Cerita ini bukan cerita sebenar. Bukan cerita motivasi atau cerita pengajaran buat diri. Juga bukan cerita rakyat mahupun hikayat. Hanya cerita yang dipahat dari tangan yang masih bertatih mencecah dakwat.
Asrama Sekolah
"Bang, nak biskut?", tanya seorang junior dari dorm sebelah.
"Wah! Boleh jugak. Ishk.. Ishk.. Baiknyer hati ko hari ni", balas saya sambil mencapai kepingan biskut yang dihulurkan. Baru sahaja beberapa minit bangkit dari lena, datang pula rezeki yang tidak disangka.
"Kat sebelah takde orang. Semua dah pergi prep, tinggal saye sorang je. Tuh yang datang jengok kat sini. Tengok-tengok ade orang..", balasnya sambil menguyah biskut Tiger perlahan.
"Eh! Dah waktu prep ke?", kata saya sambil menjeling ke arah jam dinding.
Jam 3.15 petang. 'Patutlah sunyi je..', detik hati saya.
"Ko tak pergi prep! Cis, baru tingkatan satu dah pandai bersifat nakal ye! ", bentak saya dengan mata terjengil persis seorang abang senior yang concern dengan kemaslahatan dan perihal adik-adik juniornya.
"Saya kurang sihat la bang.. Dah bagitau warden tadi", katanya dengan manik-manik keringat memenuhi dahi dan pipi yang kemerah-merahan.
'Patutlah berjaket siang-siang macam ni', desis hati saya. "Oh... takpe, takpe, dimaafkan...", saya memaafkannya bagaikan sayalah warden bertugas pada hari itu.
"Abang tak pergi prep ke?", tanyanya.
"Abang? Er.. Abang ye... Hm... Hah,tengok tuh! Cantiklah kipas tuh berpusing-pusing. Penuh seni...".
Asrama Matrikulasi
"AREP! AREP! AREP!" teriak seorang kawan saya dari kejauhan.
Saya terkejut. Mengapa? Sepertinya ada sesuatu yang serius telah berlaku dan memerlukan saya untuk menyelamatkan keadaan.
Bunyi derapan tapak kaki berlari-lari di koridor semakin jelas kedengaran. Semakin lama semakin hampir.
Akhirnya terjongol rakan saya di hadapan muka pintu bilik yang tidak tertutup itu dalam keadaan tercungap-cungap.
"AREP! AREP! AREP!", sambungnya.
"Kenape?", tanya saya. Cemas dan penuh rasa ingin tahu...
"Takde pape. Saje je nak jerit name ko sambil berlari-lari. Sehat.", jawabnya selamber.
Geram. Kalaulah dia itu lebih rendah, sudah lama saya jengahkan sekeh ke dahinya...
"Nak pinjam katil jap. Nak tido la. Bilik aku panas. Kipas slow giler...", pintanya.
Saya hanya mengangguk tersenyum.
"Nanti Asar kejutkan aku", pesannya ringkas sebelum menghanyutkan dirinya di katil orang.
Saya yang sedang menyiapkan laporan makmal pada waktu itu makin melebar senyuman melihat gelagatnya. "Ok..", balas saya kembali meneruskan kerja.
"Rep, ade budak pempuan kelas aku suruh ucap terima kasih...", katanya dalam keadaan mata terutup dan dengan sisa-sisa kesedaran yang masih berbaki.
Saya berkerut seribu. Tertanya-tanya siapakah gerangan yang mengucapkan terima kasih itu dan apakah bentuk pertolongan yang telah saya berikan...
Semalam saya ada tertidur di kelas tatkala semua guru bermesyuarat. Mungkinkah saya ada berjalan ketika tidur dan pergi ke kelas orang yang saya tolong itu lalu membantu menyelesaikan masalah matematik bahagian logaritma yang dihadapinya.
'Ah tidak mungkin...', hati saya menidakkannya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mana mungkin perkara ini berlaku kerana sewaktu saya sedang jaga pun belum tentu saya dapat menyelesaikan masalah logaritma saya sendiri.
Saya hanya tersenyum sendiri...
Saya berpaling untuk melihat kawan saya yang menumpang tidur di katil saya. Hampir terjatuh saya dari kerusi apabila melihat mukanya betul-betul dihadapan saya dengan dahi yang berkerut dan mulut yang menganga melihat saya...
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.