Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Wednesday, June 17, 2009

KULIAH CINTA ILAHI - Salju Diulit Buntu

'Ape la yang aku nak cakap nanti nih...'.

Saya termenung sendirian. Kepala saya terus berkelintar ligat mencari idea dan kata-kata untuk majlis sebentar nanti. Sesekali, ibu jari di tangan kanan, saya jentikkan pada gigi hadapan. Tidak tahu sejak bila ia mula menjadi kebiasaan.

Beberapa orang AJK kelihatan mundar-mandir di hadapan pentas. Menyiapkan persiapan terakhir sebelum majlis bermula. Masing-masing dengan raut wajah yang menggambarkan kegelisahan.

Para penonton mula memenuhi kerusi dewan Canselor. Ada yang berbaju biru, ada juga yang berbaju hijau. Ada yang bersonggok, tidak kurang juga yang berkopiah. Ada yang bertudung labuh, juga yang bertudung segi tiga, bahkan ada juga yang membelit-belit disekeliling kepala.

Macam-macam...

Saya terus mencari idea.

Sepanjang hari tersebut saya tidak berkesempatan untuk membuat persediaan rapi untuk forum ini kerana disibukkan dengan kerja di tapak expo. Expo yang baru memasuki hari pertama itu sudah pun menyesakkan dada. Memikirkan perjalanan expo yang berbaki empat hari lagi boleh sahaja menggugurkan jantung di dalam dada.


Sepanjang berada di tapak Expo Produk Halal, seboleh mungkin saya tersenyum bersahaja. Mengelakkan diri dari menjadi ketua yang asyik berkerut muka. Yang asyik meninggi suara. Yang asyik menjengil mata. Akibat tekanan kerja dan tekanan suasana.

Saya berhajatkan program yang ceria dan gembira, serta berjalan dalam batasan yang dibenarkan. Kerana itu, walaupun saya mempunyai 1001 alasan untuk meledakkan kepanasan, cepat-cepat saya carikan 1002 kebaikan untuk menggembirakan.

Cuba mengurangkan prasangka buruk, prejudis serta tanggapan bahawa saya sahaja yang telah banyak melakukan kerja.

Semua ini memerlukan saya untuk membetulkan cara saya memandang...

Kesejukan dewan semakin terasa. Saya gilirkan urutan ke atas tapak tangan kanan dan kiri bagi mengurangkan rasa sejuk. Sesekali saya menggosok laju kedua-dua tapak tangan lalu meniupnya perlahan.

Saya cuba memandang sudut positif bagi setiap perkara yang telah menimpa dan terjadi. Agar ia dapat dilihat dari pandangan sisi yang optimis dan bukannya pesimis...

Saya meyakini bahawa penciptaan saya bukanlah perkara yang main-main dan sia-sia.

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
Surah Al-Mu'minun (23) : 115

Kerana itu, setiap yang menimpa dan berlaku bukanlah perkara yang main-main dan sia-sia. Pasti ada pengajaran dan hikmah disebaliknya.

Saya cuba untuk memandang dengan menggunakan mata lebah yang tetap mencari bunga pada longgokan sampah. Bukan dengan mata lalat yang hanya ternampak sampah pada timbunan bunga.

Sejuk semakin menggamit rasa. Saya menyeluk saku dan meraba-raba mencari telefon bimbit.

Saya memandang jam pada telefon bimbit Nokia Man (Pulau) yang saya tukarkan dengan telefon bimbit saya. Hanya beberapa minit sahaja lagi sebelum masuknya waktu Isya'.

"Arif, jom ke surau", ajak abang Salman yang juga merupakan pasangan moderator saya. Dia yang duduk tidak jauh dari saya, bangun dan bergerak meninggalkan kerusi dewan. Saya mengikuti di belakangnya.

Sedang dalam perjalanan menuju ke surau, teringat saya pada kelas yang berlangsung paginya tadi. Alhamdulillah... Tetap tidak ditinggalkan kerana letaknya ia pada prioriti paling tinggi.

Sebagai seorang mahasiswa, saya masih berpegang pada tanggungjawabnya. Nekad di hati, walau sesibuk manapun diri di dalam aktiviti, sedaya mungkin kehadiran ke kelas tidak akan dimungkiri.

Alhamdulillah... Saya semakin sedar dan semakin berubah untuk yang ini.

20 minit termenung di dalam dewan, telah sahaja membuatkan diri saya kegigilan dan tangan saya putih kepucatan. Antara kesejukan dan kegentaran..

Apabila masuknya waktu Isya', saya bersolat di surau dewan tersebut. Waktu inilah saya menenangkan diri dan keluar sebentar dari segala masalah dunia. Saya larut dalam ingatan kepada Tuhan. Dalam rasa kehambaan kepada Rabb yang Maha Besar, diri terasa aman sebentar...



"... Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati-hati menjadi tenteram."
Surah Ar Ra'd (13) : 28


Mungkin inilah antara kebaikan yang Allah ingin berikan. Untuk diri senantiasa merasakan kekurangan. Dan hanya Allah sahajalah tempat diri menggantung harapan. Agar saya kembali kepada perasaan berTuhan...


Selesai solat, saya diminta bersegera ke ruang makan VIP untuk bersapa dengan ahli panel jemputan. Ustazah Dato' Siti Norbahyah dan Ustaz Nurazamuddin adalah dua panelis yang bakal mengupas tajuk perbincangan forum sebentar nanti.

Saya tidak banyak bercakap sebelum majlis bermula. Selesai mendapatkan profil diri dua panelis tersebut, saya lebih asyik bersendiri memikirkan butir bicara untuk forum nanti sambil berusaha untuk meredakan gigil diri yang bagaikan tidak mahu berhenti. Terasa bersalah pula kerana tidak banyak berbicara bersama kedua-dua ahli panel. Seakan-akan tidak meraikan mereka pula.

Nasib baik ada ajk-ajk yang tidak membiarkan mereka sunyi...



"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Surah At-Taubah(9) : 71


"Siap... Mau start sudah ni. Jom kita ke pintu masuk utama dewan", seorang AJK memberitahu saya dan Abang Salman. Saya dan Abang Salman bangun. Kami saling berpandangan, sebelum bergerak meninggalkan ruang makan itu...

Dan saya bermohon di dalam hati....

'Ya Allah! Berikanlah aku kekuatan dan kelancaran tutur kata, agar mereka faham kata-kataku...'.


Bismillah...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture