"Mase tu ade pakaian beragam. Ayah pun tak ingat pertandingan atau persembahan. Tapi memang tak dapat pergi lah sebab tayar motor pancit" ayah bercerita sambil tangannya ligat melipat kain yang berlonggok membukit di sofa.
Saya hanya tersenyum sambil melihat foto di tangan. Seorang budak lelaki segak dalam pakaian askar dan senapang di tangan. Bergaya di hadapan kamera.
"Tulah, mase tu umi dah ajak pergi sekali pagi tu. Tapi ayah kau tak nak", ibu saya pula bersuara. Dikibas-kibas kain ditangannya itu sebelum dilipat kemas.
Ayah saya hanya tersenyum. Dijelingnya ibu saya yang duduk disebelahnya itu. Duduk-duduk di ruang tamu sambil berborak begini kadang-kala menjadi cara bagi kami menyempurnakan kualiti masa bersama. Seronok juga...
Sambil melayan angin kipas yang menyejukkan panas tengah hari itu.
Matahari tengah hari hujung minggu itu begitu terik sekali. Bagaikan semahunya melepaskan amarahnya yang entah kerana apa. Mungkin kerana sudah tidak tahan melihat kerenah manusia yang tidak putus-putus melakukan dosa dan noda serta mengingkari perintah Allahnya yang Esa. Sedangkan manusia itu sepatutnya adalah khalifah di muka bumi dengan sifat, jiwa dan rasa seorang hamba. Kerana manusia itu akhir tujuan penciptaannya tiada lain melainkan beribadah dengan jiwa pengabdian yang hanyasanya kepada Allah yang menciptakan mereka.
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."Surah Al-Baqarah(2) : 30
"Nak tengok", adik perempuan saya menghulurkan tangannya meminta album foto di tangan saya. Kain di tangannya itu diletakkan ke tepi. Album foto itu saya hulurkan, pantas disambutnya. Adik lelaki saya pula memanjangkan leher menjenguk-jenguk sama foto tersebut. Terkekeh-kekeh mereka menggelakkan budak tersebut.
"Frust abang kau mase tuh..." sambung ayah kepada adik-adik saya. Kami sekeluarga tergelak seirama.
Ingatan saya agak kabur tentang peristiwa hari itu. Namun, penceritaan semula dari ayah dan ibu, sedikit sebanyak melengkapkan puzzle aliran peristiwa yang lompong dibeberapa bahagian.
Pagi hari itu ibu saya ada kuliah di UPM. Maka diajaknya saya dan ayah untuk sekali jalan bersama dengan kereta. Kebetulan majlis yang bakal saya ikuti itu juga dilakukan di UPM. Tetapi, oleh kerana masa masih terlalu awal, maka ayah saya menolak cadangan ibu saya tersebut.
Tidak teringat pula jam berapa ketika itu, saya dan ayah bertolak dengan motorsikal menuju ke UPM. Baru beberapa meter dari pagar rumah, barulah disedari bahawa tayar motor pancit rupanya.
Kecewanya...
Lagilah pada masa itu tiada lagi kedai motor yang dibuka. Maka, harapan memperagakan watak dan pakaian askar hari itu terlepas dibawa masa.
Tersenyum saya mengingatinya semula. Peristiwa sewaktu saya masih di tadika.
Betapa saya begitu kagum untuk menjadi askar. Yang tergambar di minda bagi kebanyakan anak kecil yang sebaya itu, askar adalah suatu watak baik yang mempertahankan negara dengan nyawa. Dengan baju celoreng yang seragam, muka berconteng yang kelihatan garang dan dengan senapang yang tidak pernah lekang. Oh ya... Paling penting tentulah tabiknya yang penuh bergaya.
Dan yang paling utama adalah jiwa seorang askar yang sanggup bergadai nyawa demi mempertahan tanah air tercinta. Ia adalah hero bagi kebanyakan anak seusia itu. Dan seingat saya, apabila bermain perang-perang dengan rakan-rakan sebaya, watak saya adalah yang bergelimpangan di pertengahan cerita. Syahid...
Namun, apabila semakin menginjak dewasa, masa mengajar dan mengubah persepsi kebanyakan anak-anak kecil ini termasuk saya. Askar itu semakin lenyap dan hilang dari pandangan mata. Yang lebih pasti adalah jiwa askar itu sendiri semakin terhakis dari dalam dada. Jiwa mempertahan dan berkorban.
Alhamdulillah...
Selama saya di Sabah, saya telah dipertemukan oleh Allah dengan askar-askarNya. Walaupun tiada seragam yang menjadi tanda, tiada senapang menjadi senjata, malah tidak ditawarkan pangkat dan juga harta, mereka tetap teguh mempertahan sebuah jiwa. Jiwa askar yang bukan hanya menjaga tanah airnya, malah berjuang menegakkan agamanya.
Mempertaruh segalanya demi jalan yang payah ini. Bukan lakonan mahupun sekadar penceritaan, tetapi realiti yang saya lihatnya dengan sendiri. Air mata dan senyuman mereka, duka dan gembira mereka, susah dan senang mereka, lara dan ceria mereka, jatuh dan bangun mereka, telah disaksikan sendiri oleh mata ini.
Sungguh dirasakan begitu kerdilnya diri...
Sedikit demi sedikit jiwa askar yang dulunya pernah bertempat di dada lalu pernah terpadam, kembali membara. Semoga kekal menyala, tidak kelam.
Sungguh dirasakan begitu kerdilnya diri...
Sedikit demi sedikit jiwa askar yang dulunya pernah bertempat di dada lalu pernah terpadam, kembali membara. Semoga kekal menyala, tidak kelam.
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.Surah AT-Taubah (9) : 71
"Ya Allah kekalkanlah jiwa dan perasaan ini."
"Jadi, sebab tak dapat pergi, bergambar jelah abang kau tuh kat rumah. Kecewa abang kau mase tu. Ha ha ha", ayah saya menamatkan cerita.
Semua yang lain turut tergelak sama.
Dan saya hanya tersenyum...
Menyembunyikan hati yang sedang sebak. Kerana rindukan pada askar Allah itu...
"Ya Allah. Engkaulah Tuhan ku yang tiada lain selainMu"
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.