Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Monday, July 6, 2009

Perjalanan Seribu Langkah

Bip, Bip, Bip....

Saya bergerak mendapatkan telefon bimbit.


1 massage received.


Saya membuka peti masuk pesanan ringkas yang baru datang itu. Hari ini sahaja, beberapa pesanan ringkas telah masuk ke peti telefon bimbit saya itu.


Tahniah. Nampakny ad org trbg over the sea nnt.


Saya terkejut dengan pesanan ringkas yang diterima kali ini. Berlainan... Dan ia adalah kelainan yang memeranjatkan.


Jika sebelum ini semua pesanan ringkas yang tiba adalah berbentuk persoalan tetapi kali ini ia berbentuk pernyataan. Pernyataan yang sukar bagi saya menerima kenyataannya.

Saya membaca sekali lagi. Namun, masih tidak dapat mempercayainya. Saya ulangi membacanya lagi.

Dan ia tetap istiqomah memaparkan ayat yang sama...

Saya cuba mengingatkannya kembali. Detik-detik yang menjadikan keputusan seperti hari ini. Rasanya tidak ada pula saya meminta tempat yang memerlukan saya terbang menyeberangi laut. Saya terus cuba mengingati.

Ya, saya yakin! Tiada, dan terbang bukanlah pilihan saya!

Saya mula meragui kebenaran pesanan ringkas ini. Namun, sumber ini cukup sahih untuk saya mempercayainya. Saya sedar bahawa saya dalam keadaan yang kalut. Maka saya mengambil masa untuk bergelut. Menenangkan perasaan dan rasional yang serabut.

Lantas saya mengambil keputusan untuk menyemaknya sendiri. Melihat dengan mata sendiri. Agar sendiri berpuas hati.

Dan...

Terbang over the sea adalah kenyataan. Tiada kesilapan. Tiada kesalahan.


UNIVERSITI MALAYSIA SABAH.



Beberapa hari kemudian sepucuk surat di bawah nama saya tiba di rumah. Malas rasanya untuk membuka surat tersebut. Surat tersebut saya pusing-pusingkan di tangan. Sekejap melihat depannya, kemudian beralih ke bahagian belakangnya. Dan beralih semula ke bahagian depannya. Setelah beberapa ketika, saya membuka dan mengeluarkan kepingan surat di tangan itu dengan sedikit harapan. Harapan akan berlakunya sedikit perubahan.


Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.
Surah Muhammad (47) : 31


Tetapi inilah suratan yang telah tersurat di atas surat. Dan ia sememangnya tidak dapat diubah lagi. Saya menarik nafaz sedalam yang boleh.


"Kau dapat mane?", sudah beberapa kali ibu saya bertanyakan soalan yang sama ini kepada saya. Saya hanya mendiamkan diri.

"Eh, ko dapat manelah?", ibu saya agak memaksa kali ini.

"Surat belum sampai lagi. Tunggulah surat sampai nanti", saya menjawab dengan tidak menjawab. Takut rasanya untuk saya mengkhabarkan berita sebenar.


Huuuh... Saya menghembuskan nafas yang ditahan. Ingatan perbualan antara saya dan ibu itu berlalu perlahan. Dan dengan kaki kanan, saya melangkah bergerak mendapatkan ibu saya.

"Nah, surat tawaran universiti", saya menghulurkan surat di tangan.

"Dapat mane?", ibu saya bertanyakan soalan sambil tangan mengeluarkan surat yang dihulurkan.

"Bacelah sendiri", saya menjawab ringkas dan segera beredar.

Beberapa ketika kemudian ibu saya menjerit memanggil nama saya. "ARIF!"...

Sudah saya jangkakan. Persediaan untuknya juga telah saya sediakan. Saya melangkah perlahan mendapatkan kembali ibu saya.

Sebaik sahaja ternampak saya, ibu saya terus menembak dengan peluru solannya.

"Kenapa kau pilih kat Sabah ni?".

"Arep tak mintak kat Sabah pun...".

"Jangan nak bohong. Kalau tak macam mane boleh dapat kat Sabah ni?".

"Mane ade bohong. Arep pun tak tau macam mane boleh dapat kat Sabah".

"Abis tu, macam mane boleh dapat kat Sabah ni kalau kau tak mintak?".

"Betul Arep tak mintak. Arep pun tak tau camne boleh dapat Sabah...".

Soalan bertubi-tubi terus dihalakan ke arah saya. Saya pula tetap cuba meyakinkan bahawa ia bukannya kehendak saya.

Daripada menyuarakan soalan, ibu saya beransur-ansur beralih kepada menyuarakan tanggapannya.

Dan kemudiannya, ibu saya terus-menerus mengemukakan semua tanggapannya. Manakala saya pula terus-menerus membela diri.

Suara ibu saya mula bergetar. Air matanya mula bertakung. Dan bahagian inilah yang membuatkan saya lemah. Saya akhirnya mendiamkan diri... Perkara yang sepatutnya saya lakukan sejak awal-awal lagi.

Marahnya itu bukanlah kerana MARAH. Tetapi adalah lontaran hati yang terlalu berat melepaskan anaknya ini pergi jauh mengembara seorang diri. Saya merasa teramat bersalah.


Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Al Israa' (17) : 23



Setelah ibu saya melepaskan segala perasaannya, saya beredar perlahan. Ketika ini fikiran dan perasaan saya sangat berserabut. Pelbagai rasa bercampur-baur di dalam diri namun tidak dapat dikeluarkan dan terperangkap terkunci. Bagaikan mahu meletup rasanya dada ini.

Banyak betul persoalan 'kenapa' yang terlintas. Tidak ada langsung pemikiran positif yang terlintas. Ayat suci yang paling sering digunakan untuk merawat hati juga langsung tidak teringat. Nafsu yang sedang menguasai. Dan ya, saya bersalah di sini.


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.

Surah Al-Baqarah (2) : 286


Alhamdulillah, Allah masih memberikan bantuan kepada saya. Bantuan dalam bentuk memikirkan keadaan dengan rasional. Bahawa marah tiada guna, dan hampa tidak ke mana.

Setelah agak lama, saya mula menenangkan diri dengan beristighfar kepada Allah. Bersalah rasanya kerana saya seakan-akan menidakkan ketentuan Ilahi ini.

Saya kembali reda. Sedikit demi sedikit saya dapat mengawal diri. Pemikiran-pemikiran bahawa pasti ada hikmah dan Allah lebih mengetahui mula mengambil ruang. Akhirnya saya dapat bertenang sementara waktu.

Namun, iman saya ini sifatnya yazid wa yankus. Kadang-kala timbul semula perasaan yang bercampur-baur itu. Solat dan Al-Quran yang sentiasa menjadi penawar hati.

Dan kerana pergolakan diri yang berlaku ini, saya datang lewat seminggu ke Universiti Malaysia Sabah. Mengambil masa melayan diri. Minggu Suai Mesra dibiarkan pergi.

Ibu saya semakin menerima. Hasil penawar masa dan pujukan ayah saya. Beberapa hari sebelum berangkatnya saya ke Sabah, saya tepu dipenuhi dengan kata-kata amanat dari seorang ibu. Berulang kali diperingatkan perkara yang sama. Risau benar dia.


Alhamdulillah, saya dalam keadaan yang baik sebelum berangkat bersama-sama ayah. Walau pun masih ada perasaan tidak puas hati, namun ianya tidaklah lagi sekuat sebelum ini. Inilah hakikat yang perlu diterima diri. Bahawa sebaik-baik perancang adalah milik Ilahi.

Dan dengan Bismillah, saya meninggalkan rumah. Bermula perjalanan seribu langkah. Sebuah perjalanan yang penuh payah. Namun tersulam saat yang indah. Dalam kembara, mencorak diri di bumi Sabah.



Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Surah Al An'aam (6) : 73


Dan jikalau Allah melapangkan rezki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat
Surah Asy Syuura (42) : 27

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture