Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Monday, April 13, 2009

Hayati Bunyi

"...Walhamdulillahi rabbil 'alamin."

"Amin..."



Tangan yang ditadah disapukan ke muka.

Antara lain isi doa yang dibacakan oleh Imam tadi memohon agar diampunkan segala dosa diri, ibu bapa serta seluruh muslimin dan muslimat, memohon diselamatkan di dunia dan di akhirat, memohon dimenangkan kaum muslimin, memohon tidak dipalingkan hati setelah dicerahkan cahaya hidayah serta ditetapkankan hati dalam Ad-Din dan ketaatan.

Kami berdoa secara berjemaah. Imam membacakan doa dan kami dibelakang mengaminkannya.

Walaupun saya tidaklah mampu untuk menterjemahkan doa yang dibacakan oleh Imam di dalam Bahasa Arab itu secara harfin. Namun, secara umumnya saya memahami akan perkara dan permintaan yang terkandung di dalam doa tersebut.

Dan kerana memahami, saya dapat menghayati...
Menghayati dengan hati...

Permintaan dari hati kepada pemilik segala hati...

Meminta dari Allah bukan hanya lepas di kerongkong sahaja. Malah, hadir dengan hati yang turut meminta dengan bersungguh-sungguh. Dan menjadi tarbiah bagi diri agar menyedari hakikat kelemahan dan kekerdilan diri dihadapan Ar-Rahim.

MALU rasanya meminta dari Allah dalam keadaan hati yang lalai.

Kerana itu, penting bagi diri saya untuk mendengar doa yang dibacakan. Doa yang didengari oleh dua telinga.

Ya, semuanya bermula dengan mendengar di telinga. Telinga yang mahu mendengar. Telinga yang endah. Telinga yang peduli. Telinga yang mahu.


Atas sebab ini juga saya terkadang kurang dapat menerima mereka yang membacakan doa untuk ramai secara berjemaah, tetapi bacaan mereka itu tidak mampu didengari oleh jemaah yang mengaminkan doa itu. Maka, dapat dilihatlah ada yang mengelamun, ada yang terangguk-angguk, ada yang tergeleng-geleng dan tidak kurang juga yang mengorek-ngorek jerawatnya. Dan saya... Lalai dalam memerhatikan gelagat mereka ini.

Bagaimana ia mampu untuk menarik hati-hati agar benar-benar mengharap semasa menadah tangan meminta, sedangkan mereka tidak mengetahui butiran pengharapan & permintaan di dalam doa itu.

Bagaimana mereka mampu untuk mengetahui butiran pengharapan & permintaan di dalam doa itu kerana permulaan tahu dalam berdoa iaitu mendengar tidak berlaku.

Oleh sebab itu, apabila saya diminta membacakan doa secara berjemaah, sebolehnya saya memastikan agar mereka yang menadah tangan bersama dapat mendengar bacaan doa saya itu. Kerana bukan hanya saya sahaja yang mengharap, tetapi KAMI bersama.

"Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.' "
Surah l-Mu'min (40) : 60


Tangan yang ditadah dengan diri yang tidak endah. Hanyalah mengundang padah.

Maka berdoalah dengan rasa takut dan penuh harapan. Kerana ia adalah pesan Tuhan. Buat seluruh insan.



"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, setelah (diciptakannya) dengan baik dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan penuh harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."
Surah Al-A'raaf (7) : 56



Ya Allah..
Terimalah doa kami...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, April 7, 2009

Rakyat Kalahkan Nasional....

Keputusan Rasmi Pilihanraya Kecil Malaysia :-


Bukit Gantang

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) - 21,860 undi
Ismail Saffian mendapat (BN) - 19,071 undi
Kamarul Ramizu Idris (BEBAS) - 62 undi

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) menang dengan majoriti 2,789 undi.

Bukit Selambau

S. Manikumar (KeADILan) - 12,632 undi
S. Ganesan (BN) - 10,229 undi
R Loganathan (Bebas) - 31 undi
Tan Hock Huat (Bebas) - 78 undi
Mohd Radhi Mat Lazim (Bebas) - 25 undi
Mohd Fadzil Wahab (Bebas) - 83 undi
Abdul Rahim Abu (Bebas) - 60 undi
L Sarala (Bebas) - 49 undi
A Jayagopal (Bebas) - 35 undi
S Moganakumar (Bebas) - 46 undi
Khamis Awang (Bebas) - 29 undi
Husaini Yaacob (Bebas) - 257 undi
Venason Michael (Bebas) - 32 undi
Mejar (B) Anuar Abdul Hamid (Bebas) - 528 undi
T Chandrarajan (Bebas) - 73 undi

Calon-calon Bebas hilang duit pertaruhan
Undi Rosak - 415 undi.

S. Manikumar (KeADILan) menang dengan majoriti 2,403 undi.


Batang Ai

Malcolm Mussen Lamoh (BN) - 3,907 undi
Jawah Gerang (KeADILan) - 2,053 undi

Malcolm Mussen Lamoh (BN) menang dengan majoriti 1,854 undi.



Berkibarlah bendera Rakyat.....





Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, April 3, 2009

Usrah Dengan Diabetes...

"Diabetes mellitus...

Juga lebih dikenali sebagai "kencing manis" atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai "sweet urine" glycosuria. Kajian menunjukkan bahawa seorang daripada 10 penduduk Malaysia menghidapi diabetes.

Usah risau dan rimas kerana penyakit ini bukanlah penyakit berjangkit. Ia adalah disebabkan oleh masalah-masalah yang timbul dalam penghasilan insulin. Insulin ini adalah sejenis hormon yang diciptakan oleh Allah dengan indah untuk menukarkan gula dalam darah kepada tenaga.


Masalah dalam penghasilan insulin ini membawa kepada permasalahan dalam proses penukaran gula dalam darah kepada tenaga. Ini menyebabkan gula tidak dapat digunakan secara efektif menyebabkan kandungan gula dalam darah tinggi.


Antara simptom-simptom bagi penghidap penyakit ini termasuklah kelakuan kerap kencing, kekurangan berat badan, air kencing berasa manis dan keletihan. Komplikasi yang boleh disebabkan oleh diabetes termasuklah kejadian strok, sakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit mata dan kerosakan saraf.

Secara umumnya diabetes dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:

1) Diabetes Jenis 1 (Type 1 Diabetes)

2) Diabetes Jenis 2 (Type 2 Diabetes)
3) Diabetes Gestasional (Gestational Diabetes)


Seterusnya...."


Tujuan


Demikianlah sedikit penerangan pensyarah saya semasa kuliah Bioteknologi Dalam Pertanian dan Perubatan yang telah "dibahasa melayukan". Ini adalah sedikit pengenalan ringkas tentang salah satu penyakit yang popular di Malaysia.

Kami turut dibawa oleh pensyarah untuk memahami sebab musabab yang menyebabkan penyakit ini. Segala mekanisma yang terlibat, hormon yang membantu, jujukan gen yang memainkan peranan serta faktor-faktor dalaman dan luaran yang membawa kepada penyakit ini diterangkan kepada kami.


Kemudian, pensyarah menunjukkan kepada kami pengaplikasian bioteknologi dalam proses mendiagnos penyakit ini dan pengaplikasian bioteknologi dalam proses rawatan-rawatan yang terlibat. Membantu mengesan, merawat dan menghindarkan penyakit ini yang akhirnya membawa manfaat kepada manusia adalah tujuan pembelajaran kami.

Ya, antara tujuan utama pengkajian dalam Bioteknologi adalah untuk membawa manfaat bagi manusia...


Usrah


Begitulah sepatutnya juga bagi usrah...

Dimulai dengan pengenalan...


Diikuti dengan pemahaman...


Disempurnakan dengan pertolongan...


Semua ini ingin membawa kepada menfaat bagi manusia...

Mengikut marhalah...


Dalam jalan yang diredhai oleh Allah dan mengikut Sunnah...



"Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa."


Surah Al-Hadid (57) : 25

Ambillah ibrah besi...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Wednesday, April 1, 2009

Kepadamu Kekasih...




KEPADAMU KEKASIH

Kepadamu kekasih

Aku berserah

Kerana kutahu

Kau lebih mengerti

Apa yang terlukis di cermin wajahku ini

Apa yang tersirat di hati

Bersama amali


Kepadamu kekasih

Aku bertanya

Apakah kau yang menerima kukembali

Atau harus menghitung lagi

Segala jasa dan bakti

Atau harus mencampakku
ke sisi
Tanpa harga di
ri



Hanya padamu kekasih
Aku tinggalkan

Jawapan yang belum ketemukan

Yang bakal aku nantikan

Bila malam menjemputku lena beradu

Kepadamu kekasih

Aku serahkan

Jiwa dan raga

Jua segalanya

Apakah kau akan menerima penyerahan ini

Apakah kau akan menerimaku dalam keadaan begini



Komposer / Lirik - M Nasir / Eunos Bin Asah









Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, March 28, 2009

Hidup Dengan Usrah...

Duduk berteleku di hadapan komputer riba milik ibu. Seorang diri di meja khas study.



Sambil sahabat yang lain tersenyum-senyum di balik selimut. Dengan mata yang terpejam. Dengan gaya yang tersendiri. Masing-masing mempamerkan fleksibiliti yang mengkagumkan. Yang mengadu sakit pinggang, dialah yang paling kompleks teksturnya dan komposisi tubuhnya.

Yang pasti mereka ini telah melanggar resolusi JPA untuk tidak tidur selepas subuh.


Dalam keadaan yang sendiri ini, terkenang kembali sorotan peristiwa bersama-sama usrah, sepanjang keberadaan di universiti ini. Cerita bagaimana diri ini ditarbiah dan membantu proses tarbiah.
Bersama-sama naqib-naqib dan sahabat-sahabat naqib yang banyak berkongsi ilmu dan pengalaman. Semua ini menjadikan pengalaman saya bersama usrah, bermakna.
 


Bermula dengan Abang Wadi yang menjadi naqib saya yang pertama di universiti ini untuk Diman IP sejurus selepas program PROTON '05. Kemudian, dis
erapkan ke dalam Diman yang dikendalikan oleh Abang Lan selepas peristiwa 1 Muharram dan 'aku janji' di Kota Belud.

Apabila menjejak tahun kedua, saya menjadi pembantu naqib bagi Abang Fairuz untuk Diman IP. Kami mengendalikan Diman dengan ahli-ahli yang bergraduasi dari program PRISMA '06 iaitu Hafiz, Alif, Arif, Azizul (ustaz), Zubair, Nije, Mustaqim dan panjang (lupe lak nama).


Mencecah tahun ketiga, saya menjadi pembantu naqib lagi bagi Abang Kasman untuk Diman Kg E. PMI '07 menjadi titik pertemuan kami dengan ahli-ahli usrah ini iaitu Ilham, Fawwaz, Afiq, Adam, Amirul. Disamping memb
awa Diman Kg.E, saya turut mengikuti Diman Gabungan dengan Abang Bubuk sebagai naqib.

Di tahun lanjutan ini pula, saya mengikuti Diman Gabungan yang dinaqibkan oleh Abang Lan. Namun, disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan, naqib bertukar tangan kepada Mursidi dan Abang Acit.



Melihat kembali rentetan ringkas ini, saya menyedari bahawa bukan calang-calang orang yang pernah menjadi naqib saya. Juga bukan calang-calang orang yang menjadi sahabat naqib saya. Saya juga mendapati ahli-ahli Diman yang pernah saya kendalikan masih terus istiqomah dengan Islam walaupun bukan semua ingin menaiki kapal yang sama.


Kerana ini, saya bersyukur.


Terima kasih kepada semua naqib. Maafkan saya kerana tidak mampu menjadi sehebat kamu. Terima kasih juga kepada sahabat naqib dan ahli diman yang pernah bersama. Banyak perkara yang menjadi didikan saya. Minta maaf andai ada salah dan silap.

"Apabila seorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya."
HR Abu Daud dan Al-Tarmizi

Sesungguhnya saya mengasihi kamu semua kerana Allah.




Perkongsian darimu, bermakna buatku.

Terima kasih.

Thursday, March 26, 2009

Mati Lenguh Dengan Butir Manis...

Penat dan lenguh2...

Begitulah yang tertanggung oleh badan selepas pulang dari Jambori Amal '09 Peringkat Negeri Sabah.

Ahli rombongan ...

Jambori kali ini diadakan di Kg. Binowou Tengah di Sook. Kira-kira 40km dari Pekan Keningau. Kampung yang dihuni oleh majoriti mereka yang berbangsa Dusun ini begitu peramah dan mesra. Kami bermalam di masjid yang saya lupa namanya yang letaknya di tengah-tengah perkampungan yang damai ini. Jambori berlangsung selama tiga hari bermula dari hari Jumaat. Namun, kebanyakan aktiviti yang penting berlangsung pada hari Sabtu.

Sabtu (22 Mac 2009)

Pagi
Hari tersebut dimulakan dengan perbarisan seawal jam 7.00 pagi oleh semua wakil Unit Amal yang hadir. Anak-anak kecil turut sama bersemangat menyertai perbarisan ini. Pembahagian kerja dilakukan. Ada yang menanam pokok bunga, ada yang mengecat, ada yang membersihkan kawasan masjid, ada yang memberi pemahaman Islam dan barangan dapur kepada penduduk kampung, ada yang menghiburkan kanak-kanak kampung dan ada yang menyediakan tempat untuk aktiviti pada petangnya nanti. Semua bersungguh-sungguh dengan kerja yang telah diamanahkan. Manis...


Petang
Lebih kurang jam 2.30 petang, semua peserta Unit Amal yang lebih kurang 80 orang dikumpulkan dan dibahagikan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan akan menghantar wakil untuk tiga permainan iaitu bola sepak, larian berhalangan dan sepak raga. Selepas itu, acara sukaneka untuk kanak-kanak kampung. Semua bersama-sama dalam lembayung Islam tanpa mengira bangsa, tanpa lupakan batasan agama. Manis...


Malam
Malam Kesenian Islam. Persembahan dari setiap Unit Amal yang mewakili kawasan masing-masing. Turut diserikan dengan persembahan kompang dari anak-anak kampung yang mewakili sekolah mereka dalam pertandingan kompang. Lucu melihat telatah mereka. Penyampaian hadiah dan cenderamata mengisi ruang antara setiap persembahan. Semua bergembira dalam senyum dan ketawa tanpa perlu dimabukkan dengan hiburan melampau dan dikhayalkan dengan nada-nada 'cinta tak keruan'. Manis...

Anak-anak kecil kelihatan gembira dengan kehadiran kami. Hingus yang meleleh dibiarkan sahaja. Tanda kenaifan. Tanda peluang yang cerah untuk Islam. Para ibu kelihatan sibuk di balai menyediakan makanan. Ibu-ibu tua duduk tersenyum di beranda rumah. Bapa-bapa juga tidak mahu ketinggalan. Mana yang kurang sibuk dengan keperluan mencari nafkah, menghulurkan bantuan dengan penuh rela. Manis...


Semuanya adalah MANIS...
Nikmatnya bagaikan dingin pagi yang menerpa ke wajah...
Rasanya bagaikan air dingin mengalir ke kerongkong menghapuskan dahaga dikala terik mentari...

Bagaikan terasa embun sejuk menitis direlung hati...

Penat dan lenguh2...

Hilang dalam perasaan MANIS itu...
HATI yang tersembunyi itu, yang merasai keMANISan...



SAHABAT

Teringat dengan kisah Bilal bin Rabah. Bagaimana jasadnya diseksa kerana mengaku bahawa Tuhannya adalah Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.

"Dapat merasai kemanisan iman, orang yang meredai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Din dan Muhammad sebagai Rasul"
HR Muslim

Bukan sekadar penat dan lenguh2 yang dirasakan. Bahkan kesakitan yang lebih dari itu. Namun, bibir tidak pernah lekang dari menafikan segala tuhan melainkan Allah. Dirinya tidak terkalah dengan perit sakitnya itu. Kerana HATInya telah merasai keMANISan Iman. Kemanisan yang telah memerdekakan jiwanya. Kemanisan yang tidak akan sekali-kali dilepaskan. Kerana begitu nikmatnya kemanisan itu.

"Barang siapa yang ada padanya tiga perkara ini, ia dapat merasai kemanisan Iman: 1) Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul mengatasi cintanya kepada yang lain 2) siapa yang cintanya kepada seseorang hanyalah kerana Allah 3) Ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka"
HR Muslim

DIRI
Tertanya pula kepada diri. Bilakah akan sampai masanya untuk merasai kemanisan yang ini...

"Ya Allah! Kurniakanlah kepada diriku ketakwaan dan bersihkanlah ia. Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya. Engkaulah jua Pemerintahnya dan Penghulunya."
HR Muslim





Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Friday, February 27, 2009

Harapan Dalam Perjalanan

Telah lama rasanya tidak memperbaharu laman blog ini. Laman ini rasanya suram dan tawar setiap kali membukanya lantaran tiada pembaharuan atau penambah baikan.

Mungkin ia adalah pantulan dari dalaman diri saya sendiri yang semakin hari semakin dicengkam perasaan malas, mudah putus asa dan tidak kisah.

"Ya Allah aku bermohon dariMu agar dijauhkan dari sifat2 ini"

Semoga Allah terus menetapkan hati, akal dan nafsu pada jalanNya.


Mungkin ini adalah dugaan dan cabaran. Yang sesuai dengan kemampuan diri. Yang perlu diharungi.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya..." Al-Baqarah (2) : 286


Kadang-kadang terasa takut dan bimbang dengan ujian yang datang bertamu. Tersalah pilih akan jalan yang akan dilalu. Maka hanyalah pada Tuhan tempat untuk mengadu. Moga tidak dihukum atas kealpaan. Moga tidak dipikul dengan beratnya bebanan. Moga tidak diserahkan sesuatu yang di atasnya tiada kesanggupan.

"...(Mereka berdoa): 'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya..." Al-Baqarah (2) : 286


Andai tersadung dalam bertingkah, terguris dalam berhujah dan terhijab dalam menelaah, maka ampunanMu Tuhan yang diharapkan. Andai tersalah dalam keputusan, maka ampunanMu Tuhan yang ingin digapai. Semoga naungan rahmatMu yang sentiasa memayungi dan menemani.

"...Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami..." Al-Baqarah (2) : 286


Bukan mengikuti jejak langkah pendurhaka. Mengingkari janji yang pernah dikota. Bahawa hanya Allah Tuhan Yang Esa. Serta tidak terpedaya dengan tipu helah meraka yang menderhaka. Yang tidak sesekali redha, selagi langkah tidak senada, selagi bibir tidak seirama.

"...Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.'"
Al-Baqarah (2) : 286


Ameen...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Monday, February 23, 2009

Rindu Baru Bagi Jiwa Yang Kaku

Dalam ketergesaan berlalu mengejar waktu bagi menimba selaut ilmu, sempat untuk wajah saya menoleh ke kiri dan memandang mahligai Tuhan yang berdiri megah. Perjalanan saya dari bilik ke kelas, pasti akan melintasi masjid UMS di sebelah kiri.

Rindu pula untuk ke situ lagi...
Walaupun hangat badan masih tertinggal, dan lekuk duduk masih berbekas...


Perasaan yang jarang-jarang hadir bagi saya kerana lemahnya rasa cinta dan iman. Namun, pagi ini rindunya rasa lain. Damainya rasa lain. Redupnya rasa lain. Semangatnya juga lain.


Indahnya perasaan ini. Indahnya ketenangan ini. Indahnya pesona ini..


Muhasabah diri, sungguh jarang rasanya ke situ lagi kini.

Kadang-kadang kerana berada di tempat yang sememangnya telah tersedia surau. Kadang-kadang kerana berada di luar UMS. Kadang-kadang kerana berada di luar kk. Kadang-kadang berada di luar 'sedar'. Dan kadang-kadang kerana berada di luar kerajinan.


"Ya Allah, Kau tetapkanlah rasa rindu ini.
Ya Allah, Kau tetapkanlah rasa damai ini.
Ya Allah, Kau tetapkanlah rasa redup ini.
Ya Allah, Kau tetapkanlah semangat ini.
Dan jangan Kau hilangkan indahnya perasaan ini.
Dan jangan Kau hilangkan indahnya ketenangan ini.
Dan jangan Kau hilangkan indahnya pesona ini.."




Wajah dihadapkan ke hadapan kembali. Meneruskan perjalanan ke kelas yang setia menanti.


Harap-harap pintu tidak dikunci....


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture