Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Saturday, March 28, 2009

Hidup Dengan Usrah...

Duduk berteleku di hadapan komputer riba milik ibu. Seorang diri di meja khas study.



Sambil sahabat yang lain tersenyum-senyum di balik selimut. Dengan mata yang terpejam. Dengan gaya yang tersendiri. Masing-masing mempamerkan fleksibiliti yang mengkagumkan. Yang mengadu sakit pinggang, dialah yang paling kompleks teksturnya dan komposisi tubuhnya.

Yang pasti mereka ini telah melanggar resolusi JPA untuk tidak tidur selepas subuh.


Dalam keadaan yang sendiri ini, terkenang kembali sorotan peristiwa bersama-sama usrah, sepanjang keberadaan di universiti ini. Cerita bagaimana diri ini ditarbiah dan membantu proses tarbiah.
Bersama-sama naqib-naqib dan sahabat-sahabat naqib yang banyak berkongsi ilmu dan pengalaman. Semua ini menjadikan pengalaman saya bersama usrah, bermakna.
 


Bermula dengan Abang Wadi yang menjadi naqib saya yang pertama di universiti ini untuk Diman IP sejurus selepas program PROTON '05. Kemudian, dis
erapkan ke dalam Diman yang dikendalikan oleh Abang Lan selepas peristiwa 1 Muharram dan 'aku janji' di Kota Belud.

Apabila menjejak tahun kedua, saya menjadi pembantu naqib bagi Abang Fairuz untuk Diman IP. Kami mengendalikan Diman dengan ahli-ahli yang bergraduasi dari program PRISMA '06 iaitu Hafiz, Alif, Arif, Azizul (ustaz), Zubair, Nije, Mustaqim dan panjang (lupe lak nama).


Mencecah tahun ketiga, saya menjadi pembantu naqib lagi bagi Abang Kasman untuk Diman Kg E. PMI '07 menjadi titik pertemuan kami dengan ahli-ahli usrah ini iaitu Ilham, Fawwaz, Afiq, Adam, Amirul. Disamping memb
awa Diman Kg.E, saya turut mengikuti Diman Gabungan dengan Abang Bubuk sebagai naqib.

Di tahun lanjutan ini pula, saya mengikuti Diman Gabungan yang dinaqibkan oleh Abang Lan. Namun, disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan, naqib bertukar tangan kepada Mursidi dan Abang Acit.



Melihat kembali rentetan ringkas ini, saya menyedari bahawa bukan calang-calang orang yang pernah menjadi naqib saya. Juga bukan calang-calang orang yang menjadi sahabat naqib saya. Saya juga mendapati ahli-ahli Diman yang pernah saya kendalikan masih terus istiqomah dengan Islam walaupun bukan semua ingin menaiki kapal yang sama.


Kerana ini, saya bersyukur.


Terima kasih kepada semua naqib. Maafkan saya kerana tidak mampu menjadi sehebat kamu. Terima kasih juga kepada sahabat naqib dan ahli diman yang pernah bersama. Banyak perkara yang menjadi didikan saya. Minta maaf andai ada salah dan silap.

"Apabila seorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya."
HR Abu Daud dan Al-Tarmizi

Sesungguhnya saya mengasihi kamu semua kerana Allah.




Perkongsian darimu, bermakna buatku.

Terima kasih.

Thursday, March 26, 2009

Mati Lenguh Dengan Butir Manis...

Penat dan lenguh2...

Begitulah yang tertanggung oleh badan selepas pulang dari Jambori Amal '09 Peringkat Negeri Sabah.

Ahli rombongan ...

Jambori kali ini diadakan di Kg. Binowou Tengah di Sook. Kira-kira 40km dari Pekan Keningau. Kampung yang dihuni oleh majoriti mereka yang berbangsa Dusun ini begitu peramah dan mesra. Kami bermalam di masjid yang saya lupa namanya yang letaknya di tengah-tengah perkampungan yang damai ini. Jambori berlangsung selama tiga hari bermula dari hari Jumaat. Namun, kebanyakan aktiviti yang penting berlangsung pada hari Sabtu.

Sabtu (22 Mac 2009)

Pagi
Hari tersebut dimulakan dengan perbarisan seawal jam 7.00 pagi oleh semua wakil Unit Amal yang hadir. Anak-anak kecil turut sama bersemangat menyertai perbarisan ini. Pembahagian kerja dilakukan. Ada yang menanam pokok bunga, ada yang mengecat, ada yang membersihkan kawasan masjid, ada yang memberi pemahaman Islam dan barangan dapur kepada penduduk kampung, ada yang menghiburkan kanak-kanak kampung dan ada yang menyediakan tempat untuk aktiviti pada petangnya nanti. Semua bersungguh-sungguh dengan kerja yang telah diamanahkan. Manis...


Petang
Lebih kurang jam 2.30 petang, semua peserta Unit Amal yang lebih kurang 80 orang dikumpulkan dan dibahagikan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan akan menghantar wakil untuk tiga permainan iaitu bola sepak, larian berhalangan dan sepak raga. Selepas itu, acara sukaneka untuk kanak-kanak kampung. Semua bersama-sama dalam lembayung Islam tanpa mengira bangsa, tanpa lupakan batasan agama. Manis...


Malam
Malam Kesenian Islam. Persembahan dari setiap Unit Amal yang mewakili kawasan masing-masing. Turut diserikan dengan persembahan kompang dari anak-anak kampung yang mewakili sekolah mereka dalam pertandingan kompang. Lucu melihat telatah mereka. Penyampaian hadiah dan cenderamata mengisi ruang antara setiap persembahan. Semua bergembira dalam senyum dan ketawa tanpa perlu dimabukkan dengan hiburan melampau dan dikhayalkan dengan nada-nada 'cinta tak keruan'. Manis...

Anak-anak kecil kelihatan gembira dengan kehadiran kami. Hingus yang meleleh dibiarkan sahaja. Tanda kenaifan. Tanda peluang yang cerah untuk Islam. Para ibu kelihatan sibuk di balai menyediakan makanan. Ibu-ibu tua duduk tersenyum di beranda rumah. Bapa-bapa juga tidak mahu ketinggalan. Mana yang kurang sibuk dengan keperluan mencari nafkah, menghulurkan bantuan dengan penuh rela. Manis...


Semuanya adalah MANIS...
Nikmatnya bagaikan dingin pagi yang menerpa ke wajah...
Rasanya bagaikan air dingin mengalir ke kerongkong menghapuskan dahaga dikala terik mentari...

Bagaikan terasa embun sejuk menitis direlung hati...

Penat dan lenguh2...

Hilang dalam perasaan MANIS itu...
HATI yang tersembunyi itu, yang merasai keMANISan...



SAHABAT

Teringat dengan kisah Bilal bin Rabah. Bagaimana jasadnya diseksa kerana mengaku bahawa Tuhannya adalah Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.

"Dapat merasai kemanisan iman, orang yang meredai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Din dan Muhammad sebagai Rasul"
HR Muslim

Bukan sekadar penat dan lenguh2 yang dirasakan. Bahkan kesakitan yang lebih dari itu. Namun, bibir tidak pernah lekang dari menafikan segala tuhan melainkan Allah. Dirinya tidak terkalah dengan perit sakitnya itu. Kerana HATInya telah merasai keMANISan Iman. Kemanisan yang telah memerdekakan jiwanya. Kemanisan yang tidak akan sekali-kali dilepaskan. Kerana begitu nikmatnya kemanisan itu.

"Barang siapa yang ada padanya tiga perkara ini, ia dapat merasai kemanisan Iman: 1) Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul mengatasi cintanya kepada yang lain 2) siapa yang cintanya kepada seseorang hanyalah kerana Allah 3) Ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka"
HR Muslim

DIRI
Tertanya pula kepada diri. Bilakah akan sampai masanya untuk merasai kemanisan yang ini...

"Ya Allah! Kurniakanlah kepada diriku ketakwaan dan bersihkanlah ia. Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya. Engkaulah jua Pemerintahnya dan Penghulunya."
HR Muslim





Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, February 27, 2009

Harapan Dalam Perjalanan

Telah lama rasanya tidak memperbaharu laman blog ini. Laman ini rasanya suram dan tawar setiap kali membukanya lantaran tiada pembaharuan atau penambah baikan.

Mungkin ia adalah pantulan dari dalaman diri saya sendiri yang semakin hari semakin dicengkam perasaan malas, mudah putus asa dan tidak kisah.

"Ya Allah aku bermohon dariMu agar dijauhkan dari sifat2 ini"

Semoga Allah terus menetapkan hati, akal dan nafsu pada jalanNya.


Mungkin ini adalah dugaan dan cabaran. Yang sesuai dengan kemampuan diri. Yang perlu diharungi.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya..." Al-Baqarah (2) : 286


Kadang-kadang terasa takut dan bimbang dengan ujian yang datang bertamu. Tersalah pilih akan jalan yang akan dilalu. Maka hanyalah pada Tuhan tempat untuk mengadu. Moga tidak dihukum atas kealpaan. Moga tidak dipikul dengan beratnya bebanan. Moga tidak diserahkan sesuatu yang di atasnya tiada kesanggupan.

