Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Friday, October 24, 2008

Bergambar-gambaran

Gambar-gambar kempen dan rapat umum PRK sesi 08/09... Banyak lagi gambar yang cantek-cantek yang tidak diletakkan di sini kerana mereka tiada gambar saya...








"Ya Allah,
Berikanlah kepada kami kekuatan,
Jadikanlah kami hambaMu yang bersyukur..."



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, October 23, 2008

Aku dan PRK 08

23 Oktober 2008, 10:05 pm...

Sejuk... Begitulah yang dapat saya gambarkan tentang Dewan Canselor, dewan besar UMS. Sejuk...


Malam ni, pada waktu ini, ketika ini... Sambil menanti keputusan pilihanraya kali ini... Sambil memicit-micit punat komputer riba ini... Sambil gembira memikir-mikir tentang tesis yang ditangguh tarikh penghantarannya... Sambil sekali-sekala memerhati sekeliling...

Bermonolog...
Andai ada kemenangan malam ini, nescaya ia perlu dipenuhi...
Andai perlu ia dipenuhi, nescaya tenaga ini perlu dikerah lebih lagi...
Masa perlu diberikan lagi...
Harta perlu dibahagikan lagi...

Takut rasanya....
Dengan diri yang selalu terleka, lemah dan alpa...
Sering tertanya layakkah saya untuk memenuhi kemenangan ini...
Sering juga ingin saya lari...
Kerana merasa beratnya beban amanah ini...

Saya melihat beberapa calon sedang bergelak ketawa dan bergembira, kerana manisnya merasa bibit-bibit kemenangan. Seakan-akan lupa apa yang sedang menanti dihadapan mereka... Bagi yang telah tergambar kekalahan dihadapan mata, sedang menangis berair mata. Mungkin malu rasanya...

Teringat waktu saya bertanding JAKMAS dahulu, tidak termampu untuk berbicara apatah lagi ketawa sepanjang proses pengiraan undi... Sepanjang masa berdo'a di dalam hati, agar kekalahan yang diberi. Memang pada waktu itu sedar, apa yang diminta adalah salah. Tetapi waras dengan keupayaan diri, memang tidak mampu rasanya memikul amanah umara' ini.

Berdo'a di dalam hati...
Ya Allah, berikanlah kepada kami kekuatan,
Untuk meneruskan perjalanan ini...
Janganlah Kau lekakan kami dengan kemenangan...
Janganlah Kau lekakan kami dengan kesenangan...
Janganlah Kau lekakan kami dalam kegembiraan...



Aku memandang kembali sekeliling....
Menyambung kembali penantian, saat pengumuman keputusan pilihanraya kampus sesi ini...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Pembentangan DG...




12 hb Oktober 2008..
Sampai giliran saya untuk membentang buku Wabak Sepanjang Jalan pada tarikh ini. Mungkin ada yang beranggapan bahawa ini perkara lama, namun bagi saya tiada yang lama bagi ilmu...
Jadi, di sini saya postkan isi kandungan pembentangan saya untuk dikongsi bersama...



AL-ISTI’JAL ( GOPOH / TERBURU-BURU)

Definisi Bahasa
Al-Isti’jal, At-Ta’ajul, Al-I’jal membawa maksud yang sama iaitu mendesak, minta disegerakan, terburu-buru atau laju.


Pandangan Islam

Islam melihat sifat ini secara adil dan seimbang memandangkan Al-Isti’jal ini adalah hakikat tabi’ie manusia menurut Allah s.w.t., Rabb yang mencipta dan mentadbir. Tidak memuji kesemua dan tidak pula mencela kesemua.
“Dan manusia mendoa untuk kejahatan sebagaimana ia mendoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.”

Surah Al-Isra’ (8) : 11


“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.”

Surah Al-Anbiya’ (21) : 37

Yang Dipuji

Yang memenuhi beberapa etika, barulah menepati kriteria yang dipuji.
Pertama, lahir dari penilaian yang terperinci tentang kesan dan akibat yang akan terjadi.
Kedua, mengenal pasti suasana dan keadaan yang sedang dilalui.
Ketiga, membuat persiapan terbaik dan susunan yang rapi.

Iktibar dari surah berkaitan sirah yang mengandungi ‘ibrah. Mengenai perjalanan Musa bertemu Illah. Dalam suasana yang begitu sesuai, peluang yang terbuka, natijah yang baik, di samping jiwa yang bersih dan cemerlang, maka tiada sebab Nabi Musa a.s. perlu melambat-lambatkan atau mentakhirkan keinginannya.

“Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaummu, hai Musa? Berkata, Musa: ‘Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada-Mu. Ya Tuhanku, agar supaya Engkau ridha (kepadaku).’ "

Surah Thaha (20) : 83-84


Yang dicela

Adalah yang timbul dari perasaan hati yang meluap-luap. Mengengkari etika dan kriteria yang dipuji. Tindakan yang tanpa nilaian tentang akibat yang akan ditanggung, tanpa mengenal pasti keadaan dan suasana sekeliling. Juga tanpa persiapan, tanpa persediaan.

Khabab bin al Arat r.a. meminta dari Rasulullah s.a.w. agar baginda meminta pertolongan dari Allah s.w.t., memberi kemenangan kepada Islam. Permintaan yang berpunca dari penganiayaan dan penindasan dari sang durjana. Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:

Seorang lelaki di zaman sebelum kamu digali lubang lalu dimasukkan ia ke dalam lubang tersebut, kepalanya di belah dua dengan gergaji, namun ia tidak meninggalkan agamanya. Tubuh badannya disikat dengan besi hingga terpisah daging dari tulang dan urat-uratnya. Namun sama sekali dia tidak meninggalkan agamanya. Demi Allah Islam ini akan disempurnakan oleh Allahs.w.t. sehingga orang yang dalam perjalanan dari San’aa ke Hadaramaut tidak perlu takut hanya kepada Allah, dan tidak perlu bimbang kambing-kambingnya terhadap serigala. Tetapi kamu ini gopoh dan terburu-buru.


Bentuk dan wajah Al-Isti’jal

1. Mereka yang dilibatkan dalam jamaah dakwah sebelum sampai ke tahap wajar dan sebelum dikenal pasti tentang keilmuan, kemampuan dan persediaan mereka.

2. Menaikkan sesetengah pendakwah ke tahap tinggi sebelum mencapai kematangan dan stabil keperibadiannya.

3. Melakukan tindak tanduk liar walaupun kecil. Tindakan yang tidak berfaedah dan merosakkan dakwah.

Kesan

1. Membawa kepada Al-Futur.

“Sesungguhnya sekasih-kasih amalan kepada Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit.”

Muttafaq ‘alaih

2. Boleh mengorbankan nyawa yang bukan melalui cara yang mulia. Pengorbanan yang tanpa hasil. Dan di akhirat nanti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah.

“(Yaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah.”

Surah Al-Infithaar (82) : 19

3. Gerak kerja terbengkalai. Atau mundur ke belakang untuk puluhan tahun. Kerna Al-Isti’jal sentiasa mencemari penghidupan dan menumpahkan darah, mencabuli harta benda dan kehormatan dan menambahkan bilangan batu penghalang.

Sebab

1. Tuntunan nafsu sendiri memandangkan ia adalah sifat yang sedia ada mendarah daging di dalam manusia Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa.

Surah Al Anbiya’ (21) : 37

2. Semangat yang membara yang melahirkan tenaga dan keinginan yang dapat melakukan apa sahaja. Tanpa kawalan dan diarah dengan baik, akan mendorong kepada pekerjaan yang mendatangkan keburukan lebih banyak daripada yang berfaedah dan memudaratkan lebih banyak daripada yang dimanfaatkan. Rahsia penyelesaiannya adalah SABAR.

3. Suasana semasa semakin pantas, mendorong kepada Al-Isti’jal bagi mengejarnya.

4. Realiti musuh Islam yang sentiasa berusaha menguasai dan menghancurkan Islam, memcu kepada Al-Isti’jal bagi melawannya.

5. Tidak memahami strategi kotor dan tipu daya pihak musuh yang menyusup ke dalam Islam dengan kefasikan.

6. Kemungkaran yang semakin bertambah digabungkan bersama kejahilan tentang pendekatan yang sesuai untuk mengatasinya. Aplikasi kefahaman mengenai ilmu aulawiyat dan muwazhanat memainkan peranan.

7. Tidak terdaya menanggung beban dan kepenatan perjuangan menujah penggerak-penggerak melakukan tindakan berani dan lantang untuk menyegerakan langkah beberapa ketika sebelum kecundang di jalan dakwah.

8. Kejayaan pada peringkat persediaan (bilangan ahli yang ramai atau bilangan asset yang banyak) menyebabkan merasa cukup kuat untuk melakukan tindakan revolusi tanpa pertimbangan dan fitnah.

9. Ketiadaan program-program yang mencungkil keluar kekuatan dan kemampuan para penggerak gerakan Islam serta meredakan ketegangan dalam perjuangan. Nafsu yang tidak disibukkan untuk kebenaran akan disibukkan dengna kebatilan.

10. Melaksanakan kerja tanpa mendampingi mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman bagi merujuk segala percubaan, kejayaan dan kegagalan yang telah dilakukan.

11. Lalai dengan Sunnatullah, bertindak tergopoh gapah tanpa mengambil ‘ibrah diciptakan marhalah serta meninggalkan fitrah.

12. Lupa tentang matalamat dan tujuan seorang Muslim

Surah Al-Kahfi (18) : 110

Surah At-Taghabun (64) : 16

13. Lupa terhadap Sunnatullah terhadap golongan penderhaka dan penolak kebenaran yang mana Allah menghukum mereka dengan cara menangguh-nangguhkannya.

Surah Al- A’raf (7) : 183 Surah Al-Anfal (8) : 59

Surah Al-Kahfi (18) : 58 Surah Al-Hajj (22) : 47

Surah Huud (11) : 102

14. Bergaul dan mendampingi golongan gopoh dan tidak berhati-hati

Cara mengatasi

1. Merenung dan mengamati kesan perlakuan Al-Isti’jal
2. Merenung dan mengamati kandungan Al-Quran
3. Merujuk kepada sunnah dan sirah Rasulullah s.a.w.

Surah Al-Ahzab (33) : 21

4. Merujuk kepada buku-buku yang membicarakan riwayat hidup Rasulullah s.a.w.
5. Melakukan tindakan dengan pengetahuan dan pemerhatian golongan yang lebih berpengalaman yang mendahului dalam perjuangan.
6. Bekerja mengikut tahap atau program dan agenda yang jelas. Mencakupi semua aspek kehidupan
7. Hendaklah menyelidiki dan memahami pendekatan serta perancangan musuh
8. Jangan takut dan gerun terhadap musuh

Surah Ali Imran (3) : 196-197 Surah Muhammad (47) : 7

Surah Muhammad (47) : 1 Surah Al-Hajj (22) : 40

Surah Al-Anfal (8) : 36 Surah An-Nur (24) : 55

9. Senantiasa bermujahadah dan melatih diri supaya sentiasa bertenang dan berwaspada
10. Sentiasa memberi perhatian kepada matlamat penghidupan yang dituju oleh seseorang muslim
11. Sentiasa berhati-hati tentang sikap seseorang muslim kepada perlakuan mungkar dan cara mengatasinya

Al-Isti’jal tidak sepatutnya dibawa masuk ke dalam manhaj gerakan Islam kontemporari bahkan hendaklah ditolak terus. Para da’ie hendaklah sentiasa berada di antara sikap Al-Futur dan Al-Isti’jal


Sumber: Kitab Wabak Di Sepanjang Jalan Dakwah
Edited by : Ainuddin


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.




Monday, October 20, 2008

Futur... Akukah itu?




Salam... Lama gak tidak mengepostkan sebarang barang ke dalam blog ni. Kebetulan pula hari ini, saya diberikan kesempatan untuk berlayar ke alam maya. Peluang yang ada ini saya ambil untuk menjengah ke blog kawan-kawan dan blog sendiri.

Sekarang ini saya sedang duduk-duduk sendirian... Sambil menghayati hidangan "Epilog Seorang Hamba" sajian dari kumpulan Brothers. Kata-katanya begitu menyentuh hati. Seakaan-akan hati ini membentak, ingin sahaja ia menjerit keluar. Memarahi jasad yang menyimpannya ini...



Mengapa kau tidak menyiramku dengan air mata nasuha!
Mengapa kau tidak menyuburkanku dengan baja-baja Kalamullah!
Mengapa kau tidak meneduhkanku dengan naungan rasa hamba!
Tidak menyediakan bagiku tempat untuk aku berpaut, membolehkanku memanjat bagi mencapai redha yang maha Esa...

Mengapa kau biarkan aku...

Kau cemariku dengan titik-titik noda...

Kau hitamkanku dengan pekat dakwat maksiat...

Kau belengguku dengan rantaian ketat kejahilan...


Bawalah aku keluar dari kegelapan ini,
Bawalahlah aku ke sinar cahaya itu,

Agar dapatku bernafas semula...

Agar aku hidup semula....

Sebelum aku dikunci,
oleh pemilik segala HATI....



Maafkanku duhai hati...
Kerana membiarkan engkau sepi...

Kerana membiarkan engkau dalam kegelapan ini...

Tidak dapatku melepaskan beban kesalahan ini...

Kerana ia kesalahanku sendiri...



"Wahai Tuhanku, pemilik bagi hati ini... Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati... Kau tetapkanlah hati ini Ya Allah, Kau tetapkanlah hati ini Ya Allah... Tetapkanlah ia dalam agamaMU, Dalam ketaatan kepadaMu, Dalam perjuangan di jalanMU...."



Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih

Tuesday, October 14, 2008

Jeling Mengerling Ku Pening

Jalan-jalan sambil menjeling...

Terlihat itu di hujung kening...

Melihat itu aku pening...

Ku lihat ke kanan ku lihat ke kiri...

Lantas aku bertanya sendiri-sendiri...

'Leh ke buat macam ni?..'

'Leh ke buat dalam ni?..'

Malas buruk sangka ku ambik je gambar ni...


Kamu?...

Kamu pikirlah sendiri...





Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, October 11, 2008

Ketuk Din Ketuk!

11 Oktober 2008
Hari ni selepas solat Zohor, saya dengan Din merancang untuk
'upgrade'kan bilik kami.



Bersedia untuk beraksi...


Bilik kami adalah dua entiti yang berbeza. Saya tinggal di bilik 'single', begitu juga Din. Yang seronoknya adalah kami berjiran dan pintu biliknya bertentangan dengan bilik saya.

Suatu hari, Din memberikan cadangan untuk bergabung bilik...
Bilik saya adalah untuk tidur dan makan.
Biliknya adalah untuk 'STUDY'.
Tersenyum saya semasa mendengar ideanya itu... 'Boleh tahan gak idea Din ni', hati saya berbisik... "Jadi bile kite nak stat ubah suai?". Saya mengemukakan pertanyaan untuk memulakan perancangan...

"Pegang sana tu..." kata Din sambil bersedia untuk memaku... Sebuah meja ala-ala Jepun dibina untuk tujuan pembelajaran kami. Itulah antara projek kami pada hari ini. Perancangan direalisasikan....

"Allahuakbar Allahuakbar..." azan Maghrib berkumandang. "Din buka dulu jom...". Kami meninggalkan kerja kami untuk berbuka. Juadah kami adalah kuih raya yang masih berbaki beberapa ketul dengan dibantu air kosong kurang manis untuk memudahkannya melalui esofagus kami. Saya memandang sekeliling sambil mulut mengunyah tart nenas yang terhidang. Usaha kami sudah 98% siap.
Baki 2% lagi itu kami tangguhkan dahulu.... Selepas makan, kami bersiap untuk mendirikan solat fardhu Maghrib.

Jam 7.15 malam. Saya menarik nafas lega kerana kerja penambah baikan telah selesai. Bilik yang bersepai kini berjaya disemai...

"Jom Din, Isya' !!". Kami meninggalkan bilik dan terus bergerak ke masjid.



Ya Allah,
Berikanlah aku kekuatan untuk terus istiqomah dalam agamaMu,
pada jalanMu, demi redhaMu...

Ya Allah,
Aku dan sahabatku berlindung dari
rasa susah dan sedih,
Aku dan sahabatku berlindung dari rasa lemah dan malas,
Aku dan sahabatku berlindung dari sifat pengecut dan bakhil.

Ya Allah,
Jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa berusaha,

Jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bertawakkal,
Jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa redha.

Ya Allah,
Berikanlah kami kejayaan di dalam peperiksaan kami....



"Arep, ana ade idea projek lain lagi...."



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Makin Tue Dah Enta....

11 0ktober 2008... Menyambut hari lahir sahabat saya Saudara Afiq Bin Norddin di Pasar Filipin bersama 12 orang lagi sahabat yang lain. Makan-makan, persembahan seni magis, do’a selamat, nyanyian ‘ALLAH Selamatkan Kamu’ sambil berdiri, potong kek, suap-menyuap, bergambar dan pulang… Seronok gak...

Semoga Allah mengampuni dosamu, memanjangkan usiamu, memurahkan rezekimu, mengasihimu dan meredhaimu....


"Seronok hidup berjemaah...
Gembira hidup berjuang...
Bukan hanya ada kepayahan...
Tidak hanya ditemani keperitan..."

Gembirakanlah dirimu


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Penghayatan Dalam Kesenian

MKI yang berlangsung di dewan SM Teknik Likas pada malam 9 Oktober 2008 ditutup dengan persembahan pentomin yang bertajuk ‘Kembali’. Berkisar tentang seorang remaja yang mula terpengaruh dengan rakan sebaya yang berakhlak buruk menuju teruk.

Mula merokok, mula berjudi dan akhirnya menderhakai. Disebabkan keinginan yang tidak dipenuhi, meninggalkan rumah membawa diri. Membiarkan ayah sepi, membuatkan ibu bersedih hati.

Kemalangan ngeri menimpa diri, koma yang panjang membawa kepada mimpi yang akhirnya menginsafkan diri. Terjaga dari mimpi, rakan-rakan yang lain dikhabarkan telah dibawa ‘pergi’. Menyedari diri diberi peluang lagi, berazam untuk mengubah diri dan hati yang dizalimi.

Pulang ke rumah yang lama tidak dijejaki, mengejar keampunan agar segala dosa dimaafi. Ayah menyambut dengan kemaafan diberi dan esakan hati. Dengan air mata membasahi pipi, ayah memberitakan yang ibu telah pergi dijemput Ilahi akibat sakit yang disembunyi dari anak yang terlalu disayangi. Diri jatuh terduduk menyembah bumi. “Mak!! Ampunkan Man mak.... Mak!!!!!....”

Ayah memberi warkah yang ditulis oleh ibu sebelum pergi. Merasakan diri tidak sempat menatap wajah anak yang pernah dibelai dan dimanjai, warkah menjadi suara menzahirkan semua rasa di hati. Madah pilu seorang ibu menyentak kalbu. Mengampunkan segala dosa yang telah lalu. Dan mengharapkan kebaikan akan bertandang selalu. Begitulah kasih insan bergelar ibu...








Antara babak dalam adegan pentomin 'Kembali'


















Bergambar bersama pelajar dan AJK SM Teknik Likas






Majlis MKI ini saya rasakan berlangsung dengan sungguh baik. Tahniah kepada pihak SM Teknik Likas yang menjayakan majlis ini.

‘Badge’ yang dibawa hanya tinggal beberapa bentuk sahaja lagi. Para pelajar telah beransur-ansur pulang meninggalkan dewan. Jam di ‘handphone’ juga telah menunjukkan 11 malam. Para penonton nampaknya berpuas hati dan terhibur. AJK pula gembira dan bersyukur dengan kejayaan majlis.


"Smart btol songkok tuh..."


“Naderrr, jom gerak…”. Kami bergerak ke arah motor dan berlalu pergi. Meninggalkan dewan SM Teknik Likas. Meninggalkan Malam Kesenian Islam.

“Camne la ye ngan FKI nanti?”, saya tiba-tiba bersuara. Sepanjang perjalanan itu saya asyik terfikirkan tentang FKI yang bakal dianjurkan nanti. Nader mengangguk-angguk tanpa berkata. ‘Tak dengar kot…’, hati saya berbisik sendiri.

Kami terus meluncur laju tanpa kata-kata. Ditelan gelap malam dengan ditemani raungan Yamaha yang ditunggangi….

Nader, tukarlah ekzos enta tu…
.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Jual ‘Badge’

9 Oktober 2008… Pada malamnya saya menunggu pelanggan untuk membeli ‘badge-badge’ yang dibawa bersama ke Malam Kesenian Islam di dewan SM Teknik Likas. Di dewan itu, saya duduk berteleku di balik meja jualan sambil menyaksikan persembahan di pentas.

Persembahan pada ketika itu adalah lakonan dari pelajar SM Teknik Likas, yang mengambil alih persembahan nasyid sebelumnya. Lakonan yang dipersembahkan adalah berkaitan Rukun Islam. Seorang ‘narrator’ menerangkan dan menghuraikan satu persatu rukun Islam. Antara satu rukun ke rukun yang seterusnya itu, beberapa pelajar keluar melakonkan watak seorang pelajar muslim yang cuba menerangkan kepada pelajar yang baru memeluk agama Islam tentang rukun Islam. Mudah dan ringkas namun menarik untuk disaksikan. Unsur-unsur lucu diselitkan merencahkan lagi lakonan. Waktu itu telah ada beberapa pelajar yang datang ke gerai jualan dan membeli ‘badge’ yang ada.

Woahh!! Phewit!! Go!!Go!! ALLAHUAKBAR!!!!!....

Sorakan pelajar SM Teknik Likas menggamit suasana malam di dewan itu tatkala pengacara majlis menjemput penasyid-penasyid dari UMS untuk mengambil alih pentas. Mereka membawa 2 buah lagu. Bermodalkan lagu Jalinan dan Zapin Hari Raya, mereka mula menggetarkan peti suara. Tak nak komen pasal pitching, harmoni, flat atau pun baju yang dipakai, persembahan mereka berjaya menghiburkan penonton. Di gerai pula, pelanggan silih berganti datang dan pergi, membelek dan tak kurang yang membeli.

Cabutan bertuah yang berat sebelah…
Kami yang menjaga gerai menggabungkan segala nombor cabutan yang ada dan menanti penuh debaran dan keinginan. Mintak-mintak ada yang kena. Walaupun ketika itu kami memegang 34 gabungan nombor, tapi tiada satu pun yang mengena. Curiga…..

Persembahan diteruskan dengan persembahan nasyid dan zikir munajat dari pelajar-pelajar SM Teknik Likas. Sesudah itu, perasaan debaran dan keinginan meresap kembali kerana cabutan bertuah datang lagi. Seolah-olah satu konspirasi, nombor kami tidak mengena lagi. Kami dizalimi…..


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, October 10, 2008

Malam Kesenian Islam....

Tebhoom!! Tebow!! Tapauw!! Tebhoo!! Bhoo!! Bhoooooo.....

Saya dan Nader merempet laju hingga tersepet mata menahan hembusan deras angin di tengah jalan raya. Destinasi kami adalah Sekolah Menengah Teknik Likas. Pemergian kami itu dibantu oleh motor Yamaha 100 Sport kepunyaan Nader yang tidak asing lagi bunyinya...

Jam 9 lebih kami sampai ke perkarangan dewan SM Teknik itu....

"Nah!!". Saya menghulurkan sebentuk syiling 10 sen kepada Nader setelah dia memilih tempat yang disukainya untuk merehatkan motornya itu. Nader menyambut syiling tersebut tanpa bersuara dan melakukan rutin biasanya. Selesai sahaja melaksanakn rutinnya itu, dia menghulurkan kembali syiling tersebut...

Kami melangkah masuk penuh yakin tanpa stokin ke dewan sekolah tersebut yang tesergam gagah. Saya menangkap beberapa wajah yang dikenali. Saya mengukirkan senyuman lantas merapati dan bersalaman dengan mereka. Di pentas ketika itu, berdiri beberapa remaja lelaki dari sekolah tersebut sambil memegang-megang mikrofon, melontarkan semahu mungkin vokal mereka dengan diiringi alunan irama muzik. Lagu yang didendangkan macam biasa didengari...

Di hujung sudut dewan itu, saya melihat ada dibuka gerai jualan untuk pembelian para pengunjung dan pelajar sekolah itu. Beberapa pemuda yang saya kenali sedang sebuk berborak-borak. Kadang-kala bergegar badan mereka dek kerana tergelak akan sesuatu perkara yang pastinya tidak saya ketahui, sambil menjaga gerai mereka. Saya hampiri mereka dan saya salami mereka satu persatu.

Sebelum bertolak petangnya tadi, Faiz menyerahkan 'badge' kepada Nader untuk kami jual di majlis MKI tersebut. Jadi, kedatangan saya ke MKI itu adalah dengan misi ekonomi yang perlu di isi dan menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan misi tersebut. Setelah meminta kebenaran dan meraihnya, saya menyusun 'badge-badge' yang dibawa bersama itu secara bersistem di atas meja jualan. Saya duduk dan menunggu tibanya pelanggan......


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, October 9, 2008

Salam Eidul Fitr Al-Mubarak

Kad Raya ciptaanku...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Doaku Untukmu, Siti Aisyah Bakri....

Ya Allah,
Kau rahmatilah dia,
Ampunilah segala dosanya,
Terimalah segala amalannya,
Dan tempatkanlah dia dikalangan mereka yang Engkau kasihi.

Permudahkanlah dia menjawab soalan malaikatMu,
Jadikanlah pemergiannya sebagai waktu istirehat,
Dari badai fitnah dan debu-debu durjana,
Jadikanlah tempatnya kini,
Sebagai salah satu dari taman-taman syurgaMu.

Semoga Ya Allah,
Kau berikanku kekuatan,
Untukku teruskan perjuangannya.

Semoga Ya Allah,
Pemergiannya menjadi iktibar buat diriku....


Al-Fatihah Untukmu...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Assalamu'alaikum, Salam Taaruf...



Bismillah pemula madah...

Alhamdulillah pembuka wadah...
Sallallah 'ala Muhammad untukmu Rasulullah...
Assalamu'alaikum menjalin
ukhwah...

Selamat datang ke ruang kecil ini. Semoga Allah merahmati pengunjung yang berkunjung jua kepada yang dikunjung... Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum.

Semoga anda datang dengan senyuman dan pergi dengan kebaikan...

Blog ini dibuka adalah lebih menjurus untuk diri sendiri... Bagaikan sebuah taman... Dan aku berdiri di sini... Untuk mencatat aneka peristiwa. Untuk merencana pemikiran di minda. Medan muhasabah diri dan jiwa serta ruang luahan hati dan rasa...

Maaf andai ada tutur bicara yang bakal mengguris perasaan...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture