Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Thursday, June 23, 2011

Pak Cik Tua, Pemuda Berkot, Kad Kuasa dan Putera...

Matahari semakin meninggi. Panasnya terasa semakin mencucuk. Namun anginnya selesa dirasa. Menepuk-nepuk lembut pipi mereka yang berada di sepanjang laluan mereka.

Langit pula kosong tanpa awan. Di bawahnya, manusia mula sibuk dengan hal sendiri. Tidak terlepas juga seorang pak cik tua.

Dengan topi jerami bulat besar, pak cik tua itu tekun mencangkul tanah ladang miliknya. Sekali-sekala tangannya mengesat peluh yang terbentuk di dahi dengan kain putih di tengkuknya.


'Fuuh, okey lah ni', desisnya di dalam hati.

Cangkulnya itu di diangkatkan perlahan-lahan sehingga terletak elok di bahu. Setelah mencapai titik keseimbangan yang mampu mengelakkan cangkulnya itu terjatuh dari bahu, pak cik tua itu bertapak-tapak bergerak menuju ke arah sebuah perdu.

Andai dilihat dari belakang, gaya berjalan pak cik tua itu tak kalah dengan pemenang pertama pertandingan unduk ngadau. Andai kiranya ada pemuda bujang yang memandang, pasti akan disiul-siulkan ke arah pak cik tua itu. Bagaikan lagak orang yang tertinggal otaknya di para rumah.

Di perdu, terbentang rapi tikar anyam. Tersedia juga sebotol air dengan sebekas nasi berlaukkan ikan perkasam. Inilah bekal harian pak cik tua itu. Namun, tidak pernah pun dirungutkannya atau pun bersungut memburuk muka.

Angin sepoi-sepoi bertiup lembut. Menggoyang perlahan daun-daun dan rerumput, jua lalang. Kadang ke kiri, kadang pula ke kanan. Tumbuh-tumbuhan itu melenggok mengikut sahaja laluan hembusan angin dalam keadaan yang seragam. Bagaikan penumpang bas yang bergoyang-goyang mengikut goyangan bas. Serentak dan sekata arah gerakannya.

Pak cik tua itu sudah mula menyuapkan nasi dari bekas ke mulut. Sambil mengunyah, matanya dilemparkan ke arah alam sekelilingnya yang begitu luas. Dengan rezeki yang sedang dinikmati dan pandangnan indah yang sedang diteliti, pak cik tua itu puas. Wajahnya laksana seorang yang sedang duduk di atas sebuah kerusi urut percuma setelah penat berjalan mengelilingi pasar raya.

Namun dengan tidak semena-mena, wajah pak cik tua itu berubah. Wajahnya menjadi kosong bagaikan wajah seorang pelajar tingkatan satu yang sedang diterangkan tentang langkah-langkah dalam pengamiran Romberg. Dengan bola mata yang tetap kaku pada satu titik arah pandang.

Tidak jauh dari tempat pakcik itu sedang melepak, berjalan seorang pemuda yang kemas mengenakan kot hitam, bertali leher merah menghampiri tempat pak cik tua itu. Sesekali tangan pemuda berkot itu pantas mengesat peluh yang sedang membasahi wajahnya dengan hujung kot hitamnya itu.


Sesampai sahaja pemuda berkot itu dihadapan pak cik tua itu, dia melemparkan senyuman sambil tangannya masih ligat mengeringkan wajahnya yang dibanjiri peluh yang bercucuran.

"Assalamu'alikum pak cik", sapa si pemuda berkot.

"Wa'alaikumussalam, nak", jawab pak cik tua itu dengan wajah yang masih sama.

Melihat wajah pak cik tua, pemuda itu bertanya kepada pak cik tua itu, "Err, kenapa pandang saya macam tu pak cik? Ade cili ke kat gigi saya?". Lantas pemuda berkot itu mencungkil-cungkil giginya dengan jari telunjuknya.

"Anak ni tak panas ke pakai baju kot tengah-tengah panas ni? Berpeluh-peluh dah pak cik tengok kamu ni", tanya pak cik tua.

Pemuda berkot itu agak terkejut mendengar soalan pak cik tua itu. Tidakkah pak cik tua itu tahu bahawa beginilah caranya pakaian orang lepasan universiti yang bekerja. 'Mungkin anaknya tiada yang masuk universiti, maklumlah orang susah..', getus hati pemuda berkot itu sendiri.

"Oh, saya memang kuat berpeluh. Ayah saya dilahirkan di German, datuk saya pula pernah berkhidmat dengan British Army semasa Tanah Melayu masih dibawah penjajahan British. Ayah saya terus melamar ibu saya setelah pertama kali melihat ibu saya di majlis perkahwinan sepupunya", cerita pemuda tersebut sambil tersenyum-senyum membayangkan peristiwa cinta pandang pertama ibu dan bapanya kepada pak cik tua itu.

Pak cik tua kehairanan dengan penjelasan pemuda berkot itu. Apa pula kaitannya cerita pemuda itu dengan soalannya. Kerut-kerut mula terbentuk di dahinya.

"Nama saya Syah Indera Jamalullail bin Fuhrer", pemuda itu memperkenal diri sambil menghulurkan tangan kepada pak cik tua itu.

Pak cik tua itu menjilat-jilat jari-jarinya yang penuh dengan nasi, lalu menyambut huluran salam pemuda itu. Pemuda itu berkerut melihat tindakan pak cik tua itu. Pak cik tua itu menggenggam erat tangan pemuda berkot itu. Memang sudah menjadi kebiasaan pak cik tua itu untuk bersalaman erat. Pesan tok guru silatnya yang datang dari Pakistan, hormatilah orang yang disalami dengan cara menggenggam erat tangan mereka. Berkeriut muka pemuda berkot itu lantas segara mencuba untuk melepaskan genggaman pak cik tua itu.

Pemuda berkot itu mengelap tangannya yang dirasakan berlendir itu di kotnya sebelum kembali tersenyum. Dia kemudiannya mengeluarkan sekeping kad sebesar kad kredit dari poket kotnya itu lalu menunjukkan kad tersebut kepada pak cik tua itu persis seorang pegawai FBI menunjukkan kad pengenalan dirinya kepada seorang saksi.

"Saya telah diberikan kad kuasa oleh kerajaan negeri yang membolehkan saya untuk masuk ke mana sahaja tempat di negeri ini untuk memeriksa tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, pada hari ini, saya mahu masuk dan memeriksa ladang pak cik ini", kata pemuda berkot itu.

Pak cik tua itu terkebil-kebil melihat kad di tangan pemuda itu. "Baiklah nak, masuklah. Cuma kamu jangan pergi ke padang di sana tu ya", kata pak cik tua itu sambil memuncungkan mulutnya ke arah kawasan padang berhampiran ladangnya itu.

Pemuda berkot itu tersenyum sinis mendengar kata-kata pak cik tua itu.

Tanpa menoleh ke arah padang yang ditunjukkan oleh pak cik tua itu, pemuda berkot itu berkata, "Nampaknya pak cik tidak faham dengan apa yang saya katakan. Saya ada kad kuasa ini. Maka saya boleh pergi ke mana sahaja tempat yang saya ingin pergi dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang saya. Pak cik faham?".

"Suka hati kamu lah nak..." balas pak cik tua itu.

Kemudian, pemuda berkot itu beredar dan bergerak ke arah ladang pak cik tersebut menghala ke arah padang yang ditunjuk oleh pak cik tua itu tadi.

Pak cik tua itu menyambung kembali adegan makannya yang terhenti seketika. Menikmati kembali nasi dan ikan perkasam, sambil ditemani sapaan angin dan bunyian alam.

Beberapa ketika, telinga pak cik tua menangkap satu jeritan.

"ARGHHHH! TOLOOONGGG!!".

Pak cik tua itu mencari-cari arah jeritan tersebut. Akhirnya matanya tertangkap ke arah pemuda berkot tadi yang sedang berlari dengan sepenuh tenaga sambil menjerit-jerit meminta agar dirinya ditolong. Di belakangnya pula, seekor lembu jantan sedang berlari mengejar pemuda tersebut sambil menghalakan tanduknya yang tajam ke arah pemuda itu. Tidak salah lagi, lembu yang sedang mengejar pemuda berkot itu adalah lembu jantan milik pak cik tua tersebut yang bernama Putera. 

Memang demikianlah sifat si Putera, mengejar sesiapa sahaja yang tidak pernah dilihatnya.

Dan sedikit demi sedikit si Putera semakin menghampiri pemuda berkot itu.

Pemuda berkot itu terus berlari dan menjerit.

"ARGHHHH! TOLOOONGGG! PAK CIK! TOLONG SAYAAA!".

Pak cik tua itu tersenyum. Lalu dengan suara yang agak kuat, pak cik tua itu berkata, "CEPAT TUKJUKKAN KAD KUASA KAMU ITU!".


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, June 16, 2011

Sunnatullah Senyum :) - Bahagian II

Abdullah bin Harits mengatakan, "Saya belum pernah melihat seorang pun yang paling banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW." 
(Riwayat Ahmad)

Proffesor Dr. Muhaya Mohamad yang merupakan Konsultan Kanan Pembedahan Mata, Prince Cort Medical Center, Kuala Lumpur menyatakan bahawa semua orang dilahirkan dengan fitrah senyum dan tidak perlu diajar. Bayi yang berusia lebih dari dua bulan sudah boleh berinteraksi dengan senyuman. Ketika usia itu, ia dipanggil socialsmile, apabila diagah bayi itu akan tersenyum. Keluargalah yang akan membentuk bayi tersebut membesar sama ada dalam keadaan terus tersenyum ataupun menghapuskan sifat tersebut.


Semua ini ada kaitan dengan pemetaan yang dibuat di dalam otak. Kanak-kanak berumur 0-6 tahun akan merakamkan semua yang dilihatnya di dalam minda bawah sedar dan mempengaruhi blueprint di dalam otak. Apabila dewasa, blueprint tersebutlah yang digunakan dan akan menjadi tabiat. Jika blueprint nya mudah tersenyum, maka tabiatnya mudah tersenyum juga. Jika blueprintnya adalah susah tersenyum, maka tabiatnya juga susah untuk tersenyum.

Bagi yang sudah hilang sifat senyum, masih ada jalan untuk mengembalikan sifat yang baik tersebut. Setiap kali bangun pagi, mulakan dengan senyuman untuk diri sendiri kemudian barulah untuk orang lain. Senyumlah sebagai tanda syukur akan nikmat kurniaan dari Allah s.w.t. Amalkan selama 21 hari berturut-turut, jika mahu kesan yang lebih cepat lakukannya selama 30 atau pun 90 hari.

Menurut Proffesor Dr. Muhaya Mohamad lagi, pembuktian sains menemukan bahawa saraf otak mengambil masa paling minimum 21 hari untuk tumbuh dan membina jaringan senyum supaya ia boleh menjadi satu tabiat rutin. InsyaAllah selepas 21 hari, ia akan jadi suatu kebiasaan kerana saraf otak telah membuat satu laluan kecil untuk senyuman.


Jika berhadapan dengan orang yang tidak dikenali, hanya dengan senyuman akan terbinalah komunikasi. Ini tanda kemesraan dan kita tidak sombong. Senyum membawa seribu makna dan tidak perlukan kata-kata.

Manusia ini biasanya mencari kebahagiaan, ketenangan dan kebebasan. Bagaimana untuk mendapatkannya? Senang sahaja, berikanlah kepada orang lain. Kalau kita inginkan kebahagiaan, bahagiakanlah orang lain. Andai kita inginkan ketenangan, tenangkanlah orang lain (contohnya jangan mengumpat). Sekiranya kita inginkan kebebasan, bebaskanlah orang lain (dari kejahatan diri kita).

Kita bertanggung jawab terhadap apa yang berlaku kepada diri kita, fizikal, kesihatan, kerohanian, sosial, kewangan dan semuanya. Dan hidup memerlukan penyerahan diri kepada Allah, maka barulah ia akan bernilai kehidupan. Jika tiada penyerahan ini, maka kekallah kita hanya sekadar hidupan. Penyerahan diri kepada Allah akan memberikan ketenangan kepada diri. Dan ia adalah kunci kepada senyuman.

Semua perkara di dalam dunia ini boleh berubah apabila dimulai dengan diri sendiri. Kerana perubahan tidak akan pernah berhenti berubah.  Maka mulakan perubahan pada saat ini dengan perkara yang kecil iaitu senyum. Otak kita bagaikan kebun, jika benih baik yang ditanam maka baik juga hasilnya.

Kita semua mampu untuk membuat perubahan. Sekarang...

Maka, tersenyumlah. Senyum  bukan sahaja dilemparkan hanya untuk orang lain, tetapi mulakan senyuman kepada diri sendiri untuk menjadi positif.
"Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan…." 
(Muhammad Qutb)
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 13, 2011

Sunnatullah Senyum :) - Bahagian I

 

"Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah" 
(Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. David Song, seorang Pakar Pembedahan Plastik dan Pensyarah di University of Chicago Hospital, terdapat 12 otot yang digunakan untuk senyum. Manakala untuk bermasam muka pula, sebanyak 11 otot yang digunakan.

Menurut kajian Dr. David Song, antara otot-otot yang terlibat dengan senyuman tulus adalah:
  • Zygomaticus major and minor (4)
  • Orbicularis oculi (2)
  • Levator labii superioris (2)
  • Levato ranguli oris (2)
  • Risorius (2)

Bagi bermasam muka pula, otot-otot yang digunakan adalah
  • Orbicularis oculi (2)
  • Platysma (2)
  • Corrugator supercilii (bilateral) and procerus (unilateral) (3)
  • Orbicularis oris (1)
  • Mentalis (1)
  • Deppressor anguli oris (2)

Dr. David Song juga menjelaskan bahawa oleh sebab senyuman menggunakan lebih banyak otot, dipercayai lebih ramai yang bermasam muka berbanding tersenyum. Sayangnya, kebanyakannya tidak mengetahui bahawa menggunakan otot untuk senyum memberikan manfaat yang besar kepada otot muka supaya ia menjadi lebih cantik dan tegang...

Awet muda.

Mendengar perkataan ini, saya percaya anda pasti sedang tersenyum-senyum seorang diri sambil membayang-bayangkan wajah anda yang muda dengan kulitnya yang tegang sambil tangan bergerak perlahan ke segenap ruang muka dan diakhiri dengan menepuk-nepuk manja pipi anda...


Menurut Pakar Motivasi dan Pembangunan Kendiri, Proffesor Dr. Muhaya Mohamad, senyuman yang paling tulus akan berakhir dalam tempoh tujuh saat. Itulah yang dikatakan sebagai senyuman yang bermakna, bersih, suci, ikhlas dan jujur.

Apabila tersenyum, hormon endorfin banyak dikeluarkan. Endorfin adalah pil tahan sakit yang dikeluarkan oleh badan secara semula jadi tanpa kesan sampingan dan melahirkan rasa seronok. Endorfin ini juga dikenali sebagai feel good factor. Hanya yang tersenyum dengan senyuman dalam kategori Duchenne akan dapat menikmati apa yang dibawa oleh endorfin. Duchenne adalah istilah psikologi yang digunakan kepada senyum ikhlas, sejati, tulus dan asli.

Selain itu, senyum juga dapat memaksa serotonin keluar yang mana ia bertindak sebagai neurotransmitter bagi mengawal dan mengurangkan ketakutan dan kebimbangan.

Dengan senyum juga dapat membawa 10 peratus lebih banyak oksigen dan glukosa ke dalam alirran darah. Jadinya, kita akan lebih bertenaga untuk belajar dan bekerja. Apabila otak menjalani proses pembelajaran dan menggunakan ingatan jangka panjang, sebenarnya otak memerlukan 10 hingga 34 peratus daripada oksigen di dalam darah. Ketika tersenyum, badan akan berada di dalam keadaan yang relaks dan sudah pasti membantu sistem pertahanan badan dan saraf akan menjadi lebih cekap.

Apabila ekspresi muka pasif atau negatif, ia akan melambatkan otak untuk memproses maklumat yang dihantar. Proses pembelajaran adalah sukar untuk menyampaikan maklumat ke otak. Stres atau tekanan hanya akan menyebabkan mood menjadi negatif dan mengurangkan kebolehan untuk belajar dan mengingati hingga 45 peratus.

Senyuman akan menyihatkan, menenangkan dan akan mudah belajar. Tiada apa untuk dirugikan.

Maka, Tersenyumlah...

=)

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, June 10, 2011

Bioteknologi UMS

Saya pernah ditanya tentang mata pelajaran yang perlu diambil sebagai pelajar Bioteknologi. Menjawabnya secara spontan mungkin tidak semuanya dapat saya berikan. Maka saya kongsikan di sini subjek-subjek yang telah saya ambil sebagai pelajar Bioteknologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Namun, di sini saya tidak menyebutkan ringkasan ataupun penerangan ringkas bagi setiap subjek.

Mungkin juga ada yang berminat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Bioteknologi di UMS, maka harapnya sedikit perkongsian ini berguna.


Berikut adalah subjek teras program yang perlu diambil dan lulus bagi semua pelajar Bioteknologi.

TERAS PROGRAM (HG07 BIOTEKNOLOGI)
  • Bioteknologi Asas
  • Mikrobiologi
  • Biokimia
  • Teknik-Teknik Biokimia dan Mikrobiologi
  • Genetik Molekul
  • Instrumentasi dan Aplikasi
  • Kejuruteraan Biokimia
  • Kimia Biofizikal
  • Prinsip Kultur Sel dan Tisu
  • Immunologi dan Virologi
  • Topik-topik Pilihan/Khas Dalam Bioteknologi
  • Teknologi Enzim
  • Teknologi Penapaian
  • Bioteknologi Pertanian dan Perubatan
  • Genetik Molekul Gunaan
  • Kejuruteraan Genetik
  • Latihan Industri
  • Projek I
  • Projek II

Selain teras program, pelajar bioteknologi juga wajib mengambil dan lulus bagi subjek teras sekolah yang berikut.

TERAS SEKOLAH
  • Fizik Asas
  • Kimia Asas
  • Matematik dan Statistik Umum
  • Sains Bumi dan Planet
  • Penulisan Saintifik
  • Pengaturcaraan Pakej Statistik

Seterusnya adalah subjek teras universiti yang perlu diambil dan lulus oleh setiap pelajar. Ada subjek-subjek ini yang telah ditetapkan dan ada juga yang boleh dibuat pilihan (sebaiknya dapatkan informasi dari senior bagi subjek yang diberi pilihan ini).

TERAS UNIVERSITI PENATARAN ILMU
  • Sejarah Pembentukan Nasion Malaysia/Hubungan Etnik
  • Tamadun Islam dan Asia
  • (pilihan)Ketahanan Berkeluarga
  • (pilihan)Pemprosesan Maklumat
  • (pilihan)Apresiasi Seni
  • (pilihan)Etika dan Akhlak

TERAS UNIVERSITI BAHASA
  • Bahasa Arab Tahap I
  • Bahasa Arab Tahap II
  • Bahasa Arab Tahap III
  • Bahasa Arab Tahap IV

TERAS UNIVERSITI KO-KURIKULUM
  • (Pilihan) Nasyid Tradisional

Dan berikut pula adalah subjek minor yang perlu diambil oleh pelajar Bioteknologi. Bagi subjek minor ini, pelajar diberi pilihan sama ada untuk mengambil pilihan perakaunan ataupun pemasaran. Bagi yang mengambil pilihan perakaunan, berikut adalah subjek-subjek yang perlu diambil dan lulus oleh setiap pelajar.

MINOR (Pilihan PERAKAUNAN)
  • Asas Pemasaran
  • Asas Keusahawanan
  • Asas Pengurusan Kewangan
  • Prinsip Perakaunan
  • Prinsip dan Amalan Pengurusan

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture