Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Tuesday, December 28, 2010

Jamal Lelaki Sederhana

Jamal Bin Jamadi adalah seorang lelaki yang sederhana. Dia tinggal di sebuah taman yang sederhana dengan kejiranan yang mesra. Rumahnya adalah rumah yang sederhana, dengan hiasan yang sederhana dan warna yang sederhana sepertimana kebanyakannya rumah sederhana lain di taman itu.

Rakan-rakannya biasa memanggilnya dengan panggilan yang sederhana iaitu Jamal. Tidak terlalu malas iaitu Jam ataupun Mal dan tidak pula terlalu menyusahkan iaitu Jamal Bin Jamadi Bin Ijam. Hanya panggilan sederhana iaitu Jamal.

Jamal yang sederhana, sentiasa berpenampilan sederhana. Tiada jam emas yang menghiasi pergelangan tangan. Tiada rantai mahupun subang yang menunjukkan kecelaruan keinginan. Pakaiannya adalah pakaian biasa-biasa seperti kebanyakan orang sederhana yang lain. Dan hiasan dirinya adalah sebuah jam tangan hitam sederhana pemberian ibunya yang sangat berharga buatnya.

Jam tangan hitam sederhana itu dihadiahkan ibunya selepas ibunya itu berjaya memenangi hadiah wang tunai di dalam pertandingan menyiang ikan paling pantas anjuran JKK Kampung Sipi-sipi. Jam tangan itu diterima Jamal sewaktu dia masih lagi menuntut di sebuah universiti tempatan. Kini Jamal tidak lagi tinggal bersama ibu dan ayahnya di Kampung Sipi-sipi kerana dia kini sudah berkerjaya. Dan kerjayanya itu membuatkannya terpaksa berjauhan dengan ibu dan ayah yang sentiasa dirinduinya.

Segala-galanya sederhana tentang Jamal. Maka jikalau dia sedang berjalan-jalan di Ekspo Makanan Halal ataupun sedang berbaris di mesin atm, tentulah dia tidak menjadi perhatian kerana dia seorang yang sederhana seperti kebanyakannya orang sederhana yang lain.

Jamal adalah seorang graduan universiti tempatan. Walaupun dia bukanlah pelajar terbaik universitinya, namun dengan keputusannya itu, dia mampu bekerja kerajaan. Dan dengan perkerjaannya itu, dia mampu untuk hidup sederhana. Dia yang sederhana sangat bersyukur kepada Tuhan di atas segala limpahan nikmat dan rezeki yang terus -menerus diterimanya.

Pernah dia dipelawa untuk menyertai skim cepat kaya yang bernama "Skim Cepat Jutawan Halal Punye" oleh rakan sekerjanya. Namun dia cepat-cepat menolak kerana katanya skim tersebut terlalu keterlaluan. Dia juga menolak dari menyertai skim tersebut kerana terkesan dengan ceramah sederhana yang disampaikan oleh imam yang tenang dipandang mata, yang menasihatkan para jemaah untuk menghindari skim-skim sedemikian.

Imam yang tenang dipandang mata itu adalah Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas, imam satu bagi Masjid 'Jom Datang Masjid'. Masjid 'Jom Datang Masjid' itu pula letaknya di taman tempat Jamal tinggal.

Pernah Jamal ditanya tentang moto kehidupan sewaktu sedang makan di Gerai Makan Semangat oleh rakannya. Dengan sederhana dia menjawab, "Hiduplah secara sederhana". Pernah juga dia ditanya tentang siapa idolanya ketika sedang berbaris menunggu burger istimewa di gerai burger berdekatan tempat kerjanya. Dengan senyuman sederhana Jamal menjawab, "Idolaku adalah insan yang paling sederhana mengamalkan Islam iaitu Rasulullah s.a.w.". Dan sekiranya ditanyakan soalan-soalan sebegini kepada Jamal, maka itulah jawapan sederhana yang akan diberikannya.

Suatu hari, selepas selesai menunaikan solat Isya' secara berjemaah di Masjid 'Jom Datang Masjid', Jamal dalam langkah yang sederhana datang menghampiri imam yang tenang dipandang mata, iaitu Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas, imam satu satu bagi Masjid 'Jom Datang Masjid' itu. Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas yang sedang rapi duduk di satu sudut masjid tersenyum tenang melihat Jamal menghampirinya.

Tujuan Jamal bertemu dengan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas itu adalah sama seperti minggu-minggu sebelumnya. Iaitu untuk menyemak bacaan surah Al-Fatihahnya dan bertanyakan satu amalan Rasulullah s.a.w. yang boleh diikutinya. Dan sama seperti minggu-minggu sebelumnya, Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas akan mendengar dan menjawabnya dengan tenang seperti biasa.

"Bacaan Al-Fatihah kamu semakin okey. Tiada lagi masalah tajwid", kata Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas dengan tenang sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya dan menunjukkan isyarat bagus setelah Jamal habis membaca Surah Al-Fatihah.

"Alhamdulillah. Sekarang boleh imam bagitau pada saya salah satu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang dapat saya ikut?" tanya Jamal dengan sederhana.

Dengan nada suara yang tenang dan di dalam masjid yang tenang, Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas yang tenang dipandang itupun menjawab, "Boleh, nak". Lalu Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas membacakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang dihafalnya dengan tenang:

Diriwayatkan daripada Thauban r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w selesai daripada solatnya, baginda beristighfar sebanyak tiga kali kemudian membaca:

Bermaksud: Ya Allah, Engkaulah sejahtera daripada segala keaiban, daripada Engkaulah (datangnya)kesejahteraan, bertambah-tambah berkatMu ya Allah, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.


Ditanya kepada Imam Al-Awza'i, iaitu salah seorang perawi hadis ini: "Bagaimana beristighfar itu?" Jawabnya: "Sebutlah...

Bermaksud : Aku memohon keampunanMu ya Allah (3x)

Jamal yang sederhana itu mendengar dengan khusyu', sambil mengangguk-ngangguk sederhana.

"Jadi, setiap kali kamu selesai menunaikan solat Fardhu bacalah...
... seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.", Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas yang tenang dipandang itu menyudahkan ucapannya dalam nada tenang yang mampu mendamaikan jiwa.

Setelah selesai mencatatkan pesanan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas di buku catatan khas yang sederhana miliknya, Jamal mengucapkan terima kasih dan bermohon untuk mengundur diri pulang ke rumah. Malam itu Jamal perlu pulang awal ke rumah tanpa sempat berbasa-basi dengan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas kerana ingin mengejar episod terakhir drama bersiri bergenre seram iaitu "Dompetku Dicuri Toyol" yang diawalkan sejam dari masa biasa drama itu ditayangkan. Drama itu diawalkan tanpa sebab-sebab yang diketahui oleh Jamal.

Jamal lalu bangun berlalu meninggalkan Imam Mahmud Kasim Bin Azamuddin Alyas dan Masjid 'Jom Datang Masjid'' untuk pulang ke rumah. Dia pulang sepertimana dia datang iaitu dengan menunggang motosikalnya yang sederhana. Motosikalnya yang sederhana itu ditunggangnya pada kelajuan yang sederhana. Sesekali dia mengambil peluang untuk melihat waktu di jam tangan hitamnya itu.

"Masih ada tiga minit lagi", detik hati Jamal sendirian.

Semasa di pertengahan jalan, tiba-tiba...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Sunday, December 26, 2010

Jangan Berputus Asa!

The Climb...

Jikalau sebelum ini saya ada kongsikan lirik lagu "The Climb" di blog ini, maka dikesempatan ini saya ingin kongsikan sekali lagi lirik ini... Tetapi kali ini di dalam Bahasa Melayu!

Mungkin terjemahan ini tidaklah sesuai untuk dinyanyikan, namun cukuplah untuk dijadikan sebagai sedikit motivasi buat diri.

Selamat membaca...


Di sana sentiasa akan ada gunung seterusnya,
Dan aku sentiasa mahu untuk mengalihkannya,
Pendakianku pasti akan berhadapan pelbagai pertarungan,
Dan kadang-kala aku terpaksa untuk menerima kekalahan...

Bukan tentang seberapa pantas aku dapat menyeberangi,
Bukan tentang apa yang sedang menanti untuk diri,
Tetapi ia adalah tentang pendakian yang kutempuhi...

Aku hampir dapat melihatnya,
Impian yang selalu kuimpikan,
Tetapi, selalu sahaja ada suara di dalam kepala berkata,
"Kau tidak mampu menggapainya"...

Setiap jejak langkah,
Setiap laku tingkah,
Kurasakan seperti tiada arah,
Kepercayaanku menjadi semakin goyah...

Tetapi aku, aku harus tetap terus mencuba,
Harus tetap terus mendongak tinggi ke udara...

Di sana sentiasa akan ada gunung seterusnya,
Dan aku sentiasa mahu untuk mengalihkannya,
Pendakianku pasti akan berhadapan pelbagai pertarungan,
Dan kadang-kala aku terpaksa untuk menerima kekalahan...

Bukan tentang seberapa pantas aku dapat menyeberangi,
Bukan tentang apa yang sedang menanti untuk diri,
Tetapi ia adalah tentang pendakian yang kutempuhi...

Terjemahan bebas oleh Ainuddin


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, December 23, 2010

Islamic Summer Camp 2010 : Youth Now, Leaders Tomorrow


"Peserta-peserta PLD (Pusat Latihan Dakwah) cakap awal-awal tu terasa macam budak-budak. Tapi bila hari terakhir, rasa macam tak mau balik pulak", cerita seorang rakan sambil mengunyah perlahan pisang goreng yang pernah panas itu.

Saya dan beberapa rakan yang lain mendengar dan tersenyum dengan ceritanya itu.

Alhamdulillah... Islamic Summer Camp Kali ke-4 2010 berjaya disempurnakan.

Program cuti sekolah selama 3 hari 2 malam ala-ala perkhemahan ini, kali ini ditutup dengan warna-warnanya yang tersendiri. Yang pasti, keistimewaan kali ini mampu menambahkan lagi sebab untuk diri tersenyum sendiri apabila dingati.


Youth Now, Leaders Tomorrow

Penerapan kepimpinan dalam diri bukanlah tugas yang mudah. Terutamanya membebaskan diri dari kongkongan faktor luaran yang menyekat diri dari menjadi pemimpin yang hebat. Meminjam kata-kata Stephen Covey di dalam The 7 Habits: Manusia tidak boleh berperanan (efektif) selagi mana dia itu seorang yang DEPENDENT(terikat atau tertakluk dengan banyak faktor luaran yang mengongkong diri).

Maka, pembebasan diri inilah yang perlu dilakukan. Namun, pembebasan diri tanpa pegangan dan prinsip akan membinasakan. Bagaikan layang-layang terputus talinya. Oleh itu, kebebasan ini mesti dipimpin oleh prinsip dan prinsip Islamlah yang mesti menjadi tempat berpegang untuk memegang dan dipegang. Inilah yang dinamakan sebagai kebebasan terpimpin iaitu memaksikan kebebasan itu pada sebuah pendirian yang berIlahkan Allah.

Sesungguhnya hanya Allah dan peraturanNya sahaja yang menjadi keutamaan tertinggi hidup kita, seterusnya menunjangi kebebasan dan pilihan dalam hidup ini.

Justeru, modul-modul dan kuliah-kuliah yang mengisi ISC ini adalah pada memenuhi keperluan ini. Semoga peserta-peserta memahami kepentingan untuk menjadi seorang pemimpin kerana setiap dari kita adalah pemimpin, paling tidak kita adalah pemimpin bagi diri kita sendiri. Dan tugas tertinggi bagi seorang pemimpin adalah amar ma'ruf nahi munkar (seru kebenaran, cegah kemungkaran).



Kelainan

Program ini, sebelum ini hanya terbuka untuk pelajar menengah atas, kali ini turut menerima penyertaan dari seorang pelajar yang bakal menaiki tingkatan satu, beberapa pelajar Pusat Latihan Dakwah dan seorang mahasiswa non-muslim.

Penyertaan Saudara Voon pada ISC kali ini menambahkan seri


Semoga seluruh perkongsian ilmu, pengalaman dan persaudaraan yang terbentuk di dalam program, berterusan menjadi manfaat buat semua.

Tahniah buat barisan ahli jawatankuasa dan fasilitator yang terlibat yang telah bertungkus-lumus menjayakan ISC kali ini.

Tahniah juga buat para peserta yang berjaya mengharungi program ini hingga ke akhirnya.



Dan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang telah memilih kita untuk bertemu dan berkasih keranaNya di ISC 2010 ini...

Semoga pertemuan dan perpisahan ini dilimpahi dengan rahmat kasih sayang Allah...

Ameen...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture