Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Saturday, April 17, 2010

Aku dan Nasyid...


"Arep! Ustazah nak jumpe...", seorang rakan menyampaikan pesanan. Waktu rehat saya terganggu dengan panggilan itu. Permainan polis dan pencuri terpaksa saya tinggalkan sebentar untuk menyahut seruan rakan saya tersebut.

Dalam keadaan berpeluh-peluh saya berlari ke bilik guru untuk berjumpa dengan ustazah yang juga merupakan guru kelas saya itu...

"Ha, arep! Sini kejap", panggil ustazah tersebut sebaik sahaja terlihat saya di hadapan muka pintu bilik guru.

Saya bergerak sopan menghampirinya. Sesekali saya mengesat peluh yang menitik di dahi.

"Ye ustazah. Nape panggil saya?" tanya saya.

"Arep, kamu masuk nasyid tau. Kita ade pertandingan tak lama lagi. Esok kite mule buat latihan kat bilik sebelah. Ustazah dah bagitahu rakan kamu yang lain. Jangan lupe tau", ustazah tersebut berbicara tanpa terputus kata.

Saya hanya mengangguk.

Terpilih mewakili sekolah bukanlah perkara yang biasa. Lagi-lagi bagi orang biasa-biasa seperti saya.

Keseronokan meninggalkan kelas serta keluar berjalan-jalan ke sekolah lain menjadi bayangan kegembiraan yang terlintas di hadapan mata...

Heh... Pemikiran kanak-kanak...

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di darjah 6...




"Kumpulan nasyid batch kite tak cukup orang sebab ramai yang dah keluar pergi sekolah lain", cerita seorang rakan yang satu dormitri dengan saya.

"Oh", saya hanya mendengar dan mengiyakan.

Kekurangan ini adalah disebabkan oleh perpindahan ke sekolah berasrama penuh sewaktu di tingkatan empat. Sebahagian rakan-rakan yang mendapat keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan PMR, menerima tawaran untuk memasuki sekolah berasrama penuh. Dan sebahagian besar dari mereka mengambil keputusan menerima tawaran tersebut.

"Sape ha yang reti main percussion batch kite? Arai sorang... Ko? Ko boleh main tak?", soalnya. Dia yang merupakan ahli kumpulan nasyid batch kami merangkap ketua bahagian percussionist, mencari-cari ahli agar ruang yang kosong terisi.

Saya yang selama ini sering kagum dan menyimpan hasrat untuk bermain alatan percussion bagaikan berbunga hati. "Boleh kot...", balas saya.

"Nah, amik nih... Cube pukul cam aku pukul nih", katanya sambil menghulurkan sebuah baldi kecil untuk saya dan mengambil tin biskut yang kosong untuk dirinya...

Perlahan dia memukul... Dan saya cuba mengikuti...

Makin lama paluannya semakin laju... Dan saya cuba mengejari...

"Boleh la tuh. Esok kite pergi dewan test guna alat pulak... Ko try main bass sebab zaim dah main yenkee..", ujarnya setelah kami berhenti bergendang.

"Ok".

Saya mencuba bukan kerana ingin popular. Tetapi kerana gambaran keseronokan ketika bermain percussion, menyebabkan saya teringin menjadi sebahagian darinya.

Setelah sesi uji bakat ringkas, saya diterima menjadi ahli dalam kumpulan nasyid batch saya. Dari situ saya mula belajar.

Sejak itu, nasyid menjadi sebahagian dari hidup saya. Sentiasa mencari idea untuk persembahan yang ada. Walaupun tidaklah sehingga mampu berkarya, namun terus mencuba untuk mencari kelainan dari yang biasa.

Saya terdedah kepada kumpulan nasyid yang tidak pernah saya ketahui sebelum itu. Saya terdedah kepada lagu-lagu nasyid yang tidak pernah saya dengar sebelum itu. Menjadikan minat saya terhadap nasyid semakin mendalam...

Bermula dari sini juga, saya belajar tentang pentingnya pengakuan hati. Berhati-hati agar tidak membangga diri. Kerana itu, dalam setiap persembahan, keredhaan Tuhan merupakan suatu pencarian. Semoga tetap ada sebuah keredhaan yang Allah berikan.

Heh... Jiwa remaja....

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di tingkatan 4...




"Aku dengar kau join nasyid mase kat sekolah dulu. Main percussion. Betul kan?", soal seorang pelajar A-Level dihadapan saya. Dia juga merupakan ketua kumpulan nasyid Kolej Mara Seremban ketika itu.

Kolej yang menjadi perigi untuk pelajar-pelajar matrikulasi dan A-Level mengisi diri. Menimba ilmu untuk memenuhi 'akli juga membersih qolbi...

"A'ah", balas saya. Dari mana dia dengar pun saya tidak ketahui.

"Ha, baguslah tuh. Ko boleh main conga kan? Ko nak join nasyid KMS tak?", dia bertanya.

"...", saya diam berfikir.

"Takde orang ni...".

"...".

"Camne? Nak tak?".

"Memang dah takde orang ke?".

"A'ah. Takde orang nak join".

"Oh...".

"Camne?".

"Ok lah kalo gtu...".

Berat pada mulanya untuk menyertai. Kerana pada masa itu saya bertarung dengan rasa tidak ikhlas di dalam hati. Namun, saya menerima juga. Sekadar untuk memenuhkan kerusi yang ada.

Yang menjadikan pengalaman saya berharga sewaktu menjadi ahli nasyid KMS adalah perkenalan saya dengan ahli-ahli yang lain. Dengan latar belakang ahli yang berbeza dan pelbagai, menjadikan pengalaman itu berbagai warna.

Ada peminat nasyid yang tegar. Ada yang menjadi pemain drum bagi band di tamannya. Ada peminat rock kapak. Ada penyanyi utama bagi kugiran tidak ternama. Macam-macam...

Namun, kami bersatu atas sebab yang sama. Ingin memperbaiki diri serta minat terhadap muzik di dalam diri.

Dan dalam setiap persembahan, keredhaan Tuhan tetap merupakan suatu pencarian. Semoga tetap ada sebuah keredhaan yang Allah berikan.

Heh... Hati belia....

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di matrikulasi...




"Enta nak masuk pertandingan nasyid sabtu nih tak?", tanya seorang sahabat.

"Hmm... Boleh gak", sahut saya.

"Ok malam ni kite latih kat bilik ana", balasnya kembali.

Dan saya mengangguk setuju. "Ok".

Tiada kumpulan tetap yang saya ikuti sewaktu saya di Universiti Malaysia Sabah. Namun, atas minat dan perjuangan yang serupa, saya dan dua orang lagi sahabat saya di sini berkongsi ruang dan peluang yang ada bagi melaksanakan alternatif hiburan ini...

Di sini, minat saya terhadap nasyid terus subur bersama mereka. Pandangan saya mengenai nasyid juga turut berubah merentas masa...

Walau pun saya kini sukar menerima nasyid sebagai jalan dakwah, namun saya meneruskannya sebagai satu jalan pengganti. Pengganti bagi hiburan yang mati.

Dan dalam setiap persembahan, keredhaan Tuhan tetap merupakan suatu pencarian. Semoga tetap ada sebuah keredhaan yang Allah berikan.

Heh... Semangat pemuda....

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di universiti...


Pengalaman-pengalaman saya ini menjadikan nasyid begitu sebati di dalam diri. Sukar sekali dibawa pergi.

Dengan hanya bercerita mengenainya sahaja sudah boleh membuatkan saya teruja.

Kerana itu usaha mereka yang terlibat dengan nasyid untuk tampil sebagai alternatif hiburan masa kini amatlah saya sokong. Namun, saringan terhadapnya masih tetap saya lakukan, kerana saya bukan peminat fanatik yang mengikut begitu sahaja. Saya tidak menerima dengan penerimaan yang buta.

Saya insan yang menghargai seni nasyid, dan masih menggunakan pertimbangan dalam penghargaan saya itu...

Kerana itu saya tidak menerima nasyid cinta manusia yang entah apa-apa. Sebuah irama yang menghairankan. Sama ada pada halwa, akal mahupun jiwa.

Hanya seperti sampah yang harus diketepikan. Kerana ia bagaikan penghinaan bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam menyampaikan. Dan juga mereka yang di dalam perjalanan mencari keredhaan Tuhan...

Ya, perjalanan mencari keredhaan Tuhan.

Kerana bukankah itu yang kita semua impikan?



Perkongsian darimu berharga buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture