Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Thursday, June 11, 2009

Sportingnya Bapa Membawa ke Neraka!

Terkedu saya tatkala mendengar perbualan antara ayah dan anak lelakinya di kaca televisyen. Betulkah ada bapa yang akan berkata sedemikian kepada anaknya? Apabila berfikir kembali, di zaman ini, mungkin ada...

Namun persoalan yang lebih membingungkan adalah, sepatutnyakah seorang bapa berkata sedemikian kepada anak lelakinya?


Kedua-duanya Islam... Buktinya, terdapat scene di mana mereka membaca do'a sebelum makan. Bismillah kata mereka.

Perbualan mereka itu benar-benar memeranjatkan. Perbualan yang terakam dalam sebuah rancangan drama bersiri.

Ayah Naruto pun tidak pernah berkata demikian...


Rancangan yang semakin diminati ramai (kot) ini, mengisahkan seorang belia lelaki yang terlibat dalam kemalangan yang sepatutnya meragut nyawanya. Namun, ayahnya yang juga merupakan seorang saintis terkenal, berjaya menyelamatkannya dengan teknologi dan mesin yang ditanam ditubuhnya. Hasil kajian dan penyelidikan ayah itu. Dan bermula dari tempoh itu, belia tersebut mempunyai tenaga luar biasa. Ala-ala Superman...

~ foto by alifstyle


Belia itu bakal melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej tempatan.

Dan disinilah berlakunya scene yang betul-betul memualkan itu. Di mana ayah itu mengambil hati anak lelakinya, yang baru reda dari rajuk, dengan mengajak anaknya untuk pergi shopping membeli baju. Belia tersebut dilihat rasional menolak ajakan ayahnya itu. Tolakan itu kerana bajunya telah banyak...

Ayahnya tetap mengajak. Katanya sebagai hadiah masuk ke kolej. Mungkin juga untuk menunjukkan bahawa dirinya sporting dan tidak berkira dengan anaknya.

Dan disinilah perkataan yang jahil terpacul dari mulut seorang ayah itu.

Baju itu sebagai hadiah masuk ke kolej. Boleh digunakan untuk bergaya. Untuk bergaya kerana..

"College's chicks are hot", kata ayah itu dengan senyuman sang buaya.

Dan belia itu tersenyum...

Dan saya menggelengkan kepala...

Kelucahan apakah ini?



"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Surah At-Tahrim (66) : 6



Saya hanya mampu berdo'a kepada Tuhan.


"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
Surah Al-Furqaan (25) : 74



Saya cuba melihat dengan pandangan da'ie, dengan melihat mereka sebagai pandangan mad'u. Kerana saya sedar bahawa saya pendakwah, bukan penghukum. Mungkin ini adalah cerminan bagi masyarakat kini yang memerlukan bimbingan dan nasihat.

Marah di kerusi sahaja tidak berguna jika tidak turun ke padang.

Betapa saya tersedar bahawa saya perlu lebih giat dalam lapangan ini...

"Ya Arif, BERTINDAK!"


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, June 10, 2009

Ya Allah... Bahagiakanlah Mereka.

"Ya Allah! Innalillah wa inna ilaihi raji'un....", saya mengurut dada. Terkejut saya dengan kezaliman yang ini. Begitu sebak hati saya mendengar berita ini malam tadi.

Pagi ini segera saya mencari berita ini secara online bagi mengetahui lebih lanjut kejadian ini. Membaca perlahan-lahan penceritaan semula mangsa yang terselamat. Tidak sedar pulupuk mata saya mula dibanjiri air mata. Sedih dengan peristiwa yang menimpa ke atas saudara seagama.


ANGGOTA keluarga mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan Narathiwat kelmarin, melihat jemaah yang mati ditembak penyerang bersenjata raifal ketika solat Isyak. - Foto Reuters


Sesungguhnya, perginya mereka ini dalam keadaan yang begitu diingini. Suci dan berserah diri. Dan perginya mereka ini, adalah pergi sebagai syuhada'...


Al-Fatihah buat mangsa kejadian ini.....


Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezki.

Surah ali 'imran (3) : 169

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok[1187]. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Surah luqman (31) : 34




- Sumber Berita Harian Online

" 2 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak NARATHIWAT (Selatan Thailand): "Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami," kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin. Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.



Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.
Serangan kejam itu, yang dianggap paling buruk di selatan Thailand, menyebabkan 10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat.

Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.
Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.

"Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, Nasir amat bersedih mengenangkan ramai jemaah termasuk Wan Abdullah yang menjadi korban serangan kejam itu."
Berita lanjut klik disini.

Dan buat sang-sang pembunuh, dengarlah..... Allah kami yang juga Allah kamu telah mengharamkan ke atas diriNya KEZALIMAN. Dan pastinya Dia tidak akan melepaskan mereka yang telah melakukan KEZALIMAN yang telah diharamkan itu. ZALIMnya kamu itu pasti akan mencelakakan diri kamu kerana kamu telah melampaui batas kemanusiaan.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, June 8, 2009

Muktamar PAS Pusat Kali Ke-55

"Wah, banyak nye gerai....", saya meluahkan kekaguman saya.


"Kite pergi jalan-jalan jap sementara tunggu kawan aku tu datang. Dia dah simpankan dua pas pemerhati untuk kita", Hanafi menyuarakan ajakannya.



"Pendaftaran untuk pemerhati! 5 ringgit, 5 ringgit! Hah bang, meh daftar sebagai pemerhati...", seorang petugas mempromosikan pas pemerhati muktamar di gerai paling hadapan dan bersebelahan dengan booth Nisa'. Memandangkan telah ada sahabat yang menyimpankan pas masuk untuk kami, maka kami hanya tersenyum-senyum sahaja kepada petugas tersebut.


Inilah pas pemerhati untuk Muktamar kai ini...


Muktamar PAS Ke-55 kali ini menghimpunkan lebih 400 penggerai yang menjual berbagai-bagai jenis barangan.. Cuba bayangkan berapa banyak kanopi yang digunakan.

Antara gerai-gerai yang menarik perhatian saya adalah gerai-gerai yang menjual buku-buku agama. Buku 'Kesan-kesan Dosa Terhadap Hati' keluaran Anbakri Publika yang saya cari, terjual di gerai Anbakri Publika dengan potongan harga sebanyak 15%.

Booth Anbakri Publika Sdn. Bhd.


Peluang ini pasti tidak saya lepaskan. Segera buku itu saya gapai beserta sebuah lagi buku terbitan Anbakri Publika iaitu buku bertajuk 'Bidadari Dari Syurga'. Selain dua buku ini, saya juga membeli buku bertajuk 'Bingkisan Fikrah Untuk Pejuang' tulisan Ustaz Nasrudin Hj. Hassan At-Tantawi yang dijual dengan potongan harga RM5.


Alhamdulillah, Allah telah memudahkan perjalanan saya untuk menghadiri muktamar PAS Pusat pada kali ini. Ini juga merupakan muktamar PAS Pusat yang pertama saya hadiri. Seronok rasanya dapat menghadiri muktamar kali ini.

Saya hanya berkesempatan melihat perjalanan muktamar pada hari Sabtu sahaja bersama seorang teman semasa di sekolah menengah dan matrikulasi. Walaupun hanya sehari, namun banyak perkara yang dapat saya perolehi. Dapat juga bertemu sahabat-sahabat dari UMS yang antaranya Hafiz, Hafiz KAL, Nadir, Ashrul, Abg Roslan dan Abg Firdaus. Sempat juga bertegur sapa dengan Ustaz Nahar dan Ustaz Abu Nuha yang tidak lekang dengan kameranya...

Satu yang begitu menyentuh perasaan saya sepanjang berada di sini adalah suasananya yang mengingatkan kembali dengan keadaan sekolah menengah saya. Di mana yang muslimat ramai bertudung labuh dan yang muslimin ramai yang berkopiah dan bersongkok. Sungguh damai pemandangannya.

Hanafi, rakan sewaktu di sekolah menengah dan matrikulasi...


"Islam Memimpin Perubahan" adalah tema yang saya rasakan amat baik. Siangnya saya sempat mendengar perbahasan ucapan dasar dari beberapa perwakilan. Sempat juga menyaksikan sedikit gimic yang dilakukan. Setiap kata sarat dengan fakta, sejarah, pandangan, nasihat serta dalil menjadikan mengikutinya tidak sia-sia. Allahu Akbar....



Pada sebelah malamnya pula, saya dan Hanafi sempat mengikuti ceramah perdana yang dianjurkan. Kehadiran kami turut disertai oleh Abdullah dan Amirul yang juga merupakan sahabat sewaktu di sekolah menengah dahulu. Terasa begitu lama tidak bersua. Pertemuan seketika itu, cepat mengeratkan kembali ukhuwah yang kian longgar oleh jarak dan masa.

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara...."
Surah AL-Hujuraat(49) : 10


Amirul (berbaju putih) dan Abdullah (berbaju belang),
sahabat yang lama tidak bersua...


Ceramah daripada Tok Guru Nik Aziz adalah slot yang paling dinantikan. Namun, gilirannya berucap diletakkan pada bahagian terakhir sekali. Turut sama pada malam itu, adalah salah seorang daripada pemimpin HAMAS. Beliau turut memberikan sedikit ucapan yang banyak mengingatkan kembali akan usaha pembebasan Al-Quds. Namun, tatkala beliau menyampaikan ucapannya dengan bantuan penterjemah, saya terpaksa menghantar Abdullah dan Amirul pulang ke rumah mereka.


Selesai ceramah dan bacaan doa daripada Tok Guru, saya dan Hanafi beredar dari Stadium Melawati. Kami bersyukur kerana dapat memerhatikan sendiri permulaan kepada suatu perubahan. Insya Allah....



"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran."

Surah Al-'Asr (103) : 1-3


Tidak terasa rugi sepanjang berada di sini....



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, June 6, 2009

Berkuda Jua Akhirnya...

"Cuba abang tengok kanan", kata adik lelaki saya sewaktu kenderaan memasuki halaman rumah. Bersungguh-sungguh sekali kelakuannya.

Saya menjeling ke tempat yang dimaksudkan oleh adik saya. Kelihatan sebuah motor berwarna perak diletakkan elok di hadapan rumah. Motor yang belum pernah saya lihatnya sebelum ini.

"Kalau kau dapat praktikal kat Melaka, ayah kau cakap nak belikan motor baru".

"Ye ke?".

Perbualan telefon antara saya bersama ibu saya lebih kurang dua bulan yang lalu segera terlintas di ingatan.

'Mungkin inilah motor yang dimaksudkan', detik hati saya. Saya tersenyum.




Ketika itu kami sekeluarga baru tiba di rumah dari lapangan terbang KLIA. Seperti sebelumnya, semua ahli keluarga saya datang menjemput ketibaan saya pada kali ini.

Jam pada waktu itu menunjukkan lebih kurang pukul 10 malam. Ayah saya sedang berhati-hati membetulkan kedudukan Kia Rondo hitam yang sedang memasuki halaman rumah. Ibu saya terlentok lena di sebelah ayah. Adik perempuan saya serta sepupu perempuan yang sebayanya pula terkekeh-kekeh membicarakan sesuatu di tempat duduk belakang pemandu.

Dan saya bersama adik lelaki saya, yang duduk di belakang kedua-dua anak dara itu, masih memerhati motor perak itu.

Saya berpaling ke arah adik lelaki saya. Dia hanya tersenyum-senyum melihat saya sambil mengangkat-angkat keningnya berulang kali.

Tanpa kata-kata, saya memahami maksud kelakuannya itu.

Alhamdulillah... Saya kini mempunyai kenderaan sendiri. Semoga ia dapat membantu memudahkan segala urusan saya dan semoga saya dapat berbakti bersamanya.


"Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami"
Surah Az-zukhruf (43) : 13-14
(Do'a naik kenderaan)




Semoga jua ia menjadi kuda perang seperti yang tertulis di dalam Surah Al-'Aadiyaat (100), ayat 1-5 :

1. Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah,
2. dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),
3. dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,

4. maka ia menerbangkan debu,

5. dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.


* Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa rasulullah saw. mengutus sepasukan kuda akan tetapi setelah sebulan lamanya pasukan itu tak ada kabar beritanya. Maka turunlah ayat ini (S.100:1-5) sebagai pemberitahuan tentang pasukan tersebut yang sedang bertempur melawan musuh, dan melukiskan kepahlawanan mereka.
(Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibnu Abi Hatim dan al-Hakim yang bersumber dari Ibnu Abbas.)



Suatu petang...

"Arif, nanti kau keluarkan seribu untuk duit muka motor tu. Yang bayar bulan-bulan tu tak pe, biar ayah yang bayar", ayah saya berkata sambil tersenyum dengan senyuman yang serius. Tiada tanda-tanda bahawa sesungguhnya dia sedang berjenaka.

Saya diam seketika. Lalu, perlahan-lahan saya mengeluarkan tangan kanan yang digenggam dengan ibu jari yang ditegakkan. Ayah saya semakin tersenyum.


Ingatkan 100% free....


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Monday, June 1, 2009

Ilmu Yang Perlukan Pada Praktikal

"Bagi membiasakan diri dengan suasana bekerja, maka subjek ini diterapkan dalam proses pembelajaran di universiti. Seharusnya, medan ini menjadi latihan bagi mahasiswa meningkatkan prestasi diri dan menimba pengalaman", hujah daripada seorang sahabat masih terngiang-ngiang di telinga.

Kini, saya sedang berhadapan dengan subjek ini. Sudah seminggu saya di Institut Bioteknologi Melaka bagi menyempurnakan subjek Latihan Industri ini. Hari masih berbaki 9 minggu lagi. Semoga Allah sentiasa memudahkan langkah saya dan rakan-rakan lain yang turut sama sedang berpraktikal..

Ya Allah, bantulah kami...
Permudahkanlah segala urusan kami...
dan redhailah kerja yang kami lakukan ini,
Yang semoga kerja ini,
akan menjadi ruang bagi kami berkhidmat di jalanMu Ya Allah...




Sekarang tengah merancang-rancang untuk ke Muktamar Pas Pusat di Selangor nanti...

Semoga dapat berjumpa di sana...

Dan Hafiz, sediakan katil untuk ana........


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.

Friday, May 15, 2009

Hari Ini Juga Gembira...

14 Mei 2009


Pada jam 5.50 pagi saya ke ODEC. Hasrat di hati ingin melihat pemandangan waktu pagi dari situ.

'Cantiknya..', bisik hati saya.


Lebih kurang jam 6.10 pagi saya ke kampung Likas untuk membeli kuih di gerai yang letaknya bersebelahan dengan pondok bas. Karipap dan bebola pulut adalah antara kuih yang saya rasakan sedap di gerai itu. Namun, kehampaan menjadi santapan pagi ini. Gerai itu tutup. Dengan kekecewaan, saya ke Farvis dan bersarapan sahaja di situ.

Pulang dari Farvis, saya bertindak memenuhi keinginan yang ingin dipenuhi. Saya pergi ke setiap surau yang belum pernah diri ini ziarahi dan dahi ini ciumi. Dalam jam 10.00 pagi, barulah pulang ke bilik. Surau yang tinggal kini hanyalah surau IPMB, JPP, Pusat Rawatan Warga dan beberapa surau di kampung AB. Antara banyak-banyak surau ini, surau yang saya rasakan paling mudah untuk dijumpai jatuh kepada surau SSMP. Letaknya betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk utama sekolah.

Surau yang menjadi masalah adalah surau di JPP dan Pusat Rawatan Warga. Kedua-dua surau ini terletak di tingkat satu dan saya tidak menemui tangganya. Mahu merayau-rayau, takut pula ditangkap kerana melakukan aksi-aksi mencurigakan. Malam ini perlu fikirkan cara...

Dalam jam 11.30 pagi, Sharin datang dan meminta tolong untuk menemankannya membeli ubat gegat dan melaksanakan beberapa hal.

Jam 12.30 tengah hari, kami pulang ke UMS dan bersolat di masjid. Ubat gegat yang dicari tidak ditemui. Ini adalah kehampaan saya yang kedua untuk hari ini. Bertemu dengan Afiq di masjid dan kami bertiga makan tengah hari di Farvis. Selepas makan saya dan Sharin mencuba nasib di 1 Borneo. Namun keputusannya tetap sama. Tiada ubat gegat.



Selesai solat maghrib, saya bergegas ke lapangan terbang untuk menghantar Afiq pulang. Sesampai sahaja di lapangan terbang dalam jam 7.25 malam, saya menghantar mesej kepada Afiq untuk bertanyakan lokasinya. Namun, mesej tidak dapat dihantar kerana kredit telah habis. Penerbangannya adalah pada jam 8.05 malam, jadi saya menanti di tempat berlepas dengan harapan akan terserempak secara tidak sengaja dengannya. Sehingga hampir jam 7.50 malam saya menunggu, namun kelibat Afiq tidak juga kelihatan. Saya merasakan bahawa dia telah masuk ke balai berlepas. Lalu, saya pulang dengan kehampaan yang ketiga untuk hari ini.




Dalam perjalanan pulang, saya berhenti sebentar di Masjid Negeri untuk solat Isya'. Selesai solat, saya dikejutkan dengan wajah Azizul yang tersengih-sengih di belakang saya. Katanya, dia dari lapangan terbang untuk menghantar Afiq. Kami bergerak turun bersama-sama dari dewan solat utama. Di satu sudut, kami melihat ramai ahli jemaah masjid yang bersembahyang Isya' tadi sedang beratur. Alhamdulillah, rupanya ada rezeki dari Allah.



Sambil menikmati kuey teow goreng bersama-sama air oren sejuk, saya berkongsi-kongsi cerita dengan Azizul. Banyak juga yang diperbualkan. Topik JBM menjadi kemestian...

Selesai makan, kami bergerak pulang ke kampus. Saya terus sahaja ke bilik dan duduk di hadapan komputer riba. Dalam jam 12.00 malam, saya rasakan mata ini mula memberat. Lantas saya tutupkan komputer riba dan menuju ke pembaringan. Sambil menanti diri untuk terlena, saya memikirkan apa yang ingin dilakukan untuk esoknya.

Dan perkara terakhir yang saya fikir sebelum diri dijamah mimpi adalah...

'Berlalu lagi satu hari yang menggembirakan...'


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, May 12, 2009

AKU DIRI HIDUP

Akhirnya, peperiksaan terkhir bagi smester ini selamat saya tempuhi pada 6 Mei 2009 yang lalu. Kini hanya berkira-kira hari sahaja untuk pulang ke Semenanjung. 16 Mei 2009 adalah tarikh penerbangan saya. Untuk penerbangan pulang kali ini, pekhidmatan penerbangan MAS adalah pilihan saya.

Sahabat-sahabat yang lain di UMS ini, rata-ratanya telah selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. Minta maaf saya ucapkan kepada mereka yang tidak dapat saya temui dan hantar sebelum mereka pulang.

Banyak perkara yang ingin dilakukan di UMS dan Sabah ini. Ada yang telah dilaksanakan dan ada yang masih belum. Antaranya adalah berjalan kaki ke IP, solat di setiap surau yang terdapat di setiap bangunan UMS, makan nasi di ODEC, parking motor di hadapan pintu masuk DKP9, naik bas pelajar perubatan, pergi semula ke setiap sekolah yang pernah dilawati sebelum ini, naik bas ke KK dan banyak lagi.

Fuh...

Sebelum pulang semua keinginan ini perlu ditunaikan. Walau dengan apa cara sekali pun...

Agar nanti saya berpuas hati selama keberadaan saya di sini. Dan dapat tersenyum apabila mengenangkannya kembali. Dan mampu untuk mengatakan...

"Aku pernah melakukan ini... Aku telah ke sini...
Ini adalah tandaku... Ini adalah kesanku...
Ini adalah bukti, bahawa
AKU pernah berDIRI di sini sebagai seorang yang HIDUP".



Doakan saya, moga dipermudahkan segala urusan...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih

Penantian Empat Tahun...

"Oh... Gitu..."

Saya bereaksi dengan apa yang diterangkan oleh Azizul. Saya menjenguk ke dalam salah sebuah tangki. Dan tersenyum.

Setelah empat tahun di UMS, baru kini dapat saya tembusi kawasan yang menjadi kawasan larangan bagi semua pelajar kecuali pelajar Akuakultur ini. Tempat ini menjadi tempat larangan atas faktor-faktor keselamatan.

"Indahnya.."

Tempat larangan ini dipanggil Hatchery. Tempat penternakan ikan bagi pelajar-pelajar Akuakultur.

Hatchery ini berpagar sekelilingnya. Dan di pintu masuk, tersiap sedia pengawal yang sentiasa bersiaga menjaga dan mengelakkan kerunsingan yang mungkin berlaku.

Runsing akan ada 'buaya' dan 'naga' yang datang melahap ganas ikan yang dibela elok. Juga runsing akan ada kaki pancing yang datang bertenggek di tepi tangki sambil bersiul-siul kegembiraan kerana umpan sentiasa mengena.

"Di situlah tempat kejadian"
(Bergambar ala-ala Mastika)


Tempat ini dipenuhi dengan tangki-tangki yang berisi ikan-ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasar-pasar, restoran-restoran serta tidak lupa hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu.Ikan-ikan ini dipelihara oleh pelajar-pelajar Akuakultur. Memelihara ikan adalah sebahagian dari subjek mereka.

Banyak cerita mengenai tempat ini yang saya telah dengar daripada sahabat-sahabat dari program Akuakultur. Menyebabkan saya benar-benar teringin untuk melihat, merasai dan berada sendiri di dalamnya.

Benar-benar teringin. Benar-benar kepingin.

Setelah memijakkan kaki di dalamnya, diri terasa benar-benar puas. Akhirnya saya dapat melihat dengan kanta sendiri, imej yang sebelum ini hanya dibataskan dengan imaginasi sendiri dari cerita-cerita sang pujangga dan sang karut yang mengarut tanpa mencarut.

"Wah...."


Syurga

Begitu juga dengan ini... Banyak ceritanya. Banyak gambarannya. Semuanya indah tanpa dapat dibayangkan.


Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
Surah Ali 'Imran (3) : 185

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
Surah Ar-Ra'd (13) : 35

Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.
Surah Yaasin (36) : 57

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.
Surah Ar-Rahmaan (55) : 56

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik.
Surah Ar Rahmaan (55) : 70

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan
Surah Luqman (31) : 8


Tempat larangan kecuali bagi mereka yang terpilih...

Banyak cerita mengenai tempat ini yang saya telah dengar dan baca daripada Pencipta tempat ini sendiri. Menyebabkan saya benar-benar teringin untuk melihat, merasai dan berada sendiri di dalamnya.

Benar-benar teringin. Benar-benar kepingin.

Namun, bagaimana?


Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
Surah Ar-Ra'd (13) : 35

Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.
Surah Al-Qalam (68) : 34

Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.
Surah Maryam (19) : 63


Ya, inilah jawapannya. Jadilah sebahagian dari orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa.

Namun, bagaimana?


Dari Anas : "Ada seorang Arab dusun bertanya kepada Nabi Muhammad, 'Bilakah Hari Kiamat akan terjadi?' Nabi Muhammad bertanya kembali, 'Apakah persiapan saudara bagi menemui hari itu?' Arab dusun itu menjawab, 'Aku Mencintai Allah dan Rasulullah'. Kata Nabi Muhammad, 'Saudara akan menyertai orang yang saudara kasihi.'"
HR Bukhari dan Muslim


Subhanallah... Cintailah Allah, Utusan Allah serta orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa. Saya akan mulakan kembali. Membetulkan diri untuk mencintai Allah, Rasulullah serta orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa dengan sebenar cinta. Agar nanti saya akan dibangkitkan bersama mereka yang saya cintai.

Rasulullah yang telah dijaminkan syurga ke atasnya. Bersama Baginda semestinya dari golongan orang-orang dan hamba-hamba yang bertakwa.

Namun, risau pula.. Rasullulah itu terpelihara dari dosa sedangkan saya ini sering terpalit dengan dosa yang menghinakan. Dosa lalu, dosa kini dan dosa nanti. Bagaimana pula?


Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
Surah Huud (11) : 90

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia....
Surah At-Tahrim (66) : 8

Subhanallah.. Pengasihnya Engkau wahai Allah..


Perkongsian darimu, berharga buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture