Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Friday, May 15, 2009

Hari Ini Juga Gembira...

14 Mei 2009


Pada jam 5.50 pagi saya ke ODEC. Hasrat di hati ingin melihat pemandangan waktu pagi dari situ.

'Cantiknya..', bisik hati saya.


Lebih kurang jam 6.10 pagi saya ke kampung Likas untuk membeli kuih di gerai yang letaknya bersebelahan dengan pondok bas. Karipap dan bebola pulut adalah antara kuih yang saya rasakan sedap di gerai itu. Namun, kehampaan menjadi santapan pagi ini. Gerai itu tutup. Dengan kekecewaan, saya ke Farvis dan bersarapan sahaja di situ.

Pulang dari Farvis, saya bertindak memenuhi keinginan yang ingin dipenuhi. Saya pergi ke setiap surau yang belum pernah diri ini ziarahi dan dahi ini ciumi. Dalam jam 10.00 pagi, barulah pulang ke bilik. Surau yang tinggal kini hanyalah surau IPMB, JPP, Pusat Rawatan Warga dan beberapa surau di kampung AB. Antara banyak-banyak surau ini, surau yang saya rasakan paling mudah untuk dijumpai jatuh kepada surau SSMP. Letaknya betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk utama sekolah.

Surau yang menjadi masalah adalah surau di JPP dan Pusat Rawatan Warga. Kedua-dua surau ini terletak di tingkat satu dan saya tidak menemui tangganya. Mahu merayau-rayau, takut pula ditangkap kerana melakukan aksi-aksi mencurigakan. Malam ini perlu fikirkan cara...

Dalam jam 11.30 pagi, Sharin datang dan meminta tolong untuk menemankannya membeli ubat gegat dan melaksanakan beberapa hal.

Jam 12.30 tengah hari, kami pulang ke UMS dan bersolat di masjid. Ubat gegat yang dicari tidak ditemui. Ini adalah kehampaan saya yang kedua untuk hari ini. Bertemu dengan Afiq di masjid dan kami bertiga makan tengah hari di Farvis. Selepas makan saya dan Sharin mencuba nasib di 1 Borneo. Namun keputusannya tetap sama. Tiada ubat gegat.



Selesai solat maghrib, saya bergegas ke lapangan terbang untuk menghantar Afiq pulang. Sesampai sahaja di lapangan terbang dalam jam 7.25 malam, saya menghantar mesej kepada Afiq untuk bertanyakan lokasinya. Namun, mesej tidak dapat dihantar kerana kredit telah habis. Penerbangannya adalah pada jam 8.05 malam, jadi saya menanti di tempat berlepas dengan harapan akan terserempak secara tidak sengaja dengannya. Sehingga hampir jam 7.50 malam saya menunggu, namun kelibat Afiq tidak juga kelihatan. Saya merasakan bahawa dia telah masuk ke balai berlepas. Lalu, saya pulang dengan kehampaan yang ketiga untuk hari ini.




Dalam perjalanan pulang, saya berhenti sebentar di Masjid Negeri untuk solat Isya'. Selesai solat, saya dikejutkan dengan wajah Azizul yang tersengih-sengih di belakang saya. Katanya, dia dari lapangan terbang untuk menghantar Afiq. Kami bergerak turun bersama-sama dari dewan solat utama. Di satu sudut, kami melihat ramai ahli jemaah masjid yang bersembahyang Isya' tadi sedang beratur. Alhamdulillah, rupanya ada rezeki dari Allah.



Sambil menikmati kuey teow goreng bersama-sama air oren sejuk, saya berkongsi-kongsi cerita dengan Azizul. Banyak juga yang diperbualkan. Topik JBM menjadi kemestian...

Selesai makan, kami bergerak pulang ke kampus. Saya terus sahaja ke bilik dan duduk di hadapan komputer riba. Dalam jam 12.00 malam, saya rasakan mata ini mula memberat. Lantas saya tutupkan komputer riba dan menuju ke pembaringan. Sambil menanti diri untuk terlena, saya memikirkan apa yang ingin dilakukan untuk esoknya.

Dan perkara terakhir yang saya fikir sebelum diri dijamah mimpi adalah...

'Berlalu lagi satu hari yang menggembirakan...'


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, May 12, 2009

AKU DIRI HIDUP

Akhirnya, peperiksaan terkhir bagi smester ini selamat saya tempuhi pada 6 Mei 2009 yang lalu. Kini hanya berkira-kira hari sahaja untuk pulang ke Semenanjung. 16 Mei 2009 adalah tarikh penerbangan saya. Untuk penerbangan pulang kali ini, pekhidmatan penerbangan MAS adalah pilihan saya.

Sahabat-sahabat yang lain di UMS ini, rata-ratanya telah selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. Minta maaf saya ucapkan kepada mereka yang tidak dapat saya temui dan hantar sebelum mereka pulang.

Banyak perkara yang ingin dilakukan di UMS dan Sabah ini. Ada yang telah dilaksanakan dan ada yang masih belum. Antaranya adalah berjalan kaki ke IP, solat di setiap surau yang terdapat di setiap bangunan UMS, makan nasi di ODEC, parking motor di hadapan pintu masuk DKP9, naik bas pelajar perubatan, pergi semula ke setiap sekolah yang pernah dilawati sebelum ini, naik bas ke KK dan banyak lagi.

Fuh...

Sebelum pulang semua keinginan ini perlu ditunaikan. Walau dengan apa cara sekali pun...

Agar nanti saya berpuas hati selama keberadaan saya di sini. Dan dapat tersenyum apabila mengenangkannya kembali. Dan mampu untuk mengatakan...

"Aku pernah melakukan ini... Aku telah ke sini...
Ini adalah tandaku... Ini adalah kesanku...
Ini adalah bukti, bahawa
AKU pernah berDIRI di sini sebagai seorang yang HIDUP".



Doakan saya, moga dipermudahkan segala urusan...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Penantian Empat Tahun...

"Oh... Gitu..."

Saya bereaksi dengan apa yang diterangkan oleh Azizul. Saya menjenguk ke dalam salah sebuah tangki. Dan tersenyum.

Setelah empat tahun di UMS, baru kini dapat saya tembusi kawasan yang menjadi kawasan larangan bagi semua pelajar kecuali pelajar Akuakultur ini. Tempat ini menjadi tempat larangan atas faktor-faktor keselamatan.

"Indahnya.."

Tempat larangan ini dipanggil Hatchery. Tempat penternakan ikan bagi pelajar-pelajar Akuakultur.

Hatchery ini berpagar sekelilingnya. Dan di pintu masuk, tersiap sedia pengawal yang sentiasa bersiaga menjaga dan mengelakkan kerunsingan yang mungkin berlaku.

Runsing akan ada 'buaya' dan 'naga' yang datang melahap ganas ikan yang dibela elok. Juga runsing akan ada kaki pancing yang datang bertenggek di tepi tangki sambil bersiul-siul kegembiraan kerana umpan sentiasa mengena.

"Di situlah tempat kejadian"
(Bergambar ala-ala Mastika)


Tempat ini dipenuhi dengan tangki-tangki yang berisi ikan-ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasar-pasar, restoran-restoran serta tidak lupa hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu.Ikan-ikan ini dipelihara oleh pelajar-pelajar Akuakultur. Memelihara ikan adalah sebahagian dari subjek mereka.

Banyak cerita mengenai tempat ini yang saya telah dengar daripada sahabat-sahabat dari program Akuakultur. Menyebabkan saya benar-benar teringin untuk melihat, merasai dan berada sendiri di dalamnya.

Benar-benar teringin. Benar-benar kepingin.

Setelah memijakkan kaki di dalamnya, diri terasa benar-benar puas. Akhirnya saya dapat melihat dengan kanta sendiri, imej yang sebelum ini hanya dibataskan dengan imaginasi sendiri dari cerita-cerita sang pujangga dan sang karut yang mengarut tanpa mencarut.

"Wah...."


Syurga

Begitu juga dengan ini... Banyak ceritanya. Banyak gambarannya. Semuanya indah tanpa dapat dibayangkan.


Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
Surah Ali 'Imran (3) : 185

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
Surah Ar-Ra'd (13) : 35

Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.
Surah Yaasin (36) : 57

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.
Surah Ar-Rahmaan (55) : 56

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik.
Surah Ar Rahmaan (55) : 70

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan
Surah Luqman (31) : 8


Tempat larangan kecuali bagi mereka yang terpilih...

Banyak cerita mengenai tempat ini yang saya telah dengar dan baca daripada Pencipta tempat ini sendiri. Menyebabkan saya benar-benar teringin untuk melihat, merasai dan berada sendiri di dalamnya.

Benar-benar teringin. Benar-benar kepingin.

Namun, bagaimana?


Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
Surah Ar-Ra'd (13) : 35

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.
Surah Al-Qalam (68) : 34

Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
Surah Maryam (19) : 63


Ya, inilah jawapannya. Jadilah sebahagian dari orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa.

Namun, bagaimana?


Dari Anas : "Ada seorang Arab dusun bertanya kepada Nabi Muhammad, 'Bilakah Hari Kiamat akan terjadi?' Nabi Muhammad bertanya kembali, 'Apakah persiapan saudara bagi menemui hari itu?' Arab dusun itu menjawab, 'Aku Mencintai Allah dan Rasulullah'. Kata Nabi Muhammad, 'Saudara akan menyertai orang yang saudara kasihi.'"
HR Bukhari dan Muslim


Subhanallah... Cintailah Allah, Utusan Allah serta orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa. Saya akan mulakan kembali. Membetulkan diri untuk mencintai Allah, Rasulullah serta orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa dengan sebenar cinta. Agar nanti saya akan dibangkitkan bersama mereka yang saya cintai.

Rasulullah yang telah dijaminkan syurga ke atasnya. Bersama Baginda semestinya dari golongan orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa.

Namun, risau pula.. Rasullulah itu terpelihara dari dosa sedangkan saya ini sering terpalit dengan dosa yang menghinakan. Dosa lalu, dosa kini dan dosa nanti. Bagaimana pula?


Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
Surah Huud (11) : 90

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia....
Surah At-Tahrim (66) : 8

Subhanallah.. Pengasihnya Engkau wahai Allah..


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Wednesday, April 22, 2009

Delusi Farvis

Sewaktu sedang makan bersama-sama Hafiz, Faez, Tengku dan Fadlan di restoran 'makan puas hati' Farviss di King Fisher, terlintas seketika kenangan sewaktu belajar di sekolah menengah dahulu.

Tatkala berbuka puasa bersama sahabat-sahabat sekolah di Yankies Hutt, Bangi.


"Arep... Cepat...", laung seorang sahabat dari atas motornya.

Semuanya bermula pada tanggal 23 November 2003, selepas tamatnya kertas Kimia yang juga merupakan kertas terakhir bagi SPM tahun 2003. Beberapa orang sahabat merancang untuk berbuka puasa di luar. Tidak mahu lagi dewan makan.

Juga bersempena dengan dua penamatan. Pertama, tamatnya peperiksaan SPM dan seluruh peperiksaan sekolah menengah. Kedua, tamatnya pembelajaran dan zaman sekolah menengah. No more school uniform.

"Jom kite pegi Yankies Hutt...", cadang seorang sahabat.

Dan hasilnya, kami berkonvoi ke Yankies Hutt beramai-ramai sebelum maghrib. Mana yang tidak berkenderaan, menumpang sahabat yang mempunyai kenderaan. Mana yang tidak berduit, mengharapkan simpati sahabat yang terlebih duit.


Namun yang jelas, tiada yang ingin ditinggalkan.


Tidak tahu rasa sebenar di hati mereka yang lain, yang jelas gelaka ketawa menghiasi malam kami tersebut.

Semua peristiwa yang pernah dilalui bersama diselak kembali. Yang marah dan yang sabar, yang sedih dan yang gembira, yang perit dan yang mudah, yang takut dan yang berani, semuanya diceritakan kembali dalam satu nada.

Nada ceria...

Pada saat itu, manis senyuman sentiasa terukir membaluti segala perasaan. Agar nanti, wajah ini yang akan berbekas di hati setiap kami. Agar nanti, wajah ini yang akan dibawa bersama oleh setiap dari kami.

Agar nanti, apabila teringat kembali, akan mampu membuatkan diri tersenyum sendiri...



"Jom balik", Hafiz bersuara menamatkan delusi. Ajakannya menyedarkan saya semula. Diri benar-benar tersenyum sendiri.

"Napa senyum-senyum nih. Ndak bawak dompet la tu..", gurau Fadlan.

"Perspektif, perspektif..." jawab saya sambil bergerak menghampiri kaunter. Itu sahaja yang mampu saya balas.

Kami bergerak ke arah motor setelah membayar.

Disamping sahabat-sahabat yang ini, diri tersenyum sendiri lagi.

Sambil berharap, sama jua di sini nanti...

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."
Surah AL-Hujuraat(49) : 10




Perkongsian darimu, bermakna buatku.

Terima kasih.

Monday, April 20, 2009

SELAMAT BERJUANG!!

Bersempena dengan peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung ini, saya mengucapkan semoga Selamat Menempuh Peperiksaan.

Kepada sahabat-sahabat, sama ada di UMS mahupun di mana sahaja.

Maaf andai ada salah silap.


Doakan kejayaan bersama.





STADI... STADI...

ALLAH, BANTU KAMI...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, April 17, 2009

Dua Lagu Dalam Satu

"Lagu 'Ya Maahada'. Wahid... Ithnain... Ibda'..."

Semua putera dan puteri mula melaungkan lagu sekolah. Dengan badan, tegap berdiri. Dan mata, tajam memerhati. Bendera sekolah yang semakin dijulang tinggi. Seiring dengan muzik yang dinyanyi.

Setelah tamat, ketua pelajar yang bertugas meneruskan lagi perhimpunan pagi. "Seterusnya, lagu 'Maahad Cemerlang'. Wahid... Ithnain... Ibda'..."

Semua putera dan puteri mula melaungkan lagu sekolah kedua. Dengan badan, ditegapkan kembali. Dan mata, memerhati kembali. Bendera yang telah terjulang tinggi. Muzik pula mengiringi, sambil menyanyi.


Begitulah rutin mingguan setiap kali perhimpuan rasmi sewaktu di sekolah menengah dahulu. Perhimpunan rasmi yang diadakan setiap hari Selasa pagi.

Saya tidak tahu bagaimana dengan keadaan semasa perhimpunan rasmi di sekolah lain. Tetapi percaya atau tidak, di sekolah saya terdapat dua lagu sekolah yang dinyanyikan semasa perhimpunan rasmi.

Bukti bahawa betapa kami cintakan sekolah kami.

Kini ia tinggal kenangan.
Terasa ingin pula menyanyikan kembali lagu ini bersama-sama sahabat-sahabat lama seperti satu ketika dahulu.


Ok...


Badan sedia ditegapkan. Dada sedia didepangkan. Mata pula berkelip-kelip memerhatikan, lirik lagu yang lama ditinggalkan.

'Ya Maahada'.

'Maahad Cemerlang'.


Sedia? Wahid... Ithnain... Ibda'...


_________________________
يا معهدي
________________________

يا معهدي علمتني

وبالهدى جملتني

حليتني من صغري


بكل خلق حاساني


كم فيك من معلم

بر كثير الميناني


بعلمه زودني

بنصحح أرشدني


تحية يا معهدي

يا أصل عيشي الحان
ي

أن شاءتني مبركا

لأمتي ووطن


________________________________________
Maahad Cemerlang Budaya Kita

_____________________________________________________
Maahad cemerlang budaya kita
Mari bersama kita buktikannya

Tiap detik adalah ibadah

Menabur bakti dan berjasa


Maahad cemerlang budaya kita

Kau mutiara kaulah pelita

Menyuluh derita anak bangsa

Melahirkan makrifat di mana berada


Maahad cemerlang budaya kita

Mula diri, keluarga, negara tercinta

Maahad mahkota cermin agama

Iman dan taqwa matlamat utama


Maahad cemerlang budaya kita

Guru tercinta ikutan mulia

Putra putri layar perjuangan

Maahad cemerlang budaya kita




Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, April 13, 2009

Hayati Bunyi

"...Walhamdulillahi rabbil 'alamin."

"Amin..."



Tangan yang ditadah disapukan ke muka.

Antara lain isi doa yang dibacakan oleh Imam tadi memohon agar diampunkan segala dosa diri, ibu bapa serta seluruh muslimin dan muslimat, memohon diselamatkan di dunia dan di akhirat, memohon dimenangkan kaum muslimin, memohon tidak dipalingkan hati setelah dicerahkan cahaya hidayah serta ditetapkankan hati dalam Ad-Din dan ketaatan.

Kami berdoa secara berjemaah. Imam membacakan doa dan kami dibelakang mengaminkannya.

Walaupun saya tidaklah mampu untuk menterjemahkan doa yang dibacakan oleh Imam di dalam Bahasa Arab itu secara harfin. Namun, secara umumnya saya memahami akan perkara dan permintaan yang terkandung di dalam doa tersebut.

Dan kerana memahami, saya dapat menghayati...
Menghayati dengan hati...

Permintaan dari hati kepada pemilik segala hati...

Meminta dari Allah bukan hanya lepas di kerongkong sahaja. Malah, hadir dengan hati yang turut meminta dengan bersungguh-sungguh. Dan menjadi tarbiah bagi diri agar menyedari hakikat kelemahan dan kekerdilan diri dihadapan Ar-Rahim.

MALU rasanya meminta dari Allah dalam keadaan hati yang lalai.

Kerana itu, penting bagi diri saya untuk mendengar doa yang dibacakan. Doa yang didengari oleh dua telinga.

Ya, semuanya bermula dengan mendengar di telinga. Telinga yang mahu mendengar. Telinga yang endah. Telinga yang peduli. Telinga yang mahu.


Atas sebab ini juga saya terkadang kurang dapat menerima mereka yang membacakan doa untuk ramai secara berjemaah, tetapi bacaan mereka itu tidak mampu didengari oleh jemaah yang mengaminkan doa itu. Maka, dapat dilihatlah ada yang mengelamun, ada yang terangguk-angguk, ada yang tergeleng-geleng dan tidak kurang juga yang mengorek-ngorek jerawatnya. Dan saya... Lalai dalam memerhatikan gelagat mereka ini.

Bagaimana ia mampu untuk menarik hati-hati agar benar-benar mengharap semasa menadah tangan meminta, sedangkan mereka tidak mengetahui butiran pengharapan & permintaan di dalam doa itu.

Bagaimana mereka mampu untuk mengetahui butiran pengharapan & permintaan di dalam doa itu kerana permulaan tahu dalam berdoa iaitu mendengar tidak berlaku.

Oleh sebab itu, apabila saya diminta membacakan doa secara berjemaah, sebolehnya saya memastikan agar mereka yang menadah tangan bersama dapat mendengar bacaan doa saya itu. Kerana bukan hanya saya sahaja yang mengharap, tetapi KAMI bersama.

"Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.' "
Surah l-Mu'min (40) : 60


Tangan yang ditadah dengan diri yang tidak endah. Hanyalah mengundang padah.

Maka berdoalah dengan rasa takut dan penuh harapan. Kerana ia adalah pesan Tuhan. Buat seluruh insan.



"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, setelah (diciptakannya) dengan baik dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan penuh harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."
Surah Al-A'raaf (7) : 56



Ya Allah..
Terimalah doa kami...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, April 7, 2009

Rakyat Kalahkan Nasional....

Keputusan Rasmi Pilihanraya Kecil Malaysia :-


Bukit Gantang

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) - 21,860 undi
Ismail Saffian mendapat (BN) - 19,071 undi
Kamarul Ramizu Idris (BEBAS) - 62 undi

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) menang dengan majoriti 2,789 undi.

Bukit Selambau

S. Manikumar (KeADILan) - 12,632 undi
S. Ganesan (BN) - 10,229 undi
R Loganathan (Bebas) - 31 undi
Tan Hock Huat (Bebas) - 78 undi
Mohd Radhi Mat Lazim (Bebas) - 25 undi
Mohd Fadzil Wahab (Bebas) - 83 undi
Abdul Rahim Abu (Bebas) - 60 undi
L Sarala (Bebas) - 49 undi
A Jayagopal (Bebas) - 35 undi
S Moganakumar (Bebas) - 46 undi
Khamis Awang (Bebas) - 29 undi
Husaini Yaacob (Bebas) - 257 undi
Venason Michael (Bebas) - 32 undi
Mejar (B) Anuar Abdul Hamid (Bebas) - 528 undi
T Chandrarajan (Bebas) - 73 undi

Calon-calon Bebas hilang duit pertaruhan
Undi Rosak - 415 undi.

S. Manikumar (KeADILan) menang dengan majoriti 2,403 undi.


Batang Ai

Malcolm Mussen Lamoh (BN) - 3,907 undi
Jawah Gerang (KeADILan) - 2,053 undi

Malcolm Mussen Lamoh (BN) menang dengan majoriti 1,854 undi.



Berkibarlah bendera Rakyat.....





Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture