Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Saturday, May 21, 2011

Kita Hanya Pemberi Ingat...


'Kem Sayangi Daku' telah seminggu berlalu. Dan pengalaman sepanjang kem ini menjadi sebahagian lagi kenangan kehidupan.

"Hidup hanya sekali. Jadi, buat baik biar sepuasnya", kata seorang sahabat kepada saya. Dan saya perpanjangkan pesannya ini di sini.

Kenangan ini akan sedikit demi sedikit sirna. Sebelum saya benar-benar lupa, maka penulisan ini bagaikan pahat yang akan saya ukirkan di batu maya untuk terus mengingatkan saya akan kehidupan kecil saya ini.

Alhamdulillah, kem ini dapat berjalan mengikut apa yang dirancang. Dan dapat diakhiri dalam keadaan yang baik seperti yang dimaklumkan oleh seorang sahabat. Bak kata orang, husnul khatimah.

Maaf kerana saya tidak dapat bersama sehingga ke akhir kem.

Terima kasih buat seorang sahabat yang menghantar mesej yang saya terimanya sewaktu sedang bersiap-siap untuk ke kem ini. Mesejnya bertulis :

"Salam.dgr2 tgh program di SMP.untungnya antum.moga Allah xkn sesekali menguji dgn kufur pd nikmat diberi ruang utk memberi.salam pd semua di sana ;("
Ia banyak membantu saya...

Kem yang mengambil masa 3 hari 2 malam ini disertai oleh adik-adik SMK Perempuan Likas dan dijalankan di sekolah mereka. Semoga perkongsian sepanjang program ini berbekas kepada bukan sahaja semua peserta, malah kepada penganjur juga.

Para peserta program ini merupakan adik-adik pelajar yang dikatakan memerlukan sedikit perubahan dalam kehidupan mereka agar mereka lebih menghargai diri mereka sendiri dan kehidupannya serta dapat merasai kehidupan yang memerlukan kepada Tuhan. Agar mereka ini dapat menjadi mutiara berharga

Merancangkan pengisian yang sesuai untuk adik-adik di program ini juga sudah mencabar, apatah lagi melaksanakannya. Namun, tahniah kepada para AJK dan fasilitator yang terdiri daripada adik-adik dari BALKIS, fasilitator jemputan serta ahli PSS yang terlibat.

Tahniah juga buat adik-adik peserta yang mengikuti program ini kerana berjaya bertahan sehingga ke akhirnya.



Teruskanlah Memberi Ingat

Tidak dinafikan, kesabaran banyak kali teruji sepanjang program ini dengan kenakalan dan gelagat para peserta.

Tidak mengikut arahan, tidak memberikan kerjasama, bising, muka yang muram, kata-kata yang mengguris hati dan lain-lain.

Itulah antara rungutan para fasilitator, tidak terlepas juga dengan diri saya.

"Keras betul hati diorang nih. Kita perlu bertegas", antara kata yang saya dengar.

"Susah betul nak buka hati diorang, rasanya kita dah tak boleh nak terus berlembut", kata seorang yang lain.

Dan saya sendiri membenarkannya dalam diam.

Pendekatan yang dipilih sepanjang program ini adalah pendekatan yang lembut, banyak memuji dan melayan dengan kemesraan yang ikhlas. Namun, semua ini bagaikan tidak berkesan pada mulanya. Bagaikan tidak berjaya mengubah hati mereka.

Bertegas dan berkeras mula bermain-main untuk digunakan. Untuk menundukkan kekerasan hati yang dikatakan itu.

Namun saya dihantukkan di dahi dengan sebuah peringatan dari Allah dari KalamNya yang membuatkan saya bermenung sebentar. Setelah terhantuk, peringatan ini menundukkan saya ke bangku muhasabah dan memperingatkan kembali peranan saya dan keterbatasannya.

Maka berilah peringatan, karena sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.
Surah Al Ghaasyiyah (88) : 21-22

Ya. Tugas saya adalah pada memberi peringatan. Allah jugalah yang berkuasa mengubah hati manusia dengan mencampakkan hidayahNya yang amat berharga. Bukan fasilitator, bukan PSS yang akan mengubah hati adik-adik ini, tetapi Allah.

Cukuplah kisah Nabi Muhammad s.a.w. dengan pak ciknya menjadi pengajaran akan hakikat ini.

Dan dengan kesedaran inilah yang akan menggerakkan kita untuk terus berusaha memberi peringatan. Walaupun setelah habis berprogram, agar hidayah Allah akan turun juga ke dalam hati adik-adik peserta suatu hari nanti. Mungkin bukan sekarang, mungkin suatu hari yang tidak kita ketahui, kerana itu kita perlu terus berusaha memperingatkan mereka. Dan seterusnya berserah segalanya kepada Allah yang Maha Kuasa...

Dan inilah peringatan besar buat diri saya pada program kali ini.

Dan Alhamdulillah, program ini diteruskan lagi selepas selesai muhasabah fasilitator dan perlaksana. Bagaimana ia diteruskan dan bagaimana pengakhirannya, tidak saya ketahui kerana saya hanya sempat bersama hanya separuh perjalanan program. Namun, melalui gambar dan cerita, saya yakin ada kesan yang baik dari program ini.


Hargai Kehidupanmu

Buat adik-adik SMK Perempuan Likas (yang mungkin terbaca ini), abang mohon maaf andai ada kesalahan sepanjang abang berada di program tersebut. Semoga pertemuan singkat kita mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Jangan tinggal solat, dekatilah ustazah-ustazah dan juga orang-orang yang dalam ilmu agamanya, carilah kawan-kawan yang baik serta ikutilah persatuan-persatuan yang baik. Inilah sedikit pesanan buat kamu.

Selepas kem ini kamu akan kembali kepada suasana kamu yang asal. Andai suasana itu menghalang kamu dari perubahan yang lebih baik, ingatkanlah kembali perasaan sepanjang program ini.

Jangan bimbang seandainya kamu tidak dihargai, tetapi bimbanglah sekiranya kamu telah tidak berharga. Kamu menjadi tidak berharga apabila kamu berhenti menghargai diri dan kehidupan kamu sendiri... Abang mendoakan segala kebaikan buat kamu.





Saya bersyukur kepada Allah kerana berkesempatan mengikuti kem ini sebagai pelaksana dan dipertemukan dengan adik-adik yang berharga ini. Walaupun kem ini dilaksanakan untuk adik-adik di SMK Perempuan Likas, namun saya merasakan bahawa sayalah yang banyak beroleh pengajaran dan kebaikan dari pertemuan ini.

Terima kasih adik-adik peserta.

Terima kasih adik-adik AJK dan fasilitator.

Terima kasih sahabat-sahabat PSS.

Terima kasih Allah...

p/s : lebih gambar di sini

p/s : lebih cerita di sini

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture