Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Friday, May 15, 2009

Hari Ini Juga Gembira...

14 Mei 2009


Pada jam 5.50 pagi saya ke ODEC. Hasrat di hati ingin melihat pemandangan waktu pagi dari situ.

'Cantiknya..', bisik hati saya.


Lebih kurang jam 6.10 pagi saya ke kampung Likas untuk membeli kuih di gerai yang letaknya bersebelahan dengan pondok bas. Karipap dan bebola pulut adalah antara kuih yang saya rasakan sedap di gerai itu. Namun, kehampaan menjadi santapan pagi ini. Gerai itu tutup. Dengan kekecewaan, saya ke Farvis dan bersarapan sahaja di situ.

Pulang dari Farvis, saya bertindak memenuhi keinginan yang ingin dipenuhi. Saya pergi ke setiap surau yang belum pernah diri ini ziarahi dan dahi ini ciumi. Dalam jam 10.00 pagi, barulah pulang ke bilik. Surau yang tinggal kini hanyalah surau IPMB, JPP, Pusat Rawatan Warga dan beberapa surau di kampung AB. Antara banyak-banyak surau ini, surau yang saya rasakan paling mudah untuk dijumpai jatuh kepada surau SSMP. Letaknya betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk utama sekolah.

Surau yang menjadi masalah adalah surau di JPP dan Pusat Rawatan Warga. Kedua-dua surau ini terletak di tingkat satu dan saya tidak menemui tangganya. Mahu merayau-rayau, takut pula ditangkap kerana melakukan aksi-aksi mencurigakan. Malam ini perlu fikirkan cara...

Dalam jam 11.30 pagi, Sharin datang dan meminta tolong untuk menemankannya membeli ubat gegat dan melaksanakan beberapa hal.

Jam 12.30 tengah hari, kami pulang ke UMS dan bersolat di masjid. Ubat gegat yang dicari tidak ditemui. Ini adalah kehampaan saya yang kedua untuk hari ini. Bertemu dengan Afiq di masjid dan kami bertiga makan tengah hari di Farvis. Selepas makan saya dan Sharin mencuba nasib di 1 Borneo. Namun keputusannya tetap sama. Tiada ubat gegat.



Selesai solat maghrib, saya bergegas ke lapangan terbang untuk menghantar Afiq pulang. Sesampai sahaja di lapangan terbang dalam jam 7.25 malam, saya menghantar mesej kepada Afiq untuk bertanyakan lokasinya. Namun, mesej tidak dapat dihantar kerana kredit telah habis. Penerbangannya adalah pada jam 8.05 malam, jadi saya menanti di tempat berlepas dengan harapan akan terserempak secara tidak sengaja dengannya. Sehingga hampir jam 7.50 malam saya menunggu, namun kelibat Afiq tidak juga kelihatan. Saya merasakan bahawa dia telah masuk ke balai berlepas. Lalu, saya pulang dengan kehampaan yang ketiga untuk hari ini.




Dalam perjalanan pulang, saya berhenti sebentar di Masjid Negeri untuk solat Isya'. Selesai solat, saya dikejutkan dengan wajah Azizul yang tersengih-sengih di belakang saya. Katanya, dia dari lapangan terbang untuk menghantar Afiq. Kami bergerak turun bersama-sama dari dewan solat utama. Di satu sudut, kami melihat ramai ahli jemaah masjid yang bersembahyang Isya' tadi sedang beratur. Alhamdulillah, rupanya ada rezeki dari Allah.



Sambil menikmati kuey teow goreng bersama-sama air oren sejuk, saya berkongsi-kongsi cerita dengan Azizul. Banyak juga yang diperbualkan. Topik JBM menjadi kemestian...

Selesai makan, kami bergerak pulang ke kampus. Saya terus sahaja ke bilik dan duduk di hadapan komputer riba. Dalam jam 12.00 malam, saya rasakan mata ini mula memberat. Lantas saya tutupkan komputer riba dan menuju ke pembaringan. Sambil menanti diri untuk terlena, saya memikirkan apa yang ingin dilakukan untuk esoknya.

Dan perkara terakhir yang saya fikir sebelum diri dijamah mimpi adalah...

'Berlalu lagi satu hari yang menggembirakan...'


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture