Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Monday, April 13, 2009

Hayati Bunyi

"...Walhamdulillahi rabbil 'alamin."

"Amin..."



Tangan yang ditadah disapukan ke muka.

Antara lain isi doa yang dibacakan oleh Imam tadi memohon agar diampunkan segala dosa diri, ibu bapa serta seluruh muslimin dan muslimat, memohon diselamatkan di dunia dan di akhirat, memohon dimenangkan kaum muslimin, memohon tidak dipalingkan hati setelah dicerahkan cahaya hidayah serta ditetapkankan hati dalam Ad-Din dan ketaatan.

Kami berdoa secara berjemaah. Imam membacakan doa dan kami dibelakang mengaminkannya.

Walaupun saya tidaklah mampu untuk menterjemahkan doa yang dibacakan oleh Imam di dalam Bahasa Arab itu secara harfin. Namun, secara umumnya saya memahami akan perkara dan permintaan yang terkandung di dalam doa tersebut.

Dan kerana memahami, saya dapat menghayati...
Menghayati dengan hati...

Permintaan dari hati kepada pemilik segala hati...

Meminta dari Allah bukan hanya lepas di kerongkong sahaja. Malah, hadir dengan hati yang turut meminta dengan bersungguh-sungguh. Dan menjadi tarbiah bagi diri agar menyedari hakikat kelemahan dan kekerdilan diri dihadapan Ar-Rahim.

MALU rasanya meminta dari Allah dalam keadaan hati yang lalai.

Kerana itu, penting bagi diri saya untuk mendengar doa yang dibacakan. Doa yang didengari oleh dua telinga.

Ya, semuanya bermula dengan mendengar di telinga. Telinga yang mahu mendengar. Telinga yang endah. Telinga yang peduli. Telinga yang mahu.


Atas sebab ini juga saya terkadang kurang dapat menerima mereka yang membacakan doa untuk ramai secara berjemaah, tetapi bacaan mereka itu tidak mampu didengari oleh jemaah yang mengaminkan doa itu. Maka, dapat dilihatlah ada yang mengelamun, ada yang terangguk-angguk, ada yang tergeleng-geleng dan tidak kurang juga yang mengorek-ngorek jerawatnya. Dan saya... Lalai dalam memerhatikan gelagat mereka ini.

Bagaimana ia mampu untuk menarik hati-hati agar benar-benar mengharap semasa menadah tangan meminta, sedangkan mereka tidak mengetahui butiran pengharapan & permintaan di dalam doa itu.

Bagaimana mereka mampu untuk mengetahui butiran pengharapan & permintaan di dalam doa itu kerana permulaan tahu dalam berdoa iaitu mendengar tidak berlaku.

Oleh sebab itu, apabila saya diminta membacakan doa secara berjemaah, sebolehnya saya memastikan agar mereka yang menadah tangan bersama dapat mendengar bacaan doa saya itu. Kerana bukan hanya saya sahaja yang mengharap, tetapi KAMI bersama.

"Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.' "
Surah l-Mu'min (40) : 60


Tangan yang ditadah dengan diri yang tidak endah. Hanyalah mengundang padah.

Maka berdoalah dengan rasa takut dan penuh harapan. Kerana ia adalah pesan Tuhan. Buat seluruh insan.



"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, setelah (diciptakannya) dengan baik dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan penuh harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."
Surah Al-A'raaf (7) : 56



Ya Allah..
Terimalah doa kami...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture