Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Friday, January 15, 2010

Monolog Pagi Ini...


Jendela bilik berwarna jingga masih tertutup. Kipas dinding yang sedang berputar pada kelajuan perlahan menghembuskan anginnya. Walaupun pada kelajuan yang perlahan, hembusannya sudah cukup untuk menyejukkan. Pemanas air elektrik yang baru sahaja dihidupkan tadi sedang perlahan-lahan memanaskan air di dalamnya.

Ahh~~

Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.

Di luar sebentar tadi langit mula kebiru-biruan. Kosong tanpa awan. Rerumput dan dedaunan pula dibasahi titisan embun pagi. Embun yang bagaikan hujan yang tidak kelihatan, membasahkan bumi lantas menyelubunginya dengan kedinginan. Udara pagi yang disedut terus terasa dinginnya hingga ke paru-paru. Menghidupkan suasana subuh yang biasa. Biasa-biasa yang luar biasa. Emm... Dingin subuh ini begitu terasa. Dan masih lagi dirasai.

Ahh~~

Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.

Dan aku dihadapan komputer riba milik Hafiz ini, cuba menterjemahkan segalanya dalam bentuk kata-kata. Tapi, tiada perkataan yang mampu untukku menghuraikan segalanya. Dengan bertemankan nyanyian Ayushita yang berjudul Tuhan Beri Aku Cinta, aku terus menaip. Dalam keadaan sebegini, yang mana sedang mendengar lagu cinta dan menulis bait-bait sebegini, mudah sahaja aku disalah ertikan sebagai seorang yang 'jiwang'. Namun, ketepikanlah apa yang ingin dikatakan oleh orang. Kerana kini aku sedang bersendirian di bilik ini. Dengan jari-jari yang terus cuba melakar segalanya. Segalanya tentang pagi ini.

Ahh~~

Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.

Hari semalam seakannya kelam. Bagaikan tiada lagi senyuman untuk esok. Namun hari ini, ternyata nafas masih teratur, roh dan jasad masih bersatu, dalam tingkah meneruskan esok untuk semalam yang kusam. Semalam yang duka tidak bermakna hari ini juga akan sama. Hari semalam, kita harus banyak menangis, kerana mungkin Allah sedang menyiapkan sesuatu agar kita tersenyum indah pada hari ini. Mungkin juga hari ini hanya akan menyambung kelam semalam, kerana senyuman itu adalah untuk hari esok. Namun andai bukan esok, pasti Tuhan menyimpannya untuk kehidupan yang abadi nanti...


Alhamdulillah, ku bersyukur kepadaMu. Kerana masih memberikanku peluang untuk terus menikmati hari ini.


Ahh!

Kata-kataku hanya akan mencacatkan keindahan pagi ini. Biarlah aku terus menikmatinya sahaja...


Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.


Kesyahduan pagi ini terasa membaluti diri. Seakan dipeluk kasih sayang Ilahi.

Alhamdulillah...


Catatan 1 Jan 2010
6.00 pagi
Kota Kinabalu, Sabah


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture