Ia diisi atas tujuan mencari erti syukur pada berkongsi nikmat yang dikurnia Ilahi...
Ramadhan saya kali ini diisi dengan menyertai beberapa program kemasyarakatan. Antaranya adalah:
Mengedar Risalah Ramadhan
Saya bersama-sama beberapa orang pemuda lain lagi bertindak untuk mengedar risalah berkaitan Ramadhan. Kami mengedarkan risalah tersebut di sekitar Bazaar Ramadhan yang dibuka di kawasan perumahan Indah Permai. Kami turut mngedar takwim waktu imsak dan berbuka kepada para pengunjung bazaar tersebut.
Alhamdulillah... Harapan kami semoga keghairahan menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini dapat dirasai bersama.
Program Ihya' Ramadhan
Di bawah kerjasama antara pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin dengan Persatuan Mahasiswazah Sabah (PSS), Program Ihya' Ramadhan dilakukan untuk para pelajar asrama sekolah tersebut. Saya dan beberapa orang lagi sahabat di bawah payung PSS, mengemudi kelangsungan program tersebut.
Program ini merupakan satu cabaran besar bagi kami kerana antara para peserta tersebut adalah pelajar-pelajar istimewa yang hanya berbahasa isyarat. Kami mencuba sedaya yang mampu agar objektif bagi program ini dapat dicapai dan mesej yang disampaikan dapat diterima oleh semua para pelajar.
Alhamdulillah, program ini dapat dilaksanakan sehingga ke akhirnya. Banyak kenangan dan ilmu baru yang dapat saya peroleh sepanjang program ini.
Majlis Iftar Perdana
Saya turut sama berpeluang menyertai majlis berbuka puasa bersama saudara baru dan saudara kita (muallaf) anjuran Hidayah Centre bahagian Sabah di Magellan Sutera Habour pada Ramadhan kali ini.
Walau pun pada awalnya saya dan saudara Amin hanya hadir atas kapasiti PSS untuk mengiringi dua orang peserta program di bawah bantuan PSS, namun kehadiran kami turut disertai dengan tugas tambahan yang mengejutkan.
Saya dan Amin diminta untuk membantu menjaga anak-anak kecil sepanjang majlis ini dijalankan. Berbekalkan pengalaman menjadi kanak-kanak dan kemahiran mengarut yang ada, kami cuba memastikan mereka untuk berada di bawah kawalan kami dengan baik.
Fuh, menguruskan anak-anak kecil memang sukar dan meletihkan sekali.
Alhamdulillah, nasib baik semua anak-anak ini comel dipandang mata dan makanannya pula sangat enak sekali. Walaupun letih dan memeningkan, tapi ia menjadi pengalaman yang amat menggembirakan buat kami.
Program Jejak Muallaf & Fakir (Pitas - Kudat)
Saya turut berpeluang untuk menyertai rombongan PSS melakukan kembara ke Pitas dan seterusnya ke Kudat bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan muallaf dan fakir serta miskin di sana. Semua sumbangan ini diperoleh daripada sumbangan orang ramai yang perihatin akan nasib saudara seiman mereka yang amat memerlukan bantuan.
Saya berserta lima orang sahabat yang lain iaitu Nadir (ketua program), Saba', Azizul Julirin, Fadhil dan Edy menjalankan kembara kami ini dengan mengharapkan keredhaan Allah. Kami dibantu oleh ustaz dari SMK Kanibongan dan beberapa orang ahli Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) bahagian Pitas bagi mengagihkan bahan sumbangan kepada golongan yang memerlukan .
Cukuplah gambar-gambar di bawah ini menjadi cerita kembara kami...
Sempat berprogram di SMK Pitas
Slot bersama anak-anak penduduk Kg. Andap Bangau, Kudat
Melakukan pemeriksaan kesihatan percuma di Gereja SIB di Kg. Andap Bangau, Kudat
Slot bersama anak-anak penduduk Kg. Andap Bangau, Kudat
Melakukan pemeriksaan kesihatan percuma di Gereja SIB di Kg. Andap Bangau, Kudat
Mengedar Bubur Lambuk
Bersama-sama dengan beberapa orang pemuda lain lagi, saya menyertai mereka mengedarkan bubur lambuk secara percuma. Aktiviti ini kami lakukan di pasar ikan yang letaknya di tepi jalan berdekatan dengan kawasan perumahan Taman Kingfisher Sulaman.
Alhamdulillah...
Semoga kelainan Ramadhan kali ini dapat memberikan pengajaran yang berguna buat diri saya, dan dapat menjadi penyelamat bagi saya di akhirat kelak...
Seronoknya bekerja untuk Islam kerana Allah...
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.