Lapan?' '1,2,3,4,5,6,7.....8?'
Wah, benarla... Itulah bilangan saf bagi solat subuh pada Ramadhan pertama di masjid berdekatan dengan rumah saya. Dan saya di saf yang kelima. Sungguh meriah dan bersemangat.
Berbuka Ramadhan Pertama
Sebiji kurma, beberapa potong murtabak daging, 3 keping roti bom dan air soya merupakan juadah berbuka saya pada Ramadhan yang pertama. Belum lagi dikira makanan yang dicedok dari pinggan dan mangkuk orang lain.
Fuh... Berpeluh! Jauh dari sunnah Nabi s.a.w...
'Ishk, camnolah nak dapek keberkatan kalo camnilah punyo gayo...'
“Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab (kurma basah), sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar(kurma kering) dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air”.
(Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Haiwan Teladan 2
"Nabi Sulaiman pun ambil semut tu dengan tangan die. Kecil je semut tu", cerita Kak Ady sambil menggayakannya.
"Tak patah ke semut tu?", tanya seorang adik dengan tulus, spontan dan selamba.
"Hahaha", terburai saya ketawa.
Sekadar perkongsian, ini adalah antara rancangan yang menemani saya pada Ramadan kali ini. Sebuah rancangan pendidikan berbentuk Islamik khusus untuk kanak-kanak pra-persekolahan dan awal persekolahan... Menarik. Sampai lagu temanya pun saya hafal. Sekali dengan gayanya sekali...
Mari bercerita tentang haiwan yang setia
Taatkan Allah Yang Maha Esa
Menjadi teladan untuk kita
Subhanallah Walhamdulillah Allahu Akbar
Ooo... Menjadi teladan untuk kita
Subhanallah Walhamdulillah Allahu Akbar
Haiwan teladan...
Melihat telatah adik-adik kecil ini sungguh mencuitkan hati. Dengan melihat gelagat mereka di kaca televisyen sahaja sudah memeningkan kepala, bagaimanalah pula rasanya pengacara yang mengendalikan sambil mendidik adik-adik ini... Hanya Allah dan mereka sahaja tahu. Terfikir saya beginikah saya sewaktu di tadika dahulu? Hmmm...
Dengan pendidikan yang disampaikan oleh Kak Ady, Abang Ayat dan Abang Amar melalui cara menyanyi, menari, bercerita dan aktiviti kreatif yang meriangkan, memudahkan adik-adik ini menerima pendidikan yang sesuai dengan tahap mereka.
Walaupun terdapat beberapa ruang yang saya rasakan boleh diperbaiki, namun secara keseluruhannya saya menyukai rancangan ini. Banyak juga yang saya pelajari melalui rancangan ini untuk tujuan mendekati adik-adik kecil seusia 4-8 tahun.
Open Secret
Alhamdulillah... Saya dapat menghabiskan membaca buku Life is an Open Secret-Ramadan Special : 25 Inspirational Stories From Ordinary Life Experiences pada Ramdhan ini. Buku berbentuk motivasi tulisan Sis Zabrina A. Bakar ini memang sangat menarik, ringkas dan mudah difahami.
Ramadhan dan kelebihannya yang disampaikan dalam bentuk cerita kehidupan sebenar dan lebih bersifat 'mengajak' ini memang memberikan kesan buat hati dan akal yang mahu melihat dan berfikir.
Semoga Allah memudahkan urusan penulis ini untuk terus berkongsi dan memberi...
Berita Besar
'Hari ni aku mesti bagitau jugak..', nekad hati saya. Berita yang lama saya tangguhkan itu perlu juga disampaikan kepada kedua ibu bapa saya.
Bermacam-macam gambaran perkara yang bakal berlaku terlintas di kepala. Namun, ia tetap perlu disampaikan. Sekaranglah masa yang sesuai. Dan andai semua gambaran yang bakal berlaku itu benar-benar terjadi, saya hanya pasrah pada Ilahi...
Dan setelah memberitahu mereka...
Respon daripada ibu bapa saya tidaklah seekstrim seperti yang saya gambarkan. Mereka menerimanya dengan tenang sekali.
Takbir
"Takbir... Takbir...", kata seorang ahli jemaah masjid dengan tangan dikepal menjulang ke udara sambil mendekati sekelompok jemaah masjid di bahagian belakang masjid yang sedang berborak.
"Kenapelah pak cik ni?", saya bertanya sendiri.
"Tak boleh dah...", sambut salah seorang ahli jemaah masjid dari kelompok itu. Dan yang lain pula tersenyum-senyum.
Beberapa ketika, segera saya menangkap apa yang berlaku. Pada siang hari tersebut telah diadakan pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir...
Dan keputusannya adalah seperti yang tergambar pada perlakuan ahli jemaah tersebut.
Baju Raya
Dah beli baju raya. Mula-mula tekad di hati ingin membeli baju warna merah jambu. Tekad... Mahu memecahkan tembok skeptik terhadap warna. Sudah tidak mahu berprejudis. Terhadap warna yang tidak berdosa.
Tapi bila telah sampai di kedai, jiwa lelaki saya mendesak-desak jangan dibeli warna itu...
Akhirnya saya menyuruh sahaja adik saya memilihkan warna untuk saya dengan pesanan "Abang tak mau warna merah jambu tau...". Dan dia telah memilih warna merah.
Terang. Terlalu terang. Ish.....
Banyak perkara menarik yang berlaku sepanjang Ramadhan ini. Alhamdulillah semuanya memberikan pengajaran yang tersendiri kepada saya.
Bagaimana pula dengan anda? Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang telah lalu bagi saya, anda dan kita semua.
Kata adik-adik dalam Haiwan Teladan 2...
"Sayang Allah
Sayang Nabi
Sayang semuanya
Ilalliqo'....."
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.