Langit pula kosong tanpa awan. Di bawahnya, manusia mula sibuk dengan hal sendiri. Tidak terlepas juga seorang pak cik tua.
Dengan topi jerami bulat besar, pak cik tua itu tekun mencangkul tanah ladang miliknya. Sekali-sekala tangannya mengesat peluh yang terbentuk di dahi dengan kain putih di tengkuknya.
'Fuuh, okey lah ni', desisnya di dalam hati.
Cangkulnya itu di diangkatkan perlahan-lahan sehingga terletak elok di bahu. Setelah mencapai titik keseimbangan yang mampu mengelakkan cangkulnya itu terjatuh dari bahu, pak cik tua itu bertapak-tapak bergerak menuju ke arah sebuah perdu.
Andai dilihat dari belakang, gaya berjalan pak cik tua itu tak kalah dengan pemenang pertama pertandingan unduk ngadau. Andai kiranya ada pemuda bujang yang memandang, pasti akan disiul-siulkan ke arah pak cik tua itu. Bagaikan lagak orang yang tertinggal otaknya di para rumah.
Di perdu, terbentang rapi tikar anyam. Tersedia juga sebotol air dengan sebekas nasi berlaukkan ikan perkasam. Inilah bekal harian pak cik tua itu. Namun, tidak pernah pun dirungutkannya atau pun bersungut memburuk muka.
Angin sepoi-sepoi bertiup lembut. Menggoyang perlahan daun-daun dan rerumput, jua lalang. Kadang ke kiri, kadang pula ke kanan. Tumbuh-tumbuhan itu melenggok mengikut sahaja laluan hembusan angin dalam keadaan yang seragam. Bagaikan penumpang bas yang bergoyang-goyang mengikut goyangan bas. Serentak dan sekata arah gerakannya.
Pak cik tua itu sudah mula menyuapkan nasi dari bekas ke mulut. Sambil mengunyah, matanya dilemparkan ke arah alam sekelilingnya yang begitu luas. Dengan rezeki yang sedang dinikmati dan pandangnan indah yang sedang diteliti, pak cik tua itu puas. Wajahnya laksana seorang yang sedang duduk di atas sebuah kerusi urut percuma setelah penat berjalan mengelilingi pasar raya.
Namun dengan tidak semena-mena, wajah pak cik tua itu berubah. Wajahnya menjadi kosong bagaikan wajah seorang pelajar tingkatan satu yang sedang diterangkan tentang langkah-langkah dalam pengamiran Romberg. Dengan bola mata yang tetap kaku pada satu titik arah pandang.
Tidak jauh dari tempat pakcik itu sedang melepak, berjalan seorang pemuda yang kemas mengenakan kot hitam, bertali leher merah menghampiri tempat pak cik tua itu. Sesekali tangan pemuda berkot itu pantas mengesat peluh yang sedang membasahi wajahnya dengan hujung kot hitamnya itu.
Sesampai sahaja pemuda berkot itu dihadapan pak cik tua itu, dia melemparkan senyuman sambil tangannya masih ligat mengeringkan wajahnya yang dibanjiri peluh yang bercucuran.
"Assalamu'alikum pak cik", sapa si pemuda berkot.
"Wa'alaikumussalam, nak", jawab pak cik tua itu dengan wajah yang masih sama.
Melihat wajah pak cik tua, pemuda itu bertanya kepada pak cik tua itu, "Err, kenapa pandang saya macam tu pak cik? Ade cili ke kat gigi saya?". Lantas pemuda berkot itu mencungkil-cungkil giginya dengan jari telunjuknya.
"Anak ni tak panas ke pakai baju kot tengah-tengah panas ni? Berpeluh-peluh dah pak cik tengok kamu ni", tanya pak cik tua.
Pemuda berkot itu agak terkejut mendengar soalan pak cik tua itu. Tidakkah pak cik tua itu tahu bahawa beginilah caranya pakaian orang lepasan universiti yang bekerja. 'Mungkin anaknya tiada yang masuk universiti, maklumlah orang susah..', getus hati pemuda berkot itu sendiri.
"Oh, saya memang kuat berpeluh. Ayah saya dilahirkan di German, datuk saya pula pernah berkhidmat dengan British Army semasa Tanah Melayu masih dibawah penjajahan British. Ayah saya terus melamar ibu saya setelah pertama kali melihat ibu saya di majlis perkahwinan sepupunya", cerita pemuda tersebut sambil tersenyum-senyum membayangkan peristiwa cinta pandang pertama ibu dan bapanya kepada pak cik tua itu.
Pak cik tua kehairanan dengan penjelasan pemuda berkot itu. Apa pula kaitannya cerita pemuda itu dengan soalannya. Kerut-kerut mula terbentuk di dahinya.
"Nama saya Syah Indera Jamalullail bin Fuhrer", pemuda itu memperkenal diri sambil menghulurkan tangan kepada pak cik tua itu.
Pak cik tua itu menjilat-jilat jari-jarinya yang penuh dengan nasi, lalu menyambut huluran salam pemuda itu. Pemuda itu berkerut melihat tindakan pak cik tua itu. Pak cik tua itu menggenggam erat tangan pemuda berkot itu. Memang sudah menjadi kebiasaan pak cik tua itu untuk bersalaman erat. Pesan tok guru silatnya yang datang dari Pakistan, hormatilah orang yang disalami dengan cara menggenggam erat tangan mereka. Berkeriut muka pemuda berkot itu lantas segara mencuba untuk melepaskan genggaman pak cik tua itu.
Pemuda berkot itu mengelap tangannya yang dirasakan berlendir itu di kotnya sebelum kembali tersenyum. Dia kemudiannya mengeluarkan sekeping kad sebesar kad kredit dari poket kotnya itu lalu menunjukkan kad tersebut kepada pak cik tua itu persis seorang pegawai FBI menunjukkan kad pengenalan dirinya kepada seorang saksi.
"Saya telah diberikan kad kuasa oleh kerajaan negeri yang membolehkan saya untuk masuk ke mana sahaja tempat di negeri ini untuk memeriksa tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, pada hari ini, saya mahu masuk dan memeriksa ladang pak cik ini", kata pemuda berkot itu.
Pak cik tua itu terkebil-kebil melihat kad di tangan pemuda itu. "Baiklah nak, masuklah. Cuma kamu jangan pergi ke padang di sana tu ya", kata pak cik tua itu sambil memuncungkan mulutnya ke arah kawasan padang berhampiran ladangnya itu.
Pemuda berkot itu tersenyum sinis mendengar kata-kata pak cik tua itu.
Tanpa menoleh ke arah padang yang ditunjukkan oleh pak cik tua itu, pemuda berkot itu berkata, "Nampaknya pak cik tidak faham dengan apa yang saya katakan. Saya ada kad kuasa ini. Maka saya boleh pergi ke mana sahaja tempat yang saya ingin pergi dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang saya. Pak cik faham?".
"Suka hati kamu lah nak..." balas pak cik tua itu.
Kemudian, pemuda berkot itu beredar dan bergerak ke arah ladang pak cik tersebut menghala ke arah padang yang ditunjuk oleh pak cik tua itu tadi.
Pak cik tua itu menyambung kembali adegan makannya yang terhenti seketika. Menikmati kembali nasi dan ikan perkasam, sambil ditemani sapaan angin dan bunyian alam.
Beberapa ketika, telinga pak cik tua menangkap satu jeritan.
"ARGHHHH! TOLOOONGGG!!".
Pak cik tua itu mencari-cari arah jeritan tersebut. Akhirnya matanya tertangkap ke arah pemuda berkot tadi yang sedang berlari dengan sepenuh tenaga sambil menjerit-jerit meminta agar dirinya ditolong. Di belakangnya pula, seekor lembu jantan sedang berlari mengejar pemuda tersebut sambil menghalakan tanduknya yang tajam ke arah pemuda itu. Tidak salah lagi, lembu yang sedang mengejar pemuda berkot itu adalah lembu jantan milik pak cik tua tersebut yang bernama Putera.
Memang demikianlah sifat si Putera, mengejar sesiapa sahaja yang tidak pernah dilihatnya.
Dan sedikit demi sedikit si Putera semakin menghampiri pemuda berkot itu.
Pemuda berkot itu terus berlari dan menjerit.
"ARGHHHH! TOLOOONGGG! PAK CIK! TOLONG SAYAAA!".
Pak cik tua itu tersenyum. Lalu dengan suara yang agak kuat, pak cik tua itu berkata, "CEPAT TUKJUKKAN KAD KUASA KAMU ITU!".
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.