"...(Mereka berdoa): 'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya..." Al-Baqarah (2) : 286


Andai tersadung dalam bertingkah, terguris dalam berhujah dan terhijab dalam menelaah, maka ampunanMu Tuhan yang diharapkan. Andai tersalah dalam keputusan, maka ampunanMu Tuhan yang ingin digapai. Semoga naungan rahmatMu yang sentiasa memayungi dan menemani.

"...Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami..." Al-Baqarah (2) : 286


Bukan mengikuti jejak langkah pendurhaka. Mengingkari janji yang pernah dikota. Bahawa hanya Allah Tuhan Yang Esa. Serta tidak terpedaya dengan tipu helah meraka yang menderhaka. Yang tidak sesekali redha, selagi langkah tidak senada, selagi bibir tidak seirama.

"...Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.'"
Al-Baqarah (2) : 286


Ameen...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, February 23, 2009

Rindu Baru Bagi Jiwa Yang Kaku

Dalam ketergesaan berlalu mengejar waktu bagi menimba selaut ilmu, sempat untuk wajah saya menoleh ke kiri dan memandang mahligai Tuhan yang berdiri megah. Perjalanan saya dari bilik ke kelas, pasti akan melintasi masjid UMS di sebelah kiri.

Rindu pula untuk ke situ lagi...
Walaupun hangat badan masih tertinggal, dan lekuk duduk masih berbekas...


Perasaan yang jarang-jarang hadir bagi saya kerana lemahnya rasa cinta dan iman. Namun, pagi ini rindunya rasa lain. Damainya rasa lain. Redupnya rasa lain. Semangatnya juga lain.


Indahnya perasaan ini. Indahnya ketenangan ini. Indahnya pesona ini..


Muhasabah diri, sungguh jarang rasanya ke situ lagi kini.

Kadang-kadang kerana berada di tempat yang sememangnya telah tersedia surau. Kadang-kadang kerana berada di luar UMS. Kadang-kadang kerana berada di luar kk. Kadang-kadang berada di luar 'sedar'. Dan kadang-kadang kerana berada di luar kerajinan.


"Ya Allah, Kau tetapkanlah rasa rindu ini.
Ya Allah, Kau tetapkanlah rasa damai ini.
Ya Allah, Kau tetapkanlah rasa redup ini.
Ya Allah, Kau tetapkanlah semangat ini.
Dan jangan Kau hilangkan indahnya perasaan ini.
Dan jangan Kau hilangkan indahnya ketenangan ini.
Dan jangan Kau hilangkan indahnya pesona ini.."




Wajah dihadapkan ke hadapan kembali. Meneruskan perjalanan ke kelas yang setia menanti.


Harap-harap pintu tidak dikunci....


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, December 24, 2008

Allah Berbicara Kepadamu Tentang Kasih-sayang



Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.
Surah Luqman (31) : 18 & 19


Daripada Thauban r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekumpulan daripada umatku akan berterusan menzahirkan kebenaran. Walaupun terdapat orang yang mengecewakan (tidak membela dan menolong) mereka, sehinggalah tiba hari kiamat, mereka tetap dalam keadaan sedemikian."
HR Bukhari


Abu Hurairah melaporkan Rasulullah bersabda, "Allah yang mulia dan tinggi berkata, 'Aku seperti yang disangka oleh hambaku dan aku sentiasa bersamanya setiap kali dia mengingatiku. Demi Allah, Allah benar-benar gembira menerima taubat hambanya, lebih gembira daripada saudara yang menjumpai barangnya yang hilang di padang pasir. Siapa yang datang dekat kepadaku sejengkal, aku datang dekat kepadanya sehasta. Siapa yang datang dekat kepadaku sehasta, aku datang dekat kepadanya sedepa. Apabila dia datang berjalan kepadaku, aku datang berlari-lari kepadanya.'"
HR Bukhari & Muslim


Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah bersabda, "Percayalah, pada Hari Kiamat nanti Allah akan berkata, 'Mana dia orang-orang yang saling kasih-mengasihi demi keagunganku? Pada hari ini mereka itu akan kuberi naungan, sedangkan pada hari ini tiada naungan kecuali naunganku.'"


Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi."
Surah Al-A'raaf (7) : 23











Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, December 16, 2008

Perang di UMS



Pada hari raya kedua, saya membantu mengerjakan lembu korban di UMS pula. Lembu nombor 4 adalah di bawah kendalian saya, Faez, Syabri dan beberapa kakitangan UMS.

Kalau di Kg Luanti Baru saya berhadapan dengan lembu betina yang sedang mengandung, di sini kami melapah pula seekor lembu jantan yang sederhana besar.

Dengan berbekalkan pengalaman yang baru ditimba di Kg. Luanti Baru, Faez bertindak mengetuai proses mengeluarkan perut dan organ dalaman yang lain sambil saya dan kakitangan yang lain membuang kulit dan memotong lembu berkenaan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil.

Setelah selesai, kami berehat sebentar sebelum diminta untuk membasuh tulang-tulang dan daging-daging yang akan dimasak untuk hidangan jamuan nanti.

Pembersihan penuh teliti yang melalui beberapa peringkat penyucian ini menghasilkan daging yang bersih dan sihat untuk di makan.

Tengah harinya, santapan kami adalah nasi putih dengan berlaukkan ayam masak merah, daging masak kicap, acar, sayur kubis dan semestinya sup tulang.



Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.
Surah An-Nahl (16) : 114







Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Senduk dan Periuk...


"Cube rase sup tuh...", kata Mus kepada saya.

Saya bergerak menghampiri sup yang sedang dimasak, menyenduk sedikit daripada sup tersebut dan merasanya.

"Uih... Cam air kosong la rase dier", saya menyuarakan pendapat.

"Tambah garam lagi nih. Letak gula gak. Lepas tuh tambah sikit ajinomoto nih", Mus yang bertindak sebagai ketua chef memberikan arahan sambil tangannya sibuk menghiris bawang untuk ditumis.

"Affirmative", balas saya sambil melakukan aksi-aksi yang disuruh oleh Mus. Setelah semua bahan tadi disemadikan dan disebatikan ke dalam periuk, saya merasa semula bahan eksperimen kami.

"Em.. Barulah ade rase sup..", saya mengangguk-ngangguk.


"Chef, nape jernih je sup dier"


Setelah pulang dari Kampung Luanti Baru, malamnya kami memasak sup dengan tulang dan daging sembelihan yang kami terima.


Mus dilantik sebagai ketua chef kerana pengalamannya yang selalu melihat keluarganya menyediakan sup. Saya, Faez, Nasir dan sekali-sekala Hafiz dan Nije pula bertindak sebagai pembantu dalam menyediakan sup ini..


Hasilnya...


Sup sekuali penuh itu habis dalam masa 24 jam sahaja.




Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.
Surah Al-Maidah (5) : 88




Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Cemas di Malam Raya...

Antara peristiwa yang ingin dikongsikan di sini adalah peristiwa malam raya. Sewaktu kami kebosanan menantikan mata terlelap, saya mengambil keputusan untuk keluar mencari ais krim 20 sen bagi di kedai-kedai yang berhampiran. Setelah mengemukakan cadangan ini, seramai 4 orang lagi ahli rombongan yang ingin menyertai misi ini.

Saya, Mat Noor, Nasir, Hafiz dan Faez bertindak mencari kedai runcit berdekatan bagi menyempurnakan misi ini. Faez mengambil kesempatan ini untuk memandu kereta Kancil yang disewa sebagai latihan memandu. Hafiz pula bertindak sebagai guru memandu, duduk bersebelahan Faez.

Saat yang mencemaskan bermula sewaktu Faez hendak membuat pusingan U. Dengan jalan yang sempit dan di kiri dan kanan adalah longkang yang dalam, Faez cuba melakukan pusingan U dengan yakin dan bersahaja.

Kereta dibelokkan ke kanan menyebabkan kereta tersebut melintang merentasi jalan. Kemudian kereta diundurkan ke belakang sedikit untuk mendapatkan jarak. Namun, dengan kawalan 'clutch' dan minyak yang masih rendah, hampir sahaja Faez membawa kami meneroka longkang di belakang kami. Hafiz yang disebelahnya terjerit-jerit sambil dengan pantas menarik 'handbreak'. Kami yang duduk di bahagian belakang kereta, memaut apa yang dapat dicapai untuk menunjukkan betapa cemasnya kami pada waktu itu.

Ia tidak sekadar terhenti di situ sahaja. Keadaan menjadi lebih genting apabila Faez mengambil masa yang agak lama untuk memulakan semula pergerakan kereta. Dengan keadaan kereta yang melintang, kami hanya bermohon agar tiada kenderaan yang akan melalui jalan ini buat masa ini.

Namun harapan kami tidak dimakbulkan apabila cahaya sebuah kenderaan bersinar-sinar dari kejauhan. Saya, Hafiz dan Mat Noor mengeluarkan semua petua yang ada untuk memangkinkan Faez agar mempercepat pergerakan kereta. Dengan izin Tuhan dan cemasnya Faez, kereta kami bergerak tanpa mati dan sempat memasuki lorong yang sepatutnya sebelum kenderaan tadi melintasi kami.

Bersyukur pada Tuhan, kami selamat sampai semula ke Masjid Amal. Walaupun telah mengalami pengalaman yang cemas ini, hajat untuk memakan ais krim 20 sen tidak juga kesampaian. Nasib.... Nasib....



Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
Surah Al-Ankabut (29) : 2



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture