Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Wednesday, January 6, 2010

Minyak Hitam Itu...


"Alhamdulillah la bang. Dalam umur saya boleh kata muda lagi, tiga puluh lebih nih, saya dah mula fikir banyak perkara...", kata lelaki berkumis. Matanya merenung kosong lantai bengkel itu.

Minyak hitam terus mengalir keluar dari lubang pada enjin motosikal GT 128 kelabu. Jatuh ke dalam sebuah bekas minyak kosong yang telah dibuang salah satu sisinya.

Pemilik bengkel yang duduk pada salah sebuah motorsikal di bengkelnya itu hanya mengangguk-angguk kecil. Wajahnya memerhatikan sahaja minyak hitam itu terus mengalir keluar. Pekat dan likat...

Petang itu, cuacanya cukup menyelesakan. Cahaya mataharinya tidak begitu terik dan angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan lagi suasana.. Sekiranya saya di Indah Permai pada ketika ini, pasti saya sedang enak menggelecek riang beberapa orang pemain lawan sebelum bola dirampas mudah dan saya senak di'ole' oleh mereka.

Petang yang indah untuk beriadhah. Mengekalkan stamina untuk beribadah. Semuanya hanya semata-mata kerana Allah...



Wajah lelaki berkumis itu diangkat memandang ke arah pak cik yang duduk di kerusi plastik sebelah kanan saya lalu berkata "Kalo sebelum ni, saya tak pernah pun fikir macam sekarang ni. Saya ni pun bukanlah baik sangat tapi Alhamdulillah la saya dah mula nak berubah". Kemudian dipalingkan ke arah saya yang sedang letih mencangkung sebelum dibawa mengadap pemilik bengkel yang masih merenung minyak hitam itu.

Pak cik yang duduk di sebelah kanan saya tekun mendengar cerita lelaki berkumis itu. Sekali sekala dimain-mainkan kunci ditangannya.

"Baguslah tuh", pemilik bengkel itu lalu bersuara tanpa mengalihkan renungan dalamnya.

"Budak-budak muda sekarang nih, ramai yang tak fikir panjang bile nak buat sesuatu. Buat ikut suke je...", lelaki berkumis kembali berbicara sebelum melepaskan satu keluhan kecil dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sebelum ini, lelaki berkumis itu meluahkan rasa marahnya terhadap berita yang dibacanya dari sebuah akhbar tempatan. Berita yang melaporkan kesanggupan seorang remaja memukul ibunya sendiri sehingga cedera. Marahnya itu turut disambut oleh pemilik bengkel itu serta pak cik di sebelah kanan saya. Seandainya remaja itu ada dihadapan mereka ketika itu, pasti teruk dia dikerjakan oleh mereka.

Pak cik yang duduk di sebelah saya turut melepaskan satu keluhan sebelum diarahkan wajahnya memandang minyak hitam yang masih mengalir keluar itu.

Lelaki berkumis itu menggilirkan pandangannya ke arah pemilik bengkel, saya dan pak cik di sebelah saya sebelum memandang minyak hitam itu.

Saya yang sedari tadi berdiam diri dan hanya mendengar bicara mereka, mengikut memandang suram minyak hitam itu.

Kini, minyak hitam itu menjadi titik pertemuan pandangan kami.

Minyak hitam itu masih mengalir keluar. Dan terus mengalir keluar.

Meninggalkan bahagian terpenting sebuah motorsikal bergelar enjin. Kerana hadirnya tiada manfaat melainkan mudarat. Yang akhirnya merosakkan fungsi enjin itu. Dan apalah nilai sebuah motorsikal dengan enjin yang rosak...

Dan begitulah jua...

Dengan hati manusia. Apalah nilai diri dengan hati yang telah rosak. Hati yang dipenuhi titik hitam yang kelam. Yang akhirnya membutakan mata hati. Dari membezakan yang murni dan yang keji. Yang realiti dan yang ilusi. Dari dosa dan pahala. Dari kaca dan permata.


Manusia, dua matanya itu memberi petunjuk. Kedua-dua telinganya itu corong. Lidahnya itu juru bahasa. Kedua tangannya itu sayap. Kedua kakinya pos. Dan hatinya itu raja. Apabila raja itu baik, baiklah tentera-tenteranya.

HR Ahmad

Hati itu empat macam. Hati yang bersih, padanya pelita yang bersinar gemilang. Maka itulah hati orang mukmin. Hati hitam terbalik, maka itulah hati orang kafir. Hati terbungkus yang terikat bungkusannya. Itulah hati orang munafik. Dan hati yang melintang, padanya keimanan dan kemunafikan

HR Ahmad dan Al-Tabrani

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! itulah dia hati.
HR Bukhari dan Muslim



Banyak yang boleh dipelajari. Banyak yang boleh dijadikan 'guru'. Walaupun hanya dengan merenung minyak hitam yang kelam...

Dan petang itu menjadi saksi muhasabah kami. Yang mengharapkan agar memiliki sekeping hati yang suci...


Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati ini. Teguhkanlah hati-hati ini pada agamaMu dan ketaatan kepadaMu....

Catatan biasa pada petang yang biasa-biasa...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture