Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Monday, April 23, 2012

Kemaskini Blog Sebagai Ibadah...


Mengemaskini blog dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berguna boleh menjadi salah satu bentuk ibadah dan sumber pahala kepada sesiapa sahaja. Dan pastinya tertuju kepada sesiapa sahaja yang mempunyai blog. Namun, ada syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya diterima sebagai ibadah, antaranya niat yang betul kerana Allah s.w.t. dan isi yang ditulis mestilah benar  dan tidak menyebabkan permusuhan.

Ini adalah perkara asas yang saya rasa telah sedia diketahui umum.

Ironinya, ramai yang tidak mahu bergerak menuju ke arah menjadikan penulisan di blog dan mengemaskininya ini sebagai medan ibadah yang berpanjangan. Ini dapat dilihat dengan lambakan blog-blog yang lebih banyak menganjurkan pertelingkahan berbanding diisi dengan ayat-ayat dan kata-kata yang menyeru kepada penyatuan. Blog-blog yang tergendala berbulan-bulan malah bertahun-tahun lamanya tanpa dihiraukan lagi oleh pemiliknya. Malah, blog-blog yang menjadi medan "mempromosi" diri secara keterlaluan. Dengan gambar-gambar dan cerita-cerita diri  yang berbentuk aib yang sepatutnya disimpan dan dijaga dengan rapi.

Ya, memang benar kebenaran itu kadang-kalanya pahit. Tetapi kebenaran tidak pernah membenarkan ia dicemari dengan kata-kata cemuhan dan direndahkan dengan kata-kata yang memalukan. Merendah diri, lambang ketinggian budi. Merendahkan manusia, lambang kerendahan nilai jiwa.

Ya, memang benar mengemaskini blog bukanlah perkara yang mudah. Tetapi luangkanlah sedikit masa untuk meneliti ruangan komen dan membersihkannya dari komen-komen yang tidak sepatutnya mahupun yang bertaraf spam. Biarpun mungkin tiada lagi entri terbaru, untuk menutup blog yang ada mungkin bermaksud memadamkan segala kebaikan yang telah ditulis sebelum ini, menziarahinya masih lagi merupakan suatu kewajipan yang perlu dipikul selagi masih berkemampuan.

Ya, memang benar ada cerita-cerita tentang diri kita yang boleh dijadikan pengajaran buat orang lain. Tetapi membuka aib diri sendiri sedangkan ia telah ditutup oleh Allah s.w.t. bukan perkara yang elok untuk dilakukan. Begitu juga halnya dalam menjadikan blog sebagai tempat untuk meluahkan perasaan. Biarlah jangan sampai ia diluar kawalan. Kekal sedar dan kawalan diri yang baik adalah intipati penting dalam menghuraikan makna Taqwa. Maka, berpada-padalah dalam menceritakan hal diri sendiri dan meluahkan perasaan hati.


Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah bila seorang berbuat dosa di malam hari kemudian Allah telah menutupi dosanya, lalu dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. Allah telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga ia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup Allah dari dirinya.
(Shahih Muslim No.5306)


Penulisan kali ini bukanlah bersifat teguran, tetapi lebih mengarah kepada peringatan. Peringatan khusus buat diri saya sendiri yang telah lama tidak mengemaskini blog ini.

Dan ini hanyalah sekadar pandangan saya yang terbuka kepada tunjuk ajar dan teguran.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture