Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Tuesday, December 28, 2010

Jamal Lelaki Sederhana

Jamal Bin Jamadi adalah seorang lelaki yang sederhana. Dia tinggal di sebuah taman yang sederhana dengan kejiranan yang mesra. Rumahnya adalah rumah yang sederhana, dengan hiasan yang sederhana dan warna yang sederhana sepertimana kebanyakannya rumah sederhana lain di taman itu.

Rakan-rakannya biasa memanggilnya dengan panggilan yang sederhana iaitu Jamal. Tidak terlalu malas iaitu Jam ataupun Mal dan tidak pula terlalu menyusahkan iaitu Jamal Bin Jamadi Bin Ijam. Hanya panggilan sederhana iaitu Jamal.

Jamal yang sederhana, sentiasa berpenampilan sederhana. Tiada jam emas yang menghiasi pergelangan tangan. Tiada rantai mahupun subang yang menunjukkan kecelaruan keinginan. Pakaiannya adalah pakaian biasa-biasa seperti kebanyakan orang sederhana yang lain. Dan hiasan dirinya adalah sebuah jam tangan hitam sederhana pemberian ibunya yang sangat berharga buatnya.

Jam tangan hitam sederhana itu dihadiahkan ibunya selepas ibunya itu berjaya memenangi hadiah wang tunai di dalam pertandingan menyiang ikan paling pantas anjuran JKK Kampung Sipi-sipi. Jam tangan itu diterima Jamal sewaktu dia masih lagi menuntut di sebuah universiti tempatan. Kini Jamal tidak lagi tinggal bersama ibu dan ayahnya di Kampung Sipi-sipi kerana dia kini sudah berkerjaya. Dan kerjayanya itu membuatkannya terpaksa berjauhan dengan ibu dan ayah yang sentiasa dirinduinya.

Segala-galanya sederhana tentang Jamal. Maka jikalau dia sedang berjalan-jalan di Ekspo Makanan Halal ataupun sedang berbaris di mesin atm, tentulah dia tidak menjadi perhatian kerana dia seorang yang sederhana seperti kebanyakannya orang sederhana yang lain.

Jamal adalah seorang graduan universiti tempatan. Walaupun dia bukanlah pelajar terbaik universitinya, namun dengan keputusannya itu, dia mampu bekerja kerajaan. Dan dengan perkerjaannya itu, dia mampu untuk hidup sederhana. Dia yang sederhana sangat bersyukur kepada Tuhan di atas segala limpahan nikmat dan rezeki yang terus -menerus diterimanya.

Pernah dia dipelawa untuk menyertai skim cepat kaya yang bernama "Skim Cepat Jutawan Halal Punye" oleh rakan sekerjanya. Namun dia cepat-cepat menolak kerana katanya skim tersebut terlalu keterlaluan. Dia juga menolak dari menyertai skim tersebut kerana terkesan dengan ceramah sederhana yang disampaikan oleh imam yang tenang dipandang mata, yang menasihatkan para jemaah untuk menghindari skim-skim sedemikian.

Imam yang tenang dipandang mata itu adalah Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas, imam satu bagi Masjid 'Jom Datang Masjid'. Masjid 'Jom Datang Masjid' itu pula letaknya di taman tempat Jamal tinggal.

Pernah Jamal ditanya tentang moto kehidupan sewaktu sedang makan di Gerai Makan Semangat oleh rakannya. Dengan sederhana dia menjawab, "Hiduplah secara sederhana". Pernah juga dia ditanya tentang siapa idolanya ketika sedang berbaris menunggu burger istimewa di gerai burger berdekatan tempat kerjanya. Dengan senyuman sederhana Jamal menjawab, "Idolaku adalah insan yang paling sederhana mengamalkan Islam iaitu Rasulullah s.a.w.". Dan sekiranya ditanyakan soalan-soalan sebegini kepada Jamal, maka itulah jawapan sederhana yang akan diberikannya.

Suatu hari, selepas selesai menunaikan solat Isya' secara berjemaah di Masjid 'Jom Datang Masjid', Jamal dalam langkah yang sederhana datang menghampiri imam yang tenang dipandang mata, iaitu Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas, imam satu satu bagi Masjid 'Jom Datang Masjid' itu. Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas yang sedang rapi duduk di satu sudut masjid tersenyum tenang melihat Jamal menghampirinya.

Tujuan Jamal bertemu dengan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas itu adalah sama seperti minggu-minggu sebelumnya. Iaitu untuk menyemak bacaan surah Al-Fatihahnya dan bertanyakan satu amalan Rasulullah s.a.w. yang boleh diikutinya. Dan sama seperti minggu-minggu sebelumnya, Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas akan mendengar dan menjawabnya dengan tenang seperti biasa.

"Bacaan Al-Fatihah kamu semakin okey. Tiada lagi masalah tajwid", kata Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas dengan tenang sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya dan menunjukkan isyarat bagus setelah Jamal habis membaca Surah Al-Fatihah.

"Alhamdulillah. Sekarang boleh imam bagitau pada saya salah satu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang dapat saya ikut?" tanya Jamal dengan sederhana.

Dengan nada suara yang tenang dan di dalam masjid yang tenang, Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas yang tenang dipandang itupun menjawab, "Boleh, nak". Lalu Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas membacakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang dihafalnya dengan tenang:

Diriwayatkan daripada Thauban r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w selesai daripada solatnya, baginda beristighfar sebanyak tiga kali kemudian membaca:

Bermaksud: Ya Allah, Engkaulah sejahtera daripada segala keaiban, daripada Engkaulah (datangnya)kesejahteraan, bertambah-tambah berkatMu ya Allah, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.


Ditanya kepada Imam Al-Awza'i, iaitu salah seorang perawi hadis ini: "Bagaimana beristighfar itu?" Jawabnya: "Sebutlah...

Bermaksud : Aku memohon keampunanMu ya Allah (3x)

Jamal yang sederhana itu mendengar dengan khusyu', sambil mengangguk-ngangguk sederhana.

"Jadi, setiap kali kamu selesai menunaikan solat Fardhu bacalah...
... seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.", Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas yang tenang dipandang itu menyudahkan ucapannya dalam nada tenang yang mampu mendamaikan jiwa.

Setelah selesai mencatatkan pesanan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas di buku catatan khas yang sederhana miliknya, Jamal mengucapkan terima kasih dan bermohon untuk mengundur diri pulang ke rumah. Malam itu Jamal perlu pulang awal ke rumah tanpa sempat berbasa-basi dengan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas kerana ingin mengejar episod terakhir drama bersiri bergenre seram iaitu "Dompetku Dicuri Toyol" yang diawalkan sejam dari masa biasa drama itu ditayangkan. Drama itu diawalkan tanpa sebab-sebab yang diketahui oleh Jamal.

Jamal lalu bangun berlalu meninggalkan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas dan Masjid 'Jom Datang Masjid'' untuk pulang ke rumah. Dia pulang sepertimana dia datang iaitu dengan menunggang motosikalnya yang sederhana. Motosikalnya yang sederhana itu ditunggangnya pada kelajuan yang sederhana. Sesekali dia mengambil peluang untuk melihat waktu di jam tangan hitamnya itu.

"Masih ada tiga minit lagi", detik hati Jamal sendirian.

Semasa di pertengahan jalan, tiba-tiba...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture