Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Thursday, June 25, 2009

Makanan Semenanjung Menjadi Pilihan

"Sekarang ni ade lima program. Enta nak pergi yang mana satu?" tanya Hafiz kepada saya. Masuk kali ini dah sepuluh kali dia bertanyakan soalan yang sama kepada saya.


Saya terdiam seketika...

  1. Kem Ramaja Islam di Pitas
  2. Kem Ramaja Islam Politeknik di Tuaran
  3. Kem Kepimpinan di Sekolah Menengah Agama Tun Said.
  4. Kem Pemantapan Aqidah di Sekolah Menengah Bongawan.
  5. Festival Makanan Semenanjung di Surau Astral.

'Mana ruang yang tenaga aku dapat digunakan sepenuhnya?' hati saya berbisik.

............


Setelah puas membuat pertimbangan, akhirnya saya memilih untuk membantu Festival Makanan Semenanjung. Walaupun keputusan ini mungkin mengundang berbagai perspektif, namun hati saya senang dengan pilihan ini.

Hasan bin Ali melaporkan, katanya, "Saya hafal suatu ucapan Nabi Muhammad: 'Jauhi apa-apa yang meragukan saudara. Beralihlah kepada apa yang tidak meragukan saudara.'"
HR Tarmizi


"Ana ikut Festival Makanan Semenanjung lah" saya memberikan jawapan.

Yakin.

Pertimbangan ini termasuklah pandangan yang mungkin akan saya terima dari sahabat-sahabat yang telah saya berikan persetujuan untuk bersama-sama mereka ke Kem Remaja Islam di Pitas. Adakah mereka akan marah? Adakah mereka akan bersangka buruk?

Akhirnya, saya sedar bahawa saya terlalu bersangka buruk dengan mereka. Astaghfirullah.

'Masakan mereka tidak akan memahami' detik hati saya. Lalu saya membuang jauh prasangka diri dan berkeyakinan bahawa mereka pasti akan memahami. Hanya ucapan maaf sahaja yang mampu diucapkan sewaktu memberitahu salah seorang sahabat tersebut bahawa saya telah membuat keputusan untuk ke Festival Makanan Semenanjung. Dan memang benar, tiada masam muka darinya malah mendoakan saya dan minta didoakan agar dipermudah segala urusan.

Lega...

Dan saya fokus untuk membantu Festival Makanan Semenanjung. Bersedia untuk dikerahkan segala tenaga. Tidak mahu kejadian lalu berulang semula.

Banyak juga kerja luar duga dan luar biasa yang saya diminta untuk melakukannya.

Alhamdulillah... Kerana telah bersedia, tiada masalah besar yang saya rasakan.

- Sumber : Abu Nuha Corner

Pernah pada suatu masa yang telah lalu, saya diminta untuk menjadi fasilitator dalam satu program perkhemahan. Pada masa yang sama, saya berhadapan dengan masalah yang benar-benar mematikan semangat saya.

Jika ditimbang semula, saya harusnya menolak permintaan tersebut untuk mengelakkan masalah saya itu mempengaruhi pembawaan saya semasa program. Namun, atas sebab ingin menolong sahabat, saya menerima juga permintaan tersebut.

Hasilnya, saya kerap 'lari' sepanjang program berlangsung. Dan sebagai senior, tiada yang sudi menegur. Saya kurang meluangkan masa untuk bersama-sama dengan para peserta, mengenali dan membantu AJK program serta dan tidak menyampaikan dengan baik kehendak penganjur kepada peserta.

Dan..

Sehingga kini saya akan merasa bersalah apabila terkenangkan kembali peristiwa tersebut.

Bersalah terhadap penganjur.

Bersalah terhadap peserta.

Yang lebih utama, bersalah terhadap Allah.

Semoga Allah dan yang lain sedia memaafkan saya.

Atas sebab ini, setiap kali menerima pelawaan program, saya akan bertanyakan kepada diri sendiri terlebih dahulu.

'Adakah tenaga aku dapat digunakan sepenuhnya?'. 'Adakah aku dapat memberikan komitmen?'. 'Apa yang perlu aku lakukan kalau aku pergi nanti?'. 'Adakah aku mampu melakukannya?'. 'Apa yang mengganggu aku sekarang, dan adakah akan mempengaruhi aku nanti?'. 'Bagaimana untuk aku mengatasinya?'.

Dan pertanyaan akhir yang biasa saya tanyakan pada diri adalah 'Adakah aku perlu menerima atau menolaknya?'.

Agar nanti, saya bersedia untuk memberi. Memberi yang terbaik mengikut kemampuan diri. Memberi dengan hati yang mangingati Ilahi. Bukan dengan hati yang mati.

Hati yang tiada perasaan, tiada harapan.

Saya bukanlah motivator atau fasilitator terlatih. Dan saya menyedari kekurangan ini. Setiap program yang saya pergi bukan tempat untuk bereksperimentasi tetapi adalah tempat untuk mengimplementasi.


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya..."
Surah An-Nisa' (4) : 58

'Jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua'.

Namun bagi saya, tidak dalam mendidik. Sama ada semua atau tiada...

Untuk perkara ini, saya bersedia mendengar pendapat yang berlainan mahupun nasihat.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 22, 2009

Tazkiyatun Nafs

"Kau pergi tak petang nih..."

"Pegilah.. Bukan wajib ke? Ha, ko jangan nak lari!"

Peristiwa yang berlaku sewaktu saya di tingkatan dua ini terimbau kembali. Terimbau secara tiba-tiba. Anda juga pasti pernah teringatkan sesuatu secara tiba-tiba bukan? Jika pernah, maka maknanya kita adalah normal.

Oklah, kita sambung balik cerita.

Saya masih ingat lagi bahawa pada ketika itu, semua 'pelajar luar' perlu untuk mengikuti satu pengisian luar kelas selepas waktu persekolahan yang dilakukan oleh pihak sekolah. Pengisian rohani ini dikendalikan sendiri oleh ustaz-ustaz sekolah saya.

Saya berterima kasih kepada mereka untuk ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah makna 'pelajar luar' yang saya maksudkan. Adakah mereka ini pelajar yang menumpang di sekolah lain kerana bangunan sekolah mereka dimasuki anjing? Atau adakah mereka ini pelajar yang dianak tirikan? Atau adakah mereka ini pelajar luar bandar?

Baiklah... Sebelum imaginasi anda pergi terlalu jauh, saya ceritakan perihal mereka yang digelar 'pelajar luar' ini terlebih dahulu.

Ceritanya berbunyi begini...

Termaktublah sudah sekolah saya adalah sebuah sekolah berasrama harian. Dengan dari itu, tidak semua pelajarnya tinggal di asrama. Ada yang berulang-alik dari rumah ke sekolah. Yang tinggal di asrama sinonim dengan panggilan 'pelajar dalam' dan sebaliknya pula bagi pelajar yang tidak tinggal di asrama, lebih diertikan sebagai 'pelajar luar'.

Dan begitulah ceritanya...

Dan sekadar perkongsian kepada anda, saya merupakan pelajar luar sedari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dan memasuki asrama semenjak tingkatan 4 hinggalah tingkatan 5.

Pengisian ini diberi nama sebagai "Tazkiyatun Nafs". Tazkiyatun Nafs ini maksudnya penyucian diri... Jadi, berdasarkan namanya sahaja saya rasa anda dapat menjangkakan tujuan dan objektif umum pengisian ini.

Program ini berbentuk usrah yang dikendalikan oleh ustaz sekolah saya. Cuma saya sahaja yang pada waktu itu belum lagi mengerti bahwa apa yang ustaz saya itu lakukan adalah sebuah usrah. Saya hanya menganggapnya sebagai suatu bentuk pengisian rohani yang biasa...

Masih naif lagi masa itu.

Walau bagaimanapun, itu bukanlah objektif utama penulisan saya pada kali ini. Apa yang saya ingin kongsikan sebenarnya adalah pada waktu inilah saya dikenalkan dengan sebuah penulisan Al-Marhum Ustaz Syeikh Fathi Yakan yang popular. Ia adalah makalah yang bertajuk "Apa Erti Saya Menganut Islam" atau ما ذا يعنى إنتمائي للإسلام . Dan ia dijadikan rujukan utama dalam usrah kami ini.

Kini, 9 tahun telah berlalu...

Saya benar-benar bersyukur kerana telah didedahkan dengan satu penulisan yang sehingga kini masih menjadi rujukan bagi sebahagian besar usrah terutamanya yang masih berada di marhalah ta'aruf. Bertambah-tambah lagi kesyukuran saya kerana telah didedahkan seawal waktu itu.

Alhamdulillah...



13 jun 2009, 09:51:55pm

Saya menerima satu pesanan ringkas daripada seorang sahabat yang juga seorang rakan seperjuangn di universiti yang berbunyi :


"Salam..brte y bru dtrima drpd syria.. ALFATIHAH kpd tokoh gerakan Islam y sgt kta segani sheikh fathi yakan telah mnnggal dunia sbntar td.."


Saya terkesima dan seakan-akan tidak mempercayai berita tersebut. Anda juga pasti telah mengetahui akan berita ini, bukan?

Saya pada ketika itu sedang berada di Batu Pahat, Johor bersama-sama keluarga serta sanak saudara sempena majlis perkahwinan seorang sepupu perempuan saya. Keletihan membasuh pinggan, mangkuk serta perkakasan kenduri petangnya tadi masih lagi terasa. Ditambah lagi dengan keadaan badan yang dirasakan seakan-akan mahu demam, membuatkan sukar bagi saya untuk berfikir.

Atas faktor ini maka, saya tidak melakukan apa-apa untuk memastikan kesahihan berita tersebut. Namun, saya tetap membacakan Al-Fatihah di dalam hati.

Selepas beberapa hari atau lebih tepatnya pada hari Selasa, barulah saya mendapatkan kesahihan berita ini menerusi internet... Sedih rasanya pada ketika itu, malah begitu juga kini.

Dunia telah kehilangan seorang mujahid... Kembalinya ke rahmatillah, satu kehilangan besar buat perjuangan ini. Walaupun seminggu sudah pemergiannya, ia masih lagi terasa. Membaca latar belakangnya sahaja sudah mampu membuatkan saya terasa amat jauh dari perjuangan sebenar.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga roh Al-Marhum Dr. Fathi Yakan ditempatkan di kalangan para solihin dan siddiqin.
Al-Fatihah buat beliau.





"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki."


Surah Ali 'Imran (3) : 169

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, June 19, 2009

KULIAH CINTA ILAHI - Dan Cinta Itu Bertasbih

"Dipersilakan moderator pertama, Saudara Arif Ainuddin untuk mengiringi ahli panel kita pada malam ini untuk mengambil tempat di atas pentas". Pengerusi majlis memberi 'signal' kepada saya dalam ucapannya.

Saya perlahan bangun dan mempersila kedua-dua ahli panel naik ke atas pentas. Kami berhati-hati melangkah dan mendaki tangga pentas Dewan Canselor yang gah itu. Dewan yang kelihatan seakan sebuah gong itu bakal mencatat sebuah lagi memori pada malam yang barakah itu.

Di atas pentas, kami mengambil tempat masing-masing dengan saya di bahagian paling kiri penonton, Ustaz Azamuddin di tengah-tengah dan Ustazah Norbahyah di bahagian kanan penonton.

Mata saya alihkan ke arah penonton.

'Ya Allah! Ramainya orang...' hati saya berbisik. Inilah kali pertama saya dihadapkan dengan jumlah hadirin yang seramai ini.



Semuanya kelihatan kabur sahaja. Untuk seketika, otak tidak mampu untuk berfikir apa-apa. Nasib baik hanya untuk seketika..

Seram sejuk dirasakan. Tangan saya terketar sendiri. Puas saya gilirkan urutan ke atas tapak tangan kanan dan kiri, namun tetap ia tidak mahu berhenti. Mengurut tidak menjadi, maka saya mula menulis dengan harapan agar ketar itu tiada lagi. Apa sahaja yang terfikir, semua saya nukilkan bagi membiarkan jari-jemari ini menari-nari.

Dan kaedah ini seakan menjadi. Ketar itu perlahan-lahan pergi.

Pengerusi majlis menyerahkan majlis kepada Abang Salman di bahagian penonton yang merupakan moderator kedua bagi malam itu. Abang Salman bermula sederhana.

Selepas beberapa ketika....

"Ya, seterusnya saya menyerahkan majlis kepada adinda Arif yang telah besedia di atas pentas sana. Silakan", abang Salman menamatkan sesinya untuk pusingan pertama.

"Terima kasih kepada Abang Kasman di bawah sana. Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.....", saya meneruskan bicara.

'Ya Allah! Silap pulak! Aduss....', gerutu hati saya sambil mulut terus mengatur ayat menyusun bicara.

'Camne la Abang Salman boleh jadi Abang Kasman.. Ya Allah! Selamatkanlah aku...'

Kesalahan yang berpunca dari kenangan saya yang pernah berforum bersama-sama Abang Kasman berlaku tanpa sempat saya menghalangnya. Cepat-cepat saya cuba sembunyikan dengan melebarkan lagi senyuman.

Saya kini dihadapan hanya berbekalkan sidikit ilmu pengetahuan dan sedikit keupayaan spontan. Terhadap perkara cinta yang jarang saya bentangkan. Kerana itu tiada sebarang kupasan indah dan kata-kata yang mencairkan dapat saya berikan. Hanya yang biasa-biasa.

Ketika ini saya semakin sedar dan semakin percaya, betapa tugas sebagai pendakwah ini mendesak diri untuk menjadi lebih 'versatile'. Dan menjadi sentiasa lebih bersedia. Tidak tahu bila masa dan di mana, malah secara tiba-tiba oleh sesiapa, kita boleh sahaja diminta bangun dari duduk, diminta berlari dari berjalan, diminta berbicara dari diam. Dan ini adalah satu lagi kebaikan dan pengajaran yang Allah berikan.


Alhamdulillah, akhirnya majlis pada malam itu selamat ditamatkan. Walaupun terasa sedikit kecewa kerana merasakan diri tidak melaksanakan amanah dengan sempurna, namun penyampaian yang baik dari kedua-dua ahli panel berjaya menghidupkan suasana.

Ustazah dengan gaya dan cara yang tersendiri...

Saya benar-benar berharap agar malam itu memberi kesan pada setiap hati yang hadir sama. Agar juadah cinta yang dihidangkan dalam talam Agama, dapat dinikmati bersama. Nikmat yang bukan hanya sedap di lidah rasa, tetapi yang dapat juga memenuhi laparnya jiwa. Jiwa yang fitrah, yang asalnya mengenal dan mengakui Allah.

Agar nanti tiada yang pulang sebagaimana mereka datang. Agar semua kembali dengan hati yang kekenyangan dalam merasai kelazatan cinta hakiki...

Minta maaf saya hulurkan kepada pihak penganjur, ahli panel dan semua penonton pada malam itu andai saya ada mengguris rasa. Dan terima kasih kepada Tuhan yang tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia-sia.

Kuliah Cinta Ilahi tamat di sini, expo pula sedang menanti...


'Dan cinta di dalam SETIAP JIWA itupun bertasbih mensucikan Allah daripada segala kekurangan.
Subhanallah...
Agar cinta dan kasih-sayang bukan sekadar kurniaan nikmat hidup yang sementara, malah ia sebagai satu seruan untuk bercinta hinggake syurga'


Alhamdulillah... Kami bersyukur padaMu Ya Allah...



"Ya Tuhanku, aku bermohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan yang boleh membawa sayang kepadaMu.
HR Tarmizi

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 18, 2009

Saya Tidak Bersetuju...

Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan bahawa mulai tahun depan, semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, dengan mengekalkan enam subjek teras sedia ada.

Bagaimanapun, katanya lagi, hanya calon aliran sains agama diberi pengecualian untuk mengambil 11 subjek tahun depan sebelum turut diwajibkan mengambil maksimum 10 subjek bagi sesi SPM 2011.

Saya yang berlatar belakangkan sekolah agama tentu sahaja menyatakan penentangan saya terhadap keputusan ini. Sebagai pelajar sekolah agama pada aliran sains agama, subjek minima yang diambil oleh setiap mereka adalah 11 subjek. Ia merangkumi :

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahsa Inggeris
  3. Sejarah
  4. Matematik Moden
  5. Matematik Tambahan
  6. Kimia
  7. Biologi
  8. Fizik
  9. Bahasa Arab Tinggi
  10. Syariah Islamiah
  11. Al-Quran dan As-Sunnah

Andainya saya berada dalam keadaan untuk memilih subjek mana yang akan digugurkan atau diganti, nescaya saya berada dalam dilema di mana sukar bagi saya untuk memilihnya. Hal ini kerana semua subjek ini sangat memberi implikasi kepada diri saya kini.

Sebab-sebab yang diberikan oleh kerajaan kurang memuaskan fikiran saya.

Saya telah meneroka beberapa penulisan yang menyokong keputusan ini. Antaranya, ada yang sehingga mengatakan : "Daripada 9 subjek yang dipelajari, hanya 4 sahaja yang digunakan pada masa kini... Rasa menyesal pula ambil banyak. Buat buruk slip keputusan".

Ini bukanlah masalah pada bilangan subjek itu, tetapi adalah berpunca daripada kecilnya skop pandangan orang yang mengatakan sebegini tentang kepentingan ilmu dan pengaplikasiannya. Tidak tahulah siapa yang telah beliau temui sepanjang perjalanan hidupnya sehingga mencorak pemikiran yang dangkal sebegini.

Bagi mereka yang menganggap pelajaran yang pernah mereka belajar dahulu tidak menyumbang apa-apa pada kehidupan hari ini, bermakna mereka telah mensia-sialan kehidupan mereka yang dahulu itu. Tidak ada balasan yang baik bagi perkara yang sia-sia. Dan saya tumpang simpati pada kehidupan yang sedemikian.

Tiada ilmu yang sia-sia. Sebagai contoh, sehingga kini, saya merasakan mata pelajaran pendidikan seni yang saya pelajari dahulu banyak membantu kehidupan saya ini. Tidak perlu rasanya saya terangkan dengan lebih lanjut kerana umu dapat memikirkannya.

Saya yang kini mengambil jurusan Bioteknologi, sangat menginginkan peluang untuk menimba ilmu pada yang berkaitan dengan As-Sunnah, motivasi, perundangan dan pendidikan yang boleh dilihat tiada perkaitan dengan aliran jurusan saya.

Malah timbul pula penyesalan kerana tidak mengambil subjek perakaunan dan sastera melayu sewaktu di sekolah menengah dahulu.



"Alangkah malangnya pelajar di Malaysia, dalam keadaan masyarakat dunia yang sedang berkembang di era globalisasi ini, sebaliknya pelajar Malaysia telah di sekat dari menguasai kepelbagaian cabang ilmu, ini sangat merugikan negara dan umat. Maka akan berlakulah pemisahan ilmu, yang mana pada 50 tahun dari sekarang, kita akan menyaksikan lahirnya golongan-golongan intelektual yang buta tentang kensep 'Kesepaduan Ilmu'."


Saya sangat-sangat menyokong kenyataan ini...

Masyarakat yang ingin dilahirkan kini adalah masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan. Yang mana penguasaan hanya dalam satu-satu bidang tertentu, tentu sahaja tidak dapat mengeyangkan mereka ini. Masyarakat yang gian dan ketagih terhadap berbagai lapangan ilmu pengetahuan. Dan keinginan ini sepatutnya bermula dari pendidikan di peringkat menengah lagi.

Selain itu, sebab yang dijadikan hujah bagi menegakkan lagi keputusan ini adalah supaya tidak hanya melahirkan pelajar-pelajar yang 'exam-oriented' sahaja. Pada saya, yang melahirkan pelajar-pelajar sebegini berpunca dari pandangan masyarakat, keluarga selain sstem pengajaran guru-guru yang hanya melihat dan menekankan aspek persoalan gred sahaja.

Bilangan subjek yang diambil, tidak menjadi faktor signifikan pada masalah ini. Berapalah bilangan pelajar yang mengambil lebih sepuluh subjek berbanding yang mengambil kurang daripada 10 subjek sebelum ini. Dan masalah ini telahpun wujud sebelum ini, merangkumi juga pelajar yang mengambil kurang daripada 10 subjek. Sekali lagi menjadi bukti bahawa bilangan subjek bukanlah penyumbang besar pada masalah pelajar 'exam-oriented' ini.

Banyak lagi penyanggahan sebab-sebab bagi perkara ini yang ingin saya nukilkan. Namun, ia telah banyak diterangkan oleh mereka yang lebih baik menghurai dan mereka yang lebih tahu dan ahli dalam bidang pendidikan ini. Maka, pendirian dan hujah saya lebih kurang sama dengan mereka ini.

Saya rasakan bahawa keputusan ini adalah suatu tindakan yang tergesa-gesa dan tidak diperhalusi dengan sebaiknya. Dan dengan isu PPSMI yang masih belum reda, saya rasakan ini adalah suatu tindakan perendahan nilai pendidikan di Malaysia.

Saya berasa kesal, dalam keadaan kegawatan syakhsiah dan sosial yang melanda remaja masa kini, bilangan subjek yang menjadi perhatian dan fokus perbincangan.


"Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Surah Al-Mujaadilah (58) : 11


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, June 17, 2009

KULIAH CINTA ILAHI - Salju Diulit Buntu

'Ape la yang aku nak cakap nanti nih...'.

Saya termenung sendirian. Kepala saya terus berkelintar ligat mencari idea dan kata-kata untuk majlis sebentar nanti. Sesekali, ibu jari di tangan kanan, saya jentikkan pada gigi hadapan. Tidak tahu sejak bila ia mula menjadi kebiasaan.

Beberapa orang AJK kelihatan mundar-mandir di hadapan pentas. Menyiapkan persiapan terakhir sebelum majlis bermula. Masing-masing dengan raut wajah yang menggambarkan kegelisahan.

Para penonton mula memenuhi kerusi dewan Canselor. Ada yang berbaju biru, ada juga yang berbaju hijau. Ada yang bersonggok, tidak kurang juga yang berkopiah. Ada yang bertudung labuh, juga yang bertudung segi tiga, bahkan ada juga yang membelit-belit disekeliling kepala.

Macam-macam...

Saya terus mencari idea.

Sepanjang hari tersebut saya tidak berkesempatan untuk membuat persediaan rapi untuk forum ini kerana disibukkan dengan kerja di tapak expo. Expo yang baru memasuki hari pertama itu sudah pun menyesakkan dada. Memikirkan perjalanan expo yang berbaki empat hari lagi boleh sahaja menggugurkan jantung di dalam dada.


Sepanjang berada di tapak Expo Produk Halal, seboleh mungkin saya tersenyum bersahaja. Mengelakkan diri dari menjadi ketua yang asyik berkerut muka. Yang asyik meninggi suara. Yang asyik menjengil mata. Akibat tekanan kerja dan tekanan suasana.

Saya berhajatkan program yang ceria dan gembira, serta berjalan dalam batasan yang dibenarkan. Kerana itu, walaupun saya mempunyai 1001 alasan untuk meledakkan kepanasan, cepat-cepat saya carikan 1002 kebaikan untuk menggembirakan.

Cuba mengurangkan prasangka buruk, prejudis serta tanggapan bahawa saya sahaja yang telah banyak melakukan kerja.

Semua ini memerlukan saya untuk membetulkan cara saya memandang...

Kesejukan dewan semakin terasa. Saya gilirkan urutan ke atas tapak tangan kanan dan kiri bagi mengurangkan rasa sejuk. Sesekali saya menggosok laju kedua-dua tapak tangan lalu meniupnya perlahan.

Saya cuba memandang sudut positif bagi setiap perkara yang telah menimpa dan terjadi. Agar ia dapat dilihat dari pandangan sisi yang optimis dan bukannya pesimis...

Saya meyakini bahawa penciptaan saya bukanlah perkara yang main-main dan sia-sia.

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
Surah Al-Mu'minun (23) : 115

Kerana itu, setiap yang menimpa dan berlaku bukanlah perkara yang main-main dan sia-sia. Pasti ada pengajaran dan hikmah disebaliknya.

Saya cuba untuk memandang dengan menggunakan mata lebah yang tetap mencari bunga pada longgokan sampah. Bukan dengan mata lalat yang hanya ternampak sampah pada timbunan bunga.

Sejuk semakin menggamit rasa. Saya menyeluk saku dan meraba-raba mencari telefon bimbit.

Saya memandang jam pada telefon bimbit Nokia Man (Pulau) yang saya tukarkan dengan telefon bimbit saya. Hanya beberapa minit sahaja lagi sebelum masuknya waktu Isya'.

"Arif, jom ke surau", ajak abang Salman yang juga merupakan pasangan moderator saya. Dia yang duduk tidak jauh dari saya, bangun dan bergerak meninggalkan kerusi dewan. Saya mengikuti di belakangnya.

Sedang dalam perjalanan menuju ke surau, teringat saya pada kelas yang berlangsung paginya tadi. Alhamdulillah... Tetap tidak ditinggalkan kerana letaknya ia pada prioriti paling tinggi.

Sebagai seorang mahasiswa, saya masih berpegang pada tanggungjawabnya. Nekad di hati, walau sesibuk manapun diri di dalam aktiviti, sedaya mungkin kehadiran ke kelas tidak akan dimungkiri.

Alhamdulillah... Saya semakin sedar dan semakin berubah untuk yang ini.

20 minit termenung di dalam dewan, telah sahaja membuatkan diri saya kegigilan dan tangan saya putih kepucatan. Antara kesejukan dan kegentaran..

Apabila masuknya waktu Isya', saya bersolat di surau dewan tersebut. Waktu inilah saya menenangkan diri dan keluar sebentar dari segala masalah dunia. Saya larut dalam ingatan kepada Tuhan. Dalam rasa kehambaan kepada Rabb yang Maha Besar, diri terasa aman sebentar...



"... Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati-hati menjadi tenteram."
Surah Ar Ra'd (13) : 28


Mungkin inilah antara kebaikan yang Allah ingin berikan. Untuk diri senantiasa merasakan kekurangan. Dan hanya Allah sahajalah tempat diri menggantung harapan. Agar saya kembali kepada perasaan berTuhan...


Selesai solat, saya diminta bersegera ke ruang makan VIP untuk bersapa dengan ahli panel jemputan. Ustazah Dato' Siti Norbahyah dan Ustaz Nurazamuddin adalah dua panelis yang bakal mengupas tajuk perbincangan forum sebentar nanti.

Saya tidak banyak bercakap sebelum majlis bermula. Selesai mendapatkan profil diri dua panelis tersebut, saya lebih asyik bersendiri memikirkan butir bicara untuk forum nanti sambil berusaha untuk meredakan gigil diri yang bagaikan tidak mahu berhenti. Terasa bersalah pula kerana tidak banyak berbicara bersama kedua-dua ahli panel. Seakan-akan tidak meraikan mereka pula.

Nasib baik ada ajk-ajk yang tidak membiarkan mereka sunyi...



"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Surah At-Taubah(9) : 71


"Siap... Mau start sudah ni. Jom kita ke pintu masuk utama dewan", seorang AJK memberitahu saya dan Abang Salman. Saya dan Abang Salman bangun. Kami saling berpandangan, sebelum bergerak meninggalkan ruang makan itu...

Dan saya bermohon di dalam hati....

'Ya Allah! Berikanlah aku kekuatan dan kelancaran tutur kata, agar mereka faham kata-kataku...'.


Bismillah...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 15, 2009

KULIAH CINTA ILAHI - Bicara Cinta Ilahi



"Abang Arep la.. Boleh lah bah..", pujuk ketua pengarah program yang berasal dari Tawau itu. Saya berdiam diri seketika. Semua nama yang saya rasakan lebih layak berbanding diri saya telah cuba saya cadangkan. Namun semuanya ditolak.

Bilik gerakan masih kelihatan sibuk. Beberapa orang AJK sedang khusyuk mewarnakan bena. Ada juga yang asyik bercerita sambil bekerja. Dan sekerat dua yang sibuk dengan komputer riba.

Saya dan ketua pengarah program itu berdiri di hadapan pintu bilik gerakan. Saling berhadapan. Saling terdiam. Yang seorang menantikan jawapan. Dan yang seorang lagi memikirkan jawapan.

"Ok la..", akhirnya saya menyetujui walaupun diri merasakan amat berat sekali.

"Terima kasih bang Arep", katanya sambil tersenyum. Pantas tangannya merangkul tangan saya untuk bersalaman, tanda ikhlas terima kasihnya. Saya membalasnya dengan senyuman.

Permintaan daripada seorang sahabat yang juga merupakan Ketua Pengarah Festival Keseniaan Islam itu sudah tidak mampu untuk saya tolak. Permintaannya adalah agar saya dapat menjadi moderator pertama bagi Kuliah Cinta Ilahi dengan tajuk 'Ketika Cinta Bertasbih'.

Lagu nasyid masih berkumandang, menemani AJK yang masih di bilik gerakan. Tidak dapat dipastikan apakah tajuknya. Masih ada beberapa AJK yang menyiapkan baki kerja yang belum selesai. Kebanyakan yang lain telah pulang, bahkan mungkin telah lena diulit mimpi.

Saya menatap telefon bimbit. Jam menunjukkan sudah hampir jam 1.40 pagi. Saya bergerak perlahan meninggalkan bilik gerakan. Dengan hati yang berdegup penuh debaran, dan dengan mulut yang terkadang mengeluh perlahan.

Lampu kalimantang masih dibiarkan bersinar terang. Sinar putihnya membasahi seluruh bilik B.05. Bilik yang letaknya di aras paling bawah blok B, Kampung AB. Kipas dinding yang terletak di hujung bilik berputar laju. Hembusannya mendinginkan malam yang sedikit berbahang.

Tengku, Nije, Hafiz dan Faez telah pun 'pengsan' di atas dua katil bujang yang dirapatkan. Fadlan pula terkejang kaku di atas tilam toto yang dihampar kemas bersebelahan katil. Masing-masing telah melalui hari yang memenatkan.

Saya bergerak perlahan ke dalam bilik, menuju ke arah almari baju dan menyangkutkan baju sejuk kepunyaan Tengku yang dipinjam. Kemudian, keluar semula menuju ke tandas yang hanya bersebelahan sahaja dengan bilik.

Selepas tenang berwudhuk, saya kembali semula ke dalam bilik dan mengambil sedikit ruang bersebelahan Fadlan. Saya melabuhkan badan yang terasa sengal-sengal pada hamparan tilam toto dan meletakkan kepala pada ruang bantal empuk yang sengaja ditinggalkan sedikit olehnya.

Kipas di dinding terus ligat berputar. Saya menatap kembali jam di telefon bimbit. Jam 2.00 pagi. Tidur lewat, dan disandingkan lagi dengan penat, boleh sahaja membuatkan subuh nanti menjadi berat.

Beberapa langkah tipikal diambil agar nanti saya dapat bangun untuk subuh berjemaah di masjid. Antaranya adalah :
1) Lampu sengaja dibiarkan pasang untuk tidak membenarkan diri terlalu selesa dalam lena.
2) Pintu dirapatkan tidak berkunci agar membolehkan mana-mana sahabat dari bilik lain dapat mengejutkan kami andai belum ada antara kami yang terjaga subuh nanti.
3) Jam penggera pada telefon bimbit ditetapkan agar mula berdering nyaring pada jam 4.30 pagi dan diletakkan di sebelah kepala.
4) Berdoa dan bermohon terus kepada Allah agar tidak bersubuh gajah.

Walaupun badan terasa agak letih, namun mata begitu susah dirasakan untuk terpejam padam. Siling putih direnung tajam. Sekilas mata saya memandang alat pengesan kebakaran di sebelah lampu yang tidak dipadam.

Entah berfungsi entahkan tidak...

Kalau diikutkan hati mahu sahaja didekatkan api agar dapat melihat sendiri keberkesanan alat ini, biar hilang rasa sangsi yang menghambat diri. Nasib baik saya ini, rasionalnya masih ada lagi.

Biarlah...

Fikiran saya terbang melayang dan menerawang. Bermain-main di sekitar awanan tugas yang saling bertindih. Memikirkannya menjadikan diri sedikit demi sedikit mendidih.

Taklifan sebagai pengarah bagi expo produk halal sudah sahaja mengharukan suasana. Ditambah lagi dengan menjadi moderator secara tiba-tiba. Bagi forum yang membincangkan masalah sekitar persoalan cinta. Dalam majlis yang kurang daripada 24 jam lagi masa bermula. Bagaikan mimpi kelam yang seram.

Memikirkan lagi bahawa majlis nanti adalah satu majlis yang besar. Dengan jumlah penonton yang besar dan julat pebezaan usia yang besar, betapa diri nanti benar-benar teruji dalam menimbangi keputusan dan tindakan yang wajar. Saya menjadi semakin gusar dan tertekan. Bukan kerana bimbangkan kritikan, tetapi lebih membimbangi kesan.


Dalam setiap perkara yang saya ikuti, saya cuba untuk berperanan. Saya sedar bahawa kehadiran penonton nanti bukanlah kerana saya, tidak terfikir sekali bagi saya untuk mencuba agar setanding di sisi ahli panel. Tetapi, seboleh mungkin saya cuba untuk berperanan.

Berperanan yang memberi kesan. Jasad, zat malah nama saya pasti sahaja dilupakan, tetapi dalam sedikit peranan yang saya kongsikan, saya berharap ia menjadi ingatan dan mampu menjadi agen dalam perubahan. Dan kerana itu saya menjadi tertekan. Dalam keadaan diri yang kurang persediaan, masakan berharap dapat memberi peranan yang berkesan...

Mahu sahaja saya menjerit melepaskan tekanan yang semakin lama semakin menekan. Semua benda nampak tidak kena di mata. Kipas yang senget kedudukannya. Lampu yang terang sangat sinarannya. Baju yang kurang selesa memakainya. Pintu yang tidak menarik warnanya. Semuanya tidak kena....

Namun, terlintas seketika satu hadith dari Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini. Segera sahaja kata-kata dari kekasih yang dirindui ini mendamaikan keresahan hati.

"Sesiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan"
HR Bukhari dan Muslim

Mungkin inilah cara Allah mengekalkan saya dalam kebaikan. Saya langsung bermohon kepada Tuhan agar diri dijauhkan daripada berburuk sangka. Buruk sangka terhadap Allah, jua terhadap makhlukNya. Dan di dalam hati saya merintih, semoga diberikan pertolongan dan dikurniakan kemudahan.

Alhamdulillah, gelisah di hati semakin reda.

Akhirnya, mampu jua untuk saya terlena...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 11, 2009

Sportingnya Bapa Membawa ke Neraka!

Terkedu saya tatkala mendengar perbualan antara ayah dan anak lelakinya di kaca televisyen. Betulkah ada bapa yang akan berkata sedemikian kepada anaknya? Apabila berfikir kembali, di zaman ini, mungkin ada...

Namun persoalan yang lebih membingungkan adalah, sepatutnyakah seorang bapa berkata sedemikian kepada anak lelakinya?


Kedua-duanya Islam... Buktinya, terdapat scene di mana mereka membaca do'a sebelum makan. Bismillah kata mereka.

Perbualan mereka itu benar-benar memeranjatkan. Perbualan yang terakam dalam sebuah rancangan drama bersiri.

Ayah Naruto pun tidak pernah berkata demikian...


Rancangan yang semakin diminati ramai (kot) ini, mengisahkan seorang belia lelaki yang terlibat dalam kemalangan yang sepatutnya meragut nyawanya. Namun, ayahnya yang juga merupakan seorang saintis terkenal, berjaya menyelamatkannya dengan teknologi dan mesin yang ditanam ditubuhnya. Hasil kajian dan penyelidikan ayah itu. Dan bermula dari tempoh itu, belia tersebut mempunyai tenaga luar biasa. Ala-ala Superman...

~ foto by alifstyle


Belia itu bakal melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej tempatan.

Dan disinilah berlakunya scene yang betul-betul memualkan itu. Di mana ayah itu mengambil hati anak lelakinya, yang baru reda dari rajuk, dengan mengajak anaknya untuk pergi shopping membeli baju. Belia tersebut dilihat rasional menolak ajakan ayahnya itu. Tolakan itu kerana bajunya telah banyak...

Ayahnya tetap mengajak. Katanya sebagai hadiah masuk ke kolej. Mungkin juga untuk menunjukkan bahawa dirinya sporting dan tidak berkira dengan anaknya.

Dan disinilah perkataan yang jahil terpacul dari mulut seorang ayah itu.

Baju itu sebagai hadiah masuk ke kolej. Boleh digunakan untuk bergaya. Untuk bergaya kerana..

"College's chicks are hot", kata ayah itu dengan senyuman sang buaya.

Dan belia itu tersenyum...

Dan saya menggelengkan kepala...

Kelucahan apakah ini?



"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Surah At-Tahrim (66) : 6



Saya hanya mampu berdo'a kepada Tuhan.


"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
Surah Al-Furqaan (25) : 74



Saya cuba melihat dengan pandangan da'ie, dengan melihat mereka sebagai pandangan mad'u. Kerana saya sedar bahawa saya pendakwah, bukan penghukum. Mungkin ini adalah cerminan bagi masyarakat kini yang memerlukan bimbingan dan nasihat.

Marah di kerusi sahaja tidak berguna jika tidak turun ke padang.

Betapa saya tersedar bahawa saya perlu lebih giat dalam lapangan ini...

"Ya Arif, BERTINDAK!"


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, June 10, 2009

Ya Allah... Bahagiakanlah Mereka.

"Ya Allah! Innalillah wa inna ilaihi raji'un....", saya mengurut dada. Terkejut saya dengan kezaliman yang ini. Begitu sebak hati saya mendengar berita ini malam tadi.

Pagi ini segera saya mencari berita ini secara online bagi mengetahui lebih lanjut kejadian ini. Membaca perlahan-lahan penceritaan semula mangsa yang terselamat. Tidak sedar pulupuk mata saya mula dibanjiri air mata. Sedih dengan peristiwa yang menimpa ke atas saudara seagama.


ANGGOTA keluarga mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan Narathiwat kelmarin, melihat jemaah yang mati ditembak penyerang bersenjata raifal ketika solat Isyak. - Foto Reuters


Sesungguhnya, perginya mereka ini dalam keadaan yang begitu diingini. Suci dan berserah diri. Dan perginya mereka ini, adalah pergi sebagai syuhada'...


Al-Fatihah buat mangsa kejadian ini.....


Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezki.

Surah ali 'imran (3) : 169

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok[1187]. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Surah luqman (31) : 34




- Sumber Berita Harian Online

" 2 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak NARATHIWAT (Selatan Thailand): "Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami," kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin. Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.



Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.
Serangan kejam itu, yang dianggap paling buruk di selatan Thailand, menyebabkan 10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat.

Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.
Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.

"Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, Nasir amat bersedih mengenangkan ramai jemaah termasuk Wan Abdullah yang menjadi korban serangan kejam itu."
Berita lanjut klik disini.

Dan buat sang-sang pembunuh, dengarlah..... Allah kami yang juga Allah kamu telah mengharamkan ke atas diriNya KEZALIMAN. Dan pastinya Dia tidak akan melepaskan mereka yang telah melakukan KEZALIMAN yang telah diharamkan itu. ZALIMnya kamu itu pasti akan mencelakakan diri kamu kerana kamu telah melampaui batas kemanusiaan.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 8, 2009

Muktamar PAS Pusat Kali Ke-55

"Wah, banyak nye gerai....", saya meluahkan kekaguman saya.


"Kite pergi jalan-jalan jap sementara tunggu kawan aku tu datang. Dia dah simpankan dua pas pemerhati untuk kita", Hanafi menyuarakan ajakannya.



"Pendaftaran untuk pemerhati! 5 ringgit, 5 ringgit! Hah bang, meh daftar sebagai pemerhati...", seorang petugas mempromosikan pas pemerhati muktamar di gerai paling hadapan dan bersebelahan dengan booth Nisa'. Memandangkan telah ada sahabat yang menyimpankan pas masuk untuk kami, maka kami hanya tersenyum-senyum sahaja kepada petugas tersebut.


Inilah pas pemerhati untuk Muktamar kai ini...


Muktamar PAS Ke-55 kali ini menghimpunkan lebih 400 penggerai yang menjual berbagai-bagai jenis barangan.. Cuba bayangkan berapa banyak kanopi yang digunakan.

Antara gerai-gerai yang menarik perhatian saya adalah gerai-gerai yang menjual buku-buku agama. Buku 'Kesan-kesan Dosa Terhadap Hati' keluaran Anbakri Publika yang saya cari, terjual di gerai Anbakri Publika dengan potongan harga sebanyak 15%.

Booth Anbakri Publika Sdn. Bhd.


Peluang ini pasti tidak saya lepaskan. Segera buku itu saya gapai beserta sebuah lagi buku terbitan Anbakri Publika iaitu buku bertajuk 'Bidadari Dari Syurga'. Selain dua buku ini, saya juga membeli buku bertajuk 'Bingkisan Fikrah Untuk Pejuang' tulisan Ustaz Nasrudin Hj. Hassan At-Tantawi yang dijual dengan potongan harga RM5.


Alhamdulillah, Allah telah memudahkan perjalanan saya untuk menghadiri muktamar PAS Pusat pada kali ini. Ini juga merupakan muktamar PAS Pusat yang pertama saya hadiri. Seronok rasanya dapat menghadiri muktamar kali ini.

Saya hanya berkesempatan melihat perjalanan muktamar pada hari Sabtu sahaja bersama seorang teman semasa di sekolah menengah dan matrikulasi. Walaupun hanya sehari, namun banyak perkara yang dapat saya perolehi. Dapat juga bertemu sahabat-sahabat dari UMS yang antaranya Hafiz, Hafiz KAL, Nadir, Ashrul, Abg Roslan dan Abg Firdaus. Sempat juga bertegur sapa dengan Ustaz Nahar dan Ustaz Abu Nuha yang tidak lekang dengan kameranya...

Satu yang begitu menyentuh perasaan saya sepanjang berada di sini adalah suasananya yang mengingatkan kembali dengan keadaan sekolah menengah saya. Di mana yang muslimat ramai bertudung labuh dan yang muslimin ramai yang berkopiah dan bersongkok. Sungguh damai pemandangannya.

Hanafi, rakan sewaktu di sekolah menengah dan matrikulasi...


"Islam Memimpin Perubahan" adalah tema yang saya rasakan amat baik. Siangnya saya sempat mendengar perbahasan ucapan dasar dari beberapa perwakilan. Sempat juga menyaksikan sedikit gimic yang dilakukan. Setiap kata sarat dengan fakta, sejarah, pandangan, nasihat serta dalil menjadikan mengikutinya tidak sia-sia. Allahu Akbar....



Pada sebelah malamnya pula, saya dan Hanafi sempat mengikuti ceramah perdana yang dianjurkan. Kehadiran kami turut disertai oleh Abdullah dan Amirul yang juga merupakan sahabat sewaktu di sekolah menengah dahulu. Terasa begitu lama tidak bersua. Pertemuan seketika itu, cepat mengeratkan kembali ukhuwah yang kian longgar oleh jarak dan masa.

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara...."
Surah AL-Hujuraat(49) : 10


Amirul (berbaju putih) dan Abdullah (berbaju belang),
sahabat yang lama tidak bersua...


Ceramah daripada Tok Guru Nik Aziz adalah slot yang paling dinantikan. Namun, gilirannya berucap diletakkan pada bahagian terakhir sekali. Turut sama pada malam itu, adalah salah seorang daripada pemimpin HAMAS. Beliau turut memberikan sedikit ucapan yang banyak mengingatkan kembali akan usaha pembebasan Al-Quds. Namun, tatkala beliau menyampaikan ucapannya dengan bantuan penterjemah, saya terpaksa menghantar Abdullah dan Amirul pulang ke rumah mereka.


Selesai ceramah dan bacaan doa daripada Tok Guru, saya dan Hanafi beredar dari Stadium Melawati. Kami bersyukur kerana dapat memerhatikan sendiri permulaan kepada suatu perubahan. Insya Allah....



"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran."

Surah Al-'Asr (103) : 1-3


Tidak terasa rugi sepanjang berada di sini....



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, June 6, 2009

Berkuda Jua Akhirnya...

"Cuba abang tengok kanan", kata adik lelaki saya sewaktu kenderaan memasuki halaman rumah. Bersungguh-sungguh sekali kelakuannya.

Saya menjeling ke tempat yang dimaksudkan oleh adik saya. Kelihatan sebuah motor berwarna perak diletakkan elok di hadapan rumah. Motor yang belum pernah saya lihatnya sebelum ini.

"Kalau kau dapat praktikal kat Melaka, ayah kau cakap nak belikan motor baru".

"Ye ke?".

Perbualan telefon antara saya bersama ibu saya lebih kurang dua bulan yang lalu segera terlintas di ingatan.

'Mungkin inilah motor yang dimaksudkan', detik hati saya. Saya tersenyum.




Ketika itu kami sekeluarga baru tiba di rumah dari lapangan terbang KLIA. Seperti sebelumnya, semua ahli keluarga saya datang menjemput ketibaan saya pada kali ini.

Jam pada waktu itu menunjukkan lebih kurang pukul 10 malam. Ayah saya sedang berhati-hati membetulkan kedudukan Kia Rondo hitam yang sedang memasuki halaman rumah. Ibu saya terlentok lena di sebelah ayah. Adik perempuan saya serta sepupu perempuan yang sebayanya pula terkekeh-kekeh membicarakan sesuatu di tempat duduk belakang pemandu.

Dan saya bersama adik lelaki saya, yang duduk di belakang kedua-dua anak dara itu, masih memerhati motor perak itu.

Saya berpaling ke arah adik lelaki saya. Dia hanya tersenyum-senyum melihat saya sambil mengangkat-angkat keningnya berulang kali.

Tanpa kata-kata, saya memahami maksud kelakuannya itu.

Alhamdulillah... Saya kini mempunyai kenderaan sendiri. Semoga ia dapat membantu memudahkan segala urusan saya dan semoga saya dapat berbakti bersamanya.


"Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami"
Surah Az-zukhruf (43) : 13-14
(Do'a naik kenderaan)




Semoga jua ia menjadi kuda perang seperti yang tertulis di dalam Surah Al-'Aadiyaat (100), ayat 1-5 :

1. Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah,
2. dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),
3. dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,

4. maka ia menerbangkan debu,

5. dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.


* Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa rasulullah saw. mengutus sepasukan kuda akan tetapi setelah sebulan lamanya pasukan itu tak ada kabar beritanya. Maka turunlah ayat ini (S.100:1-5) sebagai pemberitahuan tentang pasukan tersebut yang sedang bertempur melawan musuh, dan melukiskan kepahlawanan mereka.
(Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibnu Abi Hatim dan al-Hakim yang bersumber dari Ibnu Abbas.)



Suatu petang...

"Arif, nanti kau keluarkan seribu untuk duit muka motor tu. Yang bayar bulan-bulan tu tak pe, biar ayah yang bayar", ayah saya berkata sambil tersenyum dengan senyuman yang serius. Tiada tanda-tanda bahawa sesungguhnya dia sedang berjenaka.

Saya diam seketika. Lalu, perlahan-lahan saya mengeluarkan tangan kanan yang digenggam dengan ibu jari yang ditegakkan. Ayah saya semakin tersenyum.


Ingatkan 100% free....


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Monday, June 1, 2009

Ilmu Yang Perlukan Pada Praktikal

"Bagi membiasakan diri dengan suasana bekerja, maka subjek ini diterapkan dalam proses pembelajaran di universiti. Seharusnya, medan ini menjadi latihan bagi mahasiswa meningkatkan prestasi diri dan menimba pengalaman", hujah daripada seorang sahabat masih terngiang-ngiang di telinga.

Kini, saya sedang berhadapan dengan subjek ini. Sudah seminggu saya di Institut Bioteknologi Melaka bagi menyempurnakan subjek Latihan Industri ini. Hari masih berbaki 9 minggu lagi. Semoga Allah sentiasa memudahkan langkah saya dan rakan-rakan lain yang turut sama sedang berpraktikal..

Ya Allah, bantulah kami...
Permudahkanlah segala urusan kami...
dan redhailah kerja yang kami lakukan ini,
Yang semoga kerja ini,
akan menjadi ruang bagi kami berkhidmat di jalanMu Ya Allah...




Sekarang tengah merancang-rancang untuk ke Muktamar Pas Pusat di Selangor nanti...

Semoga dapat berjumpa di sana...

Dan Hafiz, sediakan katil untuk ana........


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture