Dari sehari ke sehari, menulis menjadi semakin susah buat saya. Tidak tahu mengapa...
Bukan sahaja menulis, malah apabila berbicara sering kata-kata saya itu berbelit dan tunggang-langgang bunyinya.
Walaupun terdapat banyak perkara untuk disampaikan, namun mencari perkataan dan ayat yang sesuai dan juga mengandungi rasa empati, adalah amat sukar sekali kini. Mencari-cari dimanakah al-Hikmah di dalam diri.
Allah...
Mungkinkah kerana fikir yang kini sering bercelaru pada perkara yang tidak perlu. Atau zikir yang sudah jarang sekali beralun merdu...
Walaupun sering membaca (input), namun payah sekali memproses bahan bacaan tersebut agar dapat keluar menjadi sesuatu (output) yang berguna... Dikeluarkan dalam bentuk penulisan, lisan, apatah lagi perbuatan...
Adakah masalahnya terletak pada akal, atau berpunca dari hati? Akal kerana jarang berfikir? Atau hati yang sering melupai zikir?
Adakah saya kini semakin berjauhan dari Tuhan?
Ya Allah...
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”
Ali 'Imraan (3) : 190-191
Allah...
Jarang sekali kini saya melihat dengan mata dan hati akan kejadian Tuhan di langit dan bumi. Jarang sekali kini memerhatikan dengan mata dan hati akan kebesaran Allah dan melihat kekerdilan diri, lantas menyebut dan mengingati Allah Yang Maha Besar tatkala berdiri, duduk mahupun ketika terbaring...
Allah..
Mungkin itu silapnya. Saya hanya membaca untuk menambah tahu, bukan untuk mengenal. Saya melihat untuk mengetahui bukan untuk mengenali. Saya bertanya hanya untuk menghilangkan ragu bukan untuk merapati.
Tahu dan kenal itu ada garis pembeza antara keduanya. Tahu itu hanya pada akal, tetapi kenal itu menggunakan hati.
Walau berbeza namun saling berhubungan, tidak dapat dipisahkan...
Teringat pada ayat Allah dalam kitab yang mulia :
"Allah menganugerahkan al Hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan barangsiapa yang dianugerahi Hikmah itu maka sesungguhnya ia benar-benar telah dianugerahi kebaikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)."
Surah Al-Baqarah (2) : 269
Imam Ibn Qayyim ada menyebutkan bahawa "Apabila hati dihidupkan dengan tazakkur, disuburkan pula dengan tafakur dan dibersihkan daripada kekotoran, nescaya ia akan melihat perkara-perkara menakjubkan dan diilhamkan hikmah kepadanya".
(Al-Fawa'id : 128)
Al-Hassan berkata : "Sesungguhnya ahli bijaksana sentiasa menyilih-gantikan antara zikir dan berfikir, sehingga hati mereka menjadi subur, lantas mereka dapat bercakap dengan perkara yang berhikmah".
(Ihya' Ulum Al-Din : 5/6)
Allah...
Betapa jauhnya saya ini dari menggapai al-Hikmah yang dicari...
Biarlah hikmah berbicara di dada kehidupan justeru fikir dan zikir apabila bersatu dan bersepadu, akan muncullah makrufat, kebaikan dan kebajikan pada diri dan masyarakat. Fikir dan zikir itu ada buahnya – ilmu dari fikir itu buahnya amal, iman dari zikir itu bukan hanya angan-angan dan harapan!
Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.