Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Monday, June 8, 2009

Muktamar PAS Pusat Kali Ke-55

"Wah, banyak nye gerai....", saya meluahkan kekaguman saya.


"Kite pergi jalan-jalan jap sementara tunggu kawan aku tu datang. Dia dah simpankan dua pas pemerhati untuk kita", Hanafi menyuarakan ajakannya.



"Pendaftaran untuk pemerhati! 5 ringgit, 5 ringgit! Hah bang, meh daftar sebagai pemerhati...", seorang petugas mempromosikan pas pemerhati muktamar di gerai paling hadapan dan bersebelahan dengan booth Nisa'. Memandangkan telah ada sahabat yang menyimpankan pas masuk untuk kami, maka kami hanya tersenyum-senyum sahaja kepada petugas tersebut.


Inilah pas pemerhati untuk Muktamar kai ini...


Muktamar PAS Ke-55 kali ini menghimpunkan lebih 400 penggerai yang menjual berbagai-bagai jenis barangan.. Cuba bayangkan berapa banyak kanopi yang digunakan.

Antara gerai-gerai yang menarik perhatian saya adalah gerai-gerai yang menjual buku-buku agama. Buku 'Kesan-kesan Dosa Terhadap Hati' keluaran Anbakri Publika yang saya cari, terjual di gerai Anbakri Publika dengan potongan harga sebanyak 15%.

Booth Anbakri Publika Sdn. Bhd.


Peluang ini pasti tidak saya lepaskan. Segera buku itu saya gapai beserta sebuah lagi buku terbitan Anbakri Publika iaitu buku bertajuk 'Bidadari Dari Syurga'. Selain dua buku ini, saya juga membeli buku bertajuk 'Bingkisan Fikrah Untuk Pejuang' tulisan Ustaz Nasrudin Hj. Hassan At-Tantawi yang dijual dengan potongan harga RM5.


Alhamdulillah, Allah telah memudahkan perjalanan saya untuk menghadiri muktamar PAS Pusat pada kali ini. Ini juga merupakan muktamar PAS Pusat yang pertama saya hadiri. Seronok rasanya dapat menghadiri muktamar kali ini.

Saya hanya berkesempatan melihat perjalanan muktamar pada hari Sabtu sahaja bersama seorang teman semasa di sekolah menengah dan matrikulasi. Walaupun hanya sehari, namun banyak perkara yang dapat saya perolehi. Dapat juga bertemu sahabat-sahabat dari UMS yang antaranya Hafiz, Hafiz KAL, Nadir, Ashrul, Abg Roslan dan Abg Firdaus. Sempat juga bertegur sapa dengan Ustaz Nahar dan Ustaz Abu Nuha yang tidak lekang dengan kameranya...

Satu yang begitu menyentuh perasaan saya sepanjang berada di sini adalah suasananya yang mengingatkan kembali dengan keadaan sekolah menengah saya. Di mana yang muslimat ramai bertudung labuh dan yang muslimin ramai yang berkopiah dan bersongkok. Sungguh damai pemandangannya.

Hanafi, rakan sewaktu di sekolah menengah dan matrikulasi...


"Islam Memimpin Perubahan" adalah tema yang saya rasakan amat baik. Siangnya saya sempat mendengar perbahasan ucapan dasar dari beberapa perwakilan. Sempat juga menyaksikan sedikit gimic yang dilakukan. Setiap kata sarat dengan fakta, sejarah, pandangan, nasihat serta dalil menjadikan mengikutinya tidak sia-sia. Allahu Akbar....



Pada sebelah malamnya pula, saya dan Hanafi sempat mengikuti ceramah perdana yang dianjurkan. Kehadiran kami turut disertai oleh Abdullah dan Amirul yang juga merupakan sahabat sewaktu di sekolah menengah dahulu. Terasa begitu lama tidak bersua. Pertemuan seketika itu, cepat mengeratkan kembali ukhuwah yang kian longgar oleh jarak dan masa.

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara...."
Surah AL-Hujuraat(49) : 10


Amirul (berbaju putih) dan Abdullah (berbaju belang),
sahabat yang lama tidak bersua...


Ceramah daripada Tok Guru Nik Aziz adalah slot yang paling dinantikan. Namun, gilirannya berucap diletakkan pada bahagian terakhir sekali. Turut sama pada malam itu, adalah salah seorang daripada pemimpin HAMAS. Beliau turut memberikan sedikit ucapan yang banyak mengingatkan kembali akan usaha pembebasan Al-Quds. Namun, tatkala beliau menyampaikan ucapannya dengan bantuan penterjemah, saya terpaksa menghantar Abdullah dan Amirul pulang ke rumah mereka.


Selesai ceramah dan bacaan doa daripada Tok Guru, saya dan Hanafi beredar dari Stadium Melawati. Kami bersyukur kerana dapat memerhatikan sendiri permulaan kepada suatu perubahan. Insya Allah....



"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran."

Surah Al-'Asr (103) : 1-3


Tidak terasa rugi sepanjang berada di sini....



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture