Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Showing posts with label Fikir. Show all posts
Showing posts with label Fikir. Show all posts

Saturday, May 19, 2012

Puisi Sempoi Di Hujung Minggu...

 
Rileks dowh
Walau poyo
Bukan bodoh
 
    Biar dijeling
    Biar dikerling
    Jangan pening
    Kerana kita juga berkening
 
    Jangan berhasrat paku dipulang
    Kerana buah keras juga nak tenang
    Tangan tak sakit hati pun senang
    Nafsu tak pula dibiar kenyang
 
Rileks je dowh
Walau poyo
Jangan keruh~
 
 
Puisi sempoi  di hujung minggu.
Maaf kepada pakar bahasa kerana mencemarkan sedikit norma-norma sastera. 


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
 

Monday, September 26, 2011

Jangan Dah Kena Baru Nak Akui Hak-Nya


"BODAH!! BONGANG!! BABO!! "

"Kau ni apesal mencarut-carut ni Ijal? Daripada mencarut tak tentu hala tu, lebih baik kau beristighfar.."

"Huh! Hmmmph... Fuuuuhh... Astaghfirullah. Astaghfirullah."

"Ha.. Dah tenang sikit? Cuba cerita sikit dekat aku apa masalah kau Ijal."

"Kereta aku kene curi! Kereta aku kene curi, Arul!"

"Erk.. Innalillah. Bila?"

"Pagi tadi masa aku nak hantar anak-anak aku pergi sekolah, baru aku perasan kereta aku tu dah lesap. Sejak aku dah renovate rumah, tambah bahagian depan, dah takde tempat untuk aku letak kereta dalam rumah. Jadi aku letak kat luar pagar, betul-betul depan rumah. Aku dah kunci habis semua, tapi masih juga kene curi. Aku datang pejabat ni pun naik teksi. Geram betul aku!!"

"Ishk.. Kau dah buat laporan polis?"

"Belom lagi. Tu yang aku datang pejabat dulu ni. Nak minta kau tolong temankan aku. Tak pun tolong pinjamkan kereta kau sekejap. Lepas buat laporan aku ingat nak jalan-jalan dulu tengok-tengok, manalah tau dapat jumpa kereta aku."

"Takpela Ijal, biar aku temankan kau. Jap, kita bagitau bos dulu."

"Ishk... Aku dapat pencuri tu, memang aku kerat 10 dia!!"

"Marah betul kau ni Ijal."

"Memang marah!! Tu jela kereta yang aku ada, Arul. Sport rim baru je aku tukar Sabtu lepas, minyak baru je aku isi penuh. Tu la kereta yang aku guna untuk hantar anak-anak aku pergi sekolah, hantar orang rumah aku pergi kerja, aku pergi kerja, balik kampung. Dah macam nyawa kepada keluarga aku."

"Sampai nak kerat 10?"

"Comfirm! Kalau aku dapat, memang aku takkan lepas!"


*****

Dua Tahun Sebelumnya

"Aku rasa hukum hudud tak patut dilaksanakan. Tak sesuai dengan keadaan kita kat Malaysia ni. Sesiapa yang membangkitkan nak laksanakan hukum hudud ni hanya orang bodoh dan berfikiran sempit"

"Ishk. Kenapa pulak kau cakap macam tu Ijal?"

"Hudud ni kejam sangat. Kau tengok, mencuri je potong tangan. Kalau dah potong tangan, macam mana dia nak teruskan kehidupan? Sekarang realiti zaman dah berubah. Kita boleh cuba bagi dia kerja kalau dia mencuri sebab tidak bekerja. Penjara pun dah cukup untuk menyedarkan mereka ini."

"Tapi hudud ni ditentukan oleh Allah, sesuai untuk setiap zaman dan keadaan. Ia adalah hak Allah Ijal!"

"Tapi aku masih melihatnya sebagai kejam Arul! Kejam!"

"Ilmu Allah itu Maha Luas dan tidak terbatas Ijal, tak terjangkau oleh ilmu manusia."

"Tuhan juga yang bagi kita akal untuk kita gunakan. Kita boleh gunakan untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi bagi menyesuaikan hukumNya mengikut peredaran masa dan keadaan."

"Hudud ini adalah hak Allah! Dia yang tentukan, dan kita melaksanakan. Kitalah sepatutnya yang harus tunduk menyesuaikan masa dan keadaan mengikut hukum Allah. Bukan sebaliknya Ijal!"

"Kau jangan nak mempersoalkan kepercayaan aku Arul! Kau cuba tengok, negara kita negara berbilang bangsa dan agama. Bukan hanya Islam sahaja yang tinggal kat negara kita. Melaksanakan hukum ini hanya akan menghuru-harakan negara kita! Agama lain takkan dapat terima Arul!"

"Kenapa pula nak huru-hara? Hudud ini adalah untuk menjaga keamanan seluruh manusia daripada kezaliman manusia yang lain. Kita boleh fahamkan agama lain. Namun, kita umat Islam perlu terlebih dahulu yakin dan percaya dengan hukum Allah ini sebelum dapat mempercayakan orang lain!"

"Kau ekstrimis agama Arul! Ekstrimis yang tak pernah terbuka kepada pendapat orang lain. Negara kita akan berpecah-belah kerana ekstrimis agama yang macam ini!"


*****

Selepas Membuat Laporan Polis

"Kau dah berubah Ijal?"

"Berubah? Berubah apa Arul?"

"Kau dah menyokong hudud sekarang ni."

"...."

"Tak kesian ke kat pencuri kereta kau?"

".... Bukan aku tak kesian tapi..."

"Tapi geram? Marah? Kau terasa dizalimi, bukan?

"...."

"Hudud tidaklah sampai kerat 10. Hanya kerat sebelah pergelangan tangan. Itu pun dengan syarat yang ketat, teliti dan rapi. Bukan untuk menyeksa tetapi untuk menegakkan keadilan buat masyarakat disamping mendidik pencuri dan seluruh manusia lain agar jangan terjebak dengan kecurian".

"...."

"Hudud juga membantu orang yang dizalimi agar tidak pula menzalimi. Mungkin yang dizalimi itu tidaklah akan pergi melakukan kezaliman mencuri, tetapi hukum Allah, hudud melindungi yang dizalimi itu daripada melakukan kezaliman mengerat 10!"

*****

Setelah terkena batang hidung sendiri, barulah ramai manusia yang sedar betapa relevannya hukum Allah.

Janganlah apabila hak Allah dicabar kita hanya diam. Tetapi apabila hak kita sendiri tercabar, barulah kita marah. Jangan hanya apabila kita atau keluarga kita menjadi mangsa curi, rompak ragut, zina dan rogol... barulah kita menyokong hukum Allah!

Janganlah sesudah tersungkur baru kita mahu akur.

Inspirasi daripada buku "Beduk Diketuk" Bab Sudah Tersungkur Baru Akur tulisan Pahrol Muhamad Juoi.

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih
.

Saturday, July 30, 2011

Kuasa Super!!


Allah...

Takut rasanya apabila membaca berita-berita terkini. Tidak kisahlah berita yang nasional mahupun yang antarabangsa. Semakin bertambah-tambah khabar yang tidak gembira dan mengejutkan. Rasanya sudah seperti menonton cerita seram yang banyak dengan babak terkejut-terkejut. Oppspocot, terkejut aku!! Ishk, terkejut lagi...

Bunuh, bom, depresi, mati, langgar, seksi, dadah, tikam, culik, tak mandi, merampas, dera, mencarut, merokok, caci, cucuk, susuk, busuk, rasuah, rogol, tipu, panas dan lain-lain lagi.

Dalam kecanggihan teknologi yang semakin canggih dan pembangunan material yang semakin membangun ini, jika tidak diseiringkan dengan kecanggihan dan pembangunan rohani, maka manusia hanya akan semakin hilang kawalan. Kerana hakikatnya manusia mudah hilang batasan di dunia yang tiada sempadan.  

Dan kerana itulah Islam sentiasa meletakkan garis batasan dan pagar sempadan bagi setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Tiada yang terlepas. Semuanya ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Islam mengajar manusia supaya bersederhana. Bersederhana dalam setiap perbuatan dan percakapan. Tidak melebih-lebih (contohnya lebih makan, lebih cakap, lebih-lebih dan lain-lain perkara yang lebih besar), tidak juga meringan-ringankan (contohnya lampu kuning untuk memperlahan kenderaan, basuh pinggan, dan lain-lain). Kerana hakikatnya keterlaluan obses mahupun keterlaluan liberal, kedua-duanya adalah ekstrim.

Dan Rasulullah s.a.w. adalah sebaik-baik contoh insan yang bersedehana.

Fuh, menghela nafas panjang...

Tapi... Bila cakap begini dan mengenang kembali, banyak juga perbuatan dan percakapan yang kadang kala saya melebih-lebih dan yang saya remeh-remehkan. Maksudnya, saya pun ada menyumbang kepada keseraman dunia yang melanda ini. Allah, banyak lagi yang perlu saya perbaiki

Benar kata bijak pandai, perubahan bermula dari diri sendiri. Sekiranya saya ingin hidup di dalam dunia yang aman, maka terlebih dahulu saya perlu meng'aman'kan diri saya terelebih dahulu agar orang di sekeliling akan damai dengan kewujudan saya. 

 Hmm... Apa pula yang anda rasa?

Kuasa Super Hero

Sewaktu sedang belek-belek internet, ternampak pula tajuk satu artikel yang menarik perhatian. 'Which superhero power would you like most of all?'. 

Sebelum menekan capaian (link) yang disediakan, saya meneka-neka sendiri akan kuasa yang menduduki tangga teratas. Menurut penaakulan saya, saya rasakan kuasa super kuat Superman yang menduduki carta tertinggi. Sebaik sahaja menekan capaian (link) dan membaca artikel tersebut, tekaan saya meleset. Dan saya sama sekali tidak menyangka bahawa pilihan ramai adalah kuasa yang itu.

Nak tahu tak kuasa apa? Mari tengok senarai di bawah.
  1. Accelerated healing - Wolverine, X-Men (22 percent)
  2. Telepathic/psionic powers - Professor X, X-Men (21 percent)
  3. Power of flight - Superman, Superman (15 percent)
  4. Super-strength - The Hulk, The Hulk (11 percent)
  5. Invisibility - Sue Storm, Fantastic Four (8 percent)
  6. Weather control - Storm, X-Men (7 percent) and Flame-on! - The Human Torch, Fantastic Four (7 percent) 
  7. -
  8. Supersenses - Daredevil, Daredevil (4 percent)
  9. Web-slinging - Spiderman, Spiderman (3 percent)
  10. Super-speed - Dash, The Incredibles (2 percent)
The survey, carried out by the European film rental service Lovefilm, questioned 3,000 members about special powers that would make the ultimate superhero.

Kuasa penyembuhan segera atau kuasa cepat baik menduduki carta tertinggi kuasa superhero yang dipilih oleh peminat filem superhero sebagai kuasa yang dapat menjadikan seseorang itu sebagai superhero terhebat. Haik, tidak disangka...

Tapi, apabila teringatkan kembali berita-berita yang saya baca, maka pilihan ini sememangnya tidak mustahil. Mungkin kebanyakan manusia kini berharap agar ada kuasa cepat sembuh dalam dunia yang semakin kejam dan bahaya ini. Yang mana bahaya itu boleh muncul bila-bila dan di mana-mana sahaja, dari mereka yang telah hanyut dalam dunia tanpa sempadannya. 

 

Kuasa penyembuhan. Kuasa yang dicemburui dan diingini kini. 

Terutamanya yang dapat menyembuhkan luka di hati...

Yang pastinya, kuasa ini hanya satu ilusi. Dan Ramadhan itu ada untuk kita 'menyembuhkan' diri. Walau pun prosesnya perlahan dan payah, namun di situlah bukti kekuatan hati. Dan kehambaan pada Ilahi. Kerana ganjaran Takwa itu, adalah ganjaran yang tertinggi.

Inilah realiti.

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 16, 2011

Sunnatullah Senyum :) - Bahagian II

Abdullah bin Harits mengatakan, "Saya belum pernah melihat seorang pun yang paling banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW." 
(Riwayat Ahmad)

Proffesor Dr. Muhaya Mohamad yang merupakan Konsultan Kanan Pembedahan Mata, Prince Cort Medical Center, Kuala Lumpur menyatakan bahawa semua orang dilahirkan dengan fitrah senyum dan tidak perlu diajar. Bayi yang berusia lebih dari dua bulan sudah boleh berinteraksi dengan senyuman. Ketika usia itu, ia dipanggil socialsmile, apabila diagah bayi itu akan tersenyum. Keluargalah yang akan membentuk bayi tersebut membesar sama ada dalam keadaan terus tersenyum ataupun menghapuskan sifat tersebut.


Semua ini ada kaitan dengan pemetaan yang dibuat di dalam otak. Kanak-kanak berumur 0-6 tahun akan merakamkan semua yang dilihatnya di dalam minda bawah sedar dan mempengaruhi blueprint di dalam otak. Apabila dewasa, blueprint tersebutlah yang digunakan dan akan menjadi tabiat. Jika blueprint nya mudah tersenyum, maka tabiatnya mudah tersenyum juga. Jika blueprintnya adalah susah tersenyum, maka tabiatnya juga susah untuk tersenyum.

Bagi yang sudah hilang sifat senyum, masih ada jalan untuk mengembalikan sifat yang baik tersebut. Setiap kali bangun pagi, mulakan dengan senyuman untuk diri sendiri kemudian barulah untuk orang lain. Senyumlah sebagai tanda syukur akan nikmat kurniaan dari Allah s.w.t. Amalkan selama 21 hari berturut-turut, jika mahu kesan yang lebih cepat lakukannya selama 30 atau pun 90 hari.

Menurut Proffesor Dr. Muhaya Mohamad lagi, pembuktian sains menemukan bahawa saraf otak mengambil masa paling minimum 21 hari untuk tumbuh dan membina jaringan senyum supaya ia boleh menjadi satu tabiat rutin. InsyaAllah selepas 21 hari, ia akan jadi suatu kebiasaan kerana saraf otak telah membuat satu laluan kecil untuk senyuman.


Jika berhadapan dengan orang yang tidak dikenali, hanya dengan senyuman akan terbinalah komunikasi. Ini tanda kemesraan dan kita tidak sombong. Senyum membawa seribu makna dan tidak perlukan kata-kata.

Manusia ini biasanya mencari kebahagiaan, ketenangan dan kebebasan. Bagaimana untuk mendapatkannya? Senang sahaja, berikanlah kepada orang lain. Kalau kita inginkan kebahagiaan, bahagiakanlah orang lain. Andai kita inginkan ketenangan, tenangkanlah orang lain (contohnya jangan mengumpat). Sekiranya kita inginkan kebebasan, bebaskanlah orang lain (dari kejahatan diri kita).

Kita bertanggung jawab terhadap apa yang berlaku kepada diri kita, fizikal, kesihatan, kerohanian, sosial, kewangan dan semuanya. Dan hidup memerlukan penyerahan diri kepada Allah, maka barulah ia akan bernilai kehidupan. Jika tiada penyerahan ini, maka kekallah kita hanya sekadar hidupan. Penyerahan diri kepada Allah akan memberikan ketenangan kepada diri. Dan ia adalah kunci kepada senyuman.

Semua perkara di dalam dunia ini boleh berubah apabila dimulai dengan diri sendiri. Kerana perubahan tidak akan pernah berhenti berubah.  Maka mulakan perubahan pada saat ini dengan perkara yang kecil iaitu senyum. Otak kita bagaikan kebun, jika benih baik yang ditanam maka baik juga hasilnya.

Kita semua mampu untuk membuat perubahan. Sekarang...

Maka, tersenyumlah. Senyum  bukan sahaja dilemparkan hanya untuk orang lain, tetapi mulakan senyuman kepada diri sendiri untuk menjadi positif.
"Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan…." 
(Muhammad Qutb)
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 13, 2011

Sunnatullah Senyum :) - Bahagian I

 

"Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah" 
(Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. David Song, seorang Pakar Pembedahan Plastik dan Pensyarah di University of Chicago Hospital, terdapat 12 otot yang digunakan untuk senyum. Manakala untuk bermasam muka pula, sebanyak 11 otot yang digunakan.

Menurut kajian Dr. David Song, antara otot-otot yang terlibat dengan senyuman tulus adalah:
  • Zygomaticus major and minor (4)
  • Orbicularis oculi (2)
  • Levator labii superioris (2)
  • Levato ranguli oris (2)
  • Risorius (2)

Bagi bermasam muka pula, otot-otot yang digunakan adalah
  • Orbicularis oculi (2)
  • Platysma (2)
  • Corrugator supercilii (bilateral) and procerus (unilateral) (3)
  • Orbicularis oris (1)
  • Mentalis (1)
  • Deppressor anguli oris (2)

Dr. David Song juga menjelaskan bahawa oleh sebab senyuman menggunakan lebih banyak otot, dipercayai lebih ramai yang bermasam muka berbanding tersenyum. Sayangnya, kebanyakannya tidak mengetahui bahawa menggunakan otot untuk senyum memberikan manfaat yang besar kepada otot muka supaya ia menjadi lebih cantik dan tegang...

Awet muda.

Mendengar perkataan ini, saya percaya anda pasti sedang tersenyum-senyum seorang diri sambil membayang-bayangkan wajah anda yang muda dengan kulitnya yang tegang sambil tangan bergerak perlahan ke segenap ruang muka dan diakhiri dengan menepuk-nepuk manja pipi anda...


Menurut Pakar Motivasi dan Pembangunan Kendiri, Proffesor Dr. Muhaya Mohamad, senyuman yang paling tulus akan berakhir dalam tempoh tujuh saat. Itulah yang dikatakan sebagai senyuman yang bermakna, bersih, suci, ikhlas dan jujur.

Apabila tersenyum, hormon endorfin banyak dikeluarkan. Endorfin adalah pil tahan sakit yang dikeluarkan oleh badan secara semula jadi tanpa kesan sampingan dan melahirkan rasa seronok. Endorfin ini juga dikenali sebagai feel good factor. Hanya yang tersenyum dengan senyuman dalam kategori Duchenne akan dapat menikmati apa yang dibawa oleh endorfin. Duchenne adalah istilah psikologi yang digunakan kepada senyum ikhlas, sejati, tulus dan asli.

Selain itu, senyum juga dapat memaksa serotonin keluar yang mana ia bertindak sebagai neurotransmitter bagi mengawal dan mengurangkan ketakutan dan kebimbangan.

Dengan senyum juga dapat membawa 10 peratus lebih banyak oksigen dan glukosa ke dalam alirran darah. Jadinya, kita akan lebih bertenaga untuk belajar dan bekerja. Apabila otak menjalani proses pembelajaran dan menggunakan ingatan jangka panjang, sebenarnya otak memerlukan 10 hingga 34 peratus daripada oksigen di dalam darah. Ketika tersenyum, badan akan berada di dalam keadaan yang relaks dan sudah pasti membantu sistem pertahanan badan dan saraf akan menjadi lebih cekap.

Apabila ekspresi muka pasif atau negatif, ia akan melambatkan otak untuk memproses maklumat yang dihantar. Proses pembelajaran adalah sukar untuk menyampaikan maklumat ke otak. Stres atau tekanan hanya akan menyebabkan mood menjadi negatif dan mengurangkan kebolehan untuk belajar dan mengingati hingga 45 peratus.

Senyuman akan menyihatkan, menenangkan dan akan mudah belajar. Tiada apa untuk dirugikan.

Maka, Tersenyumlah...

=)

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, May 18, 2011

Komunikasi Diri...



Perhubungan dapat dikategorikan kepada dua bahagian secara amnya iaitu perhubungan luaran dan perhubungan dalaman. Perhubungan luaran adalah bentuk perhubungan yang dilakukan dengan orang lain yang dihubungi. Manakala perhubungan dalaman pula merupakan bentuk perhubungan yang dilakukan dengan diri sendiri.

Perhubungan sangat berkait rapat dengan cara kita berkomunikasi kerana perhubungan hanya dapat berlaku apabila telah berlakunya komunikasi. Oleh itu, komunikasi juga berlaku dalam dua bentuk - komunikasi luaran dan komunikasi dalaman.

Dan keberjayaan sesuatu perhubungan pula sangat-sangat berkait rapat dengan nilai kepercayaan. Kepercayaan kepada orang yang dihubungi menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi luaran yang berlaku manakala kepercayaan kepada diri sendiri menentukan keberjayaan hubungan dan komunikasi dalaman pula.

Sekiranya kepercayaan seseorang itu tinggi terhadap dirinya sendiri, maka ia akan berjaya dalam komunikasi dengan dirinya sendiri.

Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku samada secara dalaman atau luaran.

Dan perlu ditekankan bahawa komunikasi luaran, banyak dipengaruhi oleh bentuk komunikasi dalaman terlebih dahulu. Hal ini kerana kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika baik kemahiran komunikasi dalaman ini, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam kehidupannya.


Baiki Komunikasi Diri

Dalam hari-hari yang dilalui, kita sering membincangkan bagaimana seseorang dapat membaiki perhubungan dengan orang lain melalui komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu perhubungan dengan dirinya sendiri dengan cara berkomunikasi.

Sedangkan komunikasi terhadap diri sendiri inilah yang banyak membentuk dan mengarah komunikasi kita degan orang lain. Misalnya orang yang sentiasa memandang dunia ini hanya dipenuhi dengan kesedihan, dan sering berkata kepada diri sendiri "Aku tidak bahagia", mana mungkin mampu untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Kerana itu, faktor utama agar komunikasi dengan diri sendiri ini dapat berjaya adalah faktor kepercayaan. Kepercayaan untuk memyakini kebolehan, kemampuan dan kelebihan diri sendiri.
Kerana itu, Islam meletakkan sifat syukur dan qanaah ditempat yang tinggi agar diri sendiri dapat menerima dan mempercayai kebolehan dan kemampuan diri. Selain itu, Islam membentuk sitem kepercayaan (belief system) penganutnya untuk percaya dengan yakin bahawa segala yang berlaku terhadap diri adalah yang terbaik untuk dirinya yang ditentukan oleh Allah. Sekali pun perkara yang berlaku itu adalah kegagalan. Kerana ia adalah sebagai ujian yang bersesuaian dengan keupayaannya, tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan darjat diri. Kepercayaan inilah yang menjadikan umat Islam sentiasa positif dan mengekalkan nilai-nilai positif dalam diri.

Keyakinan ini pula banyak dibentuk oleh keluarga, suasana, kawan-kawan dan pengalaman-pengalaman dalam kehidupan. Jika keyakinan yang dibentuk itu adalah keyakinan yang positif, maka positiflah komunikasi dalaman yang berlaku. Dengan keyakinan yang membantu kmunikasi dalaman yang positif akan menjadikan seseorang itu lebih rajin, positif dan optimis. Perkara yang sebaliknya pula akan berlaku andai keyakinan yang dibentuk tu adalah keyakinan yang negatif.

Sikap tidak mempercayai diri sendiri lebih merosakkan diri daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Mereka yang tidak meyakini dengan keupayaan, kebolehan dan kelebihan dirinya sendiri tidak akan dapat mencapai kejayaan dalam hidupnya.

Maka, kepercayaan terhadap diri sendiri adalah penentuan kepada arah komunikasi dengan dirinya sendiri seterusnya perhubungan dengan dirinya sendiri yang seterusnya mempengaruhi perhubungannya dengan orang lain.


Faktor kedua keberjayaan dalam komunikasi dalaman ini pula ialah percakapan terhadap diri sendiri. Mengikut kajian, kita sebenarnya lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Namun, alangkah malangnya apabila 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Maka, untuk berjaya, kita perlu menukar percakapan yang negatif ini kepada sesuatu yang positif.

Oleh itu, katakanlah sesuatu yang positif kepada diri selalu, dan itu adalah petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri. Seterusnya percayalah terhadap diri sendiri agar komunikasi dalaman yang dilakukan berjaya.

Kerana itu kita disuruh untuk berdoa dalam keadaan kita mendengar dan mengetahui apa yang kita minta. Kita juga disuruh untuk memahami dan membaca dalam kadar kita dapat mendengar bacaan kita ketika solat. Bukanlah kerana supaya Allah dapat mendengar kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Tetapi supaya kita sendiri sentiasa membaharui kepercayaan dan setiasa kekal positif terhadap diri.

Jadi, semaklah apa yang sering kita katakan kepada diri kita sendiri.

"What you put inside is what will coming out"

Apa yang kita katakan terhadap diri kita sendiri jauh lebih penting daripada apa yang orang lain katakan terhadap kita. Oleh itu, katakan sesuatu yang positif kepada diri kita sendiri selalu, itu petanda kita telah bersangka baik terhadap diri sendiri...

INGATLAH, BERSANGKA BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI ADALAH MODAL UNTUK BERSANGKA BAIK KEPADA ORANG LAIN!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, July 5, 2010

Nota Hati Seorang Lelaki...

"Hujung akal adalah pangkal bagi apa?", saya bertanya kepada salah seorang sahabat saya.

"Huh?", balasnya kebingungan. Dia yang sedang asyik dengan jari dan hidungnya itu nampaknya terpinga-pinga dengan soalan yang saya ajukan secara tiba-tiba itu.

"Hujung akal adalah pangkal bagi apa?", saya mengulangi soalan.

Sahabat saya itu terdiam seketika. Untuk seketika, hanya alunan lagu nasyid dari pembesar suara milik sahabat saya itu sahaja yang mengisi bilik kami itu.

"Hmm... Entah, tak tau. Ape jawapan die?", akhirnya dia bersuara.

"Hujung akal adalah pangkal bagi agama!", saya memberikan jawapan.

Wajah sahabat saya itu berkerut seakan tidak bersetuju dengan jawapan saya itu. Sebelum sempat dia meluahkannya, saya menyambung kembali kata-kata saya.

"Ini adalah kata-kata Al-Hamka... Maksud kata-kata ini adalah kita akan menggunakan akal fikiran untuk berfikir. Sebagai contoh kita yang memerhatikan alam yang terbentang ini dengan akal pasti akan mengagumi keindahannya lantas tertanya siapakah pencipta disebalik segala ciptaan ini. Akan tetapi, dengan hanya menggunakan akal yang terbatas ini maka jawapan yang pasti bagi soalan tersebut tidak akan dapat terjawab. Maka di situlah agama hadir menjelaskan bahawa Allah s.w.t. adalah pencipta dan pentadbir bagi segala keindahan yang disaksikan itu. Dan hanya kepadaNya sahaja perlu kita abdikan segalanya... Bahawa kita yang tinggal di bumi Allah s.w.t. ini tertakluk di bawah peraturannya", jelas saya panjang lenar kepadanya.

Kerut-kerut yang tadi zahir di dahinya sedikit demi sedikit hilang di sebalik penjelasan saya itu tadi...

"Ana dapat dari buku tulisan Ustaz Pahrol Juoi. Ana suka penulisan dia", saya menjelaskan sumber pembacaan saya kepada sahabat saya itu.

"Ana ada bawak satu buku tulisan dia", jelas saya sambil mengeluarkan buku Nota Hati Seorang Lelaki tulisan ustaz Pahrol Mohd. Juoi dari beg lantas menghulurkan kepadanya.


"Bacalah. Ana suka tulisan di dalam buku ini. Dia banyak mengajak berfikir serta membetulkan cara berfikir dalam kilasan kata-kata dan gaya penulisannya yang cantik", ujar saya untuk menambahkan lagi keinginannya membaca buku tersebut.

"Ok...", balasnya sambil menyambut buku tersebut dari tangan saya.

Dan buat yang lain, maka saya menganjurkan untuk membaca buku ini, walaupun anda bukanlah pemilik hati sang lelaki...

Ia bukanlah buku yang dipenuhi dengan jawapan bagi segala masalah, tetapi memimpin untuk berfikir bagi mencari jalan yang sesuai untuk masalah yang ada...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, June 23, 2010

Mencari-cari al-Hikmah...


Dari sehari ke sehari, menulis menjadi semakin susah buat saya. Tidak tahu mengapa...

Bukan sahaja menulis, malah apabila berbicara sering kata-kata saya itu berbelit dan tunggang-langgang bunyinya.

Walaupun terdapat banyak perkara untuk disampaikan, namun mencari perkataan dan ayat yang sesuai dan juga mengandungi rasa empati, adalah amat sukar sekali kini. Mencari-cari dimanakah al-Hikmah di dalam diri.

Allah...

Mungkinkah kerana fikir yang kini sering bercelaru pada perkara yang tidak perlu. Atau zikir yang sudah jarang sekali beralun merdu...

Walaupun sering membaca (input), namun payah sekali memproses bahan bacaan tersebut agar dapat keluar menjadi sesuatu (output) yang berguna... Dikeluarkan dalam bentuk penulisan, lisan, apatah lagi perbuatan...

Adakah masalahnya terletak pada akal, atau berpunca dari hati? Akal kerana jarang berfikir? Atau hati yang sering melupai zikir?

Adakah saya kini semakin berjauhan dari Tuhan?

Ya Allah...
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”
Ali 'Imraan (3) : 190-191

Allah...

Jarang sekali kini saya melihat dengan mata dan hati akan kejadian Tuhan di langit dan bumi. Jarang sekali kini memerhatikan dengan mata dan hati akan kebesaran Allah dan melihat kekerdilan diri, lantas menyebut dan mengingati Allah Yang Maha Besar tatkala berdiri, duduk mahupun ketika terbaring...

Allah..

Mungkin itu silapnya. Saya hanya membaca untuk menambah tahu, bukan untuk mengenal. Saya melihat untuk mengetahui bukan untuk mengenali. Saya bertanya hanya untuk menghilangkan ragu bukan untuk merapati.

Tahu dan kenal itu ada garis pembeza antara keduanya. Tahu itu hanya pada akal, tetapi kenal itu menggunakan hati.

Walau berbeza namun saling berhubungan, tidak dapat dipisahkan...

Teringat pada ayat Allah dalam kitab yang mulia :

"Allah menganugerahkan al Hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan barangsiapa yang dianugerahi Hikmah itu maka sesungguhnya ia benar-benar telah dianugerahi kebaikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)."
Surah Al-Baqarah (2) : 269

Imam Ibn Qayyim ada menyebutkan bahawa "Apabila hati dihidupkan dengan tazakkur, disuburkan pula dengan tafakur dan dibersihkan daripada kekotoran, nescaya ia akan melihat perkara-perkara menakjubkan dan diilhamkan hikmah kepadanya".
(Al-Fawa'id : 128)

Al-Hassan berkata : "Sesungguhnya ahli bijaksana sentiasa menyilih-gantikan antara zikir dan berfikir, sehingga hati mereka menjadi subur, lantas mereka dapat bercakap dengan perkara yang berhikmah".
(Ihya' Ulum Al-Din : 5/6)

Allah...

Betapa jauhnya saya ini dari menggapai al-Hikmah yang dicari...

Biarlah hikmah berbicara di dada kehidupan justeru fikir dan zikir apabila bersatu dan bersepadu, akan muncullah makrufat, kebaikan dan kebajikan pada diri dan masyarakat. Fikir dan zikir itu ada buahnya – ilmu dari fikir itu buahnya amal, iman dari zikir itu bukan hanya angan-angan dan harapan!


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture