Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Friday, May 15, 2009

Hari Ini Juga Gembira...

14 Mei 2009


Pada jam 5.50 pagi saya ke ODEC. Hasrat di hati ingin melihat pemandangan waktu pagi dari situ.

'Cantiknya..', bisik hati saya.


Lebih kurang jam 6.10 pagi saya ke kampung Likas untuk membeli kuih di gerai yang letaknya bersebelahan dengan pondok bas. Karipap dan bebola pulut adalah antara kuih yang saya rasakan sedap di gerai itu. Namun, kehampaan menjadi santapan pagi ini. Gerai itu tutup. Dengan kekecewaan, saya ke Farvis dan bersarapan sahaja di situ.

Pulang dari Farvis, saya bertindak memenuhi keinginan yang ingin dipenuhi. Saya pergi ke setiap surau yang belum pernah diri ini ziarahi dan dahi ini ciumi. Dalam jam 10.00 pagi, barulah pulang ke bilik. Surau yang tinggal kini hanyalah surau IPMB, JPP, Pusat Rawatan Warga dan beberapa surau di kampung AB. Antara banyak-banyak surau ini, surau yang saya rasakan paling mudah untuk dijumpai jatuh kepada surau SSMP. Letaknya betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk utama sekolah.

Surau yang menjadi masalah adalah surau di JPP dan Pusat Rawatan Warga. Kedua-dua surau ini terletak di tingkat satu dan saya tidak menemui tangganya. Mahu merayau-rayau, takut pula ditangkap kerana melakukan aksi-aksi mencurigakan. Malam ini perlu fikirkan cara...

Dalam jam 11.30 pagi, Sharin datang dan meminta tolong untuk menemankannya membeli ubat gegat dan melaksanakan beberapa hal.

Jam 12.30 tengah hari, kami pulang ke UMS dan bersolat di masjid. Ubat gegat yang dicari tidak ditemui. Ini adalah kehampaan saya yang kedua untuk hari ini. Bertemu dengan Afiq di masjid dan kami bertiga makan tengah hari di Farvis. Selepas makan saya dan Sharin mencuba nasib di 1 Borneo. Namun keputusannya tetap sama. Tiada ubat gegat.



Selesai solat maghrib, saya bergegas ke lapangan terbang untuk menghantar Afiq pulang. Sesampai sahaja di lapangan terbang dalam jam 7.25 malam, saya menghantar mesej kepada Afiq untuk bertanyakan lokasinya. Namun, mesej tidak dapat dihantar kerana kredit telah habis. Penerbangannya adalah pada jam 8.05 malam, jadi saya menanti di tempat berlepas dengan harapan akan terserempak secara tidak sengaja dengannya. Sehingga hampir jam 7.50 malam saya menunggu, namun kelibat Afiq tidak juga kelihatan. Saya merasakan bahawa dia telah masuk ke balai berlepas. Lalu, saya pulang dengan kehampaan yang ketiga untuk hari ini.




Dalam perjalanan pulang, saya berhenti sebentar di Masjid Negeri untuk solat Isya'. Selesai solat, saya dikejutkan dengan wajah Azizul yang tersengih-sengih di belakang saya. Katanya, dia dari lapangan terbang untuk menghantar Afiq. Kami bergerak turun bersama-sama dari dewan solat utama. Di satu sudut, kami melihat ramai ahli jemaah masjid yang bersembahyang Isya' tadi sedang beratur. Alhamdulillah, rupanya ada rezeki dari Allah.



Sambil menikmati kuey teow goreng bersama-sama air oren sejuk, saya berkongsi-kongsi cerita dengan Azizul. Banyak juga yang diperbualkan. Topik JBM menjadi kemestian...

Selesai makan, kami bergerak pulang ke kampus. Saya terus sahaja ke bilik dan duduk di hadapan komputer riba. Dalam jam 12.00 malam, saya rasakan mata ini mula memberat. Lantas saya tutupkan komputer riba dan menuju ke pembaringan. Sambil menanti diri untuk terlena, saya memikirkan apa yang ingin dilakukan untuk esoknya.

Dan perkara terakhir yang saya fikir sebelum diri dijamah mimpi adalah...

'Berlalu lagi satu hari yang menggembirakan...'


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, May 12, 2009

AKU DIRI HIDUP

Akhirnya, peperiksaan terkhir bagi smester ini selamat saya tempuhi pada 6 Mei 2009 yang lalu. Kini hanya berkira-kira hari sahaja untuk pulang ke Semenanjung. 16 Mei 2009 adalah tarikh penerbangan saya. Untuk penerbangan pulang kali ini, pekhidmatan penerbangan MAS adalah pilihan saya.

Sahabat-sahabat yang lain di UMS ini, rata-ratanya telah selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. Minta maaf saya ucapkan kepada mereka yang tidak dapat saya temui dan hantar sebelum mereka pulang.

Banyak perkara yang ingin dilakukan di UMS dan Sabah ini. Ada yang telah dilaksanakan dan ada yang masih belum. Antaranya adalah berjalan kaki ke IP, solat di setiap surau yang terdapat di setiap bangunan UMS, makan nasi di ODEC, parking motor di hadapan pintu masuk DKP9, naik bas pelajar perubatan, pergi semula ke setiap sekolah yang pernah dilawati sebelum ini, naik bas ke KK dan banyak lagi.

Fuh...

Sebelum pulang semua keinginan ini perlu ditunaikan. Walau dengan apa cara sekali pun...

Agar nanti saya berpuas hati selama keberadaan saya di sini. Dan dapat tersenyum apabila mengenangkannya kembali. Dan mampu untuk mengatakan...

"Aku pernah melakukan ini... Aku telah ke sini...
Ini adalah tandaku... Ini adalah kesanku...
Ini adalah bukti, bahawa
AKU pernah berDIRI di sini sebagai seorang yang HIDUP".



Doakan saya, moga dipermudahkan segala urusan...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Penantian Empat Tahun...

"Oh... Gitu..."

Saya bereaksi dengan apa yang diterangkan oleh Azizul. Saya menjenguk ke dalam salah sebuah tangki. Dan tersenyum.

Setelah empat tahun di UMS, baru kini dapat saya tembusi kawasan yang menjadi kawasan larangan bagi semua pelajar kecuali pelajar Akuakultur ini. Tempat ini menjadi tempat larangan atas faktor-faktor keselamatan.

"Indahnya.."

Tempat larangan ini dipanggil Hatchery. Tempat penternakan ikan bagi pelajar-pelajar Akuakultur.

Hatchery ini berpagar sekelilingnya. Dan di pintu masuk, tersiap sedia pengawal yang sentiasa bersiaga menjaga dan mengelakkan kerunsingan yang mungkin berlaku.

Runsing akan ada 'buaya' dan 'naga' yang datang melahap ganas ikan yang dibela elok. Juga runsing akan ada kaki pancing yang datang bertenggek di tepi tangki sambil bersiul-siul kegembiraan kerana umpan sentiasa mengena.

"Di situlah tempat kejadian"
(Bergambar ala-ala Mastika)


Tempat ini dipenuhi dengan tangki-tangki yang berisi ikan-ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasar-pasar, restoran-restoran serta tidak lupa hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu.Ikan-ikan ini dipelihara oleh pelajar-pelajar Akuakultur. Memelihara ikan adalah sebahagian dari subjek mereka.

Banyak cerita mengenai tempat ini yang saya telah dengar daripada sahabat-sahabat dari program Akuakultur. Menyebabkan saya benar-benar teringin untuk melihat, merasai dan berada sendiri di dalamnya.

Benar-benar teringin. Benar-benar kepingin.

Setelah memijakkan kaki di dalamnya, diri terasa benar-benar puas. Akhirnya saya dapat melihat dengan kanta sendiri, imej yang sebelum ini hanya dibataskan dengan imaginasi sendiri dari cerita-cerita sang pujangga dan sang karut yang mengarut tanpa mencarut.

"Wah...."


Syurga

Begitu juga dengan ini... Banyak ceritanya. Banyak gambarannya. Semuanya indah tanpa dapat dibayangkan.


Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
Surah Ali 'Imran (3) : 185

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
Surah Ar-Ra'd (13) : 35

Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.
Surah Yaasin (36) : 57

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.
Surah Ar-Rahmaan (55) : 56

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik.
Surah Ar Rahmaan (55) : 70

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan
Surah Luqman (31) : 8


Tempat larangan kecuali bagi mereka yang terpilih...

Banyak cerita mengenai tempat ini yang saya telah dengar dan baca daripada Pencipta tempat ini sendiri. Menyebabkan saya benar-benar teringin untuk melihat, merasai dan berada sendiri di dalamnya.

Benar-benar teringin. Benar-benar kepingin.

Namun, bagaimana?


Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
Surah Ar-Ra'd (13) : 35

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.
Surah Al-Qalam (68) : 34

Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
Surah Maryam (19) : 63


Ya, inilah jawapannya. Jadilah sebahagian dari orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa.

Namun, bagaimana?


Dari Anas : "Ada seorang Arab dusun bertanya kepada Nabi Muhammad, 'Bilakah Hari Kiamat akan terjadi?' Nabi Muhammad bertanya kembali, 'Apakah persiapan saudara bagi menemui hari itu?' Arab dusun itu menjawab, 'Aku Mencintai Allah dan Rasulullah'. Kata Nabi Muhammad, 'Saudara akan menyertai orang yang saudara kasihi.'"
HR Bukhari dan Muslim


Subhanallah... Cintailah Allah, Utusan Allah serta orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa. Saya akan mulakan kembali. Membetulkan diri untuk mencintai Allah, Rasulullah serta orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa dengan sebenar cinta. Agar nanti saya akan dibangkitkan bersama mereka yang saya cintai.

Rasulullah yang telah dijaminkan syurga ke atasnya. Bersama Baginda semestinya dari golongan orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa.

Namun, risau pula.. Rasullulah itu terpelihara dari dosa sedangkan saya ini sering terpalit dengan dosa yang menghinakan. Dosa lalu, dosa kini dan dosa nanti. Bagaimana pula?


Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
Surah Huud (11) : 90

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia....
Surah At-Tahrim (66) : 8

Subhanallah.. Pengasihnya Engkau wahai Allah..


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture