluarga, suasana, kawan-kawan dan pengalaman-pengalaman dalam kehidupan. Jika keyakinan yang dibentuk itu adalah keyakinan yang positif, maka positiflah komunikasi dalaman yang berlaku. Dengan keyakinan yang membantu kmunikasi dalaman yang positif akan menjadikan seseorang itu lebih rajin, positif dan optimis. Perkara yang sebaliknya pula akan berlaku andai keyakinan yang dibentuk tu adalah keyakinan yang negatif.

Sikap tidak mempercayai diri sendiri lebih merosakkan diri daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Mereka yang tidak meyakini dengan keupayaan, kebolehan dan kelebihan dirinya sendiri tidak akan dapat mencapai kejayaan dalam hidupnya.

Maka, kepercayaan terhadap diri sendiri adalah penentuan kepada arah komunikasi dengan dirinya sendiri seterusnya perhubungan dengan dirinya sendiri yang seterusnya mempengaruhi perhubungannya dengan orang lain.


Faktor kedua keberjayaan dalam komunikasi dalaman ini pula ialah percakapan terhadap diri sendiri. Mengikut kajian, kita sebenarnya lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Namun, alangkah malangnya apabila 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Maka, untuk berjaya, kita perlu menukar percakapan yang negatif ini kepada sesuatu yang positif.

Oleh itu, katakanlah sesuatu yang positif kepada diri selalu, dan itu adalah petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri. Seterusnya percayalah terhadap diri sendiri agar komunikasi dalaman yang dilakukan berjaya.

Kerana itu kita disuruh untuk berdoa dalam keadaan kita mendengar dan mengetahui apa yang kita minta. Kita juga disuruh untuk memahami dan membaca dalam kadar kita dapat mendengar bacaan kita ketika solat. Bukanlah kerana supaya Allah dapat mendengar kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Tetapi supaya kita sendiri sentiasa membaharui kepercayaan dan setiasa kekal positif terhadap diri.

Jadi, semaklah apa yang sering kita katakan kepada diri kita sendiri.

"What you put inside is what will coming out"

Apa yang kita katakan terhadap diri kita sendiri jauh lebih penting daripada apa yang orang lain katakan terhadap kita. Oleh itu, katakan sesuatu yang positif kepada diri kita sendiri selalu, itu petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri...

INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Sunday, December 26, 2010

Jangan Berputus Asa!

The Climb...

Jikalau sebelum ini saya ada kongsikan lirik lagu "The Climb" di blog ini, maka dikesempatan ini saya ingin kongsikan sekali lagi lirik ini... Tetapi kali ini di dalam Bahasa Melayu!

Mungkin terjemahan ini tidaklah sesuai untuk dinyanyikan, namun cukuplah untuk dijadikan sebagai sedikit motivasi buat diri.

Selamat membaca...


Di sana sentiasa akan ada gunung seterusnya,
Dan aku sentiasa mahu untuk mengalihkannya,
Pendakianku pasti akan berhadapan pelbagai pertarungan,
Dan kadang-kala aku terpaksa untuk menerima kekalahan...

Bukan tentang seberapa pantas aku dapat menyeberangi,
Bukan tentang apa yang sedang menanti untuk diri,
Tetapi ia adalah tentang pendakian yang kutempuhi...

Aku hampir dapat melihatnya,
Impian yang selalu kuimpikan,
Tetapi, selalu sahaja ada suara di dalam kepala berkata,
"Kau tidak mampu menggapainya"...

Setiap jejak langkah,
Setiap laku tingkah,
Kurasakan seperti tiada arah,
Kepercayaanku menjadi semakin goyah...

Tetapi aku, aku harus tetap terus mencuba,
Harus tetap terus mendongak tinggi ke udara...

Di sana sentiasa akan ada gunung seterusnya,
Dan aku sentiasa mahu untuk mengalihkannya,
Pendakianku pasti akan berhadapan pelbagai pertarungan,
Dan kadang-kala aku terpaksa untuk menerima kekalahan...

Bukan tentang seberapa pantas aku dapat menyeberangi,
Bukan tentang apa yang sedang menanti untuk diri,
Tetapi ia adalah tentang pendakian yang kutempuhi...

Terjemahan bebas oleh Ainuddin


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, July 12, 2010

Indahkanlah...


Hilang akal ke ape!!!

Ngaku diri bidadari dr syurga, nk wat org bahgia. Lirik lagu xleh blah... Nilah lirik lagu paling bebal yg penah ak dengar. Poyo siot!!

Dah r ak tgh bengang gler skunk sbb Uruguay kalah X(. Tmbh lg dgr lagu camni, mkn berasap tlinger gajah ak nih...

1st time ak dengar lagu nih ak mmg dah nyampah. Lagu sampah camni pn leh masuk redio ke??? Ape nk jd ng industri muzik mesia pn ak xtau la. Dah xde nilai. Pergh, tetibe lak tringat kesah ak kene kencing kat nilai 3. Tak gune punye bangla...

Ak x tau la pempuan mane yg nyanyi lagu nih, ntah komposer mane yg bikin lagu nih... Tp kalo diorg nih Islam, bek diorg cepat2 taubat la... Ngucap la bebanyak... Kalo la ak jd menteri, dh lame ak haramkan lagu nih!!

Ak xde la alim mane, tp kurg2 ak x la jahil sgt utk trime lagu dungu nih. Kpd peminat2 lagu nih, xyah la korg dgr lagu nih lg. Buang mse korg jer... Lebih baik korg g korek idung ke, kopek jerawat ke, msk mamee ke (megi boikot) @ at least tolg bersih2 umah korg dr dok dgr lagu xde pekdah nih. Lg besh... x pn korg g bce quran ke (ak pn dh jrg wat skunk ;D), kn lbh baek...

Sori ar kalo ak komen kaw2 psl lagu ksukaan korg nih, tp nk wat camne, dh memg lagu nih xde pekdah. Sesat plak tuh...

K ar, dh kenyang nyumpah, mate pn dah ngantok, nk g membute lak. Len kali ak smbg lg ek.

Kroh kroh...

Petikan dia atas tidak diambil dari mana-mana penulisan di blog, penulisan maya mahupun mana-mana bahan bacaan bercetak.

Hmm...

Andai beginilah bahasa Quran, mahu pun ucapan Nabi Muhammad s.a.w., saya tertanya-tanya, siapakah yang sudi untuk mendengar dan mengikutinya.


Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, June 23, 2010

Mencari-cari al-Hikmah...


Dari sehari ke sehari, menulis menjadi semakin susah buat saya. Tidak tahu mengapa...

Bukan sahaja menulis, malah apabila berbicara sering kata-kata saya itu berbelit dan tunggang-langgang bunyinya.

Walaupun terdapat banyak perkara untuk disampaikan, namun mencari perkataan dan ayat yang sesuai dan juga mengandungi rasa empati, adalah amat sukar sekali kini. Mencari-cari dimanakah al-Hikmah di dalam diri.

Allah...

Mungkinkah kerana fikir yang kini sering bercelaru pada perkara yang tidak perlu. Atau zikir yang sudah jarang sekali beralun merdu...

Walaupun sering membaca (input), namun payah sekali memproses bahan bacaan tersebut agar dapat keluar menjadi sesuatu (output) yang berguna... Dikeluarkan dalam bentuk penulisan, lisan, apatah lagi perbuatan...

Adakah masalahnya terletak pada akal, atau berpunca dari hati? Akal kerana jarang berfikir? Atau hati yang sering melupai zikir?

Adakah saya kini semakin berjauhan dari Tuhan?

Ya Allah...
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”
Ali 'Imraan (3) : 190-191

Allah...

Jarang sekali kini saya melihat dengan mata dan hati akan kejadian Tuhan di langit dan bumi. Jarang sekali kini memerhatikan dengan mata dan hati akan kebesaran Allah dan melihat kekerdilan diri, lantas menyebut dan mengingati Allah Yang Maha Besar tatkala berdiri, duduk mahupun ketika terbaring...

Allah..

Mungkin itu silapnya. Saya hanya membaca untuk menambah tahu, bukan untuk mengenal. Saya melihat untuk mengetahui bukan untuk mengenali. Saya bertanya hanya untuk menghilangkan ragu bukan untuk merapati.

Tahu dan kenal itu ada garis pembeza antara keduanya. Tahu itu hanya pada akal, tetapi kenal itu menggunakan hati.

Walau berbeza namun saling berhubungan, tidak dapat dipisahkan...

Teringat pada ayat Allah dalam kitab yang mulia :

"Allah menganugerahkan al Hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan barangsiapa yang dianugerahi Hikmah itu maka sesungguhnya ia benar-benar telah dianugerahi kebaikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)."
Surah Al-Baqarah (2) : 269

Imam Ibn Qayyim ada menyebutkan bahawa "Apabila hati dihidupkan dengan tazakkur, disuburkan pula dengan tafakur dan dibersihkan daripada kekotoran, nescaya ia akan melihat perkara-perkara menakjubkan dan diilhamkan hikmah kepadanya".
(Al-Fawa'id : 128)

Al-Hassan berkata : "Sesungguhnya ahli bijaksana sentiasa menyilih-gantikan antara zikir dan berfikir, sehingga hati mereka menjadi subur, lantas mereka dapat bercakap dengan perkara yang berhikmah".
(Ihya' Ulum Al-Din : 5/6)

Allah...

Betapa jauhnya saya ini dari menggapai al-Hikmah yang dicari...

Biarlah hikmah berbicara di dada kehidupan justeru fikir dan zikir apabila bersatu dan bersepadu, akan muncullah makrufat, kebaikan dan kebajikan pada diri dan masyarakat. Fikir dan zikir itu ada buahnya – ilmu dari fikir itu buahnya amal, iman dari zikir itu bukan hanya angan-angan dan harapan!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, March 18, 2010

Doktor, Isteri Saya Tuh....


"Saye rase dah makin serius nih doktor!", terang seorang lelaki berkemeja kotak-kotak dengan nada yang bersungguh-sungguh. Dahi lelaki yang berumur lingkungan lewat 40-an itu semakin berkedut kerana berkerut.

"Hmm...", balas doktor dihadapan lelaki itu sambil melurut-lurutkan janggutnya yang tidaklah selebat mana. Matanya semakin tajam memerhatikan lelaki berkemeja kotak-kotak dihadapannya itu.

"Betul doktor! Saye rase masalah pendengaran isteri saye semakin hari semakin teruk doktor!", tegas lelaki berkemeja kotak-kotak itu lagi. Wajah isterinya kini terbayang-bayang di pelupuk matanya.

"Hmm... Beginilah, kamu bawa isteri kamu datang berjumpa saya untuk saya periksa sejauh mana teruknya masalah pendengaran isteri kamu itu", balas doktor itu dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Kini, tangannya telah berhenti melurut-lurutkan janggutnya yang tidak seberapa itu.

"Ish doktor... Saye risau die terase pulak kalau saye bawak die datang berjumpe doktor. Tu sebab saye datang sendiri hari nih... Tak de ke cara len untuk check pendengaran isteri saye tuh tanpa perlu pergi ke klinik?", soal lelaki berkemeja kotak-kotak itu. Sayangnya pada isteri tidak berbelah bahagi. Masalah pada isterinya bagaikan masalah dirinya juga.

Untuk mengguris hati isterinya dengan menyatakan secara tidak langsung bahawa "pendengaranmu semakin bermasalah sayang" dengan membawanya berjumpa doktor, sekali-kali tidak dapat dilakukannya. Kerana cintanya...

"Hmm... Kalau sedemikian halnya, kita guna cara lama...", terang doktor itu sambil mungukir senyuman yang tersirat seribu makna.

"Huh, cara ape tu doktor?", tidak sabar lagi lelaki berkemeja kotak-kotak itu untuk mengetahui penyelesaian bagi masalah isterinya itu.

"Begini, untuk cara ini, kamu perlu berdiri dalam jarak 40 kaki dari isteri kamu dan berbicaralah kepada isteri kamu dengan menggunakan nada suara yang biasa. Jika dia tidak dapat mendengar, kurangkan jarak kepada 30 kaki dan lakukan hal yang sama. Jika dia masih tidak dapat mendengar, kurangkan lagi jarak menjadi 20 kaki. Terus lakukan perkara yang sama sehinggalah isteri kamu dapat mendengar butir bicara kamu. Kemudian, kamu datang berjumpa saya dan ceritakan keputusan yang kamu peroleh untuk saya analisis tahap masalah pendengaran isteri kamu itu...", terang doktor itu dengan panjang lebar. Sesekali terkeluar manik-manik jernih yang kacil dari mulut doktor tersebut lalu jatuh ke atas helaian kertas yang terdapat di hadapannya.

"Wah, bagus betul cara nih!", kagum lelaki berkemeja kotak-kotak itu dengan doktor dihadapannya itu. Mukanya yang tadi berkerut, mula mengukir senyuman yang padanya harapan dan sayang saling bertaut.

"Baiklah doktor, saye akan buat seperti yang disuruh".


Di rumah

Malam itu, sedang sang isteri sibuk menyediakan makan malam, si suami berdiri sambil menganggar jaraknya dari sang isteri.

'40 kaki. Emm, ok. Lebih kurang jauh ni lah', bisik sang suami itu sendiri.

"Kite makan ape malam ni, yang?", si suami itu bertanya dengan menggunakan nada suaranya yang biasa. Seperti mana yang disuruh oleh doktor yang ditemuinya siang tadi. Namun sang isteri tidak membalas.

Si suami mengurangkan jaraknya dari sang isteri menjadi 30 kaki. Dia menganggarkan jaraknya dengan cukup berhati-hati dan teliti. Lalu sekali lagi dia bertanya, "Kite makan ape malam ni, yang?".

...

Masih tiada balasan.

'Owh, ini teruk nih', bisik sang suami di dalam hati sambil perlahan menghampiri si isteri. Kini, jarak sang suami dari si isteri itu menjadi 20 kaki. Lalu sang suami itu kembali bertanyakan hal yang sama.

Dan...

Masih tiada balasan.

Sang suami itu terus-terusan melakukan hal yang sama sehinggalah akhirnya dia berdiri bersebelahan dengan si isteri.

Lalu dia bertanyakan hal yang sama seperti sebelumnya dengan nada yang biasa,"kite makan ape malam ni, yang?".

Si isteri itu akhirnya berpaling melihat sang suami dan berkata,

"Ya Allah abang! Untuk kali keenam saya cakap benda yang sama, malam ini kita makan AYAM!"



Di sebalik cerita

Hidup ini sering kali dirandai dugaan dan kesusahan. Dan dalam keadaan ini, sering kali saya mensasarkan kesalahan kepada sesuatu ataupun seseorang atas ujian dan masalah yang dihadapi.

Robert Half ada mengatakan:

'The search for someone to blame is always successful'

Benar sekali katanya itu...

Di dalam Al-Quran, Allah ada menyatakan tentang suatu sifat manusia.

"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah."
Surah Al-Ma'aarij (70) : 19-20


Ya, sifat berkeluh kesah. Dan saya sering berkeluh kesah. Kerana itu, seringkali apabila kesusahan menimpa, saya akan bersegera mencari "The-What" ataupun "The-Who" untuk menjadi sasaran saya bagi meletakkan punca ataupun penyebab bagikesusahan yang menimpa.


Dan ia sememangnya perkara yang amat salah untuk dilakukan.

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kesalahan atau dosa, kemudian dituduhkannya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah berbuat suatu kebohongan dan dosa yang nyata."
Surah An-Nisaa' (4) : 112

Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku...



Namun, bagaimanakah untuk saya keluar dari sifat berkeluh kesah yang berpanjangan ini.

Jawapannya tentulah pada kalamullah yang telah menyuluh manusia akan sifat-sifat mereka ini.

Semuanya terkandung dalam ayat berikutnya dalam surah Al-Ma'aarij. Ayat 22-28...

Istiqomahlah dalam mengerjakan solat. Bersedekahlah dan bayarlah zakat. Percayalah dengan sebenar-benar keyakinan akan hari pembalasan. Dan takutlah azab Tuhan.


Kini

Hmm... saya rasa saya ingin berjumpa doktor untuk memeriksa dan merawatkan pendengaran saya sendiri. Saya ingin cuba berhenti dari asyik menyalahkan 'si isteri' sebaliknya mendepani dan memperbaiki masalah yang dihadapi.

Berhenti menyatakan "semua ni jadi begini salah dia, semua tu jadi begitu salah ini, aku jadi begini salah mereka, benda itu berlaku salah kamu, jadi begini sebab itu, jadi begitu sebab ini".


"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)."
Surah Asy-Syuura (42) : 30



Sebaliknya saya akan cuba menghadapi dugaan dan kesusahan ini dengan sabar dan usaha. Sabar dengan kesakitannya. Usaha untuk memperbaikinya.

Peribahasa Jepun ada menyatakan:


'Fix the problem, not the blame'




Cubaan suara. Hello, hello...


"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
Surah Al-Mu'minun (23) : 115



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture