Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan : Berpuasa Biar Betul Tujuan...


"Bulan Ramadhan ni la bulan yang paling sesuai untuk kita berdiet", kata seorang gadis kepada teman sebiliknya.

"Yeay, nasib baik la Ramadhan tahun ni datang dekat dah nak akhir sem. Puasa tak terasa letih sangat sebab dah takde kelas, exam je. Buka ngan sahur pulak kat masjid je. Uih, save bajet. Duit aku pun dah tinggal ciput je dalam bank tu", borak seorang pemuda kepada temannya sambil menanti pengumuman tarikh puasa Ramadhan di radio.

"Alhamdulillah, Ramadhan ni bulan Rahmat. Rezeki turun mencurah-curah dari Tuhan. Terutamanya bagi peniaga bazar Ramadhan macam mak cik ni. Datanglah gerai mak cik nanti ya", cerita seorang mak cik kepada jirannya.

"Ramadhan ni la waktu yang sesuai bagi pak cik untuk turunkan kandungan gula dalam darah pak cik tu", terang doktor kepada seorang pak cik tua berkopiah.

"Puasa ni dapat mengajar kita untuk merasai keperitan golongan orang-orang yang miskin", terang seorang ayah kepada anaknya.

Yang Mana Kita

Puasa di bulan Ramadhan mempunyai pelbagai cara untuk kita memandangnya. Dengan cara melihat itu nantilah yang akan menentukan siapa diri yang akan kita bawa ke dalam bulan Ramadhan, yang mana berpuasa ini menjadi suatu kewajipan bagi kita. Dan ini adalah kunci utama kepada menentukan kesan akhir (output) kepada nilai sebuah puasa di bulan Ramadhan. Sama ada natijahnya adalah bernilai sebuah takwa, atau hanyalah sekadar lapar dan dahaga.

Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata, "Siapa kamu, menentukan bagaimana kamu melihat" (Who you are determine how you see) dan "Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat" (What you see is what you get).

Atas dasar kesihatan, untuk merasai kesusahan orang lain, agar boleh berdiet, untuk berhenti merokok, bagi meningkatkan ekonomi keluarga, apakah salah berpuasa kerana hal-hal ini? Bukankah ini adalah hikmah dan kebaikan yang diperoleh dengan berpuasa?

Ya. Memang benar ini adalah antara hikmah dan kebaikan yang datang bersama-sama dengan ibadah puasa. Namun, perkara-perkara ini adalah bersifat 'mendatang', yang mana ia bukanlah menjadi tujuan sebenar bagi sebuah kewajipan ibadah puasa.

Hidup Perlu Dengan Tujuan

Sesungguhnya agama Islam mengajar kita untuk hidup dengan ada tujuan. Ia adalah agama yang mengajar kita untuk peka dengan sense of purpose. Mengabaikan tujuan bermakna kita menghilangkan makna dalam perbuatan. Maka berteraburlah hikmah dan kebaikan di sana sini atas perbuatan yang tanpa tujuan itu

Melihat puasa sebagai mekanisme kesihatan tanpa hubung kait dengan menifestasi kehambaan kepada Allah, maka wujudlah manusia yang berpuasa tetapi tidak bersolat.

Memandang puasa sebagai peluang peningkatan ekonomi keluarga tanpa hubung kait dengan peluang mendekatkan diri kepada Allah, maka wujudlah manusia yang berpuasa tetapi tidak mengeluarkan zakat.

Megambil puasa sebagai masa untuk mengasihani orang-orang fakir tanpa hubung kait dengan peluang menghampiri kasihnya Allah, maka wujudlah manusia yang berpuasa tetapi membazir ketika berbuka.

Melihat puasa sebagai detik bagi beribadah yang tanpa bertuhan, maka wujudlah manusia yang berkejaran membaca al-Quran tetapi mengabaikan komitmen dan tanggung jawabnya ketika bekerja. 

Berpuasa tanpa bertujuan yang betul, maka puasanya itu kosong daripada diselimuti dengan roh tarbiah, hanya sekadar memberikan manfaat material semata-mata.

Dan puasa seperti inilah yang dikatakan sekadar mendapat lapar dan dahaga.


Beragama Dengan Rasa BerTuhan


Memetik tulisan Ustaz Hasrizal daripada bukunya yang bertajuk 'Transformasi Ramadhan' :

"Agama ialah pelatihan HIDUP DENGAN TUJUAN. Dengan mengabaikan soal BERTUJUAN DALAM PERBUATAN, agama bertukar menjadi permainan dan perlakuan yang bersifat sendaan ke atas kemanusiaan"

Salahkah sekiranya menginginkan segala hikmah dan kebaikan berpuasa Ramadhan?

Tidak salah. Namun semua itu kekal sebagai faedah-faedah tambahan dan sampingan sahaja, kerana itu bukanlah tujuan atau objektif sebenar bagi ibadah puasa.

Allah yang telah mensyariatkan ibadah puasa ini, dan Allah jualah yang telah menerangkan dengan sejelas-jelasnya TUJUAN SEBENARnya. 


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, MUDAH-MUDAHAN (dengan puasa itu) KAMU BERTAKWA"
(Al-Baqarah (2) : 183)

Maka, adakah ketakwaan itu yang menjadi tujuan puasa kita pada Ramadhan kali ini?

Mari sama-sama kita semak kembali di separuh masa kedua Ramadhan ini.

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture