Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Monday, May 23, 2011

Doakanlah Juga Untuk Saudaramu...




"Ibu, boleh tak kita singgah kedai jap sebelum balik rumah?", pinta seorang anak kecil sambil menaiki kereta.

"Ok lah... Sebab ustazah cakap abang baik hari ini kat tadika, jadi nanti kita singgah kedai runcit", jawab si ibu yang bertudung biru itu kepada anaknya.

"Yeay", sahut si anak kecil.

Sepanjang perjalanan ke kedai runcit, si anak kecil itu tadi tersenyum menampakkan baris gigi susunya sambil sesekali mengalunkan nasyid yang diajarkan oleh ustazahnya di tadika. Sesekali tangannya membetul-betulkan kopiah di atas kepalanya.

Tiba sahaja di kedai, anak kecil itu menunjukkan jarinya ke arah gula-gula kegemarannya, "Boleh tak kita beli gula-gula yang itu?", tanya si anak kecil.

"Okey, ambil satu dan kita bayar di kaunter", jawab si ibu yang telah sedia menanti di kaunter.

Anak kecil itu mengambil satu keping gula-gula itu dan melangkah kecil menuju ke arah ibunya di kaunter.

"Ummm, ibu...", tiba-tiba anak kecil itu menghentikan langkahnya.

"Ya?", balas si ibu dengan lembut.

"Boleh tak abang ambil satu lagi gula-gula untuk adik?", tanya si anak kecil.

Si ibu tersenyum. "Baiklah...".


Hmm. Hebat bukan. Ia mungkin kisah yang biasa, malah mungkin biasa berlaku dalam kehidupan kita. Namun, pada kisah yang biasa ini terselit pengajaran yang luar biasa darinya.

Si anak kecil ini masih mentah usianya, namun dia tidak sampai hati untuk mengenepikan adiknya. Walaupun untuk benda sebesar gula-gula. Malah dia menginginkan agar adiknya mendapat benda yang sama seperti dirinya. Setibanya di rumah nanti, si anak kecil ini pasti akan ditanyakan soalan oleh adiknya "Abang ada gula-gula untuk adik tak?".

Dan merenungkan soalan ini membuatkan saya tertanya sendiri, pernahkah seseorang bertanyakan kepada saya "Awak ada gula-gula untuk saya tak?", tetapi saya terpaksa menjawab 'TIDAK' kepadanya. Tidak seperti anak kecil ini yang pasti akan menjawab 'YA!' dengan penuh rasa gembira.

Kenapa?

Ya! Kerana saya tidak terfikirkan pun untuk membelikan gula-gula untuk mereka sekali!

Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri
HR Bukhari

Ya Allah...

Hadis ini membuatkan saya rasa bahawa iman saya sangat jauh untuk menghampiri kesempurnaan. Bahkan saya rasakan tahap keimanan sayalah yang paling rendah kerana saya kurang memikirkan dan berdoa agar saudara-saudara saya mendapat segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda sentiasa mengharapkan agar orang lain juga mendapat kebaikan yang anda nikmati?

Adakah kita turut mendoakan untuk orang lain tatkala kita sendiri ingin menjadi pelajar terbaik di sekolah mahupun universiti? Ataupun mengharapkan kerjaya yang baik? Mungkin juga mengharapkan sesuatu anugerah? Atau mempunyai rumah yang mewah siap dengan kolam renang sendiri? Atau ingin sentiasa sihat walafiat? Mungkin juga mengharapkan pasangan hidup yang soleh atau solehah?

Atau kita inginkan agar Allah memurahkan rezeki kita serta dikurniakan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat? Adakah ketika kita meminta agar keamanan dan ketenangan yang sedang Allah berikan ini berkekalan, kita turut mendoakan untuk perkara yang sama untuk orang lain? Bahkan untuk orang yang tidak pernah kita temui dan kenali?

Ketika kita menadah tangan berdoa untuk diri kita, adakah kita turut sama mendoakan untuk, keluarga, sahabat handai, rakan sekerja mahupun saudara seagama kita?

Atau ketika itu, kita hanya mendoakan untuk diri kita sahaja agar memeroleh segala kebaikan yang didoakan?

Jawapannya tentu agak menyakitkan bukan?


Kenapa Perlu Berkait?

Namun demikian, mengapakah tahap keimanan ini sangat berkait rapat dengan keinginan saya. Mengapa perlu saya berharap agar orang lain turut mendapat segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya, barulah saya dikira beriman?

Adakah anda tahu?


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..
Surah Al Hujuraat (49) : 10

Kalamullah yang ringkas ini amat jelas maksudnya.

Sekiranya kita ini adalah orang yang beriman, ini bermakna kita adalah bersaudara. Dan sekiranya kita bersaudara, bukankah kita perlu saling kasih-mengasihi? Dan sekiranya kita saling kasih-mengasihi, sudah tentu segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya, saya juga ingin agar kebaikan itu turut anda rasai.

Sudah tentu kita semua mengharapkan untuk menikmati rumah yang selesa, keluarga yang bahagia, badan yang sehat, makanan yang lazat, kerjaya yang bagus serta rezeki yang murah, bukan?

Sanggupkah saya melihat saudara yang saya kasihi tinggal di rumah yang bocor atapnya sedangkan saya tinggal di rumah yang selesa? Sanggupkah saya menutup sebelah mata tatkala saudara yang saya kasihi terlantar sakit? Atau saya makan lima kali sehari sedangkan ada saudara yang saya kasihi hanya makan sekali sahaja sehari? Patutkah saya meraikan kejayaan akademik saya tatkala sahabat sepengajian dengan saya gagal? Mampukah saya bergembira tatkala saudara yang saya kasihi dizalimi?

Sekiranya saya benar-benar merasakan kasih dan sayang terhadap persaudaraan yang disebutkan ini, pasti jawapannya adalah 'Tidak, Tidak, Tidak!!!'

Jadi, apakah yang boleh saya lakukan? Satu perkara yang pasti adalah berharap, berdoa dan meminta kepada Allah agar saudara-saudara saya ini memperoleh apa yang saya perolehi.

Saya juga perlu menghulurkan bantuan kepada mereka... Menolong mereka, memberikan mereka tunjuk ajar, berbuat baik kepada mereka, membantu mereka dalam pelajaran sedaya mampu, memberikan semangat kepada mereka dan mendoakan mereka segala kebaikan yang saya inginkan untuk diri saya...

Bolehkah kita berbuat demikian? Mendoakan untuk saudara kita? Sudah tentu, seandainya kita benar-benar mahu!

Dan sekiranya kita berbuat demikian, Rasulullah s.a.w telah berjanji kepada kita bahawa :
Doa secara rahsia yang dipohon oleh seorang Muslim untuk saudaranya akan dimakbulkan. Ada malaikat di sisinya setiap kali dia berdoa untuk saudaranya, dan berkata "Amin, dan yang sama untukmu".
HR Muslim

Subhanallah...

Sekiranya saya mendoakan anda secara rahsia, dan anda turut mendoakan saya secara rahsia, maka Rasulullah s.a.w. telah berjanji bahawa doa kita itu akan dimakbulkan oleh Allah. Malah, malaikat turut akan mengAminkan doa kita itu..

Dan tahu tak apa lagi?

Sekiranya saya mendoakan satu kebaikan secara rahsia untuk saya dan anda, dan begitu juga anda, maka dua doa akan dimakbulkan oleh Allah dan dua kebaikan akan diperoleh untuk kita dengan izinNya.

Allahu Akbar!

Sekarang cuba bayangkan seandainya saya meminta tiga perkara dan anda juga meminta tiga perkara? Maka enam doa dengan pelbagai kebaikan untuk saya dan anda akan dimakbulkan dengan izin Allah.

Dan sekarang cuba bayangkan pula sekiranya kita tiga sekawan memohon tiga kebaikan yang pelbagai untuk satu sama lain. Bolehkah anda kira berapa banyak kebaikan yang telah kita pohon untuk sesama kita?

Kini, bolehkah anda bayangkan jika terdapat tujuh orang yang saling berdoa untuk satu sama lain? Sepuluh? Seratus? Seribu?

Subhanallah...

Sebuah pepatah Kurdish ada mengatakan


Seseorang yang bijak sentiasa mengingati sahabatnya, manakala seseorang yang bodoh hanya mengingati sahabatnya sewaktu berada dalam kesusahan

Saya rasa sudah tiba masanya kita menjalani kehidupan yang lebih bijak bukan?

Jadi, marilah kita berpakat mulai saat ini. Marilah kita semua panjatkan doa kita untuk satu sama lain. Memohon kebaikan, kejayaan dan kebahagiaan bukan sahaja untuk diri kita, malah untuk semua saudara kita juga.

Walaupun mereka itu sejauh di Palestin.

Jom mulakan doa kita ini...

"Ya Allah....


Perkongsian darimu, bermakna untukku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture