Carian Anda

Loading...
Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Thursday, July 16, 2009

Mari Mengaji...

Dan bacalah Al-Quran itu dengan tartil.
Surah Al-Muzzammil (72) : 4


Bab tartil dalam bacaan iaitu kejelasan huruf-hurufnya dan kecermatan dalam melakukannya agar ia lebih membawa kepada kefahaman maknanya.
(Fath Al-Bari, Kitab Fada'il Al-Quran)
Imam Ibn Hajar Al-'Asqalani


Rumah

Di sinilah menjadi tempat pertama saya mengenal huruf alif ba ta hinggalah ya.. Dihadapan ibu saya sendiri. Dialah yang mengajar saya membaca Al-Quran. Tidak mahu dikontrakkan pengajian saya yang ini kepada mana-mana ustaz mahupun ustazah. Ibu saya mahu melakukannya sendiri. Walau sesibuk mana sekali pun dia.

Kerana itu adalah ikrarnya kepada diri...

Saya pun tidak berapa mengingati pada umur berapa saya mula memegang Muqaddam dan Iqra' di hadapan ibu saya, namun dengan bekas tangannya, saya mampu untuk membaca Al-Quran ketika di darjah 1 dan khatamkannya ketika di darjah 3. Saya benar-benar bersyukur dikurniakan ibu yang begitu komited menjadikan anaknya ini mampu untuk membaca Al-Quran.

Alhamdulillah...

Namun, jalan yang dilalui bukanlah mudah. Waktu mengaji semasa belajar dengan ibu saya adalah antara waktu maghrib dengan isya' SETIAP HARI. Saya pernah dirotan, disebat dan dijerit malah saya juga pernah dicili dengan cili api gara-gara mahu 'lari' dari rutin ini. Sudahlah mahu lari, melawan pula lagi. Memang padanlah cili api itu hinggap ke muka...

Alhamdulillah...

Bertuah rasanya mempunyai ibu yang bersungguh mengalirkan nyaman ilmu yang dimilikinya ke dalam diri anaknya ini...


Sebaik-baik kamu sesiapa yang belajar Al-Quran dan mengajarnya.
HR Bukhari


Sekolah

Di sinilah pula medan saya memperbetulkan cara bacaan saya dan belajar mengenai ilmu tajwid dalam keadaan yang lebih terperinci dan tersusun disamping mempelajari ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengan pengajian Al-Quran Al-Karim. Dihadapan ustaz-ustazah yang lebih berpengetahuan ini saya ditegur, diajar dan dibimbing untuk membaca dengan lebih baik.

Terima kasih buat semua ustaz dan ustazah. Jazakallah...

Majlis Khatam Quran ketika di Sekolah Rendah Agama Rahmaniah, Kajang.



Ketika di tingkatan 5, saya pernah mengikuti Kelas Kemahiran Al-Quran (KKQ) yang dibimbing oleh ustaz di sekolah saya yang juga merupakan guru pembimbing bagi kumpulan nasyid sekolah. Dengan kuasanya, dia telah mewajibkan setiap ahli nasyid untuk mengikuti kelas ini.

Di kelas yang dilakukan di luar waktu persekolahan untuk pelajar-pelajar asrama ini, saya belajar mengenai pengajian Al-Quran dengan lebih mendalam. Sejarah Al-Quran, jenis-jenis huruf, tempat keluar huruf, cara bacaan imam-imam yang tujuh, tafsir dan tarannum antara yang saya pelajari di kelas ini. Malah saya pernah mengambil ujiannya. Memang susah....

Kerana belum nampak lagi pentingnya ilmu-ilmu ini, saya mengikuti kelas ini hanya sekadarnya sahaja. Terasa pula ruginya sekarang..

Teringat saya akan satu kisah di bulan Ramadhan sewaktu di tingkatan 5 dahulu. Peristiwa yang berlaku antara saya dan seorang lagi rakan saya itu sungguh indah dirasakan...


"Arep, ko dah habis blom?".

"Blom lg, tp aku dah masuk juzu' 30".


"Aku pun samalah. Jom kita khatamkan sama-sama malam ni".


"JOM!".

"Ok, bace smpai surah Al-Lail. Malam nanti kite bace surah Adh-Dhuhaa sampai habis same-same".


"Ok".


Indahnya bersahabat kerana Allah...


Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang

Di sinilah saya mula berjinak-jinak dengan majlis tadarrus Al-Quran yang diadakan setiap kali hadirnya Ramadhan. Saya bersama-sama rakan-rakan yang lain serta pakcik-pakcik yang dilantik untuk mengendalikan tadarrus bahagian kanak-kanak, membaca Al-Quran bergilir-gilir sambil membetulkan mana yang salah.

Terasa begitu hidup dan terisi Ramadhan yang dilalui. Dan saya merindui suasananya yang dulu itu. Semuanya saya ikuti sehinggalah saya berpindah ke Seremban dan mula memasuki asrama di sekolah, matrikulasi dan iniversiti. Dan ketika di asrama-asrama ini, saya mencari-cari majlis seperti ini. Jika ada pasti tidak akan saya lepaskan.

Perasaan rindu itu sentiasa ada....

Matrikulasi

Tiada kelas yang spesifik sewaktu saya di matrikulasi. Pembelajaran mengenai pengajian Al-Quran hanya disentuh sedikit ketika kelas pengajian Agama Islam. Namun, pernah juga saya bertemu dengan ustaz untuk bertanyakan berkenaan masalah tajwid dan cara bacaan Al-Quran yang betul di beberapa tempat yang meragukan saya.

Alhamdulillah... Kerana ketika di sini, saya tergolong dalam kelompok yang istiqomah mengikuti majlis tadarrus Al-Quran yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan. Terasa kelainannya apabila membaca sambil disemak oleh rakan-rakan lain berbanding ketika membaca sendirian.

Teringat juga satu peristiwa sewaktu kelas Bahasa Inggeris yang mana kami dipisahkan kepada beberapa kumpulan. Kemudian, kami diminta memberikan 5 ciri-ciri pasangan hidup yang menjadi idaman dan membentangkannya.

Dan secara tiba-tiba guru Bahasa Inggeris saya itu bertanyakan soalan kepada saya...


"Arif! Tell us one of the most important characteristic that your future wife should had".

".... She can teach our children how to read Quron.."

Rakan-rakan sekelas bertepuk tangan sambil tersenyum-senyum mendengar jawapan saya. Dan guru saya mengangguk-angguk... Dan saya pula, memang bermaksudkannya. Tidak saya sangkakan jawapan spontan saya itu mendapat perhatian dari seluruh kelas.


Universiti


Sepanjang tahun satu di universiti, tiada pengajian Al-Quran yang diadakan dan dapat saya ikuti. Pengajian agama yang di adakan di surau kolej kediaman Indah Permai oleh Ustaz Sarip Adul dan Ustaz Issraq tidak di dalam bahagian pengajian Al-Quran. Saya benar-benar risau dengan tahap bacaan saya. Di tahun dua, ada diadakan pengajian tajwid di surau itu, tetapi ia bertembung dengan kelas Bahasa Arab saya. Maka, ia terpaksa saya lepaskan.

Pernah juga beberapa kali Ustaz Issraq menegur keadaan kebanyakan orang yang tidak betul dalam bacaan surah Al-Fatihah, dan mereka ini tidak mahu berjumpa dengan ustaz-ustaz untuk membetulkannya. Terkesan dengan kata-katanya, saya pernah berjumpa dengannya semata-mata untuk menyemak bacaan surah Al-Fatihah saya.

Ketika Ramadhan di tahun pertama, tiada majlis tadarrus diadakan. Mungkin ada, tetapi saya yang tidak menemuinya. Ketika Ramadhan di tahun dua pula, saya ada mengikuti majlis tadarrus Al-Quran yang dianjurkan oleh jawatankuasa surau KKIP, namun saya seringkali terlepasnya kerana kelas malam.

Apabila berpindah ke Kolej Kediaman AB pada tahun tiga, keadaan mula berubah. Kelas Tajwid Ustaz Hj Parmin merupakan antara kelas yang dianjurkan oleh masjid yang menjadi kegemaran saya.

'Ya Allah... Banyak lagi yang perlu aku perbaiki rupanya'. Itulah yang saya rasakan setiap kali tamatnya kelas. Tarmizie adalah teman yang setia mengikuti kelas tersebut bersama saya.

Di tahun empat pula, Ustaz Razali menggantikan Ustaz Parmin. Walau pun saya kadang-kala sahaja mengikuti kelas yang kadang-kala diadakan itu, namun ia banyak membantu.


Kini

Saya masih mencari kelas pengajian Al-Quran. Inilah antara ilmu yang saya rasakan perlu dipelajari secara berterusan. Jika bukan sebagai penambah, ia berperanan sebagai pengingat.

Dan kini saya sedang mengikuti Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 yang diadakan di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas. Antara yang menarik perhatian saya ketika majlis perasmiannya tiga hari yang lalu adalah ketika dijemput tiga orang yang tidak dikurniakan nikmat penglihatan untuk naik ke atas pentas dan membaca Al-Quran...

MasyaAllah...



Jadi, bagaimana pula dengan anda...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

1 comment:

greenpower said...

Salam perjuangan... ana pun ada tonton siaran langsung dalam TV Oasis... sebenarnya untuk belajar sangat mudah berbandng mengajar...sbb budak zaman sekarang ni mereka lebih terdedah dengan penggunaan Iqra' yang memberi pengenalan terus kepada bacaan...tetapi semasa zaman ana kecil dulu kami diajar dengan pengenalan setiap huruf dan sebutan mahraj yang betul dahulu baru pengenalan terhadap bacaan... ana adala juga ajar kelas mengaji kat rumah sekadar yang mampu sumbangkan untuk budak2 kat apartment ana 2...tp bila mengajar baru tahu sebenar mereka hadapi masalah dalam sebutan huruf hampir semuanya... walaupun antara mereka disekolah sudah pun masuk Al-quran namun sebutan huruf atau mahraj huruf kurang memuaskan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture