Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Saturday, February 27, 2010

Ironi...

"Saya Murtad..." kata seorang lelaki dalam keadaan tenang.

"Kamu jangan main-main persoalan murtad!", bentak seorang pemuda berkopiah. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dilayangkan penumbuk dari tangan yang telah sedia dikepal.

"Ha...? Kenapa kamu tiba-tiba marah pada saya. Betullah apa yang saya cakap, saya Murtad..." balas lelaki itu semula.

Marah pemuda berkopiah itu semakin memuncak melihat keselambaan lelaki itu memberitahu bahawa dirinya murtad tanpa rasa bersalah. "Baik kamu mengucap semula sebelum saya pancung kepala kamu". Gigil pemuda berkopiah itu menahan marah makin menjadi-jadi.

"Kenapa pulak? Saya hanya memberitahu perkara yang benar. Saya hanya memberitahu bahawa nama saya adalah Murtad bin Abu dan saya adalah pejuang Islam sepenuh masa. Mana pulak salahnya sehingga saya perlu mengucap semula?", jawab lelaki itu kepada pemuda berkopiah.

"Allah!", sahut pemuda berkopiah sambil menepuk dahi. Tidak pernah terlintas bahawa dihadapannya adalah Murtad bin Abu. Seorang pejuang Islam dengan nama Murtad bin Abu. Sungguh ironi.

'Adakah bapanya tidak peka semasa memberikan nama kepada anakya ini. Atau adakah lelaki ini yang tidak pernah peka dengan nama yang dibawanya itu. Atau adakah orang disekelilingnya tidak pernah pun mengendahkan manusia bernama Murtad bin Abu ini?'

Pening kepala lelaki berkopiah memikirkan perihal perkara ini.


Namun, apalah ada pada nama...


Disebalik ISEUM (atau ISEUMS bagi jumlah yang banyak)


Isis


An Iseum, also spelled Isaeum, is a sanctuary (or temple) for the worshippers of the Greco-Roman god Isis. Isis was originally an Egyptian goddess who became hellenised. Many Iseums still exist today. They include the temple of Isis at Pompeii, a dedication at the Egyptian complex at Philae, and a scattering around modern-day Italy.

Modern Iseums are now being established internationally by the Fellowship of Isis.


"Iseum adalah tempat suci (kuil) bagi pemuja tuhan Isis. Isis merupakan Tuhan bagi Greco-Roman. Isis pada asalnya adalah dewi orang mesir yang kemudiannya telah melalui Hellenised (Yunani). Masih terdapat banyak Iseum yang wujud lagi kini. Ia termasuklah kuil Isis di Pompeii, kuil Isis di kompleks Mesir di Philae yang merupakan sebuah dedikasi serta kuil Isis yang bertaburan di sekitar Itali. Iseum-iseum moden kini sedang dikembangkan diperingkat antarabangsa oleh pengikut-pengikut Isis."

-Terjemahan bebas oleh Ainuddin
Rujukan : Wikipedia



Tample of Isis at Pompeii


An Iseum is a "Hearth of the Goddess" .

"Iseum adalah "Lantai Dewi" .
-Terjemahan bebas oleh Ainuddin


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Thursday, February 18, 2010

Ceritera


Cerita ini bukan cerita sebenar. Bukan cerita motivasi atau cerita pengajaran buat diri. Juga bukan cerita rakyat mahupun hikayat. Hanya cerita yang dipahat dari tangan yang masih bertatih mencecah dakwat.


Asrama Sekolah

"Bang, nak biskut?", tanya seorang junior dari dorm sebelah.

"Wah! Boleh jugak. Ishk.. Ishk.. Baiknyer hati ko hari ni", balas saya sambil mencapai kepingan biskut yang dihulurkan. Baru sahaja beberapa minit bangkit dari lena, datang pula rezeki yang tidak disangka.

"Kat sebelah takde orang. Semua dah pergi prep, tinggal saye sorang je. Tuh yang datang jengok kat sini. Tengok-tengok ade orang..", balasnya sambil menguyah biskut Tiger perlahan.

"Eh! Dah waktu prep ke?", kata saya sambil menjeling ke arah jam dinding.

Jam 3.15 petang. 'Patutlah sunyi je..', detik hati saya.

"Ko tak pergi prep! Cis, baru tingkatan satu dah pandai bersifat nakal ye! ", bentak saya dengan mata terjengil persis seorang abang senior yang concern dengan kemaslahatan dan perihal adik-adik juniornya.

"Saya kurang sihat la bang.. Dah bagitau warden tadi", katanya dengan manik-manik keringat memenuhi dahi dan pipi yang kemerah-merahan.

'Patutlah berjaket siang-siang macam ni', desis hati saya. "Oh... takpe, takpe, dimaafkan...", saya memaafkannya bagaikan sayalah warden bertugas pada hari itu.

"Abang tak pergi prep ke?", tanyanya.

"Abang? Er.. Abang ye... Hm... Hah,tengok tuh! Cantiklah kipas tuh berpusing-pusing. Penuh seni...".



Asrama Matrikulasi

"AREP! AREP! AREP!" teriak seorang kawan saya dari kejauhan.

Saya terkejut. Mengapa? Sepertinya ada sesuatu yang serius telah berlaku dan memerlukan saya untuk menyelamatkan keadaan.

Bunyi derapan tapak kaki berlari-lari di koridor semakin jelas kedengaran. Semakin lama semakin hampir.

Akhirnya terjongol rakan saya di hadapan muka pintu bilik yang tidak tertutup itu dalam keadaan tercungap-cungap.

"AREP! AREP! AREP!", sambungnya.

"Kenape?", tanya saya. Cemas dan penuh rasa ingin tahu...

"Takde pape. Saje je nak jerit name ko sambil berlari-lari. Sehat.", jawabnya selamber.

Geram. Kalaulah dia itu lebih rendah, sudah lama saya jengahkan sekeh ke dahinya...

"Nak pinjam katil jap. Nak tido la. Bilik aku panas. Kipas slow giler...", pintanya.

Saya hanya mengangguk tersenyum.

"Nanti Asar kejutkan aku", pesannya ringkas sebelum menghanyutkan dirinya di katil orang.

Saya yang sedang menyiapkan laporan makmal pada waktu itu makin melebar senyuman melihat gelagatnya. "Ok..", balas saya kembali meneruskan kerja.

"Rep, ade budak pempuan kelas aku suruh ucap terima kasih...", katanya dalam keadaan mata terutup dan dengan sisa-sisa kesedaran yang masih berbaki.

Saya berkerut seribu. Tertanya-tanya siapakah gerangan yang mengucapkan terima kasih itu dan apakah bentuk pertolongan yang telah saya berikan...

Semalam saya ada tertidur di kelas tatkala semua guru bermesyuarat. Mungkinkah saya ada berjalan ketika tidur dan pergi ke kelas orang yang saya tolong itu lalu membantu menyelesaikan masalah matematik bahagian logaritma yang dihadapinya.

'Ah tidak mungkin...', hati saya menidakkannya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mana mungkin perkara ini berlaku kerana sewaktu saya sedang jaga pun belum tentu saya dapat menyelesaikan masalah logaritma saya sendiri.

Saya hanya tersenyum sendiri...

Saya berpaling untuk melihat kawan saya yang menumpang tidur di katil saya. Hampir terjatuh saya dari kerusi apabila melihat mukanya betul-betul dihadapan saya dengan dahi yang berkerut dan mulut yang menganga melihat saya...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Sunday, January 31, 2010

Pengklonan Manusia...


Sebelum ini, pernah beberapa kali saya diajukan soalan yang bertanyakan perihal hukum melakukan pengklonan terhadap manusia.

Saya hanya sekadar menjawab bahawa ianya tidak boleh berdasarkan ingatan saya yang hanya pernah mendengar dari sumber yang tidak saya ingati. Hujahnya adalah kerana tidak boleh merubah, menyerupai dan menyamai ciptaan Allah.

Seterusnya saya ditanyakan pula bagaimana jika hal yang sama dilakukan ke atas tumbuhan dan haiwan. Bukankah ia juga merubah, menyerupai dan menyamai ciptaan Allah?

Dengan ilmu yang sangat sedikit ini saya hanya menjawab bahawa pengklonan ke atas tumbuhan dan haiwan adalah dibolehkan untuk kemaslahatan manusia.

Dalil mahupun kaedah fiqh yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa ini terus terang saya katakan bahawa saya tidak tahu pada waktu itu. Malah ulama' yang ada mengeluarkan fatwa ini pun tidak saya ketahui.

Ia hanyalah sumber yang saya dapati dari sembang-sembang biasa bersama-sama rakan-rakan yang lain. Saya pasti beberapa ulama' besar dan terkenal dari dalam mahupun luar negara telah mengeluarkan fatwa mengenai perkara ini memandangkan ia pernah mendapat perhatian tidak lama yang lalu.

Hanya saya sahaja yang tidak berkeinginan mencari dan mengetahuinya. Malang bukan...

Hinggalah minat membaca mula bertapak pada diri saya, menyebabkan saya semakin berminat untuk mengeluarkan duit untuk membeli buku terutamanya yang berkaitan dengan Islam dan berbentuk Islamik.

Dan antara buku yang telah saya beli dan habis membaca adalah buku yang bertajuk Bioteknologi : Teknologi Perubatan & Pandangan Islam tulisan Dr. Basri Ibrahim.

Antara yang terkandung di dalam buku ini adalah fatwa yang telah dikeluarkan mengenai proses pengklonan ini. Sukalah bagi saya untuk berkongsi sedikit ilmu yang diperoleh dari buku ini.


Akademi Fiqh Islam di dalam muktamarnya kali ke-10
Tempat : Jeddah, Arab Saudi
Tarikh : 23-28 Safar 1418H

Memutuskan;-


i. Haram melakukan pengklonan manusia berdasarkan apa-apa cara sekalipun yang boleh memeperbanyak bilangan manusia.

ii. Haram di dalam semua keadaan, penglibatan pihak ketiga di dalam hubungan suami isteri, sama ada dalam bentuk sewa rahim, telur sperma atau sel badan untuk tujuan pengklonan

iii. Harus dari segi syarak menggunakan teknik pengklonan dan kejuruteraan genetik di dalam lapangan penyelidikan tentang mikrob, hidupan halus, tumbuh-tumbuhan dan juga binatang, di dalam batasan yang dibenarkanoleh syarak, asalkan ia boleh mendatangkan kemaslahatan kepada manusia dan menolak kemudaratan daripada mereka.


Rujukan
  1. Abd al-Sattar Abu Ghuddah, Qararat Wa Tawsiyat Majma' al-Fiqh al-Islami, hlm. 219
  2. Dr. Basri Ibrahim al-Hasani al-Azhari, Bioteknologi : Panduan Perubatan & Pandangan Islam, Darul Nu'man, hlm. 39-40


Walau pun tiada dalil yang disertakan perihal perkara ini, namun disertakan juga rujukan yang digunakan oleh Dr. Basri Ibrahim bagi memudahkan mereka yang ingin mencari. Mungkin boleh dijumpai dalil-dalil yang digunakan dari sumber yang sebenar itu.

Semoga perkongsian ini bermakna untuk saya dan anda...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, January 15, 2010

Monolog Pagi Ini...


Jendela bilik berwarna jingga masih tertutup. Kipas dinding yang sedang berputar pada kelajuan perlahan menghembuskan anginnya. Walaupun pada kelajuan yang perlahan, hembusannya sudah cukup untuk menyejukkan. Pemanas air elektrik yang baru sahaja dihidupkan tadi sedang perlahan-lahan memanaskan air di dalamnya.

Ahh~~

Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.

Di luar sebentar tadi langit mula kebiru-biruan. Kosong tanpa awan. Rerumput dan dedaunan pula dibasahi titisan embun pagi. Embun yang bagaikan hujan yang tidak kelihatan, membasahkan bumi lantas menyelubunginya dengan kedinginan. Udara pagi yang disedut terus terasa dinginnya hingga ke paru-paru. Menghidupkan suasana subuh yang biasa. Biasa-biasa yang luar biasa. Emm... Dingin subuh ini begitu terasa. Dan masih lagi dirasai.

Ahh~~

Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.

Dan aku dihadapan komputer riba milik Hafiz ini, cuba menterjemahkan segalanya dalam bentuk kata-kata. Tapi, tiada perkataan yang mampu untukku menghuraikan segalanya. Dengan bertemankan nyanyian Ayushita yang berjudul Tuhan Beri Aku Cinta, aku terus menaip. Dalam keadaan sebegini, yang mana sedang mendengar lagu cinta dan menulis bait-bait sebegini, mudah sahaja aku disalah ertikan sebagai seorang yang 'jiwang'. Namun, ketepikanlah apa yang ingin dikatakan oleh orang. Kerana kini aku sedang bersendirian di bilik ini. Dengan jari-jari yang terus cuba melakar segalanya. Segalanya tentang pagi ini.

Ahh~~

Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.

Hari semalam seakannya kelam. Bagaikan tiada lagi senyuman untuk esok. Namun hari ini, ternyata nafas masih teratur, roh dan jasad masih bersatu, dalam tingkah meneruskan esok untuk semalam yang kusam. Semalam yang duka tidak bermakna hari ini juga akan sama. Hari semalam, kita harus banyak menangis, kerana mungkin Allah sedang menyiapkan sesuatu agar kita tersenyum indah pada hari ini. Mungkin juga hari ini hanya akan menyambung kelam semalam, kerana senyuman itu adalah untuk hari esok. Namun andai bukan esok, pasti Tuhan menyimpannya untuk kehidupan yang abadi nanti...


Alhamdulillah, ku bersyukur kepadaMu. Kerana masih memberikanku peluang untuk terus menikmati hari ini.


Ahh!

Kata-kataku hanya akan mencacatkan keindahan pagi ini. Biarlah aku terus menikmatinya sahaja...


Pagi ini sungguh mendamaikan. Pagi ini begitu mengharukan. Pagi ini amat mengasyikkan.


Kesyahduan pagi ini terasa membaluti diri. Seakan dipeluk kasih sayang Ilahi.

Alhamdulillah...


Catatan 1 Jan 2010
6.00 pagi
Kota Kinabalu, Sabah


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, January 6, 2010

Minyak Hitam Itu...


"Alhamdulillah la bang. Dalam umur saya boleh kata muda lagi, tiga puluh lebih nih, saya dah mula fikir banyak perkara...", kata lelaki berkumis. Matanya merenung kosong lantai bengkel itu.

Minyak hitam terus mengalir keluar dari lubang pada enjin motosikal GT 128 kelabu. Jatuh ke dalam sebuah bekas minyak kosong yang telah dibuang salah satu sisinya.

Pemilik bengkel yang duduk pada salah sebuah motorsikal di bengkelnya itu hanya mengangguk-angguk kecil. Wajahnya memerhatikan sahaja minyak hitam itu terus mengalir keluar. Pekat dan likat...

Petang itu, cuacanya cukup menyelesakan. Cahaya mataharinya tidak begitu terik dan angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan lagi suasana.. Sekiranya saya di Indah Permai pada ketika ini, pasti saya sedang enak menggelecek riang beberapa orang pemain lawan sebelum bola dirampas mudah dan saya senak di'ole' oleh mereka.

Petang yang indah untuk beriadhah. Mengekalkan stamina untuk beribadah. Semuanya hanya semata-mata kerana Allah...



Wajah lelaki berkumis itu diangkat memandang ke arah pak cik yang duduk di kerusi plastik sebelah kanan saya lalu berkata "Kalo sebelum ni, saya tak pernah pun fikir macam sekarang ni. Saya ni pun bukanlah baik sangat tapi Alhamdulillah la saya dah mula nak berubah". Kemudian dipalingkan ke arah saya yang sedang letih mencangkung sebelum dibawa mengadap pemilik bengkel yang masih merenung minyak hitam itu.

Pak cik yang duduk di sebelah kanan saya tekun mendengar cerita lelaki berkumis itu. Sekali sekala dimain-mainkan kunci ditangannya.

"Baguslah tuh", pemilik bengkel itu lalu bersuara tanpa mengalihkan renungan dalamnya.

"Budak-budak muda sekarang nih, ramai yang tak fikir panjang bile nak buat sesuatu. Buat ikut suke je...", lelaki berkumis kembali berbicara sebelum melepaskan satu keluhan kecil dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sebelum ini, lelaki berkumis itu meluahkan rasa marahnya terhadap berita yang dibacanya dari sebuah akhbar tempatan. Berita yang melaporkan kesanggupan seorang remaja memukul ibunya sendiri sehingga cedera. Marahnya itu turut disambut oleh pemilik bengkel itu serta pak cik di sebelah kanan saya. Seandainya remaja itu ada dihadapan mereka ketika itu, pasti teruk dia dikerjakan oleh mereka.

Pak cik yang duduk di sebelah saya turut melepaskan satu keluhan sebelum diarahkan wajahnya memandang minyak hitam yang masih mengalir keluar itu.

Lelaki berkumis itu menggilirkan pandangannya ke arah pemilik bengkel, saya dan pak cik di sebelah saya sebelum memandang minyak hitam itu.

Saya yang sedari tadi berdiam diri dan hanya mendengar bicara mereka, mengikut memandang suram minyak hitam itu.

Kini, minyak hitam itu menjadi titik pertemuan pandangan kami.

Minyak hitam itu masih mengalir keluar. Dan terus mengalir keluar.

Meninggalkan bahagian terpenting sebuah motorsikal bergelar enjin. Kerana hadirnya tiada manfaat melainkan mudarat. Yang akhirnya merosakkan fungsi enjin itu. Dan apalah nilai sebuah motorsikal dengan enjin yang rosak...

Dan begitulah jua...

Dengan hati manusia. Apalah nilai diri dengan hati yang telah rosak. Hati yang dipenuhi titik hitam yang kelam. Yang akhirnya membutakan mata hati. Dari membezakan yang murni dan yang keji. Yang realiti dan yang ilusi. Dari dosa dan pahala. Dari kaca dan permata.


Manusia, dua matanya itu memberi petunjuk. Kedua-dua telinganya itu corong. Lidahnya itu juru bahasa. Kedua tangannya itu sayap. Kedua kakinya pos. Dan hatinya itu raja. Apabila raja itu baik, baiklah tentera-tenteranya.

HR Ahmad

Hati itu empat macam. Hati yang bersih, padanya pelita yang bersinar gemilang. Maka itulah hati orang mukmin. Hati hitam terbalik, maka itulah hati orang kafir. Hati terbungkus yang terikat bungkusannya. Itulah hati orang munafik. Dan hati yang melintang, padanya keimanan dan kemunafikan

HR Ahmad dan Al-Tabrani

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! itulah dia hati.
HR Bukhari dan Muslim



Banyak yang boleh dipelajari. Banyak yang boleh dijadikan 'guru'. Walaupun hanya dengan merenung minyak hitam yang kelam...

Dan petang itu menjadi saksi muhasabah kami. Yang mengharapkan agar memiliki sekeping hati yang suci...


Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati ini. Teguhkanlah hati-hati ini pada agamaMu dan ketaatan kepadaMu....

Catatan biasa pada petang yang biasa-biasa...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, December 28, 2009

Jangan Berkira....



Mesej yang saya terima itu pada mulanya kurang berjaya menarik perhatian saya. Mesej yang berbentuk ajakan dari seorang sahabat untuk menyertai sebuah program. Kerana memikirkan bahawa saya pernah menyertai program yang lebih kurang seperti itu sebelum ini.



Salam, ana nak ajak enta join prgram.17-18 oct Perkim ampang ada menganjur Interactive dakwah training,rm120 Student,8.30am-5.30pm,masjid bkt indah ,makan minum ,dakwah kit yg dsdiakan: quran ,bible ,f'tauheed ,quran dan sains, muhammad in the bible ,7 p'soalan ttg kristian disediakan. Cramah dsmpaikan oleh pwaris spjuangan Ahmad Deedat. Harap sgt enta dpt join.hbis prgrm ni entaakn rsa 'Izzah bgelar muslim=)



Hanafi, kawan yang telah menghantar mesej tersebut kepada saya. Dan ia adalah mesej yang diterima daripada rakannya yang merupakan salah seorang anggota PERKIM Ampang yang juga AJK bagi program tersebut.



Ko nk join x?

Hanafi menghantar mesej lagi bertanyakan keinginan saya.



Ko nk x?

Saya menjawab soalannya dengan bertanyakan soalan.


Aku kalo ad member, aku nk g la.

Hanafi membalas.


Dan saya mula berfikir.


Secara spontan, peristiwa lalu terimbas kembali. Pengalaman yang masih berbaki di celahan lipatan memori bersama beberapa orang rakan UMS diselak dan diingati.


Pada waktu itu, kami mengikuti sebuah program yang menekankan tentang peri pentingnya tugas melakukan dakwah terutamanya kepada non-muslim. Oleh itu, kami didedahkan dengan ilmu pengetahuan tentang asas agama-agama lain (termasuk hindu dan buddha), terutamanya agama Kristian.


Oleh kerana saya merasakan input yang akan diterima pada program ini lebih kurang sama sahaja dengan program yang pernah saya ikuti, maka saya agak keberatan untuk pergi pada mulanya.


Namun, apabila membaca kembali senarai nama buku mahupun kitab yang akan diterima apabila menyertai program ini, saya mula memikirkannya kembali. Timbul pula keinginan.


'Ape salahnye ikut. Banyak gak perkara yang aku dah lupe. Banyak gak buku die bagi nih. Bible pun ade. Lagi pun gaji dah masuk... ', hati kecil saya mula memujuk. Keinginan yang akhirnya menjadi kesanggupan untuk menyertai.



Dikuatkan lagi dengan ingatan terhadap Kalamullah ini. ..


"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."
Surah Az-Zaariyaat (51):55






Ak ok je

Saya akhirnya membalas mesej Hanafi itu.


Alhamdulillah... Saya bersyukur kerana dapat mengikuti program ini. Input yang dulu dikuatkan, dan yang baru menyegarkan. Terima kasih pada penceramah dan AJK yang menjayakan.

Selain ilmu yang saya peroleh semasa program ini, turut datang bersama adalah satu rombakan pada minda dan jiwa. Merubah pandangan terhadap kebiasaan fikiran. Yang menyatakan cukuplah sekali menimba satu-satu pengetahuan.

Jangan sekali-kali berkira dalam menuntut ilmu. Biarpun berkali-kali diulang, namun tiada yang sama. Pasti ada sesuatu untuk dipelajari. Bahkan akan ternampak luar biasa pada benda-benda yang biasa.

Seandainya diri bersedia berguru, 'guru-guru' akan berada di mana-mana sahaja.

Dan kerana itu, persediaan bukan hanya pada mata akal sahaja, celikkanlah mata hati bersama.

Ketika Luqman Al-Hakim ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya."

Ya, pada yang jahil juga ada sesuatu yang dipelajari oleh Luqman Al-Hakim. Ia mengajarnya erti sempadan pada percakapan dan tindakan.



Kini


Kini masa yang paling payah sekali bagi seorang penuntut ilmu. Masa untuk menzahirkan dan mempraktikkan ilmu yang telah didapati pada perlakuan dan amal.

Seperti yang selalu didengari, orang yang tidak mengamalkan ilmu yang diperolehnya bagaikan pohon hambar yang tiada berbuah. Tiada penyeri pada mata, isi untuk dirasa lidah dan manfaat pada kesihatan tubuh.


"Dan Allah akan menambah petunjuk kepada mereka yang telah mendapat petunjuk. Dan amal-amal soleh yang kekal itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya."
Surah Maryam (19) :76



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, December 23, 2009

Bertapa Jangan Lama-lama...

"Lame bertapa...", tegur seorang sahabat.

Saya hanya tersengih.

'Tu lah, mase takde nak ade. Bile ade tak nak jage', rungut saya sendiri di dalam hati.

"Insya Allah nanti update la... Tapi... Ade ke yang bace?", saya bertanya padanya. Seakan-akan ingin membenarkan perlakuan diri.

"Abis, kalo takde tak payah update la? Ko menulis di blog ini untuk ape?", tanyanya semula. Membawa saya memikirkan kembali tujuan asal menulis di blog ini.

Dan saya tersengih lagi. Sendiri...

Kepada diri...

Mengingat kembali bahawa salah satu sebab yang membuat saya membuka dan menulis di blog ini adalah untuk melatih komitmen dan disiplin diri. Pada ruang yang ada dalam perlakuan memberi dan berkongsi.

"Huuuh...", saya mengeluh panjang. Menggeleng-geleng saya pada kealpaan sendiri.

Terima kasih buat sahabat yang sudi menjadi pengingat sepanjang perjalanan membaiki diri ini. Dalam sebuah ekspidisi menuju Ilahi.


Masih Menulis

Walaupun dalam tempoh 'pertapaan' yang panjang ini, saya masih lagi terus menulis. Akan tetapi semuanya sekadar tersimpan diam dalam simpanan. Sehingga ada yang melangkaui 'expired date' dan memerlukan penyuntingan sebelum ditempelkan di sini.

InsyaAllah, saya akan mula kembali berkongsi di sini.

Sesungguhnya istiqamah (atau pun istilah yang biasa digunakan di dalam buku teks sains iaitu konsisten) amatlah berat sekali.


“Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?”, tanya sahabat kepada baginda SAW. “Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…”, kata Baginda SAW dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.


Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati dihuni iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.

Sehingga Baginda SAW naik beruban kerana memikirkannya. Apatah lagi saya ini yang sekadar didiami oleh hati yang sering berbolak-balik...

Maka, RUKUN ISTIQAMAH lah yang perlu dijadikan pegangan. Tiada andaian-andaian yang dapat membantu seseorang itu untuk beristiqamah, melainkan harus patuh kepada rukun-rukunnya seperti yang disuluhkan Allah di dalam surah Hud.

Rukun Pertama : Jangan melampau dalam beragama
Rukun Kedua : Jangan cenderung kepada golongan yang zalim
Rukun Ketiga : Dirikan solat
Rukun Keempat : Bersabarlah

Ya, inilah yang perlu saya jaga dengan sebaik-baiknya...

Ya Allah...
Alangkah berat sungguh pengucapan istiqamah ini...
Semoga Kau memberikan aku kekuatan Ya Allah...


(112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

(113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

(114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

(115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Monday, December 21, 2009

Setelah Sekian Waktu...



Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim...



"Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh."


Saya hidangkankan pada penulisan kali ini, dengan kata-kata hikmah yang sering disebut oleh Imam Hasan al-Banna tatkala memulakan ceramahnya. Sekadar peringatan agar 'adat' yang biasa dilakukan, dibuat dengan kesedaran hidup berTUHAN. Agar adat itu menjadi suatu ibadat. Manfaatnya berpanjangan hingga ke akhirat.

Kalimah biasa yang luar biasa.


Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa Barakatuh.

Kesejahteraan, rahmat dan keberkatan...

Doa kita pada insan...


Tanda kecintaan dan pengharapan...


Kecintaan pada yang SATU dan menyatukan...


Pengharapan pada sebuah keredhaan...

Manakan mungkin hanya sekadar adat...


Terhenti sekadar di kalimat...



Masa dan Peristiwa


Seiring dengan masa yang berlalu, banyak juga peristiwa yang berlaku, yang mana banyak juga kebaikannya yang dapat dikongsikan bersama. Agar dapat menjadi sebagai satu nilai tambah kepada diri kita, atau paling tidak sebagai pengingat yang berguna buat diri yang terlupa.




Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
Surah Az-Zariyaat (51) : 55


Namun, atas beberapa kekangan selain kekurangan komitmen diri, perkongsian di blog ini terhenti buat satu jarak masa yang terlalu panjang. Maafkan saya atas kelemahan ini.



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